Sunday, September 26, 2010

Iktibar Dari Facebook



Mark Zuckerberg, Pengasas Facebook

Lahir :
14 Mei 1984(umur 26)White Plains, New York

Pekerjaan :
Pencipta asal, CEO & Presiden kepada Facebook

Nilai harta kekayaan :
Kurang daripada $1 Bilion

Agama : Atheist

FACEBOOK – Kejayaan dari Minat, Bakat Kreativiti dan Inovasi.

Pada minggu ini saya memilih untuk membuat catatan hasil pembacaan saya mengenai Facebook. Saya mendapati sejarah Facebook lahir dari orang biasa tetapi mempunyai idea yang sangat kreatif terhadap bidang yang diminati, sehingga menjadi satu budaya baru dalam membina rangkaian sosial. Ada sesuatu iktibar yang boleh kita pelajari daripada kreativiti mindanya hingga mampu menjana kehidupan berbilion dollar. Satu aspek yang perlu kita jauhi tentang Mark Zuckerberg ialah dia tidak beragama.........????? Sebijak-bijak manusia ada pula kejahilannya, tapi biarlah nak buat macam mana, mudah-mudahan Allah SWT kurniakan taufik dan hidayat kepadanya. Amin

Facebook ialah sebuah tapak web rangkaian sosial yang di kendali dan dimiliki secara persendirian oleh Facebook, Inc. Sejak 2006, sesiapa yang berumur 13 tahun ke atas dan memiliki alamat e-mel yang sah boleh menjadi pengguna Facebook. Facebook lebih menyasarkan golongan belia berbanding dewasa. Pengguna boleh menambah rakan dan saling menghantar mesej, serta mengemas kini profil peribadi mereka sebagai makluman kepada rakan-rakan.

Selain itu, pengguna juga boleh menyertai rangkaian yang dianjurkan oleh tempat kerja, sekolah, atau kolej. Nama Facebook berasal daripada timangan yang digunakan untuk buku-buku yang diserahkan oleh pihak pentadbiran universiti kepada para penuntut pada permulaan tahun akademik di AS dengan tujuan membantu penuntut saling mengenali.

Facebook diasaskan oleh Mark Zuckerberg bersama teman-teman sebiliknya dan rakan-rakan sekursus sains komputer Eduardo Saverin, Dustin Moskovitz dan Chris Hughes. Pada mulanya, keahlian tapak web ini terhad kepada penuntut Harvard, tetapi kemudian beransur-ansur diperluaskan kepada kolej-kolej lain di kawasan Boston, Liga Ivy, dan Universiti Stanford. Selepas itu, Facebook berkembang lagi untuk merangkumi mana-mana pelajar universiti, kemudian pelajar sekolah tinggi, dan akhirnya, sesiapa sahaja yang berumur 13 ke atas. Kini, tapak web ini dianggotai oleh lebih 400 juta pengguna aktif seluruh dunia.

Konsep asal Facebook dipinjam dari hasil keluaran Akademi Phillips Exeter, sebuah sekolah persediaan yang pernah dihadiri oleh Zuckerberg, yang menerbitkan dan mengedarkan manual bercetak untuk semua pelajar dan fakulti selama berpuluh-puluh tahun, iaitu "face book".

Pada Julai 2009, syarikat Internet Rusia menawarkan AS$100 juta (RM358 juta) untuk membeli saham daripada pekerja-pekerja Facebook.Syarikat Rusia itu, Digital Sky Technologies (DST) itu melabur sebanyak AS$200 juta (RM716 juta) ke atas Facebook pada Mei 2009 dan menawarkan sebanyak AS$14.77 juta (RM52.8 juta) untuk satu unit saham biasa Facebook. Syarikat gergasi perisian komputer Amerika Syarikat, Microsoft telah membeli 1.6 % dalam Facebook bernilai AS$240 juta (RM859 juta) pada 2007.

Saya percaya ramai murid dan guru telah mempunyai akaun facebook sendiri. Facebook adalah satu gelombang ICT yang datang menerjah kita dalam segenap arah khususnya kepada pengguna internet. Suka atau tidak glombang itu menerpa kita selagi kita bermain dengan internet. Seperti kata pepatah “kalau takut bermain ombak jangan membina rumah di tepi pantai”. Inilah hakikat yang perlu diterima.

Ada laporan di media menyatakan tentang keburukan facebook, bahkan facebook pernah disekat secara sementara di beberapa negara termasuk Syria, China, Vietnam, dan Iran. Facebook juga dilarang di kebanyakan tempat kerja untuk menghindarkan para pekerja daripada membuang masa bersama perkhidmatannya. Saya pernah dimaklumkan bahawa Facebook adalah dikyah Yahudi untuk menyesatkan dan melekakan umat Islam khususnya. Saya berpendapat bagaimana kesan dan pengaruh facebook kepada seseorang adalah bergantung kepada cara bagaimana kita mengendalikannya. Sejauh mana kesan facebook kepada kita ialah sejauh mana etika kita ketika menggunakannya.

Kita tidak boleh lari dari kenyataan bahawa facebook semakin membudayakan kehidupan kita. Apa yang saya harapkan ialah warga SMK Kulai Besar dapat menggunakan facebook secara bijaksana dengan menulis bahan secara terhormat tanpa menyentuh peribadi individu, masyarakat, agama, kaum dan bangsa dengan cara yang boleh membangkitkan sentimen. Jadikanlah Facebook sebagai ruang untuk memupuk silaturahim, merapatkan yang jauh dan mengeratkan lagi yang dekat.

Semua murid perlu mengambil iktibar daripada kejayaan Mark Zuckerberg, pengasas facebook dengan mencari peluang dalam dunia ICT tanpa sempadan ini agar turut menempa nama sebagai pelopor kepada penemuan baru yang berdaya maju dalam bidang ICT. Saya dan rakan-rakan guru telah melepasi era ICT dengan peluang yang amat terbatas. Kami warga guru edisi 80-an dan awal 90-an membesar dengan teknologi mesen taip.

Para guru di sekolah sekadar berperanan sebagai pendorong, pembimbing dan jurulatih untuk melahirkan insan pintar seperti Mark Zuckerberg. Insan biasa yang menggunakan kombinasi minat, bakat, kreativiti dan inovatif untuk menjadi insan bernilai berbilion dollar. Oleh itu andalah para remaja yang bakal mencorakkan masa hadapan dengan peluang yang luas terbentang. Rebutlah peluang itu dengan memajukan diri dalam bidang ICT seterusnya membina kemahiran dan kerjaya menerusi Ekonomi Berasaskan Pengetahuan (Knowledge Base Economy)

AZMAN BIN SAFII

Sunday, September 19, 2010

Selamat Kembali Ke Sekolah Warga SMKKB

SELAMAT KEMBALI KE SEKOLAH :

Setelah kita bercuti selama dua minggu sempena Cuti Pertengahan Penggal 2 dan Cuti Hari Raya Aidilfitri, maka pada Isnin ini 20 September 2010 kita semua warga SMK Kulai Besar kembali ke sekolah. Justeru itu saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat kembali bertugas kepada semua guru dan kakitangan serta selamat kembali belajar kepada semua murid. Tidak terlewat rasanya untuk saya mengucapkan Selamat Hari Raya, Maaf Zahir dan Batin kepada semua warga sekolah.

Kepada semua murid, sesungguhnya belajar adalah tugas anda dan tanggungjawab anda. Sekiranya tugas guru mengajar, tugas ibu bapa anda mencari nafkah (bekerja), maka tugas anda hanyalah belajar. Belajar adalah satu proses untuk melahirkan seorang insan yang terdidik bagi memastikan anda menjadi individu yang mempunyai keseimbangan sama ada dari aspek jasmani, emosi, rohani dan intelek. Dengan modal JERI itulah nanti yang akan menjadikan anda sebagai insan yang bermodal, dan seterusnya menjadi pewaris kepada kesinambungan kemakmuran negara.

Cuti yang agak lama (2 minggu) sudah tentu menjadikan catatan diari kita semakin panjang kerana banyak cerita....cerita panjang, cerita pendek, cerita berbingkai dan pelbagai genre lain yang telah kita lalui sepanjang cuti yang lalu. Walau bagaimana seronok, suka dan dukanya anda sepanjang cuti yang lalu, namun saya berharap semua murid sedar bahawa semalam adalah sejarah, hari ini ialah realiti dan esok adalah harapan dan terbentang masa depan anda yang belum pasti lagi. Oleh itu sama-samalah kita memantapkan persiapan kita untuk mengharungi esok tadi, khususnya dalam mempersiapkan diri dalam menghadapi peperiksaan PMR, SPM dan peperiksaan akhir tahun.

Kepada calon PMR, pihak sekolah telah berkesempatan untuk melaksanakan program BERSAMAMU sejurus sebelum cuti yang lalu. Tujuan diadakan program tersebut adalah sebagai satu inisiatif untuk menyatakan apakah harapan sekolah, satu rasionalisasi pencapaian individu murid terhadap prestasi semasa (headcount) serta sebagai satu strategi bimbingan saat akhir kepada calon PMR (strategi pecutan akhir) sebelum PMR. Kepada murid yang terlibat dalam program tersebut saya berharap anda semua masih ingat apakah pesanan dan amanat yang telah diberikan, serta mengamalkan strategi belajar Pecutan Akhir yang telah disampaikan.

Minggu pertama selepas cuti raya adalah minggu yang sangat sebuk bagi guru-guru dan semua murid. Bagi calon SPM markah peperiksaan percubaan SPM sedang dan telah diproses, dan selepas ini guru-guru akan berbincang mengenai hasil pencapaian anda. Keputusan peperiksaan percubaan SPM adalah kayu ukur untuk mengesan sejauh manakah kemampuan anda. Refleksilah diri anda dan buatlah penjajaran strategi bagi memastikan anda benar-benar telah bersedia untuk melakar kejayaan dalam peperiksaan SPM nanti.

Calon-calon PMR pula pastinya akan sebuk mengikuti pelbagai program Pecutan Akhir seperti yang telah diaturkan oleh UBK dan panitia-panitia mata pelajaran. Jadikanlah semua program yang dijalankan oleh pihak sekolah sebagai peluang dalam memantapkan persiapan sebelum PMR. Sekiranya persiapan anda masih belum mantap untuk menduduki PMR, anda sebenarnya masih belum terlewat, kerana setiap saat adalah di dalamnya kesempatan. Selagi PMR belum bermula, selagi itulah masa dan ruang masih ada.

Sementara itu bagi semua murid tingkatan Peralihan, 1, 2 dan 4, anda sepatutnya turut sebuk dalam mempersiapkan diri sebelum peperiksaan akhir tahun. Para guru sudah tentulah pada minggu ini dan seterusnya berusaha mempersiapkan anda untuk menduduki peperiksaan. Kesimpulannya kita semua sebuk dengan banyak tugas dan perkara yang perlu diselesaikan...hakikatnya inilah yang dinamakan sebagai Kesibukan Profesional. Janganlah selepas ini anda menyebuk pula di bilik disiplin dengan menambah kesibukan Unit HEM kerana mengambil terpaksa mengambil tindakan disiplin ke atas salah laku anda. Atau jangan pula anda menyebuk di bilik Kaunseling, untuk menokok kesibukan kaunselor yang terpaksa memperuntukkan masa untuk menasihati anda atas kesalahan yang anda lakukan.

Sekian catatan untuk kali ini, selamat belajar.


AZMAN BIN SAFII

Monday, September 13, 2010

Pendekatan 5S Dalam Amalan Pengurusan Sekolah

https://drive.google.com/file/d/0B1CWnQhTT5h6U3JPenB6SVhqVnM/view?usp=sharing


Tulisan ini dibuat berdasarkan sesi CPD yang disampaikan semasa berkhidmat di SMK Kulai Besar. Penghargaan kepada MPC Johor Bahru atas perkongsian bahan dan maklumat. Sila klik pada gambar untuk muat turun bahan.
 
Aktiviti-aktiviti 5S telah bermula di Jepun selepas Perang Kedua bertujuan membersihkan dan mengemas kilang-kilang yang terdapat di Jepun kesan daripada peperangan. Langkah Jepun yang berjaya memulihkan ekonomi selepas era peperangan, membukti pendekatan 5S mereka berjaya. Lantas strategi yang sama diteruskan dan diamalkan oleh syarikat-syarikat di seluruh dunia bagi memastikan tempat kerja sentiasa selesa, sempurna, teratur, bersih dan selamat.

5S adalah satu kaedah pengurusan tempat kerja yang menggunakan senarai lima perkataan dalam Bahasa Jepun iaitu  “Seiri”,  ”Seiton”, ”Seiso”, ”Seiketsu” dan ”Shitsuke”. 5S tersebut adalah mewakili 5 tahap dalam proses pengurusan ruang tempat kerja, yang kemudiannya telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu dengan mengekalkan awalan huruf ”S” dalam kelima-lima peringkat pengurusan tempat kerja.
 

Tahap
Istilah Jepun
Istilah Dalam BI
Istilah dalam BM
Tahap 1
Seiri (整理)
Sorting
Sisih
Tahap 2
Seiton (整頓)
Straighten
Susun
Tahap 3
Seisō (清掃)
Sweeping or Shining
Sapu
Tahap 4
Seiketsu (清潔)
Standardizing
Seragam
Tahap 5
Shitsuke ()
Sustaining the discipline
Sentiasa Amal

5S merupakan satu falsafah dan cara baru dalam mengurus ruang tempat bekerja dan aliran kerja dengan tujuan memperbaiki kecekapan menerusi penyingkiran elemen-elemen yang tidak diperlukan yang terdapat di tempat kerja, mengelakkan pembaziran dan seterusnya dapat melancarkan proses aliran kerja. 

5S adalah satu kaedah mengurus tempat kerja, terutamanya tempat kerja yang digunakan secara bersama atau berkongsi (seperti bilik guru, pejabat, bilik kaunseling, bilik disiplin, bilik darjah), bagi memastikan ruang tempat kerja tersebut dalam keadaan yang terurus. Kunci utama 5S ialah untuk memperbaiki keadaan tempat kerja, keselamatan dan kecekapan. 

Penekanan yang diberi dalam melaksanakan 5S ialah memastikan sesuatu yang diperlukan berada pada tempat dan kedudukan yang betul dan sesuai, agar masa tidak dibazirkan apabila timbul keperluan untuk menggunakan sesuatu benda, dokumen atau alatan. Tambahan pula pendekatan ini dapat mengesan dengan pantas sebarang kehilangan atau ketiadaan sesuatu yang diperlukan dari tempat yang sepatutnya sesuatu itu berada. 

Sasaran utama 5S adalah tempat kerja yang lebih baik sama ada dari aspek moral, keselamatan dan kecekapan. Pernyataan 5S mengutamakan pengurusan lokasi dan penggunaan masa yang tidak dibazirkan terhadap sesuatu yang diperlukan. Pada masa yang sama, sesuatu kehilangan akan dapat diketahui dengan mudah dan cepat apabila sesuatu alatan dikesan tidak berada pada lokasinya yang ditetapkan.  

Pengamal 5S percaya manfaat daripada metodologi ini datang dari keperluan untuk menentukan apakah yang perlu disimpan, di mana ia hendaklah disimpan, bagaimana ia patut disimpan dan yang paling penting bagaimana peraturan baru akan dikekalkan. Proses membuat keputusan ini lazimnya datang dari sesi dialog untuk membina kefahaman yang jelas mengenai penyeragaman tugas yang berlaku dalam kalangan anggota organisasi, berkaitan bagaimana kerja-kerja yang perlu dilakukan. Proses 5S turut menerapkan semangat kesepunyaan dalam kalangan anggota organisasi. 

Selain daripada itu, satu lagi perbezaan utama antara 5S dan "Standard Pembersihan" ialah Seiton. Seiton sering disalah tafsir, mungkin disebabkan oleh usaha-usaha untuk menterjemahkan satu perkataan Inggeris bermula dengan "S" (seperti "sort" atau "strighten"). Konsep utama di sini ialah untuk menyusun peralatan atau aktiviti-aktiviti bagi memastikian aliran tugas yang lebih lancar. Sebagai contoh, alat-alat hendaklah disimpan selepas ditempat mana ia disimpan selepas digunakan. 

Dengan cara ini kakitangan tidak perlu bersusah payah mencari peralatan, sebaliknya lebih mudah mengakses bahan, menjimatkan masa dan aliran kerja yang diubah pula boleh meningkatkan kecekapan. 

Fasa 1 - Seiri (整理): SISIH: Semak dan asingkan semua alat, bahan, dan dokumen yang ada di kawasan tempat bertugas. Pastikan hanya barangan atau dokumen yang diperlukan sahaja yang perlu ada. Barang-barang atau dokumen lain perlu disimpan di stor atau jika tidak diperlukan perlu dibuang. 

Fasa 2 - Seiton (整頓) SUSUN atau KEMAS: memberi tumpuan kepada aspek kecekapan. Apabila diterjemah perkataan Seiton dalam Bahasa Melayu sebagai “susun” atau “kemas”, ia kedengaran seperti lebih terarah kepada kerja menyusun atau menyapu, tetapi tujuannya yang sebenar ialah untuk menguruskan alat-alat, kelengkapan dan peralatan dengan cara yang boleh melancarkan aliran kerja.  

Sebagai contoh, perkakas dan peralatan perlu disimpan di tempat yang mereka akan gunakan peralatan tersebut (iaitu mengukuhkan aliran kerja), dan proses ini harus ditetapkan dalam suatu susunan yang boleh memaksimumkan kecekapan. Prinsipnya sangat mudah iaitu, setiap perkara yang perlu  ada, seharusnya berada di tempat yang sepatutnya perkara itu berada. Bagi tujuan ini penandaan dan pelabelan tempat sangat membantu dan diberi perhatian khusus pada fasa seiton. 

Fasa 3 - Seisō (清掃) SAPU atau SINAR; Merujuk kepada amalan pembersihan secara sistematik atau perlu memastikan tempat kerja dalam susunan yang bersih dan kemas. Selepas melaksanakan tugas, kawasan kerja perlu dibersihkan. Alatan atau dokumen yang digunakan perlu di pulangkan semula ke tempatnya yang asal. Keadaan ini memudahkan untuk kita mengetahui status di mana dan ke mana sesuatu alatan yang telah digunakan. Cara ini menjadikan kita lebih yakin bahawa semuanya dalam aturan di mana ia sepatutnya berada.  

Perkara yang perlu ditekankan ialah, menjaga kebersihan harus menjadi sebahagian daripada amalan kerja harian, dan bukannya satu aktiviti yang hanya dilakukan sekali sekala sahaja, iaitu setelah kita mendapati keadaan tempat kerja menjadi terlalu berselerak atau tidak terurus. 

Fasa 4 - Seiketsu (清潔) SERAGAM: Penyeragaman amalan kerja atau operasi secara konsisten dan standard. Pada tahap ini semua anggota dalam organisasi sepatutnya telah mengetahui apakah tanggungjawabnya untuk memastikan 3S yang terawal iaitu seiri, seiton dan seiso dapat diamalkan secara tekal. Sekiranya 3S yang terawal ini belum dapat di sempurnakan, secara logiknya mana mungkin fasa seiketsu dapat dilaksanakan dengan mudah. 

Fasa 5 - Shitsuke () SENTIASA AMAL atau MELESTARIKAN: merujuk kepada mengekalkan dan menilai standard. Sebaik sahaja 4S sebelumnya telah diwujudkan, ia menjadi satu amalan baru untuk beroperasi. Mengekalkan tumpuan kepada cara baru organisasi beroperasi, dan tidak membenarkan pengulangan secara perlahan-lahan kepada cara yang lama.  

Walau bagaimanapun, apabila sesuatu isu timbul seperti cadangan untuk penambahbaikan, cara baru untuk bekerja, alat baru atau keperluan mengelurakan perkhidmatan yang baru, maka kajian semula ke atas 4S yang pertama adalah sangat praktikal. 

Fasa 6 - SELAMAT atau "Keselamatan" kadangkala akan ditambah oleh pengamal 5S. Walau bagaimanapun, terdapat pengamal 5S yang berpendapat, penambahan S yang keenam adalah tidak perlu, kerana jika 5S sedia ada dilaksanakan dengan betul ia akan memberi impak terhadap persekitaran tempat kerja yang selamat.  

Satu perkara yang perlu kita berwaspada ialah, dalam kegairahan untuk melaksanakan proses 5S, kita perlu memastikan semua proses yang dilakukan dalam keadaan selamat. Pelaksanaan 5S yang tidak betul boleh mengundang bahaya di tempat kerja. Keadaan ini berlaku apabila pekerja cuba untuk mengekalkan kebersihan tetapi pada masa yang sama tidak mengikuti prosedur keselamatan yang betul boleh mengundang kemalangan di tempat kerja.  

Kesimpulannya, dalam melaksanakan 5S perlu pendidikan yang berterusan tentang bagaimana piawaian dapat dikekalkan. Apabila terdapat perubahan yang akan menjejaskan 5S, seperti penggunaan peralatan baru, produk baru atau kaedah-kaedah kerja yang baru, maka adalah penting untuk kita membuat perubahan dalam piawaian dan mengadakan siri latihan. Organisasi yang mengamalkan 5S sering menggunakan poster, banner dan papan tanda sebagai satu cara untuk mendidik anggota dan mengekalkan piawaian.
 

Rujukan: 

Imai, Masaaki (1997). Gemba kaizen: a commonsense low-cost approach to management. New York: McGraw-Hill Professional. p. 64. ISBN 9780070314467.

 

Sunday, September 12, 2010


SAYA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, dan Maaf Zahir dan Batin. Saya memohon maaf di atas segala kesilapan dan kekurangan yang ada sama ada dari segi tingkah laku atau lisan.

For those of you going to balik kampung,have a safe journey, take care and enjoy this wonderful celebration with your loved ones.

Selamat Hari Raya

Kekalkan pengetua Aishah – Perkasa














Ibrahim Ali berbual dengan Siti Aishah Mansor (kiri) ketika berkunjung ke rumah pengetua tersebut di Kampung Melayu, Kulaijaya, semalam.
28/08/2010

KULAIJAYA 27 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar Kementerian Pelajaran bertindak profesional berhubung isu perkauman yang dikatakan cuba ditimbulkan Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, 53, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihak kementerian diminta tidak bertindak berdasarkan kepentingan politik dan pada masa yang sama perlu terus mengekalkan kedudukan pengetua berkenaan di sekolah itu.

“Pengetua berkenaan pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Gred 52, malah beliau juga mempunyai darah Cina kerana ibunya berketurunan Cina. Jadi bagi saya tidak timbul isu perkauman di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya secara profesional dan tidak mengutamakan kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dan menyatakan sokongannya terhadap pengetua berkenaan di rumahnya yang terletak di Kampung Melayu, di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Siti Aishah dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan pagi menyentuh sensitiviti kaum.

Dipercayai kenyataan yang dibuat sempena pelancaran Hari Kemerdekaan di sekolah itu telah diputarbelitkan oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan politik sehingga wujudnya isu perkauman berkenaan.

Ibrahim turut mempersoalkan sama ada kenyataan pelajar yang membuat laporan polis terhadap pengetua berkenaan boleh diambil kira tanpa mengetahui sejauh mana kebenaran laporan itu.

Beliau berkata, mungkin pelajar berkenaan tidak memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan pengetua mereka dan sekadar membuat laporan berdasarkan pemahaman mereka semata-mata.

“Sebagai pelajar adakah mereka cukup matang untuk menilai dan menterjemah ucapan pengetua sebagai mengandungi unsur-unsur perkauman.

“Daripada apa yang diberitahu, pelajar yang terawal membuat laporan polis berhubung isu tersebut merupakan antara pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Adakah kenyataan orang seperti ini boleh digunakan?” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan pengetua berkenaan adalah bertujuan memulihkan masalah disiplin di sekolah tanpa sebarang niat perkauman dan lebih menjurus kepada tindakan seorang ibu dalam mendidik anak-anak ketika di rumah.

“Apabila berlaku masalah disiplin dan gejala sosial pelajar, semua menyalahkan pihak sekolah, namun apabila pelajar-pelajar ditegur dan tindakan diambil, masyarakat turut menyalahkan pihak sekolah,” katanya.


Published in:
UTUSAN MALAYSIAon September 1, 2010 at 10:59 am Comments Off Tags: , , ,

Friday, September 10, 2010

BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN

BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN

Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul.

Penulisan ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakukan yang terbaik.

Bersedia Untuk Belajar.

Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti. Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal menduduki SPM.

Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan). Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.

Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.


Buatkan Jadual Belajar Untuk Peperiksaan.

Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik. Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah.

Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungki belajar 1 jam diwaktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.


Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.


Buatkan Nota

Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.


Latih Diri Anda Untuk Peperiksaan

Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.

Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:
Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.

1. Latih mengeluarkan maklumatMaklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

· Menjawab soalan-soalan;
· Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
· Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
· Mengadakan perbincangan dengan rakan;
· Menyediakan kad imbasan kecil.
· Mengambarcarakan apa yang telah dipelajari.
· Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.

2. Hadkan masa menjawabPastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui latihan yang berterusan. Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.

3. Anggap seperti peperiksaan sebenarPastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.

4. Strategi menjawab soalanUntuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.
Langkah-langkah berikut dapat membantu:

4.1. Baca arahan terlebih dahulu.
4.2. Baca arahan terlebih dahulu.
4.3. Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.4 Jawab soalan mengikut turutan berikut:
4·5 Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.
4·6 Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.
4·7 Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
4·8 Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.
4·9 Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.

5. Mencari sebab (post-mortem)Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latihan ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

5.1 Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa
membaca tajuk-tajuk tersebut.
5.2 Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan pada guru atau rakan.
5.3 Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
5.4 Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
5.5 Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.

6. Jangan buang masa Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.
Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.


Sekian, Selamat Berjaya


AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 16 November 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN,16/11/2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

1 Assalamualaikum wkt dan salam Sejahtera, Salam Perpaduan Salam Satu Malaysia dan Salam Raya

2 Kata alu-aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

3 Terima kasih kepada pengacara majlis, guru bertugas.

4 Bersama-samalah kita melafazkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan nikmat dan kurniaannya kepada kita pada hari ini. Kerana dengan nikmat dan kurniaannya itulah membolehkan kita terus berada di sini...guru mengajar dan murid terus belajar. Hari-berganti hari, minggu-beralih minggu dan kini kita berada pada minggu terakhir sesi persekolahan 2009.

5 Cuba anda fikir dan kenangkan sejenak apakah yang telah anda peroleh sepanjang 192 hari/ setahun anda ke sekolah. Kalau orang berniaga sudah tentu pada masa ini mereka akan mengira berapa keuntungan atau rugi, ahli silat akan menguji adakah ilmu persilatan tok gurunya menjadi atau tidak. Namun bagi anda sebagai seorang murid perkara yang perlu dilihat ialah bagaimana pencapaian kamu dalam peperiksaan, sahsiah dan kokurikulum. Semak apakah pencapaian anda dalam ketiga-tiga bidang tersebut telah mencapai sasaran anda? Apakah sumbangan anda kepada sekolah.

6 Pelajar yang bijak dan mempunyai matlamat sudah tentu dapat menjawab persoalan tersebut dengan mudah. Amat malang sekali kalu anda sendiri tak tahu apa-apa hasil yang anda dapat bertambah malang pula kalau anda tahu anda hanya menjadi beban kepada pihak sekolah.

7 Namun pastinya hari-hari yang lalu itu telah menjadi sejarah dan kenangan dan telah pun berlalu, pada hari ini adalah satu kurnia untuk kita mengkaji balik pencapaian kita untuk dijadikan iktibar dan pedoman buat bekal pada masa hadapan yang penuh dengan harapan.

8 Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang telah berjasa dan memberi sumbangan bermakna kepada pihak sekolah dalam pelbagai bidang. Pencapaian anda dalam peperiksaan dan pencapaian dalam kokurikulum pada tahun ini memperlihatkan peningkatan. Tahniah juga kepada murid-murid yang telah memberi sumbangan kepada pihak sekolah dari segi pematuhan terhadap disiplin dan peraturan sekolah. Petunjuknya mudah, sekiranya anda tidak pernah menerima tindakan de merit, dan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan peraturan sekolah maka anda sebenarnya telah memberi sumbangan kepada sekolah.

9 Kepada murid-murid yang pernah diambil tindakan disiplin, pernah digantung atau dibuang sekolah anda masih berpeluang untuk menebus kesilapan itu dengan cara menjadikan hari ini sebagai titik perubahan kepada diri anda. Kesilapan adalah perkara biasa dalam hidup dan bukan bermakna kegagalan dalam hidup anda tetapi kegagalan yang sebenarnya ialah apabila anda tidak mahu mengubah sikap dari kesilapan yang pernah dilakukan.

10 Bagi calon SPM kami tunjukkanlah imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, tidak berdisiplin dan tidak mementingkan pelajaran mereka sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

11 En Hilman akan menyerahkan kepada saya senarai murid tingkatan 5 yang paling bermasalah, dan saya akan berjumpa kumpulan murid ini dalam tempoh terdekat sebagai satu alternatif terakhir menjelang peperiksaan. Sekiranya alternatif ini tidak anda patuhi jangan salahkan sekolah sekiranya anda gagal untuk menjadi orang yang berguna kepada masyarakat setelah anda tamat persekolahan nanti.

12 Sesuatu peristiwa kadangkalanya memberi keinsafan kepada kita. Oleh itu jadikanlah kesilapan anda sebagai sesuatu yang memberi pengajaran kepada anda, kerana anda boleh melakukannya... Sylvester Stallone yang terkenal dengan filem Rocky dan Rambo tidak mempunyai nasib yang baik semasa zaman kanak-kanaknya. Ibunya daif dan dia dilahirkan di tangga sekolahnya. Semasa lahir urat saraf pada mukanya tercedera menyebabkan bahagian kanan mukanya menjadi lumpuh. Tetapi keazamannya untuk menjadi pelakon terkenal telah mengubah kehidupannya walaupun pernah gagal dalam ujian.

13 Sekian terima kasih .

AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN
SMK KULAI BESAR

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 05 September 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN, 05/09/2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

1 Assalamualaikum wkt dan salam Sejahtera, Salam Perpaduan Salam Satu Malaysia dan Salam Raya

2 Kata alu-aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

3 Terima kasih kepada pengacara majlis, guru bertugas.

4 Saya amat bersyukur kerana kita dapat bertemu dalam perhimpunan rasmi pada pagi ini. Mungkin masih belum lewat untuk saya mewakili rakan-rakan guru untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua murid yang beragama Islam.

5 Semoga hari raya tahun ini memberikan makna yang lebih istimewa kerana kita semakin matang dan semakin kaya pengalaman. Ramadan yang berlalu itu sepatutnya telah mengenalkan kita erti kasih sayang, kesabaran, kejujuran, sikap merendah diri, saling bertoleransi dan telah pula meningkatkan keimanan masing-masing mengikut kadar amalan yang telah dilakukan.

6 Pengajaran Ramadan itu perlu kita hidupkan dalam diri agar menjadikan diri kita lebih mengerti makna kehidupan dan persekitaran. Begitu juga dengan hari raya yang disambut dengan pelbagai kaedah dan pendekatan tetapi memberi makna kejayaan yang gemilang kerana kita telah melalui ujian diri yang hanya Tuhan sahaja yang mengetahui darjah pencapaiannya.

7 Pada hari Sabtu yang lepas saya berkesempatan menghadiri Seminar Kajian Tindakan Daerah Kulai. Pada seminar tersebut saya telah bertemu dengan bekas rakan sejawat yang satu ketika dahulu bertugas sebagi guru biasa di salah sebuah sekolah menengah di Johor, tetapi kini beliau telah menjadi seorang Guru Cemerlang. Ketika kami sedang leka berbual telefonnya berdering....dan rakan saya menjawab panggilan tersebut, maka berlakulah sesi perbualan dalam bahasa yang saya tidak fahami.....bahasa Tamil. Selesai mereka berbual saya tanya apa topik yang dibualkannya, maka beliau telah bercerita bahawa yang menelefonnya tadi ialah rakan sepermainan semasa zaman kanak-kanak dan zaman persekolahan yang kini telah bertugas sebagai Kapten Juruterbang SIA. Mereka bersahabat semasa kecil, membesar di sebuah ladang terpencil di daerah Kulai, bersekolah di sekolah biasa di Kulai, dan masing-masing mendapat kelulusan SPM dan STPM. Seorang memilih kerjaya guru dan seorang belajar di politeknik di Singapura. Beliau memberitahu bahawa semasa di bangku sekolah dahulu beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap enjin motor dan kereta dan mampu membuka dan memasang enjin sejak di bangku sekolah lagi. Kini bekerja di Singapura dengan pendapatan 10,000.00 dollar Singapura sebulan. Sementara abang rakannya itu pula telah melanjutkan pelajaran ke Amerika dan bekerja di Amerika sebagai penganalisis komputer dengan pendapatan yang jauh lebih Tinggi.

8 Cerita ini saya kongsi dengan anda semua dengan satu tujuan supaya aura kejayaan tiga individu ini meresap pada diri anda...Kejayaan seorang guru cemerlang, Kapten Juruterbang SIA, dan penganalisis Komputer adalah selingkar kisah daripada pelbagai kisah lain yang memaparkan betapa dengan sikap dan usaha yang betul kita boleh mengubah nasib kita, keluarga dan bangsa kita. Kejayaan tidak mengenal status anda...anak penoreh getah, anak peneroka, tukang sapu, pemandu bas atau sesiapa sahaja. Kejayaan hanya kenal satu sahaja iaitu kemahuan, usaha dan tawakal.

9 Kejayaan individu yang telah berjaya perlu anda jadikan sebagai ikon kehidupan, penanda aras, dan jejaki liku-liku kehidupan mereka biar tersingkap segala rahsia di sebalik kegemilangan yang mereka peroleh. Sebenarnya dalam kalangan 1600 murid di SMKKB ini, pada firasat saya sebahagiannya telah mempunyai kekuatan dan kualiti peribadi tertentu yang menunggu masa untuk digilap agar menjadi individu yang cemerlang.

10 Percayalah bahawa anda boleh melakukan perubahan pada diri, selagi anda katakan bahawa anda boleh melakukannya. Kecemerlangan akademik seperti pencapaian perfect score bukanlah prasyarat kecemerlangan tetap ia berkaitan dengan sikap anda. Sikap terhadap diri dan keluarga, sikap terhadap guru-guru dan rakan-rakan, dan sikap anda terhadap pelajaran. Selagi anda mempunyai sikap yang positif ia umpama benih yang baik dan subur, dicampak di laut menjadi pulau, di campak di daratan menjadi belantara, dicampak ke busut menjadi gunung.

11 Sebagai perbandingan pada minggu lepas saya menemui 1 murid biadab terhadap guru, 3 murid yang cuba ponteng sekolah, 7 murid yang ponteng kelas dan bersusun-susun murid sedang menunggu untuk di soal siasat dengan pelbagai kesalahan disiplin di bilik disiplin. Pelanggaran disiplin sekolah adalah satu petanda sikap anda sedang dalam bermasalah.

12 Jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadab, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.

13 Sebab itulah saya kerap menegur sekumpulan murid yang suka duduk di tembok pintu masuk sekolah semasa saya datang pada waktu pagi, kerana kelakuan itu adalah ikon kaki lepak, mat tembok kalau perempuan; minah tembok, seolah-olah menjual muka dan memperagakan diri seperti menjual sayur layu yang tak laku. Amat sedih lagi apabila ada dalam kalangan murid perempuan yang suka bergurau, bertepuk bertampar dengan murid lelaki tanpa perasaan segan silu. Sifat ini yang memaparkan ikon bagi perempuan seperti dalam novel Iakah Salamah? dan Salina....iaitu ikon perempuan yang tidak bermaruah. Rambut berwarna, rambut berfesyen, pakaian selekeh, pakai seluar londeh, dan pelbagai lagi imej negatif dalam penampilan diri sesetengah murid adalah ikon individu yang berserabut, penagih dadah, along, samseng, bohsia dan bohjan. Nak berjaya kita kena ikut orang yang berjaya.

14 Saya berharap agar semua murid membuat penjajaran diri semula, membuat pertimbangan dan muhasabah diri untuk mengetahui di mana titik anda berada sekarang. Persimpangan jalan manakah yang hendak anda pilih. Saya sekadar boleh menasihati, memberi pandangan, memberikan teguran dan barangkali tindakan disiplin. Namun perubahan sebenarnya tetap berada pada pilihan diri anda sendiri. Berdoalah supaya anda diberi kekuatan untuk meninggalkan segala kelemahan dan kekurangan serta mohonlah agar dikurniakan petunjuk untuk menjalani kehidupan pada jalan yang lurus.

15 Sekian terima kasih .

AZMAN BIN SAFII

Teks Ucapan : Program Restu PMR 2009

UCAPAN PROGRAM RESTU PMR 2009
SMK KULAI BESAR

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

Menjelang peperiksaan, bermacam perasaan akan bermain di dalam diri anda. Kadang-kadang anda rasa berdebar, kadang-kadang pula anda rasa gembira kerana penantian anda selama ini akan berakhir. Walau apa pun yang anda rasakan, anda perlu sentiasa menaikkan tahap motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.

Di dalam buku ini saya akan bincangkan 7 teknik untuk memotivasikan diri anda sendiri menjelang peperiksaan.

Teknik 1: Kekalkan Imej Kejayaan
Teknik utama yang saya ingin sampaikan ialah jika anda mahu mengekalkan semangat yang membara dalam diri anda untuk berjaya, anda mesti mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Seperti yang anda tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara sahaja pada satu masa. (There could be only one dominant thought at one time).

Jadi, mulai hari ini, fikirkan, apakah imej kejayaan yang anda ingin isi dalam minda anda? Mungkin anda boleh bayangkan imej kejayaan ketika mengambil keputusan peperiksaan. Mungkin juga anda boleh pergi jauh lagi dengan membayangkan imej kejayaan ketika anda sudah memasuki alam pekerjaan.

Untuk pengetahuan anda juga, imej kejayaan di masa akan datang tidak semestinya menjadi seorang ahli korporat. Anda boleh jadi apa sahaja. Cuma, walau apa-apa pun kerjaya yang anda pilih, pilih untuk jadi profesional, maksudnya, jadi yang terbaik.

Jadi, latihan untuk hari ini, fikirkan apa imej yang anda ingin kekalkan di dalam minda anda untuk terus rasa bersemangat. Ingat, jika anda tidak memilih untuk mengisi minda anda dengan imej yang memberikan semangat, ia akan diisi dengan imej yang akan menjatuhkan anda.

Teknik 2 Dekati Sahabat Berfikiran Positif
Mengekalkan imej yang positif atau imej kejayaan selalunya adalah sesuatu yang sukar. Terlalu banyak perkara negatif di sekeliling anda yang boleh mempengaruhi apa yang anda fikirkan. Pada pendapat anda, secara umum, minda pelajar lebih mudah diisi dengan unsur-unsur negatif atau positif……..????

Jawapannya tentulah unsur negatif. Ini kerana, anda perlu berusaha secara sedar untuk meletakkan unsur positif dalam minda anda. Jika anda tidak ada usaha untuk itu, secara automatik, unsur negatif akan memenuhi minda anda. Ada pepatah yang mengatakan bahawa, minda adalah umpama sebuah taman. Jika taman itu tidak ditanam dengan pokok-pokok bunga, lalang dengan sendirinya akan tumbuh.

Begitu juga dengan minda anda. Jika anda tidak berusaha memenuhkan minda anda dengan perkara-perkara yang baik dan positif, ia akan dengan sendirinya dipenuhi dengan perkara-perkara negatif dan tidak baik.

Jadi, tip kedua ini ialah, dalam usaha anda mengekalkan imej kejayaan dan positif dalam minda anda supaya sentiasa bersemangat, anda perlu bergaul dengan pelajar lain yang juga berfikiran positif dan bersemangat untuk berjaya. Ada Hadith Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, badan kita juga akan berbau harum.


Teknik 3 Jauhi Sahabat Berfikiran Negatif
Sama seperti teknik kedua, jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadab, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.

Apabila saya katakan menjauhkan diri, ia tidak bermaksud anda memutuskan persahabatan dengan sahabat-sahabat anda ini. Ia bermaksud anda perlu kurangkan masa bergaul dengan mereka dan jauhkan dari mengikuti aktiviti-aktiviti mereka yang membuang masa.
Ada satu pepatah Inggeris yang mengatakan bahawa, “Jika anda mahu terbang bersama helang di langit, anda tidak boleh terus mencakar bersama ayam di tanah”.

Selalunya kawan-kawan yang berfikiran negatif akan melemahkan dan menjatuhkan semangat anda. Contohnya, jika anda ceritakan kepada mereka bahawa anda bercita-cita untuk mendapat 8A dalam peperiksaan, mereka mungkin akan ketawa dan berkata bahawa anda tidak mungkin berjaya sebegitu. Ini pasti melemahkan semangat anda.

Kawan-kawan anda yang berfikiran negatif juga selalunya mudah berputus-asa. Mereka tidak mahu berusaha untuk berjaya kerana ia amat sukar dilakukan. Jadi, mereka mula berputus-asa. Apa yang tidak bagus ialah, mereka juga mungkin akan mempengaruhi anda untuk berputus-asa.

Teknik 4 Mulakan dengan api yang kecil
Teknik motivasi diri menjelang peperiksaan yang keempat ialah, mulakan dengan api semangat yang kecil dan biar ia merebak menjadi api semangat yang berkobar-kobar. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut. Ada dua kaedah utama untuk menyalakan api semangat yang kecil ini.
1. Menguasai satu bahagian kecil subjek
2. Mencari faktor atau perkara yang boleh menyalakan api semangat yang kecil itu.

Teknik 5
Lakonkan Watak Kejayaan
Teknik yang kelima in adalah agak penting. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, jika anda hendak mengekalkan motivasi diri, anda perlu mengekalkan imej kejayaan dan imej positif di dalam diri anda. Salah satu cara mudah untuk mencapai perkara ini ialah dengan berlakon. Ya, berlakon!

Apa yang perlu anda buat ialah, apabila anda hendak duduk dan mula belajar, berlakon seolah-olah anda adalah seorang pelajar paling pintar di Malaysia. Apabila hendak berlakon, anda perlu buat betul-betul seperti orang berlakon.

Anda perlu duduk seperti pelajar pintar, anda perlu buat memek muka seperti pelajar pintar, dan bergerak juga seperti pelajar pintar. Bagaimana pelajar pintar lakukan semua itu? Anda cuma perlu bayangkan sahaja kalau seseorang itu pelajar pintar, bagaimana agaknya cara mereka lakukan semua perkara tadi.

Teknik 6 Kurangkan Tekanan Perasaan
Peperiksaan sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan? Letih? Gementar? Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun ini akan berakhir tidak lama lagi?

Merasa gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini boleh menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada sekolah saya yang tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat secara mental dan saya percaya ia disebabkan oleh tekanan menghadapi peperiksaan.

Teknik 7 Doa
Tip ketujuh untuk motivasi diri menjelang peperiksaan adalah teknik yang paling penting dan meliputi semua teknik-teknik yang telah saya berikan. Jangan fikir ini teknik terakhir maka ia tidak penting! Saya letakkan teknik ini di bahagian teknik paling akhir kerana anda perlu faham teknik pertama hingga keenam dahulu sebelum anda boleh kuasai teknik ke tujuh ini. Teknik ini ialah doa yang khusus.

Sekian, saya mendoakan kejayaan kepada semua murid.

AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 03 Ogos 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN, 03/08/2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN

1 Kata alu-aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

2 Terima kasih kepada pengacara majlis, guru bertugas.

3 Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana pada kesempatan ini kita dapat berhimpun pada perhimpunan rasmi ini. Kita perlu bersyukur kerana dalam keadaan pandemik H1N1 semakin hari semakin bertambah bilangan orang dijangkiti bahkan telah lima orang mati kita masih dikurniakan nikmat kesihatan.

4 Oleh itu pada kesempatan ini saya menyeru diri saya, rakan-rakan guru dan semua murid agar sentiasalah kita mengutamakan kesihatan, gaya hidup sihat dan amalan kebersihan pada diri dan persekitaran kita. Sihat bukan sahaja kepada aspek fizikal tetapi juga dari aspek emosi dan rohani.

5 Berkaitan Selesema Babi /H1N1 pn Sharifah telah menyampaikan perkara ini pada beberapa minggu yang lalu. Penyakit ini sangat mudah berjangkit iaitu menerusi pemindahan cecair semasa seseorang pesakit batuk dan bersin. Seterusnya seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan, sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan dengan titisan cecair pesakit.

6 Oleh sebab bilangan yang dijangkiti dan yang mati kerana komplikasi daripada penyakit ini terus bertambah dari hari ke hari. Justeru itu pada perhimpunan ini saya menyeru kepada semua warga sekolah agar menjaga kesihatan diri masing-masing, jauhi dari bersesak-sesak di tempat-tempat awam, hadkan masa berada di luar rumah dengan tujuan bersosial. Sekiranya demam bersegeralah berjumpa doktor dan jangan datang ke sekolah.

7 Pada minggu lalu Pn Pengetua telah memaklumkan kepada kita tentang kedudukan kita yang agak baik dalam Peperiksaan Pertengahan tahun PMR dan SPM. Itu satu petanda baik, teruskan berusaha dan janganlah kita cepat berpuas hati.

8 Sasaran kita masih jauh, PMR 56.02 SPM 84.55%. Sudah tentu masih banyak ruang yang belum diisi dan peluang yang belum direbut. Walaupun secara rank prestasi kita melegakan tetapi ingatlah kita bersaing dengan diri kita, dengan sekolah kita. Walau apa pun keadaan kita mesti bergerak ke hadapan, tak mampu berlari, kita berjalan, kita bertatih, kita merangkak, kita mengesot, dan kalu dah tak boleh nak ke hadapan lagi lemparkan pandangan kita ke hadapan.

9 Saya hendak bertanya beberapa soalan, pertamanya siapa di kalangan murid-murid sekalian sejak di sekolah rendah lagi telah memasang impian atau mempunyai cita-cita terhadap sesuatu kerjaya? Jika ada sila angkat tangan.... Siapakah pula sampai hari ini tak tahu nak jadi apa bila besar nanti ?.....sila angkat tangan!

10 Manusia yang masih bertanya-tanya nak jadi apa bila besar nanti sebenarnya adalah manusia yang tidak mewarisi prinsip manusia cemerlang...anda telah gagal dalam membuat perancangan kerjaya. Manusia yang berjaya tahu apa tujuannya, apa hala tujunya.

11 Untuk berjaya perlu ada sasaran dan matlamat hidup...itulah namanya impian dan cita-cita. Hidup seperti arus jadi kita perlu kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras. Kalau kita perhatikan sungai yang mengalir, apa yang dibawa oleh arusnya...sampah? tunggul kayu? bangkai? najis?....macam-macam dan semuanya tanpa tujuan dan tersangkut di mana-mana seterusnya mencemar alam sekitar.

12 Tetapi kita perhatikan ikan yang berenang-renang di sungai, ikan itu tahu tujuan hidupnya sebab itu dia berenang mencari makanan untuk terus hidup. Ikan hidup di sungai sebab dia ada matlamat. Kalau sunagi tercemar , ikan mati dan jadi bangkai dihanyutkan arus. Jika kita mahu berenang disangai sudah tentu kita tahu apa sasaran kita dan kita boleh kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras tadi. Begitu juga dengan hidup kita mesti ada matlamat atau destinasi yang hendak dituju.

13 Untuk berjaya juga kita perlu menggunakan prinsip orang berjaya jangan ikut resmi orang kebanyakan. Kita perlu sedar siapa orang yang cemerlang dan kita tahu bahawa lebih ramai orang yang kurang cemerlang berbanding orang yang cemerlang. Buktinya kita nak sasarkan 4 orang perfect score dalam PMR dan 2 orang dalam SPM pun masih sukar untuk dicapai.

14 Kita perlu menongkah arus....untuk berjaya, perlu ada semangat yang berterusan kerana itulah tenaga yang diperlukan minda. Kita hanya perlu jadi orang biasa sahaja tetapi usaha dan tindakan kita perlulah luar biasa.

15 Jadikanlah matlamat untuk berjaya dan cemerlang sesuatu yang menghantui kita. Untuk menjadikan sasaran kita berkesan kita mestilah letakkan matlamat kita sesuatu yang hebat dan besar, jadikan orang di sekeliling kita sebagai cabaran. Orang sekeliling kita ramai yang berfikiran negatif. Mereka akan ketawakan kita bila kita membuat kesilapan, mereka mencemburui kita bila kita berjaya... pedulikan mereka.

16 Tulis, baca, ingat, faham sasaran dan bekerja keras ke arah itu. Tulis sasaran kita supaya kita asyik dengan maksyuknya..supaya jaga, tidur dan mimpi kita skripnya sama iaitu cemerlang PMR dan SPM. Jangan lupa kita perlu istiqamah kecemerlangan memerlukan usaha yang berterusan dan bukannya semangat sekali sekala.

17 Akhir sekali pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan bahawa pada hari ini hingga 8 hari bulan sekolah kita akan menjadi tepat pelaksanaan ujian lisan Bahasa Melayu bagi calon SPM ulangan. Semua pelajar diingatkan agar menjauhi Aras 2 blok B. Janganlah bising, dan pelajar dari Aras 2 blok C dan D yang mahu ke perpustakaan dan arah yang sebaliknya sila gunakan Aras 1.

18 Sekian terima kasih .


AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR

Teks Ucapan : Kem Bijak Solat 2009

UCAPAN PADA MAJLIS PENUTUPAN RASMI
KEM BIJAK SOLAT, SMK KULAI BESAR

AHAD,26 JULAI 2009
SURAU IBNU SINA, JALAN MERAK, BANDAR PUTRA

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ اِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ.
وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ.
أَمَّا بَعْدُ، فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ وَأُوصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ
فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

1. Terima Kasih kepada pengacara majlis

2. Yang Berbahagia ............
Yang Berusaha .................
Yang Dihormati ......................

3. Saya mengucapkan penuh kesyukuran kerana dapat meluangkan masa bersama dengan hadirin sekelian , pada majlis yang diberkati pada tempat yang dirahmati iaitu dalam Majlis Penutupan Kem Solat SMK Kulai Besar pada pagi ini. Saya menyampaikan salam daripada Tuan Pengetua Hjh. Zubaidah binti Endot yang tidak dapat hadir bersama hadirin pada hari ini.

4. Sidang hadirin yang berbahagia.Pada kesempatan ini saya merakamkan penghargaan kepada En Mohd Azam bin Anuar yang sudi meluangkan masa untuk hadir pada pagi ini. Saya mengucapkan terima kasih kepada AJK Ahli Khariah Surau Ibn Sina, yang telah memberi sumbangan sehingga kita berpeluang sekali mengadakan Kem Solat ini. Kali pertama kita laksanakan pada 25 Mac 2007. Saya juga mengucapkan terima kasih kepada para fasilitator yang pada pandangan saya telah berjaya melaksanakan program ini dengan usha yang penuh dedikasi dan pengisan modul yang amat berkesan.

5. Sesungguhnya program ini adalah satu usaha yang amat murni dan mulia. Oleh itu semua peserta kem perlulah bersyukur kerana dari seramai lebih 800 murid Islam hanya anda yang terpilih untuk mengikuti kem ini. Oleh itu segala pengisian program yang telah diberi perlulah dijadikan sebagai pegangan hidup dan pedoman untuk tidak melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan agama dan berazamlah untuk mendisiplinkan diri dalam melaksankan ibadah solat.

6. Semua murid yang dikashi sekalian, saya berkesempatan untuk mengikuti beberapa sesi dalam kem ini, dan saya mengetahui ada di kalangan murid yang telah jauh tegelincir dari landasan kehidupan sebagai muslim. Saya berharap kepada murid yang telah membuat pengakuan pada sesi muhasabah diri...bertaubatlah, menyesali dan azam tidak mengulangi. Kegagalan seseorang itu bukanlah kerana dosa yang dilakukannya tetapi kegagalan yang sebenar ialah apabila tidak insaf dan berusaha untuk memperbaiki diri setalah melakukan dosa/ kesalahan

7. Hidup ini adalah satu matematik; Ada perkara yang perlu kita tambah, ditolak, didarab dan dibahagi. Perkara yang perlu ditambah ialah ilmu, amalan dan ibdadah sesuai dengan tuntutan agama. Perkara yang perlu dikurangkan ialah kelemahan-kelamahan kita, sifat malas suka kepada hiburan, lalai dan bersantai-santai dengan mengabaikan tanggjawab kita sebagai rakan, anak, murid. Perkara yang perlu dibahagi ialah masa. Dalam sehari 24 jam kita sepatutnya menggunakan mengikut kesesuaian usia. Sebagai seorang remaja anda perlulah bijak membahagi masa untuk beribadat, belajar, bermain, berehat, beristirahat hendaklah diseimbangkan. Perkara yang melekakan seperti bersosial apatahlagi bermaksiat perlu dihindarkan. Akhir sekali perkara yang perlu didarab ialah usaha dan tindakan kita khususnya untuk berubah kepada insan yang lebih baik. Ilmu dan amal tanpa usaha = 0

8. Sebagai seorang insan kita perlu sedar bahawa wujud tiga entiti pada manusia yang memerlukan keperluan yang berbeza-beza iaitu Fizikal, Akal dan Roh. Dalam aspek fizikal keperluan timbul untuk makan apabila kita lapar, tidur apabila mengantuk, tidur apabila mengantuk. Bagi entiti akal kita perlukan ilmu apabila kita merasakan kita tidak tahu dalam kebanyakan perkara. Kita perlu cari ilmu, membaca, belajar, bertanya. Akhir sekali roh keperluan untuk iman, amal dan ehsan terangkum dalam ibadat khusus atau am.

9. Sidang hadirin sekelian, pada kesempatan ini sekali lagi saya merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Jawatankuasa Surau Ibnu Sina yang telah membiayai Kem Solat ini. Terima kasih juga saya ucapkan kepada para fasilitator yang sudi melapangkan masa untuk menjayakan program ini. Syabas tahniah dan terima kasih kepada AJK program dan guru-guru yang telah bertugas sepanjang kem ini. Semoga Allah sahaja yang akan membalas segala pengorbanan semua pihak.

10. Tidak lupa kepada anak-anak sekelian, syabas dan tahniah kerana selama 3 hari 2 malam ini anda telah berjaya mengikuti Kem Ini, satu pengalaman yang amat berharga untuk dibawa pulang sebagai bekal untuk menjadi seorang muslim yang bertaqwa.

11. Sekian terima kasih.



AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAIJAYA, JOHOR.

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 05 Julai 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN, 05 JULAI 2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN

1 Kata-kata aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

2 Terima kasih kepada pengacara majlis dan guru bertugas yang telah menyampaikan laporan tugasan.

3 Laporan, pesanan, peringatan dan nasihat yang diberi bertali arus oleh guru-guru adalah satu isyarat keprihatinan guru-guru dalam usaha menjadikan sekolah sebagai agen perubahan sosial, mendidik bukan setakat mengajar.

4 Sepanjang minggu lalu sekolah sebuk dengan pelbagai program dan aktiviti yang membabitkan pelajar dan guru. Syabas dan tahniah kepada pelajar tingkatan 3 yang telah berjaya mengikuti program Kem Motivasi dan Kecemerlangan PMR.

5 Begitu juga dengan murid-murid tingkatan 5 yang telah dengan jayanya mengikuti Kem Akademik SPM. Semoga momentum yang telah dicetuskan dalam kedua-dua kem tersebut akan bergerak terus menembusi segala tembok dan rintangan yang boleh menjadi penghalang kepada lonjakan yang kita harapkan dalam PMR dan SPM nanti.

6 Bagi calon-calon PMR diharapkan dapat bersedia kerana selepas ini Kem Akademik : Pecutan Akhir PMR akan dijalankan oleh pihak sekolah. Pada program itu nanti semua murid tingkatan 3 perlu menjelaskan sedikit bayaran bagi menampung sebahagian kos program. Saya berharap semua murid tingkatan 3 akan turut serta dalam kem Akademik itu nanti kerana modul yang akan digunakan adalah modul soalan peperiksaan aras PMR.

7 Pada kesempatan ini saya mengucapkan terima kasih kepada penolong-penolong kanan, guru kanan, dan guru-guru yang telah hadir bertugas bagi menjayakan semua program yang dijalankan pada minggu lalu. Semoga Allah jualah yang akan membalas jasa dan budi dengan memberikan limpahan rezeki...umur yang panjang, tubuh badan yang sihat agar semuanya dapat dimanfaatkan sebagai satu ibadah dan untuk berbakti kepada masyarakat.

8 Rakan-rakan guru dan warga SMKKB sekalian, pada kesempatan ini saya ingin memberi peringatan tentang peri pentingnya kita sedar bahawa kita sedang berhadapan dengan Pandemik Selesema Babi, Influenza A H1N1. Sedikit maklumat berkaitan wabak ini, ia mula dikesan di Mexico dan sehingga kini jumlah pesakit direkodkan oleh WHO ialah seramai 89,921 orang membabitkan 382 kematian, melibatkan 125 negara, termasuklah Malaysia.

9 Penyakit ini sangat mudah berjangkit iaitu menerusi pemindahan cecair semasa seseorang pesakit batuk dan bersin. Seterusnya seseorang akan dijangkiti sama ada melalui pernafasan, sentuhan dengan tangan pesakit atau menyentuh permukaan-permukaan dengan titisan cecair pesakit.

10 Bilangan yang dijangkiti dan yang mati kerana komplikasi daripada penyakit ini terus bertambah dari hari ke hari. Justeru itu pada perhimpunan ini saya menyeru kepada semua warga sekolah agar menjaga kesihatan diri masing-masing, jauhi dari bersesak-sesak di tempat-tempat awam, hadkan masa berada di luar rumah dengan tujuan bersosial.

11 Amalkan gaya hidup sihat dengan membuang tisu dalam tong sampah dan bersegera membasuh tangan. Keraplah mencuci tangan dengan menggunakan sabun. Sekiranya anda demam dan selesema pakailah topeng pernafasan bagi mengurungkan risiko jangkitan.
12 Anda juga perlu peka dengan keadaan persekitaran dan mengikuti perkembangan semasa di media. Sekiranya anda demam dan menghidapi gejala batuk, sakit tekak, sukar bernafas dan sakit kepala segeralah berjumpa doktor dan maklumkan kepada pihak sekolah.

13 Selain itu pastikan pada setiap masa kawasan bilik darjah dan persekitaran sekolah hendaklah bersih kerana persekitaran yang bersih bukan sahaja memberi keselesaan kepada kita bahkan menghindarkan ancaman nyamuk seperti aedes yang menyebabkan penyakit denggi.

14 Jadikanlah kesihatan kita keutamaan kita. Keselamatan diri adalah tanggungjawab diri sendiri. Oleh itu jangan biarkan diri anda dijaga oleh orang lain iaitu dijaga oleh jururawat di hospital. Perkara ini boleh berlaku apabila anda tidak menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

15 Saya juga mendapati ada dalam kalangan murid yang ke sekolah menaiki kenderaan sendiri sama ada berkereta atau motosikal. Kepada penunggang motosikal patuhilah peraturan jalan raya, pakailah topi keledar, pastikan motosikal selamat untuk ditunggangi di samping lengkap dari segi dokumen pelesenan.


16 Kepada murid yang membawa kenderaan sendiri pastikan anda benar benar mempunyai lesen memandu. Anda juga diingatkan bahawa anda sama sekali tidak dibenarkan meletakkan kereta anda dalam kawasan sekolah. Sila letakkan kenderaan anda di luar dan anda perlu ingat bahawa sebarang kehilangan dan kerosakan harta benda anda di luar itu adalah tanggungjawab anda sendiri.

17 Berkaitan dengan peperiksaan, anda baharu sahaja selesai menduduki peperiksaan pertengahan tahun. Anda pastinya telah tahu di mana tahap anda. Oleh itu buatlah penambahbaikan agar prestasi menepati ETR yang disasarkan.


18 Pihak sekolah telah pun melaksanakan hari terbuka dan kepada pelajar yang ibu bapanya telah hadir untuk mengambil keputusan peperiksaan anda pada hari terbuka tersebut, saya mengucapkan syabas dan terima kasih. Kehadiran ibu bapa atau penjaga anda adalah tanda bahawa mereka adalah ibu bapa yang prihatin terhadap kemajuan anda.

19 Bagi ibu bapa yang tidak hadir sudah tentu 1001 alasan akan diberi, pihak sekolah berharap semoga pada hari terbuka yang akan datang pujuklah mereka supaya hadir. Hari terbukalah ruang yang terbaik untuk ibu bapa mengetahui perkembangan pelajaran dan disiplin anak-anak supaya maklumat yang diberikan dan diterima oleh pihak guru dapat dijadikan asas untuk kita berubah kepada satu tahap yang lebih baik.

20 Saya hendak bertanya beberapa soalan, pertamanya siapa di kalangan murid-murid sekalian sejak di sekolah rendah lagi telah memasang impian atau mempunyai cita-cita terhadap sesuatu kerjaya? Jika ada sila angkat tangan.... Siapakah pula sampai hari ini tak tahu nak jadi apa bila besar nanti ?.....sila angkat tangan!

21 Manusia yang masih bertanya-tanya nak jadi apa bila besar nanti sebenarnya adalah manusia yang tidak mewarisi prinsip manusia cemerlang...anda telah gagal dalam membuat perancangan kerjaya. Manusia yang berjaya tahu apa tujuannya, apa hala tujunya.

22 Untuk berjaya perlu ada sasaran dan matlamat hidup...itulah namanya impian dan cita-cita. Hidup seperti arus jadi kita perlu kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras. Kalau kita perhatikan sungai yang mengalir, apa yang dibawa oleh arusnya...sampah? tunggul kayu? bangkai? najis?....macam-macam dan semuanya tanpa tujuan dan tersangkut di mana-mana seterusnya mencemar alam sekitar.

23 Tetapi kita perhatikan ikan yang berenang-renang di sungai, ikan itu tahu tujuan hidupnya sebab itu dia berenang mencari makanan untuk terus hidup. Ikan hidup di sungai sebab dia ada matlamat. Kalau sungai tercemar , ikan mati dan jadi bangkai dihanyutkan arus. Jika kita mahu berenang di sungai sudah tentu kita tahu apa sasaran kita dan kita boleh kawal diri kita supaya tidak dihanyutkan oleh arus yang deras tadi. Begitu juga dengan hidup kita mesti ada matlamat atau destinasi yang hendak dituju.

24 Untuk berjaya juga kita perlu menggunakan prinsip orang berjaya jangan ikut resmi orang kebanyakan. Kita perlu sedar siapa orang yang cemerlang dan kita tahu bahawa lebih ramai orang yang kurang cemerlang berbanding orang yang cemerlang. Buktinya kita nak sasarkan 4 orang perfect score dalam PMR dan 2 orang dalam SPM pun masih sukar untuk dicapai.

25 Kita perlu menongkah arus....untuk berjaya, perlu ada semangat yang berterusan kerana itulah tenaga yang diperlukan minda. Kita hanya perlu jadi orang biasa sahaja tetapi usaha dan tindakan kita perlulah luar biasa.

26 Jadikanlah matlamat untuk berjaya dan cemerlang sesuatu yang menghantui kita. Untuk menjadikan sasaran kita berkesan kita mestilah letakkan matlamat kita sesuatu yang hebat dan besar, jadikan orang di sekeliling kita sebagai cabaran. Orang sekeliling kita ramai yang berfikiran negatif. Mereka akan ketawakan kita bila kita membuat kesilapan, mereka menceburi kita bila kita berjaya... pedulikan mereka.

27 Tulis, baca, ingat, faham sasaran dan bekerja keras ke arah itu. Tulis sasaran kita supaya kita asyik dengan maksyuknya..supaya jaga, tidur dan mimpi kita skripnya sama iaitu cemerlang PMR dan SPM. Jangan lupa kita perlu istiqamah kecemerlangan memerlukan usaha yang berterusan dan bukannya semangat sekali sekala.

28 Akhir sekali pada kesempatan ini saya ingin memaklumkan bahawa pada hari ini hingga 8 hari bulan sekolah kita akan menjadi tepat pelaksanaan ujian lisan Bahasa Melayu bagi calon SPM ulangan. Semua pelajar diingatkan agar menjauhi Aras 2 blok B. Janganlah bising, dan pelajar dari Aras 2 blok C dan D yang mahu ke perpustakaan dan arah yang sebaliknya sila gunakan Aras 1.

29 Sekian terima kasih.

AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAIJAYA.

Teks Ucapan : Kem Jati Diri PMR 2009

UCAPAN PADA MAJLIS PERASMIAN
KEM JATI DIRI DAN KECEMERLANGAN PMR 2009
ANJURAN YPM DENGAN KERJASAMA SMKKB

SABTU, 4 JULAI 2009
SMK KULAI BESAR, KULAIJAYA, JOHOR

أَشْهَدُ أَنْ لاَّ اِلهَ إِلاَّ اللهُ وَحْدَهُ لاَ شَرِيْكَ لَهُ. وَأَشْهَدُ أَنَّ سَيِّدَنَا مُحَمَّدًا عَبْدُهُ وَرَسُوْلُهُ
اَللَّهُمَّ صَلِّ عَلَى سَيِّدِنَا مُحَمَّدٍ وَعَلَى آلِهِ وَأَصْحَابِهِ أَجْمَعِيْنَ. أَمَّا بَعْدُ،
فَيَا عِبَادَ اللهِ، اِتَّقُوا اللهَ وَأُوصِيكُمْ وَنَفْسِي بِتَقْوَى اللهِ فَقَدْ فَازَ الْمُتَّقُونَ.

1. Terima Kasih kepada pengacara majlis

2. Yang Berbahagia ................................
Yang Berusaha ........................................
Yang Dihormati ........................................

3. Saya mengucapkan penuh kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana pada kesempatan ini dapat meluangkan masa bersama dengan hadirin sekelian pada pada program Kem Jati Diri dan Kecemerlangan PMR 2009 SMK Kulai Besar.

4. Sidang hadrin yang berbahagia, program yang dilaksanakan pada hari ini adalah satu peluang terbaik dalam usaha pihak sekolah memperkasakan diri dan mempersiapkan murid untuk menduduki peperiksaan PMR yang semakin hampir.

5. Pihak sekolah merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak YPM yang sudi membiayai kos progam ini. Terima kasih kepada Arus Services and Management yang telah memberi bantuan teknikal dan kepakaran dalam memastikan program ini dapat dirancang dan diuruskan dengan berkesan sehingga dapat direalisasikan pada hari ini.

6. Untuk makluman pihak YPM dan hadirin sekalian .......... seramai 301 calon telah mendaftar untuk PMR pada tahun ini. Dari jumlah ini seramai 170 calon adalah pelajar Melayu Islam. Menyedari bahawa program ini sebagai satu peluang dan salah satu dari ramuan yang boleh dijadikan resepi untuk mencapai sasaran sekolah pencapaian 56.15 peratus dalam PMR, maka pihak sekolah menerusi UBK telah telah membuat promosi, kempen dan pujukan agar murid SMKKB turut serta dalam program ini.

7. Alhamdullilah, kesedaran untuk berjaya dan semangat untuk cemerlang ternyata merah membara di kalangan warga SMKKB sehinggakan permintaan pelajar melebihi tempat yang ditawarkan. Pada hari seramai 120 orang pelajar telah menyahut seruan dan cabaran untuk hadir. Jumlah ini sebenarnya adalah melebihi dari jumlah yang ditetapkan oleh YPM iaitu 100 pelajar sahaja. Pihak sekolah berharap pihak YPM dapat menapung pertambahan ini. Namun sekiranya jika tiada sumber kos untuk diserap maka pihak sekolah akan berusaha untuk mendapatkan sumber pembiayaan lain.

8. Sebagai makluman bersama sidang hadirin sekalian dalam memastikan pencapaian murid dalam pepriksaan PMR dan SPM pihak sekolah dengan kerjasama PIBG telah melakukan pelbagai program sama ada berbentuk akademik di dalam sekolah mahupun di luar sekolah. Antara program yang telah dilaksankan ialah;

1) Program Melindungi Waktu Instruksional. Semua mesyuarat dan program guru akan diadakan pada waktu luar pengajaran dan pembelajaran.
2) Program memperkasakan BM
3) Program Pembelajaran Berfokus
4) Pembudayaan Headcount
5) Penyeliaan pengajaran guru 2 kali setahun
6) Program HIKMAH
7) Kelas Tambahan PIBG
8) Program GPMS
9) Seminar Kecemerlangan
10) Kem Akademik (PMR dan SPM)
11) Kem Jati Diri (Hardcore)
12) Kem jadi Diri dan Kecemerlangan PMR (PMR)
13) Anugerah dan Kecemerlangan Murid 2009

9. Kepada anak-anak SMKKB sekalian, hargailah sumbangan YPM, rebutlah peluang dan kesempatan ini....ikutilah program ini dengan semangat untuk berubah, tunjukkanlah disiplin dan tingkahlaku yang terbaik, berkerjasamalah dengan fasilitator dalam melakukan semua aktiviti yang telah diaturkan untuk anda.

10. Sebagai mengakhiri ucapan saya pada pagi ini , sekali lagi saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pihak YPM dan ....... . Terima kasih kepada AJK program, fasilitator, tuan-tuan dan puan-puan selaku ibu, bapa penjaga yang telah memberi pelepasan kepada anak-anak / anak jagaan tuan-puan dalam mengikuti program ini.

11. Saya berharap program ini dapat mencapai matlamat dan objektif yang dihasratkan seterusnya dapat menjadi landasan yang kukuh dalam menuju visi sekolah "SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG" dan misi sekolah " MEMBANGUN POTENSI INDIVIDU MENERUSI PENDIDIKAN BERKUALITI"

12. Sekian terima kasih.

AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR,
KULAIJAYA