Saturday, September 11, 2010

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 05 September 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN, 05/09/2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

1 Assalamualaikum wkt dan salam Sejahtera, Salam Perpaduan Salam Satu Malaysia dan Salam Raya

2 Kata alu-aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

3 Terima kasih kepada pengacara majlis, guru bertugas.

4 Saya amat bersyukur kerana kita dapat bertemu dalam perhimpunan rasmi pada pagi ini. Mungkin masih belum lewat untuk saya mewakili rakan-rakan guru untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua murid yang beragama Islam.

5 Semoga hari raya tahun ini memberikan makna yang lebih istimewa kerana kita semakin matang dan semakin kaya pengalaman. Ramadan yang berlalu itu sepatutnya telah mengenalkan kita erti kasih sayang, kesabaran, kejujuran, sikap merendah diri, saling bertoleransi dan telah pula meningkatkan keimanan masing-masing mengikut kadar amalan yang telah dilakukan.

6 Pengajaran Ramadan itu perlu kita hidupkan dalam diri agar menjadikan diri kita lebih mengerti makna kehidupan dan persekitaran. Begitu juga dengan hari raya yang disambut dengan pelbagai kaedah dan pendekatan tetapi memberi makna kejayaan yang gemilang kerana kita telah melalui ujian diri yang hanya Tuhan sahaja yang mengetahui darjah pencapaiannya.

7 Pada hari Sabtu yang lepas saya berkesempatan menghadiri Seminar Kajian Tindakan Daerah Kulai. Pada seminar tersebut saya telah bertemu dengan bekas rakan sejawat yang satu ketika dahulu bertugas sebagi guru biasa di salah sebuah sekolah menengah di Johor, tetapi kini beliau telah menjadi seorang Guru Cemerlang. Ketika kami sedang leka berbual telefonnya berdering....dan rakan saya menjawab panggilan tersebut, maka berlakulah sesi perbualan dalam bahasa yang saya tidak fahami.....bahasa Tamil. Selesai mereka berbual saya tanya apa topik yang dibualkannya, maka beliau telah bercerita bahawa yang menelefonnya tadi ialah rakan sepermainan semasa zaman kanak-kanak dan zaman persekolahan yang kini telah bertugas sebagai Kapten Juruterbang SIA. Mereka bersahabat semasa kecil, membesar di sebuah ladang terpencil di daerah Kulai, bersekolah di sekolah biasa di Kulai, dan masing-masing mendapat kelulusan SPM dan STPM. Seorang memilih kerjaya guru dan seorang belajar di politeknik di Singapura. Beliau memberitahu bahawa semasa di bangku sekolah dahulu beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap enjin motor dan kereta dan mampu membuka dan memasang enjin sejak di bangku sekolah lagi. Kini bekerja di Singapura dengan pendapatan 10,000.00 dollar Singapura sebulan. Sementara abang rakannya itu pula telah melanjutkan pelajaran ke Amerika dan bekerja di Amerika sebagai penganalisis komputer dengan pendapatan yang jauh lebih Tinggi.

8 Cerita ini saya kongsi dengan anda semua dengan satu tujuan supaya aura kejayaan tiga individu ini meresap pada diri anda...Kejayaan seorang guru cemerlang, Kapten Juruterbang SIA, dan penganalisis Komputer adalah selingkar kisah daripada pelbagai kisah lain yang memaparkan betapa dengan sikap dan usaha yang betul kita boleh mengubah nasib kita, keluarga dan bangsa kita. Kejayaan tidak mengenal status anda...anak penoreh getah, anak peneroka, tukang sapu, pemandu bas atau sesiapa sahaja. Kejayaan hanya kenal satu sahaja iaitu kemahuan, usaha dan tawakal.

9 Kejayaan individu yang telah berjaya perlu anda jadikan sebagai ikon kehidupan, penanda aras, dan jejaki liku-liku kehidupan mereka biar tersingkap segala rahsia di sebalik kegemilangan yang mereka peroleh. Sebenarnya dalam kalangan 1600 murid di SMKKB ini, pada firasat saya sebahagiannya telah mempunyai kekuatan dan kualiti peribadi tertentu yang menunggu masa untuk digilap agar menjadi individu yang cemerlang.

10 Percayalah bahawa anda boleh melakukan perubahan pada diri, selagi anda katakan bahawa anda boleh melakukannya. Kecemerlangan akademik seperti pencapaian perfect score bukanlah prasyarat kecemerlangan tetap ia berkaitan dengan sikap anda. Sikap terhadap diri dan keluarga, sikap terhadap guru-guru dan rakan-rakan, dan sikap anda terhadap pelajaran. Selagi anda mempunyai sikap yang positif ia umpama benih yang baik dan subur, dicampak di laut menjadi pulau, di campak di daratan menjadi belantara, dicampak ke busut menjadi gunung.

11 Sebagai perbandingan pada minggu lepas saya menemui 1 murid biadab terhadap guru, 3 murid yang cuba ponteng sekolah, 7 murid yang ponteng kelas dan bersusun-susun murid sedang menunggu untuk di soal siasat dengan pelbagai kesalahan disiplin di bilik disiplin. Pelanggaran disiplin sekolah adalah satu petanda sikap anda sedang dalam bermasalah.

12 Jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadab, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.

13 Sebab itulah saya kerap menegur sekumpulan murid yang suka duduk di tembok pintu masuk sekolah semasa saya datang pada waktu pagi, kerana kelakuan itu adalah ikon kaki lepak, mat tembok kalau perempuan; minah tembok, seolah-olah menjual muka dan memperagakan diri seperti menjual sayur layu yang tak laku. Amat sedih lagi apabila ada dalam kalangan murid perempuan yang suka bergurau, bertepuk bertampar dengan murid lelaki tanpa perasaan segan silu. Sifat ini yang memaparkan ikon bagi perempuan seperti dalam novel Iakah Salamah? dan Salina....iaitu ikon perempuan yang tidak bermaruah. Rambut berwarna, rambut berfesyen, pakaian selekeh, pakai seluar londeh, dan pelbagai lagi imej negatif dalam penampilan diri sesetengah murid adalah ikon individu yang berserabut, penagih dadah, along, samseng, bohsia dan bohjan. Nak berjaya kita kena ikut orang yang berjaya.

14 Saya berharap agar semua murid membuat penjajaran diri semula, membuat pertimbangan dan muhasabah diri untuk mengetahui di mana titik anda berada sekarang. Persimpangan jalan manakah yang hendak anda pilih. Saya sekadar boleh menasihati, memberi pandangan, memberikan teguran dan barangkali tindakan disiplin. Namun perubahan sebenarnya tetap berada pada pilihan diri anda sendiri. Berdoalah supaya anda diberi kekuatan untuk meninggalkan segala kelemahan dan kekurangan serta mohonlah agar dikurniakan petunjuk untuk menjalani kehidupan pada jalan yang lurus.

15 Sekian terima kasih .

AZMAN BIN SAFII

No comments:

Artikel Popular