Saturday, September 11, 2010

Teks Ucapan : Program Restu PMR 2009

UCAPAN PROGRAM RESTU PMR 2009
SMK KULAI BESAR

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

Menjelang peperiksaan, bermacam perasaan akan bermain di dalam diri anda. Kadang-kadang anda rasa berdebar, kadang-kadang pula anda rasa gembira kerana penantian anda selama ini akan berakhir. Walau apa pun yang anda rasakan, anda perlu sentiasa menaikkan tahap motivasi anda untuk menghadapi peperiksaan.

Di dalam buku ini saya akan bincangkan 7 teknik untuk memotivasikan diri anda sendiri menjelang peperiksaan.

Teknik 1: Kekalkan Imej Kejayaan
Teknik utama yang saya ingin sampaikan ialah jika anda mahu mengekalkan semangat yang membara dalam diri anda untuk berjaya, anda mesti mengekalkan imej kejayaan di dalam minda anda. Seperti yang anda tahu, minda anda hanya boleh fokus kepada satu perkara sahaja pada satu masa. (There could be only one dominant thought at one time).

Jadi, mulai hari ini, fikirkan, apakah imej kejayaan yang anda ingin isi dalam minda anda? Mungkin anda boleh bayangkan imej kejayaan ketika mengambil keputusan peperiksaan. Mungkin juga anda boleh pergi jauh lagi dengan membayangkan imej kejayaan ketika anda sudah memasuki alam pekerjaan.

Untuk pengetahuan anda juga, imej kejayaan di masa akan datang tidak semestinya menjadi seorang ahli korporat. Anda boleh jadi apa sahaja. Cuma, walau apa-apa pun kerjaya yang anda pilih, pilih untuk jadi profesional, maksudnya, jadi yang terbaik.

Jadi, latihan untuk hari ini, fikirkan apa imej yang anda ingin kekalkan di dalam minda anda untuk terus rasa bersemangat. Ingat, jika anda tidak memilih untuk mengisi minda anda dengan imej yang memberikan semangat, ia akan diisi dengan imej yang akan menjatuhkan anda.

Teknik 2 Dekati Sahabat Berfikiran Positif
Mengekalkan imej yang positif atau imej kejayaan selalunya adalah sesuatu yang sukar. Terlalu banyak perkara negatif di sekeliling anda yang boleh mempengaruhi apa yang anda fikirkan. Pada pendapat anda, secara umum, minda pelajar lebih mudah diisi dengan unsur-unsur negatif atau positif……..????

Jawapannya tentulah unsur negatif. Ini kerana, anda perlu berusaha secara sedar untuk meletakkan unsur positif dalam minda anda. Jika anda tidak ada usaha untuk itu, secara automatik, unsur negatif akan memenuhi minda anda. Ada pepatah yang mengatakan bahawa, minda adalah umpama sebuah taman. Jika taman itu tidak ditanam dengan pokok-pokok bunga, lalang dengan sendirinya akan tumbuh.

Begitu juga dengan minda anda. Jika anda tidak berusaha memenuhkan minda anda dengan perkara-perkara yang baik dan positif, ia akan dengan sendirinya dipenuhi dengan perkara-perkara negatif dan tidak baik.

Jadi, tip kedua ini ialah, dalam usaha anda mengekalkan imej kejayaan dan positif dalam minda anda supaya sentiasa bersemangat, anda perlu bergaul dengan pelajar lain yang juga berfikiran positif dan bersemangat untuk berjaya. Ada Hadith Rasulullah S.A.W. yang mengatakan bahawa kalau kita berkawan dengan penjual minyak wangi, badan kita juga akan berbau harum.


Teknik 3 Jauhi Sahabat Berfikiran Negatif
Sama seperti teknik kedua, jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadab, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.

Apabila saya katakan menjauhkan diri, ia tidak bermaksud anda memutuskan persahabatan dengan sahabat-sahabat anda ini. Ia bermaksud anda perlu kurangkan masa bergaul dengan mereka dan jauhkan dari mengikuti aktiviti-aktiviti mereka yang membuang masa.
Ada satu pepatah Inggeris yang mengatakan bahawa, “Jika anda mahu terbang bersama helang di langit, anda tidak boleh terus mencakar bersama ayam di tanah”.

Selalunya kawan-kawan yang berfikiran negatif akan melemahkan dan menjatuhkan semangat anda. Contohnya, jika anda ceritakan kepada mereka bahawa anda bercita-cita untuk mendapat 8A dalam peperiksaan, mereka mungkin akan ketawa dan berkata bahawa anda tidak mungkin berjaya sebegitu. Ini pasti melemahkan semangat anda.

Kawan-kawan anda yang berfikiran negatif juga selalunya mudah berputus-asa. Mereka tidak mahu berusaha untuk berjaya kerana ia amat sukar dilakukan. Jadi, mereka mula berputus-asa. Apa yang tidak bagus ialah, mereka juga mungkin akan mempengaruhi anda untuk berputus-asa.

Teknik 4 Mulakan dengan api yang kecil
Teknik motivasi diri menjelang peperiksaan yang keempat ialah, mulakan dengan api semangat yang kecil dan biar ia merebak menjadi api semangat yang berkobar-kobar. Biar saya terangkan dengan lebih lanjut. Ada dua kaedah utama untuk menyalakan api semangat yang kecil ini.
1. Menguasai satu bahagian kecil subjek
2. Mencari faktor atau perkara yang boleh menyalakan api semangat yang kecil itu.

Teknik 5
Lakonkan Watak Kejayaan
Teknik yang kelima in adalah agak penting. Seperti yang telah saya terangkan sebelum ini, jika anda hendak mengekalkan motivasi diri, anda perlu mengekalkan imej kejayaan dan imej positif di dalam diri anda. Salah satu cara mudah untuk mencapai perkara ini ialah dengan berlakon. Ya, berlakon!

Apa yang perlu anda buat ialah, apabila anda hendak duduk dan mula belajar, berlakon seolah-olah anda adalah seorang pelajar paling pintar di Malaysia. Apabila hendak berlakon, anda perlu buat betul-betul seperti orang berlakon.

Anda perlu duduk seperti pelajar pintar, anda perlu buat memek muka seperti pelajar pintar, dan bergerak juga seperti pelajar pintar. Bagaimana pelajar pintar lakukan semua itu? Anda cuma perlu bayangkan sahaja kalau seseorang itu pelajar pintar, bagaimana agaknya cara mereka lakukan semua perkara tadi.

Teknik 6 Kurangkan Tekanan Perasaan
Peperiksaan sudah semakin hampir. Bagaimanakah perasaan anda? Tertekan? Letih? Gementar? Atau anda rasa gembira kerana debaran sepanjang tahun ini akan berakhir tidak lama lagi?

Merasa gementar atau tertekan adalah perkara biasa. Namun perkara biasa ini boleh menjadi luar biasa jika anda tidak boleh mengawalnya. Sewaktu saya mengambil peperiksaan SPM pada tahun 1993, ada dua pelajar daripada sekolah saya yang tidak dapat mengambil peperiksaan. Mereka tidak sihat secara mental dan saya percaya ia disebabkan oleh tekanan menghadapi peperiksaan.

Teknik 7 Doa
Tip ketujuh untuk motivasi diri menjelang peperiksaan adalah teknik yang paling penting dan meliputi semua teknik-teknik yang telah saya berikan. Jangan fikir ini teknik terakhir maka ia tidak penting! Saya letakkan teknik ini di bahagian teknik paling akhir kerana anda perlu faham teknik pertama hingga keenam dahulu sebelum anda boleh kuasai teknik ke tujuh ini. Teknik ini ialah doa yang khusus.

Sekian, saya mendoakan kejayaan kepada semua murid.

AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR

No comments:

Artikel Popular