Friday, October 29, 2010

Air Untuk Sihat, Air Untuk Rawat, Air Untuk Hayat

"You're not sick; you're thirsty. Don't treat thirst with medication."
Dr. F. Batmanghelidj

Kehidupan kita dan planet di mana kita berpijak, lebih 70% daripada komposisinya adalah air. Sebahagian besar air yang terdapat dipermukaan bumi pula,  iaitu 98% adalah air masin. Hanya 2% daripada kandungan air di bumi merupakan air bersih yang boleh diminum. Sebahagian besar air bersih ini pula terperangkap dalam bentuk glasier beku.

Kita bukan sahaja dikenali daripada apa yang kita makan, tetapi juga daripada apa yang kita minum. Hal ini menjelaskan betapa air bersih sangat penting kepada kesihatan kita. Air adalah asas kepada semua kehidupan dan ini termasuklah tubuh badan kita.

Otot yang menggerakkan tubuh kita adalah 75% air; darah yang mengalir dan membawa zat makanan 82% adalah air; paru-paru yang menyalurkan oksigen keseluruh badan komposisinya adalah 90% air; otak yang mengawal keseluruhan tubuh badan kita 76% adalah air; malahan tulang kita 25% komposisinya adalah air.

Air bukan sekadar untuk menghilangkan dahaga tetapi air juga mempunyai kaitan terus dengan kesihatan. Kesihatan kita sangat bergantung kepada kualiti dan kuantiti air yang kita minum. Atas alasan inilah maka kita disarankan membudayakan "air untuk sihat, air untuk rawat dan air untuk hayat". Kita boleh mengubah cara kita minum dengan meminum air yang tulen dan semulajadi, yang bukan sahaja bagus kepada kesihatan tetapi juga alam sekitar.

Tiada keajiban, hanya perkara biasa berdasarkan kepada penemuan hasil kajian bertahun-tahun oleh Dr. F. Batmaghelidj. Beliau telah mengkaji bagaimana air dapat memberi kesan terhadap pengekalan tahap kesihatan dan kebebasan seseorang daripada penyakit. Dapatan kajiannya membuktikan air juga boleh menjadi penyembuh kepada individu yang sakit.

Sebagai saranan, seorang rakan telah memaklumkan kepada saya bahawa kita perlu minum air mengikut berat badan. Jika berat badan 80 Kg maka perkiraan keperluan air kita adalah seperti sifir di bawah;

1) 80 kg tukar ke Paun ==> 80 x 2.205 = 175.4 lb
2) 175.4 lb bahagi 2 = 88.2
3) Air yg perlu diminum dlm sehari semalam adalah 88.2 aun (oz)
4) 88.2 oz ==> L , 88.2 /35.2 = 2.5 Liter

Minum air bersih yang mencukupi keperluan tubuh, menjadi alat untuk kesihatan yang mantap, terhindar dari penyakit kronik serta meningkatkan IQ terutama untuk pelajar. Air juga menjadi asbab untuk menyembuhkan pelbagai penyakit, namun pada hakikatnya Allah jualah yang mendatangkan dan menyembuhkan penyakit.

Sila rujuk http://www.watercure.com/ untuk eksplorasi tentang manfaat air lebih lanjut.

Catatan ini ditulis hasil dari pembacaan saya terhadap satu artikel dalam blog The Water Cure.

Kisah Arnab Dengan Kura-Kura – Bahagian 3

Kemenangan Arnab pada siri perlumbaan kali kedua telah menceriakan kem arnab. Perlumbaan yang satu ketika dahulu hanyalah kerana cabaran yang bersifat lokal....kini bertukar menjadi global.

Semua warga rimba mengambil tahu dan kura-kura yang selama ini tidak peduli tentang tahap kelajuan mereka, kini mula mencongak peluang, bagaimana mahu mengulangi sejarah mengalahkan arnab.

Cita-cita besar kura-kura kali ini membawa kepada perlumbaan siri yang ketiga. Kali ini kura-kura pula memikirkan strategi untuk menang. Kura-kura menyedari bahawa jika format pertandingan seperti sedia ada digunakan, adalah mustahil bagi Sang Kura-kura untuk menang. Strategi terbaik adalah mengubah format perlumbaan.

Setelah berfikir panjang. Sang Kura-kura mencabar Sang Arnab untuk perlumbaan ketiga. Kali ini perlumbaan akan dilakukan menerusi laluan yang dikemukakan oleh Sang Kura-kura. Laluan perlumbaan adalah sedikit berbeza dari laluan asal. Kesimpulannya lokasi kali ini ialah pilihan kura-kura.

Tanpa berfikir panjang, Sang Arnab bersetuju, kerana memikirkan walau di mana pertarungan mahu di atur, bagi arnab itu tiada masalah. Arnab yakin kerana kemenangan dalam perlumbaan siri ke-2 telah menceritakan segala-galanya tentang prestasi arnab yang sebenar.

Perlumbaan dimulakan. Berbekalkan komitmen yang ada, Sang Arnab memecut pantas, sangat pantas, memang pantas...tetapi akhirnya terhenti di sebuah sungai yang besar. Garisan penamat adalah beberapa kilometer di seberang dari sungai ini.

Sang Arnab tidak tahu berenang. Tak terfikir pula arnab bahawa kura-kura memilih laluan tersebut. Sang Arnab berhenti di tebing sungai dan memikirkan tentang apa yang patut dilakukan sekarang.

Memang ada jalan alternatif tetapi arnab terpaksa berpatah balik mencari bahagian sungai yang sempit, mencari pohon-pohon tumbang atau batu-batu yang boleh dijadikan loncatan.

Pada masa yang sama pula, Sang Kura-kura berjalan perlahan-lahan, setibanya di sungai, dia berenang ke seberang dan kemudiannya berjalan semula sehingga tiba di garisan penamat. Akhirnya Sang Kura-kura menang!

Pengajaran :

Kenal pasti kelebihan diri kita, ceburkan diri dalam bidang yang kita mempunyai kelebihan. Sebagai contoh jika kita tidak mahir dan tidak berminat dalam bidang pendidikan iaitu mengajar maka tinggalkan bidang itu dan carilah kerja lain yang sealiran dengan minat kita.

Berilah peluang kerja itu kepada individu yang berhati dan berjiwa guru. Jika tidak nanti kita bakal menjadi guru yang suka salak menyalak, lebih banyak menuntut hak berbanding menunaikan hak sebagai seorang guru.

Begitu jugalah sekiranya kita ingin berjaya dalam sesuatu bidang atau kerjaya, kita perlu memilih strategi yang sesuai dengan jiwa kita. Ceburilah bidang tersebut dengan sepenuh hati. Tetapkan laluan perlumbaan kita berdasarkan kelebihan dan minat yang kita miliki.

Kisah ini belum berakhir....ikuti kisah seterusnya Kisah Arnab dengan Kura-kura Bahagian 4. Jika anda ada idea tetang apa pengajaran dari cerita Arnab Dengan Kura-kura ini dari bahagian 1 hingga 3; bolehlah beri pandangan dalam ulasan yang disediakan pada blog ini. Terima kasih

Thursday, October 21, 2010

Pergi Tak Kembali, Yang Tinggal Teruskan Agenda

Assalamualaikum wkt, salam sejahtera dan salam satu Malaysia kepada seluruh warga SMK Kulai Besar.

Pertamanya marilah kita melafazkan kesyukuran kehadrat Ilahi, kerana dengan rahmatnya kita dikurniakan kesempatan dan nikmat kesihatan bagi membolehkan kita meneruskan tugas kita sama ada kita sebagai seorang guru yang mengajar dan sebagai seorang murid yang belajar.

Sebagimana yang diketahui oleh seluruh warga sekolah, En Wong Kim Fah, Penolong Kanan HEM tidak bersama-sama dengan kita lagi. Keramahan dan kelibatnya dipersekitaran sekolah terutama pada awal pagi kini sekadar tinggal kenangan, kerana En Wong Kim Fah telah pergi dan tidak akan kembali. Beliau tidak akan kembali berkhidmat semula ke SMK Kulai Besar, kerana beliau telah menamatkan perkhidmatannya atau bersara.

Seperti kata pepatah Melayu "Patah Tumbuh Hilang Berganti", yang pergi pasti berganti. Walaupun sehingga kini kita tidak pasti siapakah guru yang bakal mengisi kekosongan En Wong Kim Fah, yang pasti ialah sama ada cepat atau labat, pasti akan ada penggantinya.

Saya berharap semua murid bersedia untuk memberi sokongan kepada sesiapa sahaja guru yang bakal ditempatkan di sekolah ini nanti selaku Penolong Kanan HEM. Saya juga menekankan di sini bahawa Penolong Kanan HEM dan juga guru disiplin sepatutnya dilihat dalam prespektif yang positif.

Satu ketika dahulu PK HEM dan guru disiplin selalunya dikaitkan dengan ketegasan, kegarangan dan hukuman. Tetapi pada hari ini disiplin di sekolah ditegakkan tidak semestinya oleh guru yang mempunyai imej sebagai seorang yang garang, contohnya memiliki misai melintang seperti Tok Panglima Garang, atau seorang guru yang lantang suaranya seperti halilintar - menengking dan mengherdik, atau wajah yang masam-kusam hinggakan murid hilang ilham apabila terpandang pada raut di wajahnya.

Keadaan kini telah berubah, dan sejauhmanakah ia benar-benar berubah adalah bergantung kepada sikap semua murid terhadap pematuhan disiplin di sekolah. Selagi peraturan sekolah dipatuhi, selagi disiplin sekolah dipenuhi dan selagi keberadaan guru -guru di sekolah ini dihormati oleh semua murid, maka selagi itulah kekerasan dan hukuman tidak perlu dizahirkan atas nama mendisiplinkan murid.

Memanglah bagus sekiranya disiplin dan iklim di sekolah dapat dipupuk dalam suasana yang lebih harmoni......... "sekolah ku, rumah ku, syurga ku"..."sekolah penyayang"......"murid belajar dan guru mengajar". Namun sekiranya murid tidak menunjukkan tingkahlaku yang diharapkan maka ketegasan adalah jalan terakhir.

Hakikatnya manusia itu seperti tanah, maka sebab itulah sesetengah murid perlu dilayan mengikut jenis tanah bagaimanakah ia digolongkan. Kalau murid mengikut resam tanah pasir yang poros, maka ia perlu disimbah air setiap hari, biar dia kekal basah dan subur;

Kalau sifatnya keras seperti batu, kita terpaksa menggunakan tukul untuk memecahkannya, jika tak berhasil, kita guna peledak sahaja biar berkeca jadi batu kelikir. Sekurang-kurangnya boleh dicampurkan dengan minyak tar untuk menurap jalan, memberi manfaat kepada orang lain;

Kalau sifatnya seperti tanah lanar yang lembut dan subur, maka kita biarkan....dibajai sekali sekala, ia tetap akan mendatangkan hasil memuaskan apabila diusahakan.

Legasi En Wong selaku PK HEM telah menjadi sejarah di sekolah ini, dan demikianlah guru-guru akan datang dan pergi. Untuk tahun ini sahaja seramai sembilan orang guru telah memohon untuk bertukar sama ada ke luar daerah atau ke luar negeri Johor dari sekolah ini.

Perkara ini adalah satu kelaziman dan saya percaya semua guru yang memohon bertukar keluar dari sekolah ini bukanlah kerana mereka tidak suka berkhidmat di sini, tetapi disebabkan keperluan mereka untuk bertukar bagi meneruskan perkhidmatan di tanah tumpah kelahiran dan demi kepentingan perkhidmatan.

Kita warga SMK Kulai Besar yang masih kekal di sini, kita teruskan agenda kita yang belum selesai, iaitu memartabatkan SMK Kulai Besar. Kita perlu bertekad untuk mengeluarkan SMK Kulai Besar dari kelompok bawahan sama ada dalam peperiksaan, sahsiah mahupun dalam bidang kokurikulum.

Akhir sekali pada kesempatan ini saya berpesan kepada semua warga sekolah sama ada guru mahupun murid-murid yang mempunyai akaun dalam laman sosial seperti facebook, friendster, twitter dan pelbagai lagi, agar dapat menggunakan rangkaian sosial tersebut dengan cara yang konstruktif.

Gunakanlah kemahiran ICT anda dan kemajuan dalam jaringan sosial dengan penuh tanggungjawab. Janganlah menyalahgunakan laman sosial tersebut untuk perkara-perkara yang boleh menyentuh sensitiviti kaum, agama dan individu tertentu.

Kepada murid saya nasihati, janganlah menggunakannya semasa di sekolah ketika berada di makmal komputer manakala kepada guru-guru pula janganlah menggunakannya dalam waktu bekerja kerana ia boleh menjejaskan fokus terhadap pekerjaan utama kita.

Sekian, terima kasih.


Catatan :

Catatan ini adalah sebahgian daripada ucapan pada perhimpunan rasmi pada 18 Oktober 2010, yang diolah kembali bagi disesuaikan dengan keperluan blog atau laman web ini.

Wednesday, October 20, 2010

Kisah Arnab Dengan Kura-kura - Bahagian 2




Dalam perlumbaan yang pertama Sang Arnab terlalu yakin kekuatannya tidak mampu ditandingi oleh kura-kura. Tindakannya menghebohkan perlumbaannya dengan kura-kura dengan warga rimba benar-benar menjerat dirinya.

Antara percaya atau tidak seluruh warga belantara dah tahu, bahawa sang arnab telah dikalahkan. Pertubuhan Arnab Sedunia pun telah menerima laporan kekalahan yang memalukan. Arang telah tercalar pada spesies arnab. Satu suruhanjaya telah ditubuhkan dan kertas siasatan telah dibentangkan.
Arnab 1 :
Kita kalah dengan kura-kura, ini tidak boleh jadi.....macam mana boleh kalah


Arnab 2 (Pakar Perunding) :
Saya rasa kita kalah kerana kita silap strategi, kalau wakil kita tidak tertidur kita pasti menang.....memang menang


Arnab 3 (Pakar Motivasi) :
Saya sependapat dengan kamu...kita terlalu yakin dan memandang rendah terhadap kura-kura.


Arnab 1 : Kalau begitu kita mesti buat perlawanan semula....apapun kita kena fight balik. Arnab boleh !!!

Sesuatu perlu dilakukan dan untuk itu pakar-pakar perunding dan motivasi telah dipanggil untuk mengkaji punca kekalahan dan mencari strategi bagi memulihkan imej spesies mereka. Sang Arnab mendapati bahawa mereka terlalu berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa sebagai punca kekalahan dalam perlumbaan itu.

Menyedari kekalahan mereka bukan kerana kekuatan sebenar yang dipamerkan semasa perlumbaan lalu, maka Sang Arnab mengajak Sang Kura-kura untuk mengadakan perlawanan ulangan. Sang Kura-kura bersetuju.

Kura-kura sedar bahawa arnab yang bakal ditandingi nanti ialah arnab yang telah berubah. Arnab kini telah belajar dari kesilapan lalu. Oleh itu kura-kura menyasarkan untuk memperbaiki rekod sahaja dalam perlumbaan kali ini, di samping mengharap tuah kalau-kalau arnab terleka lagi, kena semput ke atau pengsan semasa perlumbaan.

Semasa perlumbaan dimulakan, Sang Arnab memecut laju dari garisan permulaan sehingga ke garisan penamat. Keputusannya menepati ramalan. Nasib tidak menyebelahi kura-kura kerana semangat dan strategi arnab kali ini benar-benar menjadi. Arnab memenangi pertandingan dengan meninggalkan Sang Kura-kura jauh ketinggalan di belakang.

Kura-kura tahu di mana kekuatan dan kelemahan arnab. Walaupun kalah tetapi kura-kura bekerja keras dan akhirnya dapat menamatkan perlumbaan dengan memperbaiki masa berbanding catatan sebelumnya.


Pengajaran daripada perlumbaan siri kedua ini ialah:

1) Strategi pantas dan konsisten dapat menewaskan strategi perlahan-lahan dan konsisten.

Kita sering mendengar perumpaaan “Biar Lambat Asalkan Selamat” dan "Sedikit-sedikit Lama-lama Jadi Bukit". Tiada salahnya perumpaan ini jika ditilik dari satu sudut, tetapi jika diperhalusi lagi alangkah bagusnya jika “Biar Cepat Asalkan Selamat” dan Banyak-banyak Lama-lama Biar Melambak”.

Jika dalam persekitaran sesuatu pekerjaan, terdapat seorang pekerja yang lambat dan konsisten dan seorang lagi pantas dan konsisten. Sudah tentu, individu yang pantas dan konsisten akan menjadi pilihan kita. Lambat dan konsisten adalah baik tetapi pantas dan konsisten adalah jauh lebih baik.

2) Walaupun lambat tapi meningkat. Dalam konteks kura-kura, strategi yang digunakan ialah KAIZEN – strategi orang Jepun iaitu setiap masa perlu ada pembaharuan, sama ada dalam prestasi atau inovasi ke arah yang lebih baik.

Kura-kura kalah dalam perlumbaan ini, tetapi keazamannya untuk bertanding tetap membara, menyebabkan masa kura-kura menamatkan perlumbaan dapat diperbaiki. Oleh itu apabila kita melihat orang lain mendahului di hadapan, kita jangan berputus asa, kita teruskan usaha.

Biar kita tertinggal walau sejauh mana di belakang tetapi kita terus bergerak ke hadapan, menunjukkan peningkatan dari masa ke semasa.

Opssssss......ada lagi sambungan. Ikuti Kisah Kura-kura dan Arnab – Bahagian III pada penulisan akan datang.

Thursday, October 14, 2010

Kisah Arnab dan kura-kura – Bahagian 1



Tersebutlah kisah arnab sedang berjalan-jalan mencari makanan pada sebatang jalan di tepi sungai. Tiba-tiba ia terpandang seekor kura-kura yang merangkak-rangkak naik ke tepi sungai.


Arnab :
Alahai, kura-kura. Mengapalah engkau lambat sangat? Bila nak sampai tu?

Kura-kura : Sedikit-sedikitlah arnab. Lama-lama aku sampailah.

Arnab : Ha..ha..ha…geli hati aku lihat cara engkau berjalan. Bilalah engkau nak sampai si tua lambat ni…ha..ha.

Kura-kura :
Jangan engkau hina aku arnab.

Arnab :
Eleh....kalau lumba lari ni, engkau pasti kalah!

Kura-Kura :
Jangan konfiden sangat arnab, belum cuba belum tahu .......

Arnab :
Aku cabar engkau, siapa yang sampai dulu ke hujung jalan sana, dia akan menang.

Kura-kura :
OK! Aku terima cabaran kau, bila, di mana, cakap....aku anytime ready

Arnab : hmmmm...esok pukul 4 petang


Arnab telah menghebohkan perlumbaan itu dengan mengundang seluruh suku sakat, ipar-duai, dan juaknya serta rakan-rakan rapatnya untuk menyaksikan perlumbaan itu nanti, dengan niat untuk menunjukkan kekuatannya dan pada masa yang sama memalukan kura-kura.

Maka, bila tiba masa dan hari dijanjikan berlumbalah arnab dan kura-kura. Kura-kura dan arnab bermula pada permulaan yang sama, tetapi sebaik dimulakan arnab terus memecut laju ke hadapan. Pada satu peringkat perlumbaan arnab menoleh ke belakang, kura-kura sayup-sayup kelihatan di belakang antara nampak dan tidak dalam bayangan fatamorgana.

Kura-kura pula terus melangkah, melangkah dan terus melangkah ke hadapan tanpa mempedulikan di mana kedudukan arnab. Matlamatnya hanya satu untuk menamatkan perlumbaan.

Yakin bahawa perlumbaan itu pasti dimuktamadkan dengan kemenangannya arnab berehat sebentar, tetapi akhirnya arnab tertidur. Ketika arnab tertidur, kura-kura meneruskan perjalanan tanpa berehat. Tidak berapa lama kemudian kura-kura tiba di pohon di mana arnab sedang lena tertidur. Kura-kura mendengar dengkuran arnab yang keletihan.

Selepas terjaga dari lenanya arnab menoleh ke arah lembah, kedudukan terakhir kura-kura yang dilihatnya sebelum dia tertidur. Namun kura-kura telah tiada. Apabila arnab menoleh ke atas bukit, dia melihat kura-kura sedang diraikan kerana telah sampai ke garisan penamat terlebih dahulu.

Demikianlah selingkar kisah perlumbaan klasik arnab dan kura-kura. Cerita ini yang biasanya dipadankan dengan cita rasa kanak-kanak, tetapi sebenarnya membawa mesej yang amat besar. Apakah Iktibar dari Kisah Kura-kura dan arnab ini;

Apa yang kita boleh ambil pengajaran daripada cerita ini ialah jika hendak berjaya, bukanlah semestinya mempunyai kepandaian dan kekuatan fizikal sahaja. Tetapi yang penting ialah sikap.

Mengikut kajian yang dibuat oleh pakar-pakar pendidikan, kepandaian seseorang, maklumat yang dimilikinya, hanya menyumbang 3 % sahaja kepada kejayaan seseorang. Selebihnya 97% lagi ditentukan oleh sikapnya.

Dalam kisah sang arnab dan kura-kura tadi, jika diukur dari segi fizikal, tentulah arnab ini lebih tangkas. Kakinya lebih panjang, tenaganya lebih banyak. Memang terbukti ia sudah mendahului kura-kura dalam perlumbaan itu. Malangnya sikap arnab itu sendiri menyebabkan ia gagal.

Apakah sikap negatif yang ada pada arnab sehingga menyebabkan ia gagal? Sikap itu ialah sambil lewa, sikap terlalu yakin, sikap bertangguh, sikap berpuas hati dan suka memandang rendah terhadap kemampuan orang lain.

Bagi kura-kura pula walaupun kakinya pendek dan tiada kekuatan seperti arnab, tetapi sikapnya betul. Sikap kura-kura yang positif telah berjaya mengatasi sikap arnab yang negatif. Walaupun ia telah ketinggalan, tetapi matlamatnya sentiasa di hadapan. Ia tidak mengubah-ubah matlamatnya.

Matlamatnya hanya hendak menang dalam perlumbaan. Kura-kura mempunyai keyakinan pada diri sendiri dan tidak menjadikan reputasi arnab menghalanginya dari memenangi perlumbaan tersebut.

Sebaliknya, arnab ini pula matlamatnya berubah-ubah. Apabila ia sampai di tengah jalan, matlamatnya berubah kepada hendak berehat yang kemudian tertidur.

Sikap positif kura-kura yang lain ialah sentiasa konsisten ataupun istiqamah. Ia tetap meneruskan perlumbaan walau apa pun terjadi. Misalnya, walau ia telah ketinggalan, ia tetap merangkak juga. Inilah sikap istiqamah.

Seterusnya, sikap kura-kura ialah sabar. Kura-kura mempunyai kesabaran tinggi dalam menempuh dugaan sepanjang perjalanan. Kura-kura tetap meneruskan perlumbaan walaupun ia tidak nampak arnab di hadapan.

Kura-kura juga mempunyai harga diri yang tinggi. Sikap inilah yang menyebabkan ia menyahut cabaran arnab. Ia tidak mahu dihina. Semua sikap-sikap ini memberi kredit atau kelebihan kepada kura-kura. Dari segi fizikalnya arnab reputasinya memang lebih tangkas. Tetapi dari segi mental, jiwa dan emosinya, kura-kura lebih stabil.

Perbandingan cerita arnab dan kura-kura ini boleh kita padankan dengan kehidupan manusia sebenarnya.

1) Pertama, ada manusia yang kita lihat kadang-kadang mempunyai kecerdikan dan kekayaan yang pada zahirnya boleh menyebabkan mereka berjaya, tetapi tak berjaya juga dalam hidup kerana sikap mereka. Mereka yang gagal ini mewarisi sikap buruk seperti arnab tadi. Mereka tidak konsisten, tiada harga diri, angkuh, berubah matlamat, terlalu yakin dan sebagainya.

2) Menerusi cerita ini kita tahu Allah swt tidak suka orang yang sombong. Orang sombong seperti arnab yang suka menghina orang lain, sebenarnya dia telah membuktikan bahawa dirinyalah yang lebih hina daripada orang yang dihina itu. Apabila arnab memandang hina kura-kura, menunjukkan dia bersikap takbur dan sombong. Sebaliknya, kura-kura yang dihina pula, ia membela maruah diri dengan menyahut cabaran arnab itu.

3) Sikap ego pada diri seseorang jika tidak dikawal boleh memusnahkan dirinya sendiri. Oleh itu, dalam hidup ini kita tidak boleh ego iaitu merasakan diri lebih baik daripada orang lain.
Apabila merasakan diri baik, dari sudut perkembangan diri, tidak akan muncul lagi usaha hendak meningkatkan diri. Tidak timbul lagi dorongan untuk berjaya. Bagi kura-kura tadi, apabila menerima cemuhan, ia menjadi pendorong untuk lebih maju dan sebagainya.

Ikuti penulisan seterusnya KISAH ARNAB DAN KURA-KURA – BAHAGIAN KEDUA

Monday, October 11, 2010

Renungan : 10 Wasiat Imam Syafie Kepada Muridnya



DIRIWAYATKAN, sebelum Imam Syafie kembali ke Rahmatullah, beliau sempat berwasiat kepada sebahagian daripada muridnya yang boleh dijadikan panduan kepada umat Islam. Wasiat yang dimaksudkan ialah pesanan dan nasihat beliau yang yang sangat bernilai.

Berikut ialah antara kandungan wasiat itu: "Sesiapa yang ingin meninggalkan dunia dalam keadaan selamat, maka hendaklah ia mengamalkan sepuluh perkara."

Pertama:
Hak kepada diri – mengurangkan tidur, mengurangkan makan, mengurangkan percakapan dan berpada-pada dengan rezeki yang ada.

Kedua :
Hak kepada malaikat maut - mengqandakan kewajipan yang tertinggal , mendapatkan kemaafan dari orang yang dizalimi, membuat persediaan untuk mati dan berasa cinta kepada Allah.

Ketiga :
Hak kepada kubur – membuang tabiat suka menabur fitnah, membuang tabiat kencing merata-rata, memperbanyakkan solat tahajud dan membantu orang yang dizalimi.

Keempat :
Hak kepada Munkar dan Nakir – tidak tidak berdusta, berkata benar, meninggalkan maksiat dan nasihat menasihati.

Kelima :
Hak kepada Mizan (Neraca Timbangan Amalan Pada Hari Akhirat) – menahan kemarahan, banyak berzikir, mengikhlaskan amalan dan sanggup menanggung kesulitan.

Keenam :
Hak kepada Sirat (titian yang merentangi neraka pada hari akhirat) – membuang tabiat suka mengumpat, warak, suka membantu orang beriman dan suka berjemaah.

Ketujuh :
Hak kepada Malik (Malaikat Penjaga Neraka) – menangis lantaran takut kepada Allah SWT, berbuat baik kepada ibu bapa, bersedekah ketika terang-terangan serta sembunyi dan memperelokkan akhlak.

Kelapan :
Hak kepada Ridhwan (Malaikat Penjaga Syurga) – berasa reda kepada qada Allah, bersabar menerima bala, bersyukur ke atas hikmat Allah dan bertaubat dari melakukan maksiat.

Kesembilan :
Hak Kepada Nabi saw – bersalawat ke atasnya, berpegang dengan syariat, bergantung kepada as-sunnah (hadis) menyayangi sahabat dan bersaing dalam mencari kelebihan daripada Allah.

Kesepuluh :
Hak kepada Allah SWT – mengajak manusia ke arah kebaikan, mencegah manusia daripada keburukan, menyukai ketaatan dan membenci kemaksiatan.


Catatan ini dikhususkan kepada pembaca muslim sahaja. Mudah-mudahan Allah SWT mengurniakan kita taufiq, hidayah dan kekuatan kepada kita agar dapat menjalani kehidupan sebagaimana yang pernah dilalui oleh Imam As Syafie.

Friday, October 8, 2010

Meningkatkan Kecekapan Dalam Membuat Keputusan



Membuat keputusan yang tepat merupakan satu perkara yang kritikal kerana ia memberi kesan yang mendalam terhadap sesuatu perkara. Kadang kala kita terpaksa menggunakan pelbagai pendekatan dalam menentukan apakah keputusan yang benar-benar tepat dan memberikan hasil yang diharapkan.

Timbul juga keadaan di mana kita terpaksa berhadapan dengan pelbagai isu dan kontroversi terhadap sesuatu tindakan yang telah diambil. Memanglah sukar untuk memenuhi atau memuaskan hati semua pihak. Perasaan tidak puas hati pasti timbul dan jika perkara ini tidak ditangani secara bijak ia boleh mencetuskan krisis dalam organisasi.

Bagi syarikat-syarikat yang besar kesilapan dalam membuat keputusan boleh menimbulkan implikasi kewangan yang menggawatkan. Kesilapan dalam membuat keputusan menyebabkan sesuatu syarikat itu mengalami kerugian yang besar.

Justeru itu sesetengah syarikat sanggup mengeluarkan perbelanjaan untuk mengupah perunding profesional dalam menentukan portfolio pelaburan yang betul sebelum mengambil keputusan melabur dalam mana-mana prospek ekonomi.

Dalam bidang pendidikan para guru dan murid juga tidak terlepas daripada membuat keputusan. Pentadbir di sekolah membuat keputusan sama ada dasar yang dilaksanakan sesuai atau tidak dalam memacu sekolah menuju misi dan visi yang disasarkan.

Para guru dan pendidik juga perlu membuat keputusan yang tepat tentang apakah strategi, kaedah dan pendekatan yang bersesuaian dengan tahap murid semasa melaksanakan pengajaran dan pembelajaran. Keputusan yang diambil itu akan memberi kesan secara langsung terhadap hasil pembelajaran.

Guru yang berjaya membuat keputusan yang tepat tentang apakah program kecemerlangan yang sesuai dilaksanakan untuk murid akan menghasilkan pulangan yang besar dari segi impak terhadap kecemerlangan dalam peperiksaan awam.

Oleh kerana pentingnya membuat keputusan, maka banyak buku yang telah menulis mengenai strategi dalam membuat keputusan. Satu strategi yang agak pelik dan jarang dijumpai ialah pendapat yang mengatakan kita boleh menjadi mahir membuat keputusan dengan BERMAIN GAME. Cadangan ini memang pelik tetapi dapatan kajian membuktikan keberkesannya bagi sesetengah individu.

Bermain game dapat meningkatkan kepantasan dan ketepatan dalam membuat keputusan, seperti hasil kajian yang dilakukan oleh pasukan penyelidikan dari University of Rochester. Kajian tersebut telah menemui dapatan beberapa kesimpulan yang menarik.

Setelah membahagi subjek ujian mereka menjadi dua kelompok, satu kumpulan dibuat untuk bermain game action sementara yang lain dibuat untuk bermain game strategi. Kedua-dua kumpulan kemudian diminta untuk membuat keputusan pada sejumlah tugas.

Dalam tugas yang diberikan ini, para peserta harus melihat paparan, menganalisis situasi, dan menjawab soalan secepat mungkin.

Keputusannya mendapati aksi pemain game membuat keputusan 25% lebih cepat, semasa menjawab soalan-soalan yang betul. Ini bermakna bahawa bermain game tidak mebuang masa seperti banyak yang mendakwa selama bertahun-tahun.

Dapatan daripada kajian tersebut juga mendapati dengan bermain game serba pantas seperti Tanaman vs Zombies dapat membantu meningkatkan kemampuan dalam membuat keputusan kita.

Namun demikian kita perlu ingat, bukan semua game dan bukan bermaksud selepas ini kita perlu bermain game 80 jam seminggu. Sama seperti segala sesuatu dalam hidup, main game harus dilakukan secara bersederhana.

Jika tertarik dengan strategi bermain game dalam meningkatkan ketajaman kita dalam membuat keputusan ... bolehlah cuba, test ... try bermain game seperti Besar Wang atau Bubble Buster. Tidak percaya ? cubalah diri sendiri, mulai bermain game sekarang dan lihat hasilnya!

Saturday, October 2, 2010

Strategi Si Luncai

Kisah Si Luncai terjun dengan labu-labunya adalah satu satira Melayu yang dikategorikan sebagai cerita lucu. Umum mungkin menggambarkan cerita ini sekadar cerita pengelipur lara yang kini tidak relevan lagi dalam kehidupan pada abad ke-21.

Tahap pemahaman pembaca mengenai kisah Si Luncai ini juga berbeza-beza, tetapi sebenarnya jika diteliti mesej yang cuba disampaikan dalam cerita ini adalah sama iaitu peringatan kepada kita supaya sentiasa bijaksana. Sama ada kita seorang pemimpin atau pengikut, guru atau murid kita perlu bijaksana dan pintar dalam menyesuaikan diri dengan persekitaran kita.

Keceluparan kerapkali mengundang bencana. Kata pepatah, cakap siang pandang-pandang, cakap malam dengar-dengar. Terlajak perahu boleh dibelok, terlajak kata buruk padahnya. Begitulah yang terjadi pada Si Luncai. Akibat kata-katanya, dia dimurkai raja.

Episod paling menarik Si Luncai ialah semasa menghadap raja, dia terlepas cakap bahawa muka raja mirip wajah arwah bapanya. Raja yang zalim itu terasa dipersendakan. Baginya, mukanya tidak sekali-kali boleh disamakan dengan rakyat biasa … apatah lagi dengan muka arwah bapa Si Luncai yang miskin dan dipandang hina itu.

Tanpa mempertimbangkan perkara ini dengan adil dan teliti, raja pun menjatuhkan hukuman. Penghinaan Si Luncai mesti dibayar dengan nyawa. Dan untuk itu, Si Luncai dihukum bunuh dengan cara dicampakkan ke tengah laut.

Tetapi Si Luncai bukan anak sembarangan, dia seorang yang licik dan pintar terutama dalam menghadapi saat yang sukar. Yang miskin cuma hartanya, bukan minda dan ketangkasan fikirannya. Si Luncai mencari jalan bagaimana hukuman raja itu tenang dihadapi tanpa mengorbankan nyawanya.

Sebelum dia dibawa dengan sampan untuk dicampakkan ke tengah laut, dia sempat membeli sebiji labu besar. Sejak itu dia menangis berhiba-hiba sambil mengusap-usap labu itu. Selang beberapa ketika, dua orang pengawal istana pun tiba untuk membawanya ke sampan bagi melaksanakan hukuman, menghumbankannya ke laut.

Menyedari kedatangan pengawal itu, Si Luncai pun tambah beria-ia menangis sambil membelai-belai labu airnya. Melihat telatah Si Luncai, dua pengawal kehairanan lalu bertanya, “Kenapa kamu menangis dan memeluk labu ini?”Si Luncai pun menjawab, “Hamba terkenangkan arwah bapa hamba, bukankah hamba akan berjumpanya sebentar lagi.”

Melihat perilaku Si Luncai itu, kedua-dua pengawal berasa kasihan. Mereka pun membenarkan Si Luncai membawa labu itu bersama dalam sampan untuk menuju ke tengah laut. Sewaktu mereka sedang mengayuh, Si Luncai pun memulakan strategi untuk menyelamatkan diri.

Dia berkata, “Sebelum hamba mati, bolehkah tuan hamba berdua menunaikan hajat hamba?” Seorang daripada pengawal itu menjawab, “Boleh jika hajat itu tidak berat.”

Si Luncai gembira seraya berkata, “Memang tidak berat. Tuan hamba berdua hanya perlu menyanyi satu lagu untuk hamba.” “Lagu apa?” tanya kedua-dua pengawal itu.“Mudah sahaja, pengawal yang duduk di belakang hamba hendaklah mengulang kata yang begini, Si Luncai terjun dengan labu-labunya … Manakala tuan hamba yang di hadapan pula membalas, Biarkan, biarkan … .” “Baiklah,” jawab kedua-dua pengawal itu tanpa mengesyaki apa-apa.

Mereka pun sama-sama menyanyi. Si Luncai terjun dengan labu-labunya. Biarkan, biarkan … . Seni kata itu dilagukan berulang-ulang serentak dengan kayuhan sampan. Semakin lama semakin rancak. Setelah agak lama, kedua-dua pengawal itu semakin terleka.

Pada saat itulah Si Luncai pun terjun dari sampan untuk menyelamatkan diri. Melihat hal itu, pengawal yang di belakang segera memberitahu kawannya yang di hadapan, “Si Luncai terjun dengan labunya!”

Malangnya, pengawal di hadapan terus menjawab, “Biarkan, biarkan…” Dia menyangka, pemberitahuan itu masih lagi sebahagian seni kata lagu yang mereka nyanyikan sebelumnya. Setelah Si Luncai jauh berenang menyelamatkan diri, barulah pengawal di hadapan itu menyedari kejadian sebenarnya.

Tetapi apa boleh buat, Si Luncai telah berjaya menyelamatkan diri. Mereka pun pulang tanpa memberitahu raja hal sebenarnya. Apa tidaknya, jika silap perhitungan, mereka pula akan dihukum. Si Luncai yang telah selamat daripada lemas, lari menyembunyikan diri.

Namun dalam hatinya menyimpan dendam yang sangat mendalam kepada raja yang zalim dan angkuh itu. Setiap hari dia memikirkan bagaimanakah caranya untuk membalas dendam. Padanya, raja adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah. Setelah beberapa hari lamanya, barulah Si Luncai mendapat idea.

Pada hari yang terpilih itu, Si Luncai pun mengenakan baju serba putih lengkap dengan serbannya sekali. Imej yang dibinanya adalah imej orang alim lagi warak. Setelah itu dia pun dengan beraninya pergi ke istana raja.

Melihat Si Luncai datang, terkejutlah seisi istana, kerana tidak menyangka yang Si Luncai telah ‘hidup’ kembali. Raja pun keluar dan terjadilah pertemuan baginda dengan Si Luncai buat kali kedua. “Apa yang terjadi kepada kamu?” tanya baginda.

“Alhamdulillah, patik sekarang telah insaf … patik akan menjadi orang alim. Patik tidak perlukan apa-apa lagi dalam hidup ini.” “Apa yang terjadi kepada kamu?” “Patik telah sampai ke alam arwah dan bertemu dengan arwah-arwah orang yang telah mati … termasuk arwah ayah patik dan Almarhum ayahanda tuanku.” “Almarhum ayahanda beta? Bagaimana gerangannya di sana?”

“Ampun, tuanku. Almarhum sangat dukacita kerana perbuatan tuanku.” “Apa yang beta lakukan?” “Entahlah, Almarhum cuma berdiam diri. Katanya baginda ingin bertemu sendiri dengan tuanku untuk memberi nasihat,” kata Si Luncai. “Bagaimana, bolehkah beta bertemu ayahanda beta?” “Masakan tidak, hamba yang hina ini pun boleh, apalagi tuanku yang mulia.”

Si Luncai tersenyum dalam hatinya. Perangkapnya sudah mengena. Raja yang zalim tapi bodoh itu akan berjaya dijeratnya. “Bagaimanakah caranya?” tanya raja. “Begini … tuanku hendaklah masuk ke dalam laut dalam peti yang dilubangi. Patik dahulu pun begitu juga. Di dasar lautlah akan berlaku pertemuan itu nanti.”

Tanpa berfikir panjang, raja pun bersetuju. Pendek cerita, raja pun dibuang ke laut di dalam peti yang berlubang. Apalagi, air pun masuk dan raja pun mati lemas. Si Luncai lari menyembunyikan diri dan tidak diketahui lagi keadaan dan nasibnya selepas itu.

Apa yang boleh kita pelajari daripada kisah Si Luncai ini? Selain daripada keburukan akibat keceluparan berkata-kata, cerita yang sarat dengan unsur satira ini penuh dengan sindiran dan pengajaran yang sangat tajam dan menusuk hati.

Iktibar dari kisah Si Luncai

1) Si Luncai adalah ‘gambaran’ orang bawahan yang berdepan dengan kezaliman orang atasannya. Walaupun tanpa kuasa dan senjata, Si Luncai berjaya mengalahkan raja berbekalkan minda, keberanian dan kemahuan.

2) Cerita ini juga mengisahkan bagaimana akibat buruk yang boleh menimpa rakyat jika diperintah secara zalim oleh seorang pemerintah yang ego dan dungu. Pemerintah yang begini bukan sahaja berpotensi memporak-perandakan negara bahkan akhirnya memakan diri sendiri.
3) Kisah Si Luncai juga memaparkan bagaimana ‘agama’ dan ‘kerohanian’ boleh dijadikan ‘alat’ untuk mengeksploitasi orang lain demi kepentingan diri dan puak.

4) Penguasaan ilmu dengan konsep ‘knowledge is power’ (pengetahuan itu kuasa) semakin dominan dalam konteks k-ekonomi sekarang ini. Penguasaan ilmu semakin penting justeru ia sangat dominan peranannya dalam bidang ekonomi, ketenteraan, sosial dan lain-lain. Si Luncai moden boleh jadi mampu menguasai sebuah negara dan dunia dengan ilmunya, justeru ilmu lebih berpengaruh daripada harta dan senjata.

Kesimpulannya janganlah kita terjebak dengan strategi Si Luncai, sama ada kita dikenakan oleh orang lain atau kita menggunakannya untuk memanipulasi orang lain. Sikap dan akhlak yang ditunjukkan oleh Si Luncai tidak sejajar dengan akhlak Islam. Perwatakan raja yang zalim dan dungu pula adalah ciri kepimpinan yang tidak boleh ada pada seseorang pemimpin.

Strategi ‘Si Luncai’ telah digunakan dengan maksud jahat dan sesat. Ramai yang tertipu oleh kelicikan Si Luncai jika tidak punya keberanian, ilmu asas yang kukuh dan dihantui oleh dosa-dosa silam. Orang yang boleh ditipu hanya orang yang dungu. Orang yang boleh digertak, hanya orang yang banyak salah. Si Luncai tahu itulah hakikat raja yang sedang dihadapinya.

Oleh hal yang demikian kita perlu memastikan diri kita sentiasa dipersiapkan dengan ilmu agar tidak menjadi mangsa Si Luncai. Memiliki ilmu sahaja tidak memadai kerana ilmu tanpa kekuatan rohani boleh menjadikan kita sesat lagi menyesatkan.

Ilmu tanpa bimbingan tauhid dan iman kan menjadikan kita manusia yang rakus, tamak dan haloba. Perkara inilah nanti yang mendorong seseorang itu untuk menggunakan kepandaian dan kecerdikannya untuk mengambil kesempatan terhadap orang lain. Sepatutnya ilmu yang kita ada kita gunakan untuk membantu orang lain.

Gambar dan cerita si luncai diambil dari blog gentarasa. Cerita disesuaikan untuk titipan warga SMK Kulai Besar. Semoga kita semua bergerak ke hadapan mengorak langkah sebagai orang yang bijaksana tetapi benar dari cara dan tingkah kita.


AZMAN BIN SAFII