Sunday, February 27, 2011

Merealisasikan Satu Hasrat - Murid Cemerlang, Guru Gemilang, Sekolah Terbilang



Sepanjang empat tahun saya berada di SMK Kulai Besar, saya sedar bahawa baju yang kita ukur untuk sekolah kita selama ini sekadar bersaiz “S” sahaja. Sebelum ini strategi yang kita gunakan ialah strategi kura-kura sebagai pencetus semangat.

Mengikut strategi ini, kita tidak terlalu mementingkan kedudukan, sebaliknya kita cukup selesa dengan bidalan "biarlah perlahan asalkan maju ke hadapan". Apa yang diutamakan ialah peningkatan minimum 3 peratus setahun dalam peperiksaan awam (PMR dan SPM).

Kini dalam mengimbau liku-liku perjalanan sepanjang 24 tahun penubuhannya, pelbagai suka duka telah ditempuhi oleh warga SMK Kulai Besar. Kita bukan sekadar pernah jatuh terduduk, telentang malah pernah tersungkur dalam keputusan PMR dan SPM.

Namun sepekara yang membanggakan ialah setiap kali kita terungkur dan terjatuh, kita bingkas bangkit kembali. Kita bersatu hati, membuat muhasabah diri, mengkaji dan melihat kelemahan sendiri bagi membaiki prestasi. Buktinya pencapaian SPM 2009 kita bukan setakat berdiri bahkan terus melompat setelah jatuh beberapa kali.

Dari perspektif sejarah pula, kita pernah berada pada kedudukan terbaik dalam pencapaian SPM di daerah Kulai iaitu pada tahun 1995. Perkara inilah sepatutnya kita jadikan iktibar bahawa kita tidaklah seburuk mana, bahkan kita boleh menjadi yang terbaik sekiranya kita mahu mengulangi kejayaan itu dengan sedikit usaha yang luar dari kebiasaan. 

Melihat kekuatan yang kita miliki dan disertai dengan keazaman yang kuat di bawah kepimpinan pengetua baru, Pn Hajah Fouziah binti Abu Hamid, maka telah tiba masanya untuk kita warga SMK Kulai Besar untuk membuat anjakan ke arah perubahan.

Justeru itu pada tahun 2011 ini, SMK Kulai Besar mensasarkan kecemerlangan dalam segenap bidang bagi meletakkan sekolah pada kedudukan yang terbaik dalam daerah dan dalam negeri Johor, khususnya dalam pencapaian PMR, SPM dan Kokurikulum. 

Tahun ini SMK Kulai Besar memasang cita-cita yang amat besar, iaitu kita tidak mahu lagi bercakap tentang peningkatan peratusan dan GPS sahaja, tetapi kita mahu mengorak langkah untuk membuat lonjakan bagi memastikan kedudukan SMK Kulai Besar sama ada dalam PMR mahupun SPM dapat diperbaiki. Sasaran yang rasional ialah sekurang-kurangnya tempat ke 8 dalam daerah..

Bagi mencapai hasrat ini kisah Arnab dan Kura-kura tidak kita lupakan begitu sahaja. Dua watak itu tetap menjadi inspirasi untuk kita mengorak langkah ke hadapan. Bezanya, kita sekadar mengambil nilai-nilai baik dari arnab dan kura-kura iaitu kita gunakan kepantasan sang Arnab dan disepadukan dengan konsitensi kura-kura untuk dijadikan budaya dan amalan dalam kita berfikir dan bertindak.

Menyedari hakikat ini dan sedar bahawa persekitaran sekolah yang kondusif amat penting dalam menyediakan suasana pembelajaran yang berkesan, maka usaha untuk mengindahkan persekitaran sekolah dan melangkapkan infrasturuktur sekolah menjadi fokus utama untuk tiga bulan pertama sesi persekolahan 2011 di bawah kepimpinan pengetua.

Segala sumber dan tenaga telah digembeling membabitkan PIBG, PPD, JPN dan KPM bagi mengatasai kekurangan yang ada. Matalamat fokus pertama ini ialah apa yang sepatutnya ada, ada, berfungsi dan dimanfaatkan.

Segala tindakan vendalisme yang selama ini ditanggung oleh pihak sekolah akan ditangani dengan cara yang sistematik dan konstruktif, berasaskan prinsip siapa yang buat dia yang tanggung. Jerih dan usaha ini akhirnya membuahkan hasil apabila untuk awal tahun 2011 ini, SMK Kulai Besar berjaya menguruangkan masalah kekurangan kerusi dan meja yang meruncing sebagaimana dialami saban tahun.

Fokus kedua yang diberi pertimbangan oleh kepimpinan sekolah ialah pemantapan disiplin dan sahsiah murid. bagi tujuan ini sistem pengurusan disiplin telah dimantapkan sama ada dalam aspek pengurusan dan juga program penambahbaikan.

Walaupun perubahan yang ketara masih belum dapat dirasakan namun sekiranya semua guru berganding bahu dan berkerjasama serta menari mengikut rentak yang dipalukan oleh kepimpinan Unit HEM, saya sangat positif bahawa semua murid SMK Kulai Besar akan dibentuk ke arah satu budaya baru, budaya belajar, budaya menghormati dan menghargai sebagaimana yang kita hasratkan.

Sekiranya ini dapat dicapai dan kesinambungan usaha ini berterusan maka saya yakin bahawa sekolah kita pasti mampu membuat lonjakan dalam pencapaian akadmik. Inilah fokus terakhir yang menjadi tumpuan kepimpinan sekolah iatu Fokus Kecemerlangan Akademik.

Sama-samalah kita bertekad untuk menjadikan sekolah yang seronok untuk para pentadbir mengurus sekolah, tempat yang seronok untuk guru mengajar dan pekerja bekerja dan yang terpenting tempat yang paling seronok untuk semua murid belajar dan beraktiviti dalam memacu kecemerlangan diri merentasi kurikulum, sahsiah dan kokurikulum.

"BERDISIPLIN, BERUSAHA DAN BERBAKTI"

Kursus Kepimpinan Pengawas 2011



Savannah Hill, Ulu Tiram - 27 Februari , Seramai 81 pengawas SMK Kulai Besar telah menyertai Kursus Kepimpinan Pengawas yang telah dianjurkan oleh Unit HEM. Kursus berlangsung selama dua hari iatu dari 26 - 27 Februari, turut disertai oleh sembilan guru pembimbing yang berperanan selaku urus setia dan pengendali kursus.

Kursus ini diadakan adalah sejajar dengan hasrat Unit HEM menjadikan Badan pengawas sebagai entiti penting dalam memantapkan disiplin dan pembangunan modal insan. Majlis persamian telah disempurnakan oleh Puan Hajah Fouziah binti Abu Hamid, Pengetua SMK Kulai Besar.

Semasa menyampaikan ucapan, Puan Hajah Fouziah antara lain menyeru agar semua pengawas sentiasa bertanggungjawab dan menjaga kredebiliti selaku pemimpin. Pengawas juga perlu mempunyai jati diri untuk mendepani segala cabaran dan rintangan yang dihadapi dengan penuh kekuatan sama ada dari segi fizakal, mental dan emosi.

Sebahagian Peserta Kursus Bergambar Bersama Pentadbir Sekolah -
dari kiri En Masa'ud (PK HEM), Pn. Hjh. Fouziah (Pengetua) dan
En Azman (Penolong Kanan)

Kursus LDP 1/2011 - Merealisasikan Sekolah Lestari


SMK Kulai Besar - Sabtu, 26 Februari; Seramai 115 guru dan kakitangan sekolah ini telah menerima pendedahan mengenai konsep Sekolah Lestari menerusi Kursus LDP 1/2011 yang berkaitan Program Sekolah Lestari.

Sebanyak tiga slot telah disediakan bagi kursus ini, yang dimulakan oleh Puan Jaemah binti Ali, GKMP Sains Sosial yang telah menyampaikan ceramah bagi slot 1 - Konsep Sekolah Lestari. Slot kedua pula membabitkan ceramah yang disampaikan oleh pegawai dari Jabatan Pertanian mengenai Lansakp dan Perlansakapan.

Slot ketiga pula berkaitan dengan amali dan domenstrasi mengenai teknik yang betul dalam penanaman dan penjagaan tanam hiasan. Jabatan Pertanian (Parit Botak) telah bermurah hati membekalkan sejumalah pokok hiasan dan herba bagi menjayakan kursus ini.

Jabatan Pertanian (Kuaijaya) turut memberi sumbangan berupa 27 kampit Program Bumi Hijau, yang mengandungi baja, alatan asas perkebunan dan benih sayur-sayuran.

Tidak ketinggalan, menerusi kempen yang dijalankan guru-guru sekolah ini juga turut membawa pokok herba bagi menambah spesis tanaman herba yang sedia ada di Taman Herba Sekolah.

Semoga dengan pendedahan ini semua warga SMK Kulai Besar bukan sekadar bermaklumat mengenai konsep Sekolah Lestari malah bersedia untuk Melestarikan Sekolah. Bahan Kursus boleh dimuat turun dari capaian pada pautan Profesionalisme/Pengurusan Sekolah.

Pokok Misai Kucing....banyak khasiatnya.
Kepada penyelaras Program Sekolah Lestari dan penggemar tanaman herba bolehlah menyemak senarai herba yang dianggap popular dalam kalangan rakyat Malaysia kerana khasiatnya seperti pada pautan berikut ; senarai herba.

Air Panas Vs Serangan Jantung


Ini adalah artikel yang baik menyentuh tentang amalan kesihatan untuk mengelakkan serangan jantung. Ia bukan sekadar mengenai kebaikan meminum air panas selepas makan tetapi ia juga berkaitan bagaimana kita boleh mengurangkan risiko serangan jantung.

Amalan baik orang Jepun dan orang Cina ialah mereka minum air teh panas selepas makan, dan bukannya air sejuk apatah lagi air berais seperti kegemaran rakyat Malaysia.....Teh O Ais, air bandung ais dan sebagainya.

Kalau selama ini kita penggemar air sejuk berais, sekarang tibalah masanya untuk kita mengkaji semua amalan pemakanan kita agar menjamin kehidupan lebih sihat.

Ini bukan bermaksud kita takut mati, kerana pada hakikatnya ajal dan maut di tangan tuhan. Namun perkara yang penting, bukankah bila kita sihat kita akan hidup lebih sejahtera, mudah beribadat dan tidak merisaukan orang lain mengenai tahap kesihatan kita.

Kepada individu yang suka meminum air sejuk berais, artikel ini diharapkan berguna dan memberi kesedaran kepada anda. Memang lazat menikmati segelas air sejuk selepas makan apatah lagi dalam keadaan cuaca panas seperti di Malaysia.

Walau bagaimanapun, air sejuk yang diminum selepas makan akan memadatkan minyak yang kita ambil atau terkandung dalam makanan kita. Ia akan melambatkan pencernaan. Selepas ini 'lumpur' hasil cernaan makanan yang kita ambil akan bertindak balas dengan asid, ia akan dipecahkan dan diserap oleh usus lebih cepat daripada makanan padat .

Proses ini menjadikan makanan yang dihadamkan berubah menjadi lemak dan boleh mengakibatkan kanser. Cara terbaik adalah untuk minum sup panas atau air hangat setelah makan.

Umum Gejala Dari Serangan Jantung ...

Kita perlu sedar bahawa tidak semua serangan jantung dirasakan dengan gejala lenguh atau kesakitan pada lengan sebelah kiri kita. Kita juga harus berwaspada akan gejala kesakitan berterusan pada rahang.

Tidak semua serangan kali pertama berkaitan masalah jantung bermula dengan kesakitan pada dada, walaupun itu adalah gejala yang paling lazim dan kerap terjadi kepada individu. Namun, rasa mual dan keringat yang bercucuran juga menjadi gejala umum.

Enam puluh peratus orang yang mengalami serangan jantung ketika mereka sedang tidur dan mereka tidak terjaga. Namun begitu rasa sakit pada rahang boleh membangunkan kita dari tidur nyenyak. Marilah kita berhati-hati dan sedar tentang tahap kesihatan jantung kita. Semakin banyak kita mengetahui, makin banyaklah kesempatan yang yang kita ada untuk kita memperbaiki tahap kesihatan jantung kita.

Pakar kardiologi menyatakan bahawa seseorang yang membaca mesej ini dan kita menghantar kepada 10 orang lagi, maka kita berupaya untuk memastikan sekurang-kurangnya seorang dapat terhindar daripada masalah serangan jantung. Perkara ini bergantung pada tahap kesedaran dan perubahan amalan gaya pemakanan seseorang.


Bahan ini diolah semula dari artikel asal yang diemail kepada saya oleh OSMAN

Saturday, February 26, 2011

Majlis Ikrar dan Aku Janji PMR 2011


Kecemerlangan akademik sesebuah sekolah bergantung kepada usaha dan kerjasama murid-murid, guru-guru dan ibu bapa yang mengembeling tenaga tanpa mengenal jemu dan putus asa. Sesungguhnya pencapaian ini tidak berlaku secara kebetulan atau bergantung kepada nasib semata-mata.


En Anuar Jais, Timbalan PPD Kulaijaya
sedang menyampaikan ucapan
Bagi menguatkan iltizam dan komitmen seluruh warga SMK Kulai Besar, pihak sekolah telah mengambil inisiatif melaksanakan Program Ikrar dan Aku Janji PMR pada Jumaat, 25 Febuari 2011 bertempat di perkarangan kantin sekolah.

Majlis yang dimulakan pada jam 8.00 pagi telah dirasmikan oleh En Anuar bin Jais, Timbalan PPD, PPD Kulaijaya. Turut hadir pada majlis tersebut ialah En Syamsol Kamal, Naib Yang Dipertua PIBG, Pengetua, Penolong-penolong Kanan, Guru Kanan dan guru-guru tingkatan 3.

Program ini diadakan oleh pihak sekolah adalah sebagai satu strategi untuk membugar semangat murid agar mereka didorong untuk mencipta kecemerlangan secara sedar dan berfokus. Seramai 420 murid akan mendaftar sebagai Calon PMR 2011 terlibat dalam program ini.
Majlis ini diharapkan dapat menyuntik semangat calon-calon PMR untuk berusaha dengan lebih gigih bagi memastikan kejayaan dalam PMR. Selain daripada itu program ini juga diharapkan dapat;

 Menetapkan sasaran pencapaian akademik sekolah bagi tahun 2011.
 Meningkatkan kesedaran murid-murid, ibu bapa/penjaga dan pendidik
    supaya lebih berfokus kepada peranan dan tanggungjawab dalam usaha
    memastikan hasrat sekolah terlaksana.
 Menerap budaya kerja cemerlang di kalangan warga sekolah bagi
    mencipta kejayaan yang gemilang.
 Mencipta iklim pengajaran dan pembelajaran yang lebih berfokus ke arah
    peningkatan pencapaian akademik.

Pada tahun 2011 SMK Kulai Besar memasang impian yang amat besar iaitu mahu mencipta sejarah, bukan sekadar mahu mencatat pencapaian terbaik dari segi peratusan dan GPS malah turut mensasarkan tempat ke 8 dalam senarai sekolah di daerah Kulaijaya.

Bagi merealisasikan hasrat ini, maka bagi tahun 2011 SMK Kulai Besar mensasarkan pencapaian 61.15% menguasai, Gred Purata Sekolah 2.95 dan Bilangan Calon Cemerlang 21 orang (5.04%). Perincian bagi mata pelajaran boleh diakses menerusi capaian assafii.com.


Saturday, February 12, 2011

Larian Perdana Mahkota 2011



SMK KULAI BESAR, 12 Februari - Seramai 2044 murid dan 115 guru serta 11 kakitangan sokongan sekolah ini, telah mendaftar diri dalam menjayakan Larian Perdana Mahkota peringkat sekolah 2011.

Larian yang pada prinsipnya dijalankan serentak seluruh sekolah di negeri Johor ini, telah dilepaskan oleh Puan Hajah Fouziah binti Abu Hamid, Pengetua SMK Kulai Besar pada jam 9.00 pagi.

Sebleum acara larian dimulakan, semua peserta berhimpun di padang untuk sama-sama menjayakan acara senam robik dan aktiviti regangan yang telah dikelolakan oleh jurulatih kecergasan yang telah diundang khas oleh Unit Sukan SMK Kulai Besar.

Larian Perdana Mahkota akan menjadikan JOHOR negeri pertama di negara ini untuk menyelenggarakan "Larian Perdana Mahkota", melibatkan sekitar 600.000 peserta, termasuk pelajar, guru, kakitangan sekolah dan ibu bapa murid.

Namun, usaha Johor untuk memperbaiki rekod "penyertaan paling banyak dalam acara larian" yang melibatkan penyertaan 626.921 peserta dari 1.044 sekolah pada tahun 2002, telah digagalkan oleh musibah banjir.

Jabatan Pelajaran Johor sebelum ini mensasarkan penglibatan sejumlah 683.234 peserta dari 1.130 sekolah untuk Larian Perdana Mahkota tahun ini. Namun, beberapa sekolah di Pagoh, Ledang, Muar dan Batu Pahat terjejas teruk akibat banjir.

Pada peringkat negeri, Larian Perdana Mahkota telah dilancarkan bermula pada jam 08:45 pagi oleh Temenggong Tunku Johor di Dataran Bandaraya Johor Baru.

Sebelum larian dilepaskan, Tunku Mahkota Johor telah mengadakan telekonferens dengan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Puad Zarkashi di Batu Pahat.

Acara ini juga menarik perhatian pegawai tinggi dari pihak Kementerian Pelajaran. Pegawai kanan dari Kementerian Pelajaran berada di Johor untuk mengikuti secara dekat agar acara tersebut dapat dilaksanakan di negeri-negeri lain.

Acara ini merupakan gagasan dari Pengarah Pelajaran Johor sendiri iaitu, Tuan Haji Markom Giran, yang mengatakan bahawa beliau merasa bangga apabila Johor adalah negeri pertama di negara ini untuk melaksanakan "Penghayatan Sukan" di bawah program "1 Pelajar 1 Sukan" dan meletakkan sukan ke satu tahap yang baru.

"Kami bangga untuk memimpin dan menjadi negeri contoh untuk diikuti oleh orang lain".

"Banyak masa dan usaha yang telah diperuntukkan dalam menjayakan acara ini. Saya berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan acara ini, terutama Unit Sukan JPNJ, yang bekerja tanpa mengenal penat lelah walaupun menghadapi musibah banjir," kata Tuan Haji Markom seperti yang dipetik dari berita New Straits Times.

Pada peringkat daerah, acara larian akan diadakan di SMK Batu Pahat yang mempunyai 1,500 peserta. Penyertaan yang lain datang dari SK Lelaki Bandar, Kluang (1,200), SMK Tun Habab, Kota Tinggi (1,200), Dataran Kulaijaya (1,000), Mini Stadium Mersing (1,000), SM Tinggi Muar (1,500), Mini Stadium Pontian (1,000), SMK Bandar Penawar, Pengerang (1,000), Segamat Dataran (1,500), SMK Tun Mamat, Ledang (1,000) dan Bukit Pasir Gudang (1,500).

Pada keseluruhannya, sekitar 600.000 pelajar, guru, ibu, bapa dan kakitangan sekolah dari 12 daerah akan mengambil bahagian dalam acara tersebut.

Tuesday, February 1, 2011

13 Kemudaratan Maksiat Kepada Umat Islam

Penulisan ini adalah ringkasan daripada bacaan saya terhadap topik bertajuk Kemudaratan Maksiat Kepada Umat Islam dalam buku Bukti Saintifik Pengharaman Khinzir oleh Basri Ibrahim, terbitan Darul Nukman, Kuala Lumpur.
  




Maksiat mempunyai kesan yang amat dashat kepada badan dan hati manusia, yang mana tidak terhitung jumlahnya selain ALLAH SWT sahaja yang mengetahuinya. Pertukaran segolongan masyarakat Yahudi di zaman nabi ALLAH DAUD AS sehingga ada dalam kalangan mereka dijadikan rupa kera dan babi adalah kerana maksiat. Maksiat mempunyai kesan-kesan yang lain, antaranya:

1.Sukar mendapat ilmu

Ilmu adalah cahaya yang dicampakkan oleh ALLAH SWT di dalam hati. Maksiat pula berfungsi memadamkan cahaya ini. Ketika Imam Asy-Syafie duduk di hadapan Imam Malik dan membaca Kitab di hadapannya, Imam Malik merasa ta'ajub dengan kepintaran yang dimiliki oleh Asy-Syafie dan kesempurnaan kefahamannya sehingga terkeluar dari mulut Imam Malik :

"Sesungguhnya saya melihat ALLAH SWT telah mencampakkan ke dalam hati anda cahaya, kerana itu jangan anda bergelumang dengan kegelapan maksiat".

Ujar Imam Asy-Syafie:

"Aku pernah pernah mengadu kepada guruku Imam Waki' tentang buruknya hafalanku lantas beliau menasihatiku supaya meninggalkan maksiat"

Jika masyarakat Islam turut bergelumang dengan berbagai maksiat, sudah pasti mereka diharamkan dari memperolehi ilmu. Jika mereka diharamkan dari memperoleh ilmu, bererti mereka kehilangan sumber cahaya dalam kehidupan mereka.


2.Sukar mendapat rezeki yang halal

Dalam Al-Musnad menjelaskan: "Sesungguhnya sesorang hamba itu diharamkan dari memperolehi rezeki dengan sebab dosa yang dilakukannya."

Ini menunjukkan jika maksiat berlaku dalam masyarakat Islam, amat sukar untuk mereka mendapatkan rezeki yang halal dan bersih,yang boleh membersihkan zahir dan batin mereka.


3.Wujud sifat liar di dalam hati.

Maksiat yang dilakukan oleh seseorang akan mewujudkan sejenis perasaan liar di dalam hati. Begitu juga yang dilakukan oleh masyarakat. Andai kata segala kelazatan yang ada di dunia ini, dikumpulkan untuk menghilangkan sifat liar ini, ia tidak dapat dihilangkan.

Seorang lelaki pernah mengadu kepada beberapa orang soleh tentang sifat liar yang ada di dalam hatinya. Jawab orang soleh itu:

"Apabila dosa-dosa yang anda lakukan melahirkan sifat liar di dalam hati anda,tinggalkanlah dosa-dosa itu.Tidak ada sesuatu yang paling sakit bagi hati dari sikap liar dan lupa untuk memuhasabah dosa-dosa yang dilakukan oleh sendiri."

Ini bermakna masyarakat yang bergelumang dengan maksiat akan menjadi masyarakat yang mempunyai hati-hati yang liar dan tidak cenderung kepada kerja-kerja kebaikan. Jika dilakukan juga hanyalah,kerana ingin mendapatkan sesuatu keuntungan atau mengelakkan dari menjadi bahan umpatan masyarakat.


4. Liar sesama individu masyarakat.

Maksiat melahirkan sifat liar sesama individu yang membentuk sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi dengan orang-orang yang soleh dan baik-baik.

Setiap kali sifat liar ini bertambah, semakin jauhlah seseorang dari individu masyarakat yang lain dan dari bercampur gaul dengan mereka, malah diharamkan dari mendapat berkat dari mereka. Ia semakin hampir dengan parti syaitan dan semakin jauh pula dengan parti Tuhan Ar-Rahman.

Sifat liar ini akan menjadi semakin kuat,sehingga memberi kesan kepada isteri, anak dan kaum kerabatnya. Seseorang dapat melihat sifat liar ini kepada keluarganya. Sesetengah salafussoleh pernah berkata:

"Sesungguhnya aku melakukan maksiat kepada ALLAH SWT,tiba-tiba aku melihat kesannya pada tingkah laku binatang dan isteriku."


5. Sukar melakukan tugas.

Maksiat membuatkan seseorang sukar untuk melakukan tugasnya. Setiap gerakerja yang dilakukannya, terasa tertutup atau sukar baginya, tidak sebagaimana sebelumnya. Sebaliknya orang yang bertakwa kepada ALLAH SWT, urusannya akan menjadi mudah. Begitulah kesan maksiat kepada tugas seharian seseorang.


6. Rasa gelap pada hati.

Maksiat akan menimbulkan gelap pada hati sesorang yang melakukannya, sebagaimana kegelapan malam yang hitam pekat. Kegalapan pada hati sama keadaannya dengan kegelapan pada mata yang zahir.


Mata peka pada cahaya, bayangkan ada mata tetapi buta maka kita tidak dapat melihat cahaya dan kita tidak dapat melihat alam maya ini. Begitulah hati apabila ia buta kita tidak dapat cahaya kebenaran. Ketaatan ialah cahaya, manakala maksiat pula ialah kegelapan.


7. Melemahkan badan dan hati

Maksiat mendatangkan kelemahan kepada badan dan hati. Kesannya dalam melemahkan hati begitu jelas, bahkan ia akan sentiasa melemahkannya sehingga akhir sekali hati masyarakat terlibat mati. Berhubung kesannya dalam melemahkan badan, sebenarnya kekuatan seseorang terletak kepada kekuatan hatinya.

Setiap kali hatinya bertambah kuat, semakin kuatlah badannya. Orang yang fasik walaupun mempunyai badan yang kuat, namun badan akan menjadi lemah di saat berhajat bantuan orang lain. Individu ini terpedaya dengan kekuatan bangsa Parsi dan Rom.

Mereka diperdayakan oleh kekuatan badan mereka yang zahir,lantas mereka dikalahkan oleh orang-orang yang beriman dengan kekuatan badan dan hati-hati mereka.


8.Diharamkan dari melakukan amalan ketaatan

Maksiat yang dilakukan oleh seseorang mahupun segolongan masyarakat meyebabkan mereka banyak luput amaln ketaatan. Andai kata tidak wujud dari dosa yang dilakukan balasan selain dari dihalang dari melakukan amalan ketaatan, maka halangan ini sudah cukup menggantikan balasan kepada maksiat yang dilakukannya.

Ia seterusnya akan mengganggu pelaksanaan amalan ketaatan berikutnya. Pendek kata,ia menyebabkan terhenti dan tergendala banyak amalan ketaatan.Padahal setiap satu dari amalan ketaatan ini,lebih baik daripada dunia dan isi kandungannya.

Kedudukan orang atau masyarakat yang melakukan maksiat tidak ubahseperti orang lelaki yang memakan satu makanan ,lantas menyebabkan ia sakit berpanjangan,sekaligus menghalangnya memakan makanan-makanan yang lebih baik dan bermutu dari yang dimakan sebelummnya.


9. Maksiat memendekkan umur dan menghilangkan berkat

Maksiat memendekkan umur dan menghilangkan berkat. Sebagaimana yang diketahui, keberkatan menambahkan umur, sebagainya kefasikan memendekkan umur. Ini tidak mengira samada umur individu mahupun umur masyarakat terlibat.

Ulama berselisih tentang hal ini kepada beberapa golongan. Satu golongan berpendapat yang dimaksudkan berkurangnya umur ahli maksiat, ialah hilangnya keberkatan umurnya. Pendapat ini benar, kerana kehilangan umur adalah sebahagian dari kesan maksiat.

Satu golongan berpendapat maksiat memendekkan umur seseorang sebenar-benarnya, sebagaimana ia mengurangkan rezekinya. ALLAH SWT menjadikan pada rezeki punca-punca yang boleh memperbanyak dan menambahkannya.

Begitu juga dengan keberkatan umur mempunyai sebab-sebab yang boleh menambah dan memperbanyakkannya. Golongan ini berpendapat penambahan tidak akan terhalang oleh sebab-sebab tertentu, sebagaimana ia boleh berkurang dengan sebab-sebab tertentu.

Rezeki, ajal, kebahagiaan, kecelakaan, kesihatan, penyakit, kekayaan dan kefakiran,walaupun berlaku dengan qadak Tuhan, tetapi ALLAH SWT menghukum mengikut apa yang dikehendaki,mengikut sebab-sebab yang dijadikannya sebagai penyebab kepada musabab.


10. Maksiat akan menggalakkan maksiat yang sejenis dengannya

Maksiat akan menggalakkan pelakunya melakukan maksiat yang sama secara berulang kali,sehingga sukar kepadanya menghindarkan diri daripadanya. Sesetengah salafussoleh menegaskan:

"Antara balasan keburukan ialah melakukan keburukan selepasnya dan diantara balasan kebaikan ialah melakukan kebaikan selepasnya."

Seseorang hamba apabila melakukan kebaikan, berkatalah kebaikan yang lain disebelahnya: lakukan aku juga.Apabila ia melakukan kebaikan yang kedua ini, berkatalah kebaikan yang ketiga seperti mana yang dikatakan oleh kebaikan yang kedua, begitulah seterusnya.

Lantas dengan cara ini,ia mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.Begitulah juga yang berlaku kepada amalan keburukan,sehingga ketaatan atau maksiat menjadi satu institusi yang kukuh dan sifat yang tidak boleh bercerai tanggal dari diri manusia terlibat.

Apabila seseorang hamba meninggalkan amalan ketaatan, jiwanya akan menjadi sempit, malah bumi yang luas pun terasa sempit baginya. Ia akan merasakan dirinya tak ubah seperti ikan yang berpisah dari air.

Apabila seseorang penjenayah meninggalkan maksiat dan menumpukan kepada amalan ketaatan,di peringkat awalnya jiwanya merasa sempit, begitu juga dengan dadanya menjadi sesak.

Berapa banyak ahli fasiq melakukan maksiat, tetapi tidak merasa sebarang kelazatan dari maksiat yang dilakukannya,tetapi apabila ia cuba berpisah dari tabiatnya itu,ia akan merasa resah di peringkat awalnya.


11. Maksiat melemahkan keinginan hati.

Maksiat yang dilakukan boleh melemahkan keinginan hati dan menguatkan dorongan untuk melakukan maksiat lagi. Seterusnya melemahkan dorongan untuk bertaubat, sedikit-demi sedikit, sehingga tercabut terus dari hati keinginan untuk bertaubat.

Maksiat berterusan dilakukan dan berazam terus untuk melakukan iaitu ketagihan dalam melakukan maksiat. Pada peringkat ini maksiat telah menjadi penyakit kepada hati.


12. Rasa hilang jijik pada dosa.

Maksiat menyebabkan pelakunya tidak lagi memandang jijik kepada dosa. Dirinya tidak merasa bersalah dan tidak menganggap buruk mengenai perkara maksiat. Mereka bercakap tentang maksiat dan lebih teruk lagi ada yang berbangga-bangga dengan maksiat yang dilakukan, dengan memberi tahu pula apa yang dilakukan kepada orang lain.

Ingatlah sabda Nabi S.A.W " Setiap umatku akan diberi pengampunan kecuali orang yang terang-terangan melakukan maksiat"  


13. Amalan maksiat adalah pusaka kaum-kaum terdahulu.

Maksiat adalah pusaka peninggalan kaum terdahulu yang mungkar terhadap nikmat Allah SWT, dan pernah dibinasakan. Amalan homoseks misalnya adalah amalan kaum lut (Kaum Aad), menipu dalam timbangan - kaum Nabi Syuaib AS, melakukan kerosakan di bumi - warisan Firaun, sombong dan takabur - kaum Hud dan banyak lagi seperti yang diceritakan dalam sirah para anbiya.

Demikianlah 13 kemudaratan maksiat kepada masyarakat Islam khususnya, sekiranya maksiat menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Tulisan ini sekadar membugar ingatan dan peringatan kepada diri saya dan kepada pembaca blog ini. Dalam keadaan hari ini saluran maksiat terlalu banyak, hebat dan pantas malah lebih pantas daripada fiber optik dan teknologi nano. Semoga Allah SWT menjadikan kita kekuatan dan dipelihara daripada melakukan maksiat.