Wednesday, February 02, 2011

13 Kemudaratan Maksiat Kepada Umat Islam

Penulisan ini adalah ringkasan daripada bacaan saya terhadap topik bertajuk Kemudaratan Maksiat Kepada Umat Islam dalam buku Bukti Saintifik Pengharaman Khinzir oleh Basri Ibrahim, terbitan Darul Nukman, Kuala Lumpur.
  




Maksiat mempunyai kesan yang amat dashat kepada badan dan hati manusia, yang mana tidak terhitung jumlahnya selain ALLAH SWT sahaja yang mengetahuinya. Pertukaran segolongan masyarakat Yahudi di zaman nabi ALLAH DAUD AS sehingga ada dalam kalangan mereka dijadikan rupa kera dan babi adalah kerana maksiat. Maksiat mempunyai kesan-kesan yang lain, antaranya:

1.Sukar mendapat ilmu

Ilmu adalah cahaya yang dicampakkan oleh ALLAH SWT di dalam hati. Maksiat pula berfungsi memadamkan cahaya ini. Ketika Imam Asy-Syafie duduk di hadapan Imam Malik dan membaca Kitab di hadapannya, Imam Malik merasa ta'ajub dengan kepintaran yang dimiliki oleh Asy-Syafie dan kesempurnaan kefahamannya sehingga terkeluar dari mulut Imam Malik :

"Sesungguhnya saya melihat ALLAH SWT telah mencampakkan ke dalam hati anda cahaya, kerana itu jangan anda bergelumang dengan kegelapan maksiat".

Ujar Imam Asy-Syafie:

"Aku pernah pernah mengadu kepada guruku Imam Waki' tentang buruknya hafalanku lantas beliau menasihatiku supaya meninggalkan maksiat"

Jika masyarakat Islam turut bergelumang dengan berbagai maksiat, sudah pasti mereka diharamkan dari memperolehi ilmu. Jika mereka diharamkan dari memperoleh ilmu, bererti mereka kehilangan sumber cahaya dalam kehidupan mereka.


2.Sukar mendapat rezeki yang halal

Dalam Al-Musnad menjelaskan: "Sesungguhnya sesorang hamba itu diharamkan dari memperolehi rezeki dengan sebab dosa yang dilakukannya."

Ini menunjukkan jika maksiat berlaku dalam masyarakat Islam, amat sukar untuk mereka mendapatkan rezeki yang halal dan bersih,yang boleh membersihkan zahir dan batin mereka.


3.Wujud sifat liar di dalam hati.

Maksiat yang dilakukan oleh seseorang akan mewujudkan sejenis perasaan liar di dalam hati. Begitu juga yang dilakukan oleh masyarakat. Andai kata segala kelazatan yang ada di dunia ini, dikumpulkan untuk menghilangkan sifat liar ini, ia tidak dapat dihilangkan.

Seorang lelaki pernah mengadu kepada beberapa orang soleh tentang sifat liar yang ada di dalam hatinya. Jawab orang soleh itu:

"Apabila dosa-dosa yang anda lakukan melahirkan sifat liar di dalam hati anda,tinggalkanlah dosa-dosa itu.Tidak ada sesuatu yang paling sakit bagi hati dari sikap liar dan lupa untuk memuhasabah dosa-dosa yang dilakukan oleh sendiri."

Ini bermakna masyarakat yang bergelumang dengan maksiat akan menjadi masyarakat yang mempunyai hati-hati yang liar dan tidak cenderung kepada kerja-kerja kebaikan. Jika dilakukan juga hanyalah,kerana ingin mendapatkan sesuatu keuntungan atau mengelakkan dari menjadi bahan umpatan masyarakat.


4. Liar sesama individu masyarakat.

Maksiat melahirkan sifat liar sesama individu yang membentuk sesebuah masyarakat, lebih-lebih lagi dengan orang-orang yang soleh dan baik-baik.

Setiap kali sifat liar ini bertambah, semakin jauhlah seseorang dari individu masyarakat yang lain dan dari bercampur gaul dengan mereka, malah diharamkan dari mendapat berkat dari mereka. Ia semakin hampir dengan parti syaitan dan semakin jauh pula dengan parti Tuhan Ar-Rahman.

Sifat liar ini akan menjadi semakin kuat,sehingga memberi kesan kepada isteri, anak dan kaum kerabatnya. Seseorang dapat melihat sifat liar ini kepada keluarganya. Sesetengah salafussoleh pernah berkata:

"Sesungguhnya aku melakukan maksiat kepada ALLAH SWT,tiba-tiba aku melihat kesannya pada tingkah laku binatang dan isteriku."


5. Sukar melakukan tugas.

Maksiat membuatkan seseorang sukar untuk melakukan tugasnya. Setiap gerakerja yang dilakukannya, terasa tertutup atau sukar baginya, tidak sebagaimana sebelumnya. Sebaliknya orang yang bertakwa kepada ALLAH SWT, urusannya akan menjadi mudah. Begitulah kesan maksiat kepada tugas seharian seseorang.


6. Rasa gelap pada hati.

Maksiat akan menimbulkan gelap pada hati sesorang yang melakukannya, sebagaimana kegelapan malam yang hitam pekat. Kegalapan pada hati sama keadaannya dengan kegelapan pada mata yang zahir.


Mata peka pada cahaya, bayangkan ada mata tetapi buta maka kita tidak dapat melihat cahaya dan kita tidak dapat melihat alam maya ini. Begitulah hati apabila ia buta kita tidak dapat cahaya kebenaran. Ketaatan ialah cahaya, manakala maksiat pula ialah kegelapan.


7. Melemahkan badan dan hati

Maksiat mendatangkan kelemahan kepada badan dan hati. Kesannya dalam melemahkan hati begitu jelas, bahkan ia akan sentiasa melemahkannya sehingga akhir sekali hati masyarakat terlibat mati. Berhubung kesannya dalam melemahkan badan, sebenarnya kekuatan seseorang terletak kepada kekuatan hatinya.

Setiap kali hatinya bertambah kuat, semakin kuatlah badannya. Orang yang fasik walaupun mempunyai badan yang kuat, namun badan akan menjadi lemah di saat berhajat bantuan orang lain. Individu ini terpedaya dengan kekuatan bangsa Parsi dan Rom.

Mereka diperdayakan oleh kekuatan badan mereka yang zahir,lantas mereka dikalahkan oleh orang-orang yang beriman dengan kekuatan badan dan hati-hati mereka.


8.Diharamkan dari melakukan amalan ketaatan

Maksiat yang dilakukan oleh seseorang mahupun segolongan masyarakat meyebabkan mereka banyak luput amaln ketaatan. Andai kata tidak wujud dari dosa yang dilakukan balasan selain dari dihalang dari melakukan amalan ketaatan, maka halangan ini sudah cukup menggantikan balasan kepada maksiat yang dilakukannya.

Ia seterusnya akan mengganggu pelaksanaan amalan ketaatan berikutnya. Pendek kata,ia menyebabkan terhenti dan tergendala banyak amalan ketaatan.Padahal setiap satu dari amalan ketaatan ini,lebih baik daripada dunia dan isi kandungannya.

Kedudukan orang atau masyarakat yang melakukan maksiat tidak ubahseperti orang lelaki yang memakan satu makanan ,lantas menyebabkan ia sakit berpanjangan,sekaligus menghalangnya memakan makanan-makanan yang lebih baik dan bermutu dari yang dimakan sebelummnya.


9. Maksiat memendekkan umur dan menghilangkan berkat

Maksiat memendekkan umur dan menghilangkan berkat. Sebagaimana yang diketahui, keberkatan menambahkan umur, sebagainya kefasikan memendekkan umur. Ini tidak mengira samada umur individu mahupun umur masyarakat terlibat.

Ulama berselisih tentang hal ini kepada beberapa golongan. Satu golongan berpendapat yang dimaksudkan berkurangnya umur ahli maksiat, ialah hilangnya keberkatan umurnya. Pendapat ini benar, kerana kehilangan umur adalah sebahagian dari kesan maksiat.

Satu golongan berpendapat maksiat memendekkan umur seseorang sebenar-benarnya, sebagaimana ia mengurangkan rezekinya. ALLAH SWT menjadikan pada rezeki punca-punca yang boleh memperbanyak dan menambahkannya.

Begitu juga dengan keberkatan umur mempunyai sebab-sebab yang boleh menambah dan memperbanyakkannya. Golongan ini berpendapat penambahan tidak akan terhalang oleh sebab-sebab tertentu, sebagaimana ia boleh berkurang dengan sebab-sebab tertentu.

Rezeki, ajal, kebahagiaan, kecelakaan, kesihatan, penyakit, kekayaan dan kefakiran,walaupun berlaku dengan qadak Tuhan, tetapi ALLAH SWT menghukum mengikut apa yang dikehendaki,mengikut sebab-sebab yang dijadikannya sebagai penyebab kepada musabab.


10. Maksiat akan menggalakkan maksiat yang sejenis dengannya

Maksiat akan menggalakkan pelakunya melakukan maksiat yang sama secara berulang kali,sehingga sukar kepadanya menghindarkan diri daripadanya. Sesetengah salafussoleh menegaskan:

"Antara balasan keburukan ialah melakukan keburukan selepasnya dan diantara balasan kebaikan ialah melakukan kebaikan selepasnya."

Seseorang hamba apabila melakukan kebaikan, berkatalah kebaikan yang lain disebelahnya: lakukan aku juga.Apabila ia melakukan kebaikan yang kedua ini, berkatalah kebaikan yang ketiga seperti mana yang dikatakan oleh kebaikan yang kedua, begitulah seterusnya.

Lantas dengan cara ini,ia mendapat keuntungan yang berlipat kali ganda.Begitulah juga yang berlaku kepada amalan keburukan,sehingga ketaatan atau maksiat menjadi satu institusi yang kukuh dan sifat yang tidak boleh bercerai tanggal dari diri manusia terlibat.

Apabila seseorang hamba meninggalkan amalan ketaatan, jiwanya akan menjadi sempit, malah bumi yang luas pun terasa sempit baginya. Ia akan merasakan dirinya tak ubah seperti ikan yang berpisah dari air.

Apabila seseorang penjenayah meninggalkan maksiat dan menumpukan kepada amalan ketaatan,di peringkat awalnya jiwanya merasa sempit, begitu juga dengan dadanya menjadi sesak.

Berapa banyak ahli fasiq melakukan maksiat, tetapi tidak merasa sebarang kelazatan dari maksiat yang dilakukannya,tetapi apabila ia cuba berpisah dari tabiatnya itu,ia akan merasa resah di peringkat awalnya.


11. Maksiat melemahkan keinginan hati.

Maksiat yang dilakukan boleh melemahkan keinginan hati dan menguatkan dorongan untuk melakukan maksiat lagi. Seterusnya melemahkan dorongan untuk bertaubat, sedikit-demi sedikit, sehingga tercabut terus dari hati keinginan untuk bertaubat.

Maksiat berterusan dilakukan dan berazam terus untuk melakukan iaitu ketagihan dalam melakukan maksiat. Pada peringkat ini maksiat telah menjadi penyakit kepada hati.


12. Rasa hilang jijik pada dosa.

Maksiat menyebabkan pelakunya tidak lagi memandang jijik kepada dosa. Dirinya tidak merasa bersalah dan tidak menganggap buruk mengenai perkara maksiat. Mereka bercakap tentang maksiat dan lebih teruk lagi ada yang berbangga-bangga dengan maksiat yang dilakukan, dengan memberi tahu pula apa yang dilakukan kepada orang lain.

Ingatlah sabda Nabi S.A.W " Setiap umatku akan diberi pengampunan kecuali orang yang terang-terangan melakukan maksiat"  


13. Amalan maksiat adalah pusaka kaum-kaum terdahulu.

Maksiat adalah pusaka peninggalan kaum terdahulu yang mungkar terhadap nikmat Allah SWT, dan pernah dibinasakan. Amalan homoseks misalnya adalah amalan kaum lut (Kaum Aad), menipu dalam timbangan - kaum Nabi Syuaib AS, melakukan kerosakan di bumi - warisan Firaun, sombong dan takabur - kaum Hud dan banyak lagi seperti yang diceritakan dalam sirah para anbiya.

Demikianlah 13 kemudaratan maksiat kepada masyarakat Islam khususnya, sekiranya maksiat menjadi sebahagian daripada kehidupan kita. Tulisan ini sekadar membugar ingatan dan peringatan kepada diri saya dan kepada pembaca blog ini. Dalam keadaan hari ini saluran maksiat terlalu banyak, hebat dan pantas malah lebih pantas daripada fiber optik dan teknologi nano. Semoga Allah SWT menjadikan kita kekuatan dan dipelihara daripada melakukan maksiat.

Artikel Popular