Thursday, June 30, 2011

Teks Ucapan : Kejohanan Olahraga Kali Ke-21, 2011

TEKS UCAPAN ALU-ALUAN
PADA MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN OLAHRAGA TAHUNAN
SMK KULAI BESAR 2011


OLEH;
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTABIRAN
KHAMIS, 23 JUN 2011




BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM
ALHAMDULILLAH HIRABBIL ALAMIN
WASSALATU WASSALAMU ALA ASHRAFIL AMBIA IWALMURSALIN
WAALA ALIHI WASAHBIHI AJMAIN,
SELAMAT PAGI ,SALAM PERPADUAN, SALAM SATU MALAYSIA



Yang berusaha, EN ZALZAIFULKHAFIZ BIN SULAIMAN, Penolong PPD Sains & Matematik (Rendah), selaku wakil rasmi PPD Kulaijaya.

Yang Dihormati, En Syamsul Kamal bin Mohd Nasir, YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru.

Yang Dihormati, En Mohd Tahir bin Hj Ismail, GPK Kokurikulum, En Masa’ud bin Baharom – GPK HEM, Pn Norazzah binti Misban – GPK Petang, GKMP, Rakan-rakan Guru, AJK PIBG, Tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia Nya dapat kita bersama-sama berkumpul untuk menjayakan Majlis Perasmian Kejohanan Olahraga SMK Kulai Besar kali Ke-21, 2011.

Sidang hadirin yang berbahagia.

Sukan adalah satu kaedah untuk membina peribadi mulia dalam kalangan kita. Dengan memberi latihan yang sepadu merangkumi minda, fizikal, otot, saraf, emosi dalam lain-lain faktor sama ada dalaman atau luaran akan membentuk seorang murid yang patuh dengan aturan dan secara tidak langsung mendidik seorang atlet berhemah tinggi, bertanggungjawab, berdisiplin dan membina jati diri ke arah kepimpinan.

Sekolah ingin melihat murid boleh menjadi contoh atau role model kepada pelajar lain. Dalam sukan pelbagai perkara dipelajari dari patuh kepada arahan jurulatih sehinggalah membina kesepaduan pasukan menerusi kesabaran, ketetapan masa, bertolak ansur, bekerjasama dan sebagainya.

Saudara dan saudari sekalian,

Pihak sekolah sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang berkecenderungan memilih  kerjaya mereka dalam apa jua bidang sukan.

Sukan pada hari ini bukan setakat satu aktiviti hobi dan riadah, bahkan ia telah menjadi satu gaya hidup sihat, dan merupakan pelaburan terhadap kesihatan dan ekonomi yang menguntungkan.

Adalah tidak mustahil jika hari ini murid-murid yang berlari berkaki ayam di atas trek rumput tetapi pada satu hari nanti dengan bimbingan dan tunjuk ajar serta bakat yang ada murid tadi akan belari di persada trek antarabangsa mengibarkan bendera negara.

Dalam kejohanan sedemikian rupa kejayaan selalu menjadi pengukuran yang jitu. Selalunya juara menjadi kebanggaan semua pihak sama ada menerusi sanjungan, pujian dan pemberian insentif. Kesinambungan untuk mencipta nama di peringkat lebih tinggi perlu disemat di hati sanubari setiap murid untuk menjulang nama sekolah.

Untuk mencipta nama perlu kepada usaha yang gigih dan sepenuh tumpuan kepada latihan yang sepadu. Dalam hal ini atlet Malaysia amat beruntung kerana kerajaan sentiasa memberi pelbagai imbuhan dan kemudahan.

Dalam konteks sekolah semua murid amat bertuah sekali kerana pihak sekolah sentiasa memberi galakan dan dorongan yang berterusan serta memberi peluang yang seluas-luasnya kepada murid untukbergiat dalam bidang sukan.

Sememangnya aktiviti sukan sama ada sukan permainan atau sukan olahraga cukup penting kepada rakyat dan negara, khususnya generasi anak bangsa pewaris nusa yang tercinta. Selain dapat menjamin kecergasan, kecerdasan minda dan kesihatan, aktiviti sukan yang melibatkan murid daripada pelbagai kaum dan agama dapat memupuk semangat kesukanan dan perpaduan sekali gus mengeratkan tali silaturahim dan muhibah.

Aspek-aspek yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha kerajaan kita untuk membina negara bangsa, membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Sebagai mengakhiri ucapan alu-aluan ini sekali saya ingin mengambil kesempatan pada pagi yang meriah ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada EN ZALZAIFULKHAFIZ BIN SULAIMAN , EN SYAMSUL KAMAL BIN MOHD NASIR - YDP PIBG serta para tetamu yang telah sudi menerima undangan kami pada Majlis Perasmian Temasya Sukan Olahraga Tahunan kali yang ke-24, SMK Kulai Besar.


Sekian.

No comments:

Artikel Popular