Thursday, October 20, 2011

Teks Ucapan : Program Remaja Firdaus 2011

TEKS UCAPAN ALU-ALUAN PENOLONG KANAN (MEWAKILI PENGETUA)
MAJLIS PERASMIAN PROGRAM REMAJA FIRDAUS TAHUN 2011
PADA 20 OKTOBER 2011

Assalamualaikum Warahmatullahi wabarakatuh,

Terima kasih kepada pengacara majlis,

Yang Berbahagia Tuan Haji Fauzan bin Sukimi, Pegawai Pelajaran Daerah Kulaijaya,

Yang Amat Berusaha, Ustaz Indra Shahril bin Haji Ali, Pegawai Khidmat Nasihat, Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya,

Yang Berusaha Ustaz Mohd Noh bin Mustafa, Pegawai Penguasa, Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya,

Yang Dihormati Pegawai-pegawai dari Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya, Guru-guru kanan, guru-guru dan yang dikasihi semua murid sekalian.

Saya terlebih dahulu mengucapkan selamat datang kepada Yang Berbahagia Tuan PPD Kulaijaya ke SMK Kulai Besar bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Program Remaja Firdaus 2011. Selamat datang juga diucapkan kepada pegawai-pegawai daripada Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya ke sekolah kami.

Saya mewakili pengetua melafazkan penghargaan yang tidak terhingga kepada Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya, yang telah memilih sekolah kami untuk melancarkan program ini. Pemilihan sekolah ini pada hemat saya sangat bertepatan jika diambil kira dari aspek kepadatan murid Islam dan cabaran-cabaran gejala sosial yang sentiasa menggamit setiap langkahan murid-murid sekolah ini semasa ke sekolah.

Sidang hadiran sekalian, program ini umpama “Orang Mengantuk Disorongkan Bantal” kerana pihak sekolah sebenarnya sedang merancang beberapa aktiviti yang difikirkan dapat memberi kesedaran kepada remaja sekolah ini mengenai ancaman gejala sosial yang boleh menjebak mereka.

Untuk makluman Tuan PPD, program ini dibiayai oleh Pejabat Kadi Daerah. Program ini melibatkan sejumlah 200 orang murid Islam iaitu gabungan murid dari tingkatan 3 dan tingkatan 5. Untuk makluman Tuan PPD dan tuan-tuan dari Pejabat Kadi Daerah bilangan murid sekolah ini ialah seramai 1986 orang dan 1104 (55.56%) daripadanya adalah kaum Melayu.

Saya berharap program ini dapat memberi kesedaran kepada semua murid tentang bagaimanakah sebenarnya remaja harus mengatur kehidupan yang singkat ini mengikut landasan yang diredai Allah S.W.T.

Semoga ucapan Tuan PPD, sesi ceramah dan pameran yang di adakan ini dapat dihayati dan diikuti dengan keazaman yang kuat untuk anda berubah dan menjadi remaja yang berakhlak yang seterusnya bakal mewarisi kepimpinan pada masa hadapan.

“Remaja Hari Ini Adalah Pemimpin Hari Esok”, “Pemuda Harapan Bangsa, Pemudi Tiang Negara”, “Remaja Tunggak Negara”, itulah antara beberapa ungkapan yang kerap kita dengar apabila bercakap mengenai peranan remaja. Hakikat ini adalah satu kenyataan yang tidak boleh dinafikan oleh para remaja, baik yang lelaki mahupun yang perempuan.

Remaja hari ini akan membesar menjadi orang dewasa pada satu masa nanti dan remaja hari ini akan mengambil pucuk pimpinan negara, paling tidak pun bakal menjadi ketua kepada organisasi atau ketua keluarga apabila sudah berumah tangga.

Atas rasional inilah, Program Remaja Firdaus ini dilaksanakan oleh Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya di bawah Unit pembangunan Keluarga bagi membantu dan membimbing para remaja agar mempunyai jati diri yang kukuh, berilmu, beriman dan bertakwa serta mengamalkan nili-nilai murni dalam kehidupan. Remaja perlu dibimbing agar tidak terjebak dalam perkara yang merugikan masa hadapan diri, keluarga dan negara.

Cabaran dan halangan bagi membentuk kekuatan fizikal dan mental perlu diharungi dengan penuh optimis. Segala kelemahan dan kegagalan perlu ditangani berasaskan keimanan agar menjadi benteng serta terpelihara daripada perkara yang  meruntuhkan.

Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan kepada Tuan PPD yang sudi hadir melapangkan masa bagi merasmikan majlis ini. Terima kasih kepada Unit Pembangunan Keluarga, Pejabat Kadi Daerah Kulaijaya yang memilih sekolah ini untuk melancarkan program yang murni ini. Tidak dilupakan terima kasih kepada seluruh Jawatankuasa Kerja Program Remaja Firdaus 2011.

Sekian Wassalamualakum dan terima kasih






No comments: