Monday, June 25, 2012

Teks Ucapan Pelancaran Hari Koperasi Sekolah

TEKS UCAPAN MAJLIS PELANCARAN
HARI KOPERASI PERINGKAT SEKOLAH 2012

DISAMPAIKAN OLEH:

AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN
SMK KULAI BESAR



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera, salam perpaduan, salam satu Malaysia.

Yang dihormati En Masa’ud bin Baharom, Penolong Kanan Pentadbiran; En. Mohd Tahir bin Hj Ismail, PK Kokurikulum, GKMP, rakan-rakan guru dan yang dikasihi semua murid sekalian.

Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan kurnianya kita diberi kesempatan untuk hadir pada perhimpunan minggu ke 22 ini. Pada Perhimpunan kali ini telah  berpeluang untuk meraikan Sambutan Hari Koperasi Peringkat Sekolah bagi tahun 2012.

Untuk makluman warga sekolah, sambutan Hari Koperasi Sekolah ini telah diadakan serentak di seluruh negara bermula 11 Jun hingga 12 Julai 2012. Tema sambutan untuk tahun ini ialah Koperasi Membina Kesejahteraan Sejagat.

Sambutan Hari Koperasi Sekolah (HKS) telah mula diperkenalkan sejak tahun 1995 dengan aktiviti-aktiviti berasaskan pertandingan seperti kuiz koperasi, pidato, penulisan esei dan berpantun diperingkat zon, negeri dan kebangsaan.

Pada tahun 2006, HKS telah diubah format penganjuran apabila sambutan HKS dianjurkan sendiri oleh koperasi sekolah dengan pelbagai aktiviti berdasarkan garis panduan yang disediakan oleh pihak ANGKASA.

Sambutan HKS di peringkat sekolah ini diadakan bertujuan untuk memberitahu kepada warga sekolah dan masyarakat setempat akan kewujudan koperasi sekolah dan peranan yang dimainkan untuk mendidik murid-murid supaya mempunyai jatidiri yang murni selaras dengan prinsip, nilai dan amalan koperasi.

Pihak ANGKASA menyediakan garis panduan sambutan ini sebagai usaha memberikan panduan terbaik kepada pihak pengurusan koperasi sekolah untuk menganjurkan sambutan HKS dengan lebih mudah dan teratur. Ini terbukti, hasil daripada laporan yang diterima daripada pihak koperasi sekolah, koperasi sekolah berjaya melaksanakan HKS dengan jayanya.

Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada Ahli Lembaga Koperasi SMK Kulai Besar Kulaijaya Berhad kerana menjadi sebahagian daripada statistik dalam kalangan sekolah yang berjaya menunaikan tanggungjawab menganjurkan sambutan HKS seperti pada pagi ini.

Sambutan HKS telah secara tidak langsung telah berjaya menonjolkan koperasi sekolah sebagai satu entiti penting di sebuah sekolah dalam usaha menyemai nilai-nilai koperasi di kalangan anggota.

Saya dimaklumkan bagi sambutan hari tahun ini pelbagai aktiviti telah diatur. Antaranya ialah acara menanam pokok yang akan disempurnakan sebentar nanti, manakala aktiviti keusahawanan akan dilangsungkan pada Sabtu, 23 Jun 2012.

Saya berharap agar semua murid dan guru-guru melibatkan diri dalam menjayakan semua aktiviti sepanjang Hari Koperasi Sekolah. Gunakanlah ruang dan peluang yang ada untuk membina bakat keusahawanan, pengalaman berpersatuan, dan bantu-membantu selaras semangat koperasi selaras dengan tema Hari Koperasi Sekolah tahun ini, KOPERASI MEMBINA KESEJAHTERAAN SEJAGAT.

Dengan lafaz BISSMILLAHIRAHMAN NIRRAHIM, saya merasmikan sambutan Hari Koperasi Sekolah peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012. 

Sekian, Terima kasih.

Artikel Popular