Tuesday, July 10, 2012

Teks Ucapan : Alu-aluan Pengetua Pada Majlis Perasmian Kejohanan Padang dan Balapan Kali Ke-22


TEKS UCAPAN ALU-ALUAN TUAN PENGETUA SEMPENA MAJLIS PERASMIAN KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN
KALI KE-22 TAHUN 2012


Yang berbahagia, Yang Berhormat Chong Chin Liang, ADUN BUKIT BATU

Yang Dihormati, Datin Hasnah Binti Md Sem Pegawai PPD Daerah Kulaijaya

Yang Dihormati, Encik Samsol Kamal Bin Mat Nasir YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kulai Besar.

Yang Berusaha, Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Ahli Jawatankuasa PIBG, guru-guru, tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang dikasihi sekalian.

Salam sejahtera, Salam perpaduan   dan Salam Satu Malaysia

Saya mengambil  kesempatan ini  mengucapkan selamat datang  dan terima kasih atas kesudian YB Chong Chin Liang  untuk hadir dan seterusnya merasmikan  Kejohanan Padang dan Balapan SMK Kulai Besar kali Ke-22, 2012.

Sidang hadirin yang berbahagia.

Aktiviti sukan telah pun dijadikan sebagai fokus dalam sistem pendidikan pada hari ini yang akan menjadi aktiviti yang wajib dijalankan sepanjang tahun. Jadi, kejohanan Padang dan Balapan sekolah merupakan suatu wahana untuk mencapai wawasan negara dalam pembudayaan sukan dalam kalangan murid sekolah. Budaya sukan dalam kalangan semua murid adalah untuk memperlengkap kecemerlangan sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah pembinaan negara bangsa Malaysia.

Saudara dan saudari sekalian,

Pihak sekolah sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap keperluan pelajar ke arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang berkecenderungan memilih  kerjaya mereka dalam apa jua bidang sukan. Dasar 1 Murid 1Sukan yang diperkenalkan mewajibkan setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk melahirkan insan yang seimbang. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang tahun.

Dasar ini sebenarnya selaras dengan Dasar Sukan Negara yang bermatlamat untuk membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. Dasar sukan Negara  dimulakan di peringkat sekolah melalui dua strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan, sahsiah dan kesejahteraan kepada semua murid. Bagi strategi Sukan untuk Kecemerlangan pula, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi akan terus dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu landasan mendukung aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu padu.

Hadirin yang dihormati,

Selain memupuk perpaduan dalam kalangan murid berlainan bangsa, aktiviti sukan juga dapat memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Aktiviti  seperti ini memberikan akses kepada semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid zaman ini cenderung mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja dan beranggapan aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka. Jadi, mereka perlu disedarkan tentang kepentingan aktiviti sukan yang turut dinilai bagi melayakkan mereka memasuki pusat pengajian tinggi kelak.

Hadirin sekalian,

Aspek-aspek yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha kerajaan kita untuk membina negara bangsa, membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan institusi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

Sebagai mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali saya ingin mengambil kesempatan pada pagi yang meriah ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada YB Chong Chin Liang, Datin Hasnah Binti Md Sem, YDP PIBG serta para tetamu yang telah sudi menerima undangan kami pada Majlis Perasmian Temasya Sukan Olahraga Tahunan kali yang ke-22, SMK Kulai Besar.

Sekian, terima kasih.

Peranan Coaching dalam Revitalisasi Pendidikan Abad Ke-21

Shamsuddin bin Haron (Pegawai SIPartner+ PPD Kluang) shamsuddin.haron@moe.gov.my   Kertas kerja ini telah dibentangkan semasa K e...