Thursday, August 23, 2012

Teks Ucapan : Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan 2012.


TEKS UCAPAN YANG BERUSAHA PUAN TAN MOI YAN
PENGETUA SMK KULAI BESAR
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN PENGHAYATAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH 2012
 
Selamat Pagi, “Salam 1 Malaysia”, Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan dan Selamat Berpuasa kepada warga SMK Kulai Besar yang beragama Islam.
 
Yang Dihormati Encik Azman bin Safii, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum.
 
Yang Dihormati Encik Masaud bin Baharom, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
 
Yang Dihormati Encik Mohd Tahir bin Haji Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum.
 
Guru-guru Kanan  Bidang, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi.
 
Terlebih dahulu saya berasa gembira kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012. Sememangnya, kita sebagai rakyat di negara ini sangat bertuah kerana terus dikurniakan suasana kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera.
 
Guru-guru dan murid sekalian,
 
Pada tanggal 31 Ogos 2012 nanti, genaplah negara kita menyambut kemerdekaan untuk kali ke-55. Namun, saya percaya, dalam usia kemerdekaan yang baru melebihi setengah dekad, masih terdapat sebilangan masyarakat khususnya golongan generasi muda yang kurang arif mengenai peranan dan erti sebenar kemerdekaan yang telah dikecapi ini.

Pada zaman kini, erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata malah, kita seharusnya sentiasa peka dan menghindari penjajahan yang lebih merbahaya iaitu penjajahan mental melalui pengaruh-pengaruh budaya serta amalan negatif yang berasal dari Barat.

Jika dibiarkan, tentu negara kita akan dijajah sekali lagi meskipun bukan secara fizikal tetapi impaknya dilihat agak setaraf dan mungkin lebih parah. Saya sememangnya tidak mahu perkara itu berlaku khususnya dalam kalangan murid-murid SMK Kulai Besar.

Biarlah kita terus menanam semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran minda kelas pertama sekali gus mempertahan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara yang terdahulu.
 
Kita sebagai rakyat Malaysia, seharusnya berasa bangga dengan amalan budaya budi perkerti yang tinggi yang telah berjaya menyatupadukan seluruh rakyat yang berbilang kaum sekali gus mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai.

Kedaulatan yang kita nikmati inilah yang telah membolehkan negara kita membangun dengan pesatnya. Pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam yang baik disediakan untuk keselesaan rakyat jelata.

Lebih-lebih lagi kebijaksanaan para pemimpin dalam menyatupadukan rakyat sehingga akhirnya masyarakat di seluruh negara hidup dalam suasana aman dan harmoni.
 
Murid-murid sekalian,
 
Tahukah anda bahawa sebelum merdeka, tahap pendidikan penduduk Malaysia berada dalam keadaan daif dan sangat ketinggalan jauh? Tidak kelihatan bangunan sekolah-sekolah yang cantik dan bersih seperti sekarang. Kebanyakannya, dibuat daripada kayu papan dan kelihatan usang. Matapelajaran yang diajar pula sekadar untuk membolehkan rakyat tahu membaca. Tiada buku rujukan disediakan dan kebanyakan ilmu yang dituntut adalah bergantung kepada pengetahuan guru yang mengajar. Masyarakat kita kebanyakannya tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini kerana kedaifan hidup menjadikan mereka tidak berkemampuan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak. 
 
Setelah 55 tahun merdeka, keadaan ini sudah jauh berbeza. Sekolah-sekolah dibina di seluruh pelusuk negara dalam keadaan tersergam cantik dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti perpustakaan, asrama dan bilik komputer. Malah pendidikan telah menjadi sesuatu yang wajib kepada ibu bapa. Bantuan buku teks diberi kepada yang memerlukannya. Guru-guru yang mendidik mempunyai pengetahuan yang luas dan kurikulumnya diperkemaskan bukan sekadar untuk membolehkan rakyat membaca tetapi menjadi modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Sesungguhnya, kita mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012 ini supaya rakyat terutamanya warga SMK Kulai Besar akan lebih memahami, menghayati erti kemerdekaan dan mendalami maksud tema kemerdekaan pada kali ke-55 ini iaitu “55 Tahun: Janji ditepati”. 
 
Oleh itu, sekali lagi saya ingin menyeru kepada murid sekalian marilah kita bersama-sama berjuang untuk terus mengekalkan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang ini. Manfaatkanlah segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung. 
 
Para hadirin sekalian,
 
Oleh itu, kehadiran kita semua pada pagi, ini bukan hanya mewarnai program ini atau sekadar mahu bergembira bersama-sama rakan-rakan, tetapi adalah untuk menggambarkan betapa bangganya kita dan cintanya kita kepada tanah air. Ia bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, bukan setakat meneriakkan laungan Merdeka, tetapi memahami, menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. 
 
Para hadirin sekalian,
 
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012 dan menyeru agar mengibarkan Jalur Gemilang di semua tempat yang sesuai sama ada di kenderaan, kediaman, pejabat, premis perniagaan dan bangunan.

Semoga langkah tersebut akan menyemarakkan lagi semangat patriotisme kita kepada tanah air tercinta ini. Saya difahamkan ahli jawatankuasa penganjur telah membuat persiapan dan persediaan yang begitu rapi sejak beberapa minggu yang lepas. Mari kita berikan tepukan yang gemuruh kepada ahli jawatankuasa penganjur.

Sesungguhnya, kerjasama baik yang telah ditunjukkan ini juga boleh diterjemahkan dalam program-program akan datang, lebih-lebih lagi dalam memberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan mempertahan kemerdekaan negara Malaysia yang kita cintai ini. 
 
Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012.
 
Sekian, terima kasih.