Tuesday, April 30, 2013

Tawaran Baru Pengetua


 
En Zainal Buang, Pengetua SMK Taman Mutiara Rini 2, Johor Bahru
menerima Anugerah TBP 2011 daripada YAB Tan Sri TPM/Menteri Pelajaran  

 
Pada 27 Julai 2009, YAB Perdana Menteri telah membentangkan secara terperinci enam (6) teras dalam Bidang Keberhasilan Utama Negara [National Key Result Areas (NKRA)] di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) yang menekankan ‘Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan’.
 
Salah satu daripada enam teras tersebut ialah meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan. Bagi mencapai hasrat tersebut satu sub-NKRA Pendidikan telah diperkenalkan iaitu Tawaran Baru (New Deals) kepada Pengetua dan Guru Besar berdasarkan Penilaian Berasaskan Pencapaian (Performance Based Assessment) yang dibuat melalui Bai’ah atau Kontrak Penjanjian.
 
Pelaksanaan Tawaran Barukepada Pengetua dan Guru Besar  merupakan pengiktirafan kerajaan Malaysia terhadap kepentingan peranan dan tanggungjawab pemimpin sekolah dalam membangunkan modal insan kelas pertama melalui pencapaian murid sekolah. Kerajaan berharap dengan menyediakan ganjaran yang menarik ini, pemimpin sekolah akan sentiasa berusaha meningkatkan kecemerlangan prestasi mereka.
 
Tawaran Baru kepada Pengetua dan Guru Besar telah mula dilaksanakan pada tahun 2010 ke atas semua Pengetua dan Guru Besar yang telah berada di sesebuah sekolah yang dinilai sekurang-kurangnya bagi tempoh enam (6) bulan. Prestasi Pengetua atau Guru Besar diukur berdasarkan kombinasi skor Gred Purata Sekolah (GPS) peperiksaan awam dan skor PKS-SKPM 2003. Menerusi Tawaran Baru Kepada Pengetua, pencapaian prestasi Pengetua diukur berdasarkan dua (2) kategori iaitu ;
 
I)              Sekolah yang melepasi sasaran 88.00 peratus Skor Komposit (SK) dan ke atas, atau
II)            Melonjak kedudukan (ranking) sekolah berbanding kedudukan tahun sebelumnya.
 
Di bawah kategori melonjak kedudukan (ranking), dua (2) pencalonan sekolah yang layak ditentusahkan (verifikasi) iaitu Lonjakan Perdana (LP) dan Enrolmen Besar (EB). Bagi kategori LP sekolah perlu melonjak sekurang-kurangnya 300 kedudukan berbanding tahun sebelumnya. Manakala  bagi kategori EB yang mempunyai enrolmen 1500 dan ke atas, sekolah perlu melonjak sekurang-kurangnya 200 kedudukan berbanding tahun sebelumnya.
 
Senarai sekolah disenarai pendek oleh Pejabat Pelaksanaan Pengurusan [Delivery Management Office(DMO)], Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) layak ditentusahkan atau diverifikasi oleh JNJK. JNJK akan melaksanakan pemeriksaan ke atas sekolah-sekolah yang layak dicalonkan bagi menentusahkan skor PKS-SKPM masing-masing.
 
Selepas pemeriksaan oleh JNJK serta tapisan oleh Bahagian Pengurusan Sumber Manusia (BPSM) dan Bahagian Audit Sekolah (BAS), Jawatankuasa Induk Bayaran Insentif Tawaran Baru (BITB) akan menentukan kedudukan sebenar sekolah untuk dipertimbang dan diperakubagi menerima BITB. Di samping itu, Pengetua juga perlu mematuhi syarat-syarat tambahan berikut:

 
a)    Markah Laporan Nilaian Prestasi Tahunan (LNPT) pada tahun dinilai berada atau melebihi 90.00 peratus;
b)    Bebas daripada tindakan tatatertib pada tahun dinilai; dan
c)    Tiada laporan audit berteguran pada tahun dinilai

 
Pemeriksaan ini adalah penting untuk menentusahkan skor PKS-SKPM tahun dinilai bagi membantu DMO memilih Pengetua yang layak menerima ganjaran BITB tahun dinilai. Sekolah-sekolah yang berada pada zon kelayakan akan dikunjungi oleh JNJK bagi tujuan penentusahan dalam pemeriksaan yang dinamakan Pemeriksaan Khas Tawaran Baru Kepada Pengetua.
 
Menerusi pemeriksaan ini JNJK akan hadir selama seharian di sekolah bagi maksud menentusahkan skor Penarafan Kendiri Sekolah menggunakan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (PKS-SKPM) 2003. Kaedah Penentusahan yang akan dilaksanakan merangkumi pemeriksaan terhadap aspek semakan dokumen sekolah, pencerapan pengajaran dan pembelajaran, pemerhatian dan temu bual. Bagi tujuan ini empat instrumen akan digunakan iaitu;

 
a)    Instrumen Pemastian Standard SKPM-Sekolah;
b)    Instrumen Pemeriksaan Khas Tawaran Baru Kepada Pengetua;
c)    Instrumen Pemeriksaan Khas Tawaran Baru Kepada Pengetua Tahun  - Sekolah Berprestasi Tinggi; dan
d)    Standard 4: Pembelajaran dan Pengajaran

 
Pencerapan pengajaran dan pembelajaran adalah aspek yang sangat penting dan merupakan syarat wajib khususnya pencerapan terhadap pengetua. JNJK juga boleh memantau penolong-penolong kanan dan guru-guru mengikut opsyen JNJK yang hadir. Pengenalan Tawaran baru Pengetua merupakan pengiktirafan kepada Pengetua dan Guru Besar dalam usaha mereka melonjakkan kecemerlangan sekolah. Syabas dan tahniah kepada sekolah-sekolah yang berjaya.