Thursday, October 26, 2017

Peranan Coaching dalam Revitalisasi Pendidikan Abad Ke-21



Oleh;
Shamsuddin bin Haron (Pegawai SIPartner+ PPD Kluang)

 (Kertas kerja ini telah dibentangkan di Kenferensi Pendidikan Nasional 
di Kota Tinggi pada 2016)

Pengenalan

Era kemajuan Negara terkini menyaksikan pendidikan bergerak seiring untuk melahirkan masyarakat Malaysia yang berilmu, berpotensi, dan berdaya saing dalam menghadapi cabaran globalisasi masa kini. Demi merealisasikan matlamat mencapai tahap negara maju pada tahun 2020, kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah mengorak langkah untuk menangani pelbagai isu dan masalah dalam sistem sedia ada bagi memastikan sistem pendidikan terus relevan, bersifat dinamik dan sesuai dengan persekitaran yang berubah.

Sehubungan itu, melalui program tranrsformasi kerajaan, banyak aspek penting dalam pendidikan telah diubah dan diperbaiki atau diperbaharui. Langkah tersebut diambil bagi memastikan rakyat Malaysia sentiasa mendapat perkhidmatan pendidikan yang berkualiti. Hal ini kerana, transformasi pendidikan yang menjadi agenda utama dikebanyakkan negara pada masa kini bertujuan untuk meningkatkan kualiti pendidikan sedia ada (Hallinger & Bryant, 2014).

Rasionalnya, ekonomi negara yang kompetatif sangat berkait rapat dengan sumber manusia yang dilahirkan oleh institusi pendidikan (Shobing, Jiafang and Hallinger, 2013). Sebagai negara yang pesat membangun, Malaysia turut tidak terkecuali daripada desakan ini.

Bagi mempercepat penambahbaikan prestasi murid secara berkesan, berterusan dan menyeluruh, KPM memberi tumpuan kepada aspek yang memberi impak besar kepada prestasi murid seperti kualiti guru, kaedah pembelajaran yang dilaksanakan dan kompetensi kepimpinan pemimpin sekolah. Hal ini dinyatakan dengan jelas dalam 9 Bidang Keutamaan dan 11 Anjakan yang terkandung dalam PPPM 2013-2015 (KPM, 2013).

KPM telah merancang untuk melaksanakan PPPM 2013-2015 dalam tiga fasa atau gelombang. Gelombang pertama pelaksanaan, iaitu dari tahun 2013 hingga 2015 bermatlamat untuk mengubah sistem dengan memberi sokongan kepada guru dan memberi fokus kepada kemahiran utama. Bagi mempercepatkan peningkatan prestasi sekolah dan mengurangkan jurang pencapaian antara sekolah, Program Transformasi Daerah atau District Transformation Program (DTP) dijadikan satu strategi utama bagi menyediakan sokongan yang menjurus kepada sekolah (KPM, 2014).

Inisiatif School Improvement Partner (SIPartner+) merupakan inisiatif utama dalam DTP bagi memberi bimbingan dan sokongan kepada pemimpin sekolah dalam membangunkan organisasi sekolah yang mereka pimpin, sementara inisiatif School Improvement Specialist Coach (SISC+)  pula bermatlamat untuk memberi bimbingan dan sokongan kepada guru dalam melakanakan pembelajaran berkualiti menggunakan pendekatan terkini terutamanya melibatkan pedagogi abad ke-21 (Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, 2015 ; Kementerian Pendidikan Malaysia, 2013). Melalui inisiatif ini, para pemimpin sekolah dan guru tidak akan berasa keseorangan dalam memimpin dan memajukan sekolah mahupun melaksanakan pembelajaran abad ke-21 di bilik darjah. Implikasinya, mutu perkhidmatan yang mereka berikan akan meningkat.

Refleksi Terhadap Pelaksanaan inisiatif SIPartner+, SISC+ dan PAK21

Kini PAK21 telah dilaksanakan di banyak sekolah dan peranan yang  dimainkan oleh pegawai SIPartner+ dan SISC+ telah dapat dirasai di kebanyakan sekolah. Sehubungan itu, terdapat keperluan untuk menilai keberkesanan pelaksanaannya bagi membolehkan usaha-usaha pembetulan dan penambahbaikan dapat dilaksanakan. Sebagai satu inisiatif baharu, keberkesanan pelaksanaannya perlu dipantau dan disemak agar hasrat untuk melahirkan global players yang mempunyai ciri-ciri seperti dalam 6 Aspirasi murid akan tercapai. Oleh itu, bahagian ini akan membincangkan dengan lebih lanjut tentang keberkesanan pelaksanaan PAK21, inisiatif SIPartner+ dan SISC+ serta keselariannya dengan ciri perubahan berkesan.

a) Teori perubahan yang berkesan

Menurut Fullan (2006), teori-teori perubahan yang digunakan untuk memajukan sekolah dapat membantu pemimpin sekolah mengenal pasti strategi yang berkesan untuk mencapai matlamat perubahan yang diharapkan. Beliau juga menyatakan bahawa teori perubahan yang berkesan perlu berasaskan kepada tujuh aspek seperti yang digambarkan dalam Rajah 1 yang berikut:




  
Rajah 1 :  Kerangka Konsep Teori Perubahan yang Berkesan (Fullan, 2006)

Berdasarkan pandangan Fullan seperti di atas, teori perubahan yang berkesan perlu melibatkan aspek-aspek tertentu seperti memberi fokus terhadap motivasi warga sekolah, melaksanakan bina upaya dengan memberi fokus terhadap pencapaian, menggalakan proses pembelajaran guru mengikut konteks tempat kerja, melaksanakan  perubahan berdasarkan konteks, membuat refleksi terhadap tindakan yang telah diambil, melibatkan semua warga di semua peringkat dan mempunyai semangat yang cekal serta fleksibel untuk terus berada pada landasan yang betul.

Kajian yang dilaksanakan oleh Mohamad Mahadi dan Shamsuddin Haron (2017) tentang  pelaksanaan PAK21 di beberapa sekolah di daerah Kluang dan Kota Tinggi khususnya program-program yang melibatkan pegawai SIPartner+, SISC+ dan pemimpin sekolah mendapati bahawa pelaksanaannya menepati hampir kesemua aspek yang digariskan.

Ringkasnya, PAK21 yang dilaksanakan telah memberi motivasi kepada warga sekolah, memungkinkan berlakunya aspek bina upaya dengan memberi fokus terhadap pencapaian, menggalakan proses pembelajaran guru mengikut konteks tempat kerja, mendorong mereka membuat refleksi terhadap tindakan yang telah diambil, melibatkan semua warga di semua peringkat dan memupuk semangat yang cekal serta fleksibel untuk terus berada pada landasan yang betul.

Sebagai contoh, pelaksanaan PAK21 di dua daerah yang dikaji telah memberi fokus terhadap aspek bina upaya di mana pegawai-pegawai SISC+ telah berperanan sebagai jurulatih utama kepada guru-guru yang mereka bimbing dalam usaha untuk meningkatkan kemahiran mereka menggunakan pedagogi abad ke-21 (SISC+ Kluang, 2015).

b) Kajian keberkesanan inisiatif SIPartner+ dan SISC+

Terdapat beberapa kajian yang telah dilaksanakan bagi mengenal pasti status keberkesanan pelaksanaan inisiatif SIPartner+ dan SISC+ di Malaysia. Antaranya adalah kajian yang dilaksanakan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan (EPRD) berkaitan keberkesanan pelaksanaan program rintis SIPartner+ dan SISC+ di Sabah dan Kedah.

Kajian ini membuktikan bahawa pelaksanaannya telah memberi kesan terhadap peningkatan prestasi peperiksaan awam terutamanya UPSR di sekolah rendah dan SPM di sekolah menengah bagi kedua-dua negeri tersebut (KPM, 2014). Sementara itu, kajian Zakaria Othman et. al. (2014) berkaitan impak bimbingan pegawai SIPartner+ dan SISC+ terhadap pencapaian sebuah sekolah kebangsaan berprestasi rendah di daerah Tuaran,

Sabah menunjukkan bahawa prestasi sekolah dalam peperiksaan UPSR telah meningkat dari aspek kualiti (GPS dan peratus mendapat semua A) dan kuantiti (peratus menguasai). Manakala kualiti guru dalam PdP dan kemenjadian murid dalam bidang akademik, sahsiah dan kokurikulum turut meningkat selepas guru besar mendapat bimbingan daripada pegawai SIPartner+ dan guru-guru mendapat bimbingan daripada pegawai-pegawai SISC+.  

Kajian kuantitatif menggunakan soalselidik yang dilaksanakan oleh Shamsuddin Haron et. al. (2015) yang dijalankan bagi menilai keberkesanan peranan SIPartner+ di daerah Kluang pula menunjukkan bahawa pegawai SIPartner+ telah dapat memainkan peranannya dengan cemerlang dalam memberi sokongan dan bimbingan kepada pengetua dan guru besar dengan ketiga-tiga Domain Keberkesanan Peranan SIPartner+ iaitu Pelaksanaan Coaching, Hubungan Coach-Coachee dan Impak Bimbingan SIPartner+ mencapai skor min yang tinggi iaitu melebihi 4.5 berdasarkan 5 skala likert yang digunakan.  

Pada masa yang sama, kajian yang dibuat oleh SISC+ Kluang (2015) mendapati bahawa kebanyakkan guru-guru yang mereka bimbing (GDB) telah menunjukkan motivasi yang tinggi untuk meningkatkan kemahiran mereka menggunakan pedagogi yang lebih menarik. Kebanyakkan mereka juga turut berasa puas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh SISC+.


Tidak dapat dinafikan bahawa sebilangan mereka sangat bermotivasi dan teruja untuk mengambil sesuatu tindakan dengan cepat dan berkesan sementara ada juga GDB yang memerlukan masa yang agak lama untuk berubah kepada pedagogi yang lebih terkini. Oleh itu, kajian turut mencadangkan agar pemimpin sekolah perlu memainkan peranan yang lebih aktif dalam memberi motivasi kepada warga sekolahnya dan seterusnya menyediakan pelbagai kemudahan, peralatan dan bekalan bahan yang mereka perlukan bagi menjayakan PAK21.

No comments:

Artikel Popular