Sunday, October 7, 2018

Kepimpinan Teragih Dalam Amalan Kepimpinan di Sekolah


Kepimpinan Teragih (KT) bermula sekitar tahun 1950-an dan 1960-an. Chester Barnard (1968) mendapati bahawa "kuasa kepimpinan" (authority of leadership) adalah tidak terhad kepada mereka yang memiliki jawatan eksekutif sahaja. Pada 1970-an, Daniel Griffiths,  membawa keluar pemahaman mengenai kepimpinan  dari "kepimpinan" kepada "tindakan untuk memimpin" (acts of leading). Beliau berpendapat kepimpinan bukan sahaja ada pada diri seorang pemimpin, iaitu mereka yang mempunyai kuasa dan kedudukan rasmi atau jawatan, tetapi juga dalam kalangan mereka yang berada di luar kedudukan itu.

Kepimpinan teragih adalah teori kepimpinan yang memberi fokus terhadap amalan kepimpinan yang berasaskan kepada perkongsian kepimpinan secara kolektif. Kepimpinan dilakukan berdasarkan kepakaran yang ada dalam organisasi dan bukannya sekadar peranan dari seorang pemimpin semata-mata. Kepimpinan Teragih bukanlah bermaksud mendelegasikan tugas kepada subordinat, sebaliknya Kepimpinan Teragih melibatkan struktur kepimpinan yang lebih luas skopnya dengan kesedaran bahawa perkongsian kepimpinan adalah penting untuk memaksimumkan impak terhadap organisasi.

Kepimpinan Teragih adalah satu pendekatan yang melihat  tugas utama seseorang pemimpin itu adalah mengenai usaha mempertingkatkan kemahiran dan pengetahuan anggota dalam organisasi, mewujudkan penerimaan terhadap budaya dalam organisasi, berpegang kepada kepelbagaian dalam organisasi secara bersama dalam satu hubungan yang lebih produktif antara satu sama lain, serta memastikan setiap individu bertanggungjawab terhadap sumbangan yang mereka berikan agar dapat menghasilkan kualiti kerja yang kolektif.

Kepimpinan Teragih adalah lebih daripada sekadar dari mewakilkan kerja-kerja kepada orang lain. Namun, Ia adalah mengenai membina hubungan yang kukuh dengan guru-guru dan kakitangan lain. Kepimpinan teragih hanya bertahan apabila ada hubungan yang sihat, saling mempercayai dan menyokong antara pemimpin pertengahan dan Pengetua.

Pada abad ke-21 ini, peranan pemimpin atau Pengetua dan Guru Besar (PGB) di sekolah sebagai hero sudah tidak lagi relevan. Zaman PGB yang hebat adalah PGB yang serba tahu sudah berlalu. Zaman telah berubah, maka amalan kepimpinan seharusnya berubah selari dengan cabaran dan perkembangan semasa. Menurut Profesor Alma Harris, Kepimpinan Teragih adalah kepimpinan di sekolah yang mengamalkan pendekatan yang berikut;

1) Pemimpin yang mengamalkan tanggungjawab kepimpinan secara kolektif, berbanding pendekatan tradisional yang memberi fokus kepada kepimpinan atas ke bawah (top-down leadership)

2) Kepimpinan Teragih dibina berasaskan kepada perkongsian dalam tindakan dan interaksi dalam kalangan guru yang sihat. 

3) Kepimpinan Teragih menawarkan pelbagai perspektif alternatif dalam memimpin sekolah. Ia bermaksud tidak hanya terdapat satu alternatif model kepimpinan sahaja untuk mentransformasikan sekolah. Sebaliknya Kepimpinan Teragih memberi peluang kepada PGB untuk bekerja dalam persekitaran sekolah dengan pendekatan yang berbeza dengan penglibatan banyak pihak berbanding hanya satu atau dua pihak sahaja. 

4)    Kepimpinan Teragih adalah kepimpinan yang menggunakan pendekatan secara kolektif dan menumpukan usaha kepada pembangunan kapasiti di sekolah.

Terdapat pihak yang menimbulkan mempersoalkan adakah Kepimpinan Teragih ini akan menyebabkan berlakunya pertindanan kuasa dalam kepimpinan di sekolah, atau adakah Kepimpinan Teragih menyebabkan PGB akan menyerahkan kuasa membuat keputusan kepada subordinatnya? Jawapannya adalah tidak! Berikut adalah berapa hujah yang menjelaskan lebih lanjut tentang perkara ini; 

1) Kepimpinan Teragih tidak menjadikan berlakunya pertindanan tanggungjawab kepimpinan (leaders redundant), sebaliknya Kepimpinan Teragih memberikan mereka tanggungjawab untuk melibatkan pihak lain yang terdapat di sekolah, dalam suasana emosi kerja yang positif (emotif) ke arah pembinaan hubungan saling percaya mempercayai dan kolaboratif dalam memajukan sekolah. 

2)    Iklim persekitaran kerja yang emotif, untuk membina perhubungan yang kolaboratif dan saling percaya mempercayai, adalah teras kepada kejayaan dalam melaksanakan perubahan atau inovasi di sekolah. 

3)    Kepimpinan Teragih bukanlah satu penyelesaian kepada permasalahan dalam isu-isu kepimpinan, namun sekiranya PGB mahu penambahbaikan sekolah yang berkekalan, sekolah perlu meningkatkan kapasiti intelek dan kepimpinan warganya. Kepimpinan Teragih adalah salah satu cara yang sangat berharga dalam meningkatkan aspek ini.

PGB yang mahu menggunakan pendekatan Kepimpinan Teragih dalam amalan pengurusan di sekolah, perlu meningkatkan kemahiran dalam interaksi dan komunikasi. PGB juga harus tahu bagaimana berkomunikasi secara positif dengan pemimpin berpotensi yang terdapat dalam organisasinya. Ini bagi membolehkan mereka mengenal pasti dan memahami lebih lanjut tentang potensi kepimpinan yang ada dalam kalangan guru-guru, supaya Kepimpinan Teragih dapat diamalkan dengan jayanya di sekolah.

Sebagai rumusannya, Kepimpinan Teragih sangat penting untuk dijadikan amalan kepimpinan di sekolah. PGB seharusnya melihat bahawa kepimpinan adalah mengenai tanggungjawab yang seharusnya perlu dipikul secara kolektif dan dinamik. Kepimpinan Teragih membenarkan persekitaran tempat kerja dan pelaksanaan tugas secara emotif (emosi yang positif). Suasana kerja yang emotif ini adalah ramuan yang penting dalam melaksanakan perubahan. Kepimpinan Teragih berupaya menggembleng semua pihak untuk terlibat dan memberi komitmen dalam membentuk perhubungan yang saling percaya mempercayai dan semangat kerja kolaboratif. Tanpa suasana kerja yang emotif ini, amatlah sukar untuk sesuatu perubahan dan inovasi untuk berjaya. PGB perlu menyedari bahawa amalan kepimpinan terbentuk daripada proses interaksi kepimpinan, pengikut dan situasi.

Bagi tujuan pembangunan kapasiti Kepimpinan Teragih dalam kalangan PGB selaku pemimpin di sekolah, saya telah menyusun empat Modul Kepimpinan Sekolah berkaitan Kepimpinan Teragih. Modul ini boleh digunakan oleh SIPartners+ untuk membangunkan kompeten PGB mengenai Kepimpinan Teragih; 

1)    Proforma Modul 
2)    Kepimpinan Teragih 
4)    Soal selidik Kepimpinan Teragih

Semoga dapat dimanfaatkan

No comments: