الحمد لله رب العالمين، والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين، وعلى آله وصحبه أجمعين، اللهم صل على سيدنا محمد صلاة تنجينا بها من جميع الأهوال والآفات، وتقضي لنا بها جميع الحاجات، وتطهرنا بها من جميع السيئات، وترفعنا بها عندك أعلى الدرجات، وتبلغنا بها أقصى الغايات من جميع الخيرات في الحياة وبعد الممات، وعلى آله وصحبه وسلم تسليماً كثيراً.
Assalamualaikum, Salam Sejahtera dan Salam Kota Tinggi Mengungguli Sehati Memperkasa Bangsa
Terima kasih Saudara / Saudari Pengacara Majlis
1.0 ) SERAFAK SYUKUR DAN SEJUNJUNG TERIMA KASIH:
Hadirin yang dihormati.
1) Alhamdulillah, puji dan syukur kehadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya kita diberikan kesempatan untuk bersama-sama hadir - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024 Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi serta Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru dan Anugerah Tokoh Guru Tahun 2025.
2) Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada Yang Berhormat Cik Norlizah binti Noh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Johor Lama kerana sudi hadir bagi menyerikan majlis kita pada hari ini. Sudah pasti kehadiran Yang Berhormat akan memberi inspirasi kepada warga pendidikan di daerah Kota Tinggi untuk teguh menjunjung aspirasi Kota Tinggi Mengungguli, Johor Leads, dan Maju Johor.
3) Sekalung ucapan terima kasih kepada semua tetamu jemputan, para penerima anugerah, serta hadirin warga pendidikan daerah Kota Tinggi, yang sudi berhimpun di dewan ini untuk bersama-sama menjayakan dan memeriahkan majlis yang sangat bermakna dalam dunia pendidikan - Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2024 Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi, serta Anugerah Tokoh Kepimpinan Guru, dan Anugerah Tokoh Guru 2025.
4) Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada seluruh jawatankuasa yang menjadi tulang belakang penganjuran majlis pada hari ini. Tanpa kudrat di sebalik tabir ini pasti majlis kita akan pincang dan tempang.
2.0 ) BINGKISAN TAHNIAH KEPADA PENERIMA ANUGERAH:
Tuan-tuan dan Puan-puan yang dihormati,
5) Anugerah Perkhidmatan Cemerlang serta Tokoh Kepimpinan Guru dan Tokoh Guru yang dianjurkan saban tahun merupakan manifestasi apresiasi pihak kerajaan terhadap kecemerlangan kerja yang ditunjukkan oleh anggota perkhidmatan awam dalam bidang pendidikan.
6) Justeru, saya ingin mengucapkan tahniah kepada barisan penjawat awam di bawah payung Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi yang terpilih sebagai penerima anugerah pada hari ini. Pada hari ini kita akan sama-sama menyaksikan penyerahan 294 APC kepada warga pendidikan kota tinggi.
7) Ada dalam kalangan penerima pengetua, ada guru besar, guru dan AKP. Saya berhadapan dalam dewan ini adalah kumpulan guru-guru cemerlang prestasi. Cemerlang dalam pelbagai bidang sama ada dalam kepimpinan dan organisasi, cemerlang dalam pengurusan organisasi, cemerlang dalam bilik darjah dan cemerlang dalam pembangunan bakat murid. Kemuncak kepada kecemerlangan ini bagi guru adalah pengiktirafan yang diberi oleh komuniti pendidikan daerah ini kepada tokoh guru dan tokoh kepimpinan yang akan diumumkan sebentar nanti.
3.0 ) BUDAYA PERKHIDMATAN CEMERLANG NADI PENDIDIKAN NEGARA TERBILANG
Tuan-tuan dan puan-puan,
8) “Kota Rom tidak dibina dalam masa sehari”. Negara Jepun juga tidak muncul sebagai Naga Asia dalam sehari selepas keruntuhan Hiroshima dan Nagasaki.
9) Sewaktu Perang Dunia Kedua, Maharaja Hirohito tidak bertanya berapa kerugian yang dialami oleh negara Jepun, sebaliknya ditanya berapa orang guru yang masih ada untuk mereka membina semula kekuatan tamadun bangsa. Besar maknanya pendidikan dalam sejarah keagungan tamadun dunia.
10) Penentu nadi hidup atau matinya jasad tamadun negara bangsa, kita selaku warga pendidikanlah jantungnya yang berjuang menggerakkan roh pendidikan ke segenap saraf pembangunan modal insan. Bila modal insan dalam sesebuah negara dibangunkan dengan sempurna, barulah sempurna namanya tamadun bangsa.
Tuan-tuan dan puan-puan,
11) Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 dengan 3 gelombang transformasi pendidikan akan berakhir pada penghujung tahun ini. Di dewan ini, mari kita toleh ke tahun 2013, kita kira berapa langkah menuju tarikh 31 Disember 2025, dan fikir sejenak apakah yang telah kita semai, apakah yang telah kita tuai, apa urusan yang masih belum selesai, apa pula hala tuju selepas Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 usai.
12) Perjuangan warga pendidikan tidak tamat sehingga tarikh 31 Disember 2025. Kementerian Pendidikan Malaysia telah membentangkan agenda Kurikulum Persekolahan 2027 untuk kita bersama-sama membahu kudrat, memikul amanat, meneruskan agenda perjuangan pendidikan negara.
13) Mendepani cabaran pendidikan mendatang memerlukan seluruh warga pendidikan daerah Kota Tinggi untuk siap siaga dengan pengetahuan dan kemahiran, penguasaan teknologi maklumat dan komunikasi terkini, kemahiran insaniah, dinamika organisasi, jaringan dan jalinan kolaboratif, serta budaya profesionalime cemerlang.
14) Budaya perkhidmatan berkualiti dan cemerlang merupakan aset utama kejayaan sesebuah organisasi. Tuan-tuan, puan-puan dan saya yang berada di dewan ini merupakan aset sektor perkhidmatan negara.
15) Jika ada intan, jangan dibiar pudar di tangan – gilaplah agar terus bergemerlapan. Dalam memimpin hala tuju pendidikan Kota Tinggi, ayuh kita bersama-sama menyemai Prinsip dan Budaya Kerja 5K:
a. Komitmen: Setiap warga pendidikan perlu mempunyai dedikasi tinggi dalam melaksanakan tanggung jawab dengan pernuh integriti dan kesugguhan.
b. Kompeten: Pemimpin dan warga pendidikan perlu sentiasa meningkatkan keupayaan dan kemahiran melalui pembelajaran sepanjang hayat, pemantapan profesionalisme, serta kecekapan dalam teknologi, dan pedagogi moden.
c. Konsisten: Kejayaan lahir daripada usaha berterusan dalam meningkatkan kualti pendidikan, memastikan setiap dasar dan inisiatif dilaksanakan dengan penuh disiplin.
d. Keberhasilan: Pendidikan adalah tanggung jawab bersama, jaringan dan jalinan usaha kolaboratif, bukan bersifat silo.
e. Keberhasilan: Semua inisiatif dan usaha perlu berorientasikan impak dan hasil yang jelas.
5.0 ) HARAPAN : INSPIRASI DAN ASPIRASI
Tuan-tuan dan puan-puan,
16) Syeikh Yusof Al-Qardhawi pernah berkata bahawa jika kita ingin melihat wajah sesebuah negara pada masa hadapan, lihatlah wajah pendidikan generasi mudanya pada hari ini.
17) Besar harapan saya agar kelestarian khidmat cemerlang tuan-tuan dan puan-puan dapat dikekalkan dan dipertingkatkan lagi pada masa hadapan, serta mampu menjadi pendorong kepada kakitangan lain, yang akhirnya memungkinkan kita merealisasikan aspirasi Transformasi Pendidikan Negara. Bagaimana rupa wajah negara kita pada masa hadapan, terletak pada bagaimana kita mencorakkan wajah pendidikan generasi muda pada hari ini.
18) Siapakah mereka yang cemerlang; APC adalah pengiktirafan terhadap komitmen, kompeten, konsistensi dan kebersamaan anda yang membawa keberhasilan. Teruskanlah menjadi cemerlang dengan membawa perwatakan seorang yang cemerlang.
a. Model the way
b. Inspired shared vision
c. Challenge the process
d. Enable others to act
e. Encourage the heart
f. Exemplify resilience
g. Empower decision making
h. Embrace change
i. Engaged stakeholder
j. Reflect & Review
19) Setinggi-tinggi penghargaan dan sekalung terima kasih secara khusus daripada Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi kepada Yang Berhormat Cik Norlizah binti Noh, Ahli Dewan Undangan Negeri Kawasan Johor Lama, barisan Yang Berhormat Ahli Dewan Undangan Negeri, barisan Yang Berhormat Ahli Parlimen, serta Kerajaan Negeri Johor atas segala sokongan dan bantuan pendidikan yang diberikan.
20) Kerjasama bak aur dengan tebing inilah yang menjadi kunci penting untuk memastikan perjuangan pendidikan daerah Kota Tinggi terus bernadi, merealisasikan aspirasi pendidikan Kota Tinggi Mengungguli. Atas sumbangan dan komitmen tersebut, kalau kecil tapak tangan, nyiru kami tadahkan. Yang Berhormat, terima kasih daun keladi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.