Tuesday, October 06, 2009

TEKS UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI
MINGGUAN

AZMAN BIN SAFII,
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

TARIKH : ISNIN 13 APRIL 2009


1. Terima kasih kepada pengacara Majlis

2. Yang Berusaha En Wong Kim Fah -Penolong Kanan HEM, En Mohd Tahir bin Ismail - PK Kokurikulum, Yang dihormati Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Rakan-rakan guru dan yang dikasihi semua murid warga SMK Kulai Besar.

3. Bersama-samalah kita melafazkan kesyukuran kerana pada pagi ini kita dengan limpah kurnia Allah SWT dapat bersama dalam perhimpunan ini. Perhimpunan yang diadakan setiap minggu ini adalah satu medan, peluang dan ruang yang terbaik kepada pihak sekolah - guru dan murid untuk bermuhasabah diri di samping saling ingat mengingati dan sebagai satu refleksi di manakah tahap kita pada ketika ini.

4. Sebagaimana yang telah sering dicanangkan visi sekolah kita ialah untuk menjadi sekolah cemerlang pada tahun 2012 di daerah Kulai. Bagi mencapai hasrat ini pentadbir, guru, murid, ibu bapa hinggalah kepada pengusaha kantin, pekerja pembersihan dan jaga mestilah mempunyai minda cemerlang.

5. Semu pihak yang disebutkan tadi mempunyai peranan yang penting dalam memastikan segala tindakan mengikut jejak kecemerlangan berasakan kepada fungsi dan bidang tugas masing-masing. Walau bagaimanapun aspek akademik, sahsiah, kokurikulum dan 3K tetap menjadi ukuran yang paling penting dalam menentukan standard kita cemerlang atau sebaliknya.

6. Jika sekolah kita mempunyai guru cemerlang yang hebat, tapi murid tidak cemerlang visi kita tidak akan ke mana….masih ditakuk lama. Inilah perkara yang masih menghantui kita, hasrat yang masih tidak dapat kita realisasikan pada ketika ini.

7. Kegagalan kita untuk mengekalkan kecemerlangan pencapaian dalam SPM 2006 menyebabkan kita berada pada tahap yang kritikal…kita seperti kapal yang sedang karam. Kedudukan kita dalam SPM 2008 ialah tempat ke 235/ 238 sekolah menengah negeri Johor.

8. Kegagalan dalam penguasaan Bahasa Melayu bagi pelajar Cina dan India adalah faktor utama. Seramai 44 murid gagal Bahasa Melayu sedangkan unjuran sekolah hanya 23 sahaja yang gagal. Pihak sekolah telah berusaha dengan pelbagai cara, pelbagai program kita telah laksanakan….sebut sahaja apa program yang kita tidak laksanakan. Kelas Tambahan, Hikmah, Gempur, Galus, Kaunseling Berfokus, Program Motivasi, Program Kecemerlangan, Aku Janji, Merit de Merit an pelbagai program lain. Namun program tinggal program, pelajar tetap tidak berubah. Perkara ini dapat dibuktikan berdasarkan tahap penglibatan murid yang rendah dalam setiap program yang dilaksanakan.

9. Oleh itu saya menyeru kepada semua murid agar dapat mengubah cara berfikir, kepada cara berfikir sebagai seorang yang cemerlang. Kita perlu mengejar kecemerlangan bukan menunggu kecemerlangan datang bergolek atau melayang kepada kita. Lima perkara berikut perlulah dihayati, dilaksanakan oleh setiap warga SMK Kulai Besar dalam memastikan segala usaha dan program yang dilaksanan memberikan hasil yang diharapkan, iaitu;

a. Tetapkanlah matlamat anda datang ke sekolah untuk belajar. Berilah tumpuan kepada pengajaran guru, libatkan diri dalam semua aktiviti yang menyubang kepada budaya keilmuan . Anda perlu sedar peluang untuk belajar di alam persekolahan hanya datang sekali seumur hidup.

b. Anda perlu merebut setiap peluang yang ada. Program-program kecemerlangan yang dijalankan di sekolah perlulah disambut dengan kesungguhan. Kelas Bimbingan Hikmah, GPMS, Tusyen PIBG, dan pelbagai program akademik yang lain, koakademik dan kokurikulum yang akan dilaksanakan oleh pihak sekolah perlu dihargai dan dimanfaatkan oleh semua murid.

c. Manfaatkan sumber yang ada di sekolah secara bijak sana. Jagalah harta benda sekolah dan gunakan dengan berhemah. Tindakan vendalisme seperti merosakkan harta benda sekolah akan menyebabkan sekolah terpaksa menggunakan peruntukan untuk tujuan baik pulih. Sedangkan peruntukkan tersebut sepatutnya boleh digunakan untuk program peningkatan dan kebajikan murid.
d. Patuhi peraturan sekolah kerana sekiranya semua murid dapat mematuhi peraturan sekolah dengan baik, guru-guru dapat menggunakan masa yang lebih optimum untuk mengajar dan mendidik. Kajian mendapati sekolah yang berprestasi rendah mempunyai korelasi dengan masalah disiplin murid.
e. Hayatilah terhadap nilai-nilai murni dalam amalan kehidupan kita agar kehadiran kita dirasai dan memberi manfaat kepada orng lain. Ketiadaan kita pula dirasai kehilangannya.

10. Untuk ingatan semua murid, segala kerosakan yang dalami oleh sekolah pada ketika ini disebabkan vendalime murid, terpaksa dibiayai semula oleh PIBG dan Kerajaan. Perbelanjaannya bukan sedikit, mencecah ribuan ringgit. Sekiranya kos membaiki semakin meningkat jangan terkejut sekiranya pihak sekolah terpaksa meminta PIBG membuat kutipan tambahan kepada semua murid.

11. Saya berharap calon SPM dan PMR 2009 dapat bangkit semula dan membuktikan bahawa SMK Kulai Besar adalah sekolah yang mempunyai harapan untuk terus cemerlang. Kita pernah jatuh, terduduk dan tersungkur tetapi percayalah jika anda mahu kita boleh bangkit semula. Ingatlah 4 perkara yang dinyatakan tadi dan jadikannya keazaman dan kesungguhan sebagai pembakar semangat kita. Kami warga guru akan mencurahkan sega ilmu yang ada hingga keringat yang terakhir namun terpulanglah kepada anda sama ada untuk menyahutnya ataupun tidak, "Perahu telah pun di air pendayung telah di tangan", terpulang ke mana perahu hendak dihalakan.
12. Sekian, Terima kasih.

Artikel Popular