Thursday, November 11, 2010

"FEAR FACTOR" SEBAGAI PENDORONG

Artikel ini ditulis semula daripada ucapan yang disampaikan semasa Perhimpunan Rasmi Mingguan, pada Isnin, 8 November 2010 dan telah disesuaikan mengikut keperluan blog.


Assalamualaikum dan Salam sejahtera,

Minggu ini ialah minggu yang ke-41 sesi persekolahan dari 42 minggu yang terkandung dalam takwim persekolahan bagi tahun 2010. Ini bermakna kita mempunyai masa selama 10 hari lagi untuk menamatkan sesi persekolahan 2010. Bilangan ini termasuk 2 hari cuti yang diberi pelepasan kepada kita sempena Hari Raya Aidil Adha iaitu pada hari Selasa,16-11-2010 yang merupakan Cuti Tambahan Tidak Berganti manakala pada Rabu, 17-11-2010 pula adalah Hari Raya Kurban.

Sebelum ini, iaitu pada minggu lalu bermula 3 hingga 5 November 2010 (Rabu – Jumaat) kita bercuti sempena Deepavali. Pihak sekolah tidak mengambil cuti pada Isnin 8 November 2010 untuk Cuti Tambahan (Berganti)sempena Deepavali kerana merasakan bahawa 1 hari Cuti Peristiwa dan 1 hari Cuti Berganti yang diambil pada 3 dan 4 November sudah memadai. Kita juga tidak boleh mengambil Cuti Berganti tersebut kerana kesuntukan waktu dan tiada lagi hari Sabtu yang sesuai yang boleh kita jadikan hari sekolah ganti.

Cuti-cuti Malaysia! Jika kita lihat dari sudut cuti, maka inilah keistimewaan negara kita yang diwarnai oleh pelbagai budaya. Kita tetap akan bercuti pada setiap perayaan yang disambut oleh semua kaum di negara ini. Sama ada Hari Raya Aidil Fitri, Hari Raya Aidil Adha, Krismas, Tahun Baru Cina, Deepavali........ bila tiba musim perayaan tersebut semua kaum akan bercuti.

Saya berharap kepada semua murid agar dapat menggunakan masa selama 8 hari persekolahan yang masih berbaki dengan sebaik mungkin. Jadikanlah ia masa yang sangat berkualiti kepada diri anda. Murid-murid tingkatan lima terutamanya, hargailah masa yang ada ini dengan meninggalkan catatan manis untuk diri anda, dan guru-guru anda. Selepas ini anda akan pergi meninggalkan SMK Kulai Besar, untuk satu tempoh yang mungkin lama atau mungkin sekejap.

Anda mungkin kembali ke SMK Kulai Besar sebagai seorang guru disekolah ini, sebagai seorang kontraktor yang berjaya, mendapat tander mengecat atau membuat bangunan di sekolah ini. Anda mungkin akan kembali sebagai seorang jurujual...mempromosi produk yang diniagakan. Anda akan kembali sebagai seorang ibu atau bapa untuk mendaftar anak, atau cucu untuk bersekolah di sini. Anda mungkin kembali dengan seribu satu cara.

Kembalilah ke sekolah ini walau siapa diri anda. Biar berapa lama masa untuk kembali ke SMK Kulai Besar ini, itu tidak menjadi masalah, tetapi biarlah kembalinya anda ke sekolah ini sebagai manusia yang berjaya. Harapan kami guru-guru ialah melihat anda lebih berjaya daripada kami.

Apakah ukuran kejayaan anda itu? terpulanglah kepada anda yang mentafsirnya. Bagi kami kejayaan bukan diukur berdasarkan wang ringgit, segulung ijazah atau pekerjaan yang baik...tetapi kejayaan yang sebenarnya ialah sejauh mana anda menjadi insan yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain, sama ada kepada keluarga, masyarakat dan agama.

Semua murid perlu sedar bahawa salah satu formula untuk berjaya ialah bagaimana anda dapat mendorong diri anda sendiri untuk berjaya. Bagaimana dorongan itu dapat mengubah anda adalah bergantung kepada kemahuan anda. Perpatah Melayu ada menyebut "kalau hendak seribu daya kalau tak mahu seribu dalih". Perpatah Cina pula ada menyebut jika hendak memulakan perjalanan seribu batu, ia bermula dengan lngkahan pertama.

Berhubung dengan dorongan, saya ada membaca satu artikel dalam sebuah buku yang mengesahkan bagaimana seorang yang kaya lagi ternama merasa rungsing mengenangkan nasib satu-satu anak perempuannya yang masih belum berkahwin lagi.

Kerungsingan itu bukan kerana peuterinya yang jelita itu tiada kumbang yang sudi menghinggap. Tetapi gara-gara semua kumbang yang hinggap tidak mempunyai kualiti yang diharapkan oleh orang kaya tadi. Orang kaya tadi mahukan calon menantu yang berani, cekal dan tabah dengan rupa paras yang sekadar ok sahaja (tak perlu hensem sangat). Tujuannya supaya empayar perniagaan yang dibina dapat diteruskan oleh bakal menantunya, walau apa jua rintangan yang datang di samping mempunyai dedikasi yang tinggi terhadap keluarga.

Orang kaya itu pun mendapat ilham dari rancangan "Fear Faktor" yang ditayangkan di TV Astro. Orang kaya tersebut telah mengadakan satu majlis keramaian dengan mengundang rakan-rakannya yang mempunyai anak teruna untuk dijadikan menantu.

Setelah para tetamu dijamu dengan makanan yang lazat-lazat, dan dipersembahkan dengan hiburan serta tarian, tuan rumahpun mengumumkan satu pertandingan akan diadakan. Dia memberi tahu yang sebuah kolam yang berisi ular liar yang berbisa dan buaya ganas telah disediakan.

Beliau mencabar sesiapa yang berani berenang menyeberangi kolam itu berhak untuk memilih tiga hadiah. Pertama berhak mengahwini anak perempuannya dan mewarisi segala hartanya. Kedua, memperoleh 100 000 hektar kebun sawit yang buah-buahnya sedia untuk dituai. Ketiganya, berhak mendapat wang tunai 1 juta ringgit, barang-barang kemas emas dan berlian.

Sebelum sempat tuan rumah memberi isyarat perlumbaan, tiba-tiba kedengaran bunyai percikan yang sangat kuat dan disusuli dengan renangan yang begitu cepat merentasi kolam yang dipenuhi buaya dan ular berbisa tadi. Semua hadirin terpaku, takjub dan kehairanan, siapa gerangan pemuda yang begitu bersemangat mahu menyertai pertandingan itu. Pemuda itu akhirnya sampai di tepian kolah sambil tercungap-cungap menarik nafas.

Sebagai pemenang, tuan rumah bertanya kepada pemuda tadi apa pilihan hadiah yang diinginkannya di saksikan oleh sekalian hadirin. Pemuda itu menggeleng-gelengkan kepalanya. Tuan ruamh dan para tetamu lain kehairanan lantas bertanya lagi “Kalau begitu apa yang kamu mahukan? Dengan nafas yang masih termengah-mengah, dia menjawab dengan tegas “Saya ingin tahu siapa yang menolak saya ke dalam kolam tadi?

Berdasarkan cerita ini pemuda tadi berjaya merentasi kolam renang yang dipenuhi buaya dan ular ganas tadi bukanlah didorong oleh tawaran hadiah lumayan oleh tuan rumah, tetapi dia dapat beranang dengan laju dan selamat kerana dorong oleh kebimbangan terhadap haiwan ganas tadi. Sekiranya tiada orang yang menolak, barangkali dia tidak mempunyai keberanian menggadaikan nyawanya semata-mata kerana harta yang belum pasti dimiliki.

Begitulah juga kita semasa melakukan aktiviti seharian, kita memerlukan dorongan ataupun tolakan yang kuat suapaya kita menjadi lebih berani dalam usaha memenuhi sesuatu keperluan. Pada hakikatnya ramai dalam kalangan kita perlu ditakutkan dahulu sebelum menjadi produktif atau efisien.

Saya berharap semua pelajar mempunayi pendorong tersendiri dalam memastikan anda terus bermotivasi dan tabah dalam mengharungi sepanjang masa pembelajaran anda. Contohilah merka yang berjaya dalam pelajaran dan peperiksaan, kerana mereka yang berjaya mempunyai jejak yang boleh kita ikuti. Sebaliknya ambillah iktibar daripada mereka yang gagal dalam pelajaran agar jejak yang ditanggalkan tidak kita susuri.

Sekian untk kali ini, kepada calon SPM saya mendoakan kejayaan buat anda. Anggaplah anda kini sedang dihambat oleh buaya ganas, untuk selamat anda perlu terus berenang dengan renangan yang kuat. Begitulah dalam pelajaran, belajarlah dengan kuat dan SMART supaya anda mengharungi SPM dengan kejayaan

No comments: