Saturday, February 24, 2024

Karamah Insaniah Dari Perspektif Malaysia Madani; Peranan Kepimpinan Pendidikan

Oleh;

AZMAN BIN SAFII

Pegawai Pendidikan Daerah Tangkak


Tulisan ini adalah disesuaikan dari ucapan saya sempena Perhimpunan Profesionalisme Pendidikan Bil. 2/2024 Pejabat Pendidikan Daerah Tangkak pada 25 Februari 2024. Terima kasih saya ucapkan kepada YBhg Dato Amin Senin, Pengerusi Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) Sesi 2023-2025.kerana pemahaman saya berkaitan dasar-dasar dan isu-isu pendidikan diperolehi dari ucapan-ucapan dan penjelasan beliau dalam seminar dan kolokium.



Saya cuba untuk menguhuraikan bagaimana untuk memberikan input tambahan untuk kita memahami Karamah Insaniah dari perspektif Malaysia Madani dan bagaimana kita boleh apply dalam pendidikan sama ada  di PPD mahupun di sekolah. Tulisan ini hanyalah dari satu perspektif agar apa juga dasar dan ketetapan negara, kita perlu sambut dalam konteks pendidikan. Apa yang saya nak cuba kongsikan ini adalah bagaimana kita melihat Malaysia Madani dan Karamah Insaniah dalam satu perspektif big picture dalam kerangka pendidikan. 

Sebagai pemimpin sekolah atau pemimpin pendidikan dalam pelbagai peringkat, jika kita ada big picture kita tidak akan tenggelam dalam perkara kecil yang bersifat teknikal kerana kita mudah akan mengubahsuai. Oleh kerana kita tahu di mana big picture nya, kita tidak mudah  terperangkap dengan anggapan bahawa sesuatu aktiviti atau program itu gagal tapi sebenarnya tidak. 

Bagaimana kita menanggapi Malaysia MADANI ini supaya kita boleh aplikasikan dalam pendidikan.  Pemahaman saya ialah bagaimana untuk kita mengoperasikannya iaitu bagaimana kita mahu mengaplikasi konsep Malaysia Madani ini dalam pendidikan. Ini hanyalah daripada perspektif saya untuk memahaminya bagaimana Malaysia Madani boleh kita sambut dalam institusi pendidikan, walau di mana kita berada sama ada di PPD di sekolah malah di mana jua peringkat pendidikan.  


Malaysia MADANI adalah konsep yang menggabungkan nilai-nilai tradisi dan kearifan tempatan dengan ilmu pengetahuan, bertujuan untuk membentuk masyarakat maju dan bertamadun. Istilah "Madani" berasal dari perkataan Arab "madaniyyah", yang bermaksud "sivil" atau "urban". Konsep ini menekankan keadilan, kesaksamaan, dan tadbir urus yang baik dalam membangunkan negara.
Dalam Kamus Bahasa Melayu, "madani" bermaksud "maju dari segi pemikiran, kerohanian, dan kebendaan". Ia merujuk kepada usaha untuk membentuk masyarakat dengan menyemaikan nilai-nilai murni kekeluargaan dan pembinaan masyarakat secara holistik.

Malaysia MADANI adalah panduan untuk mencapai masyarakat yang berdaya cipta, saling menghormati, dan meraikan kepelbagaian dalam dialog peradaban. Ia merupakan dasar pentadbiran yang lebih manusiawi dan berlandaskan ilmu pengetahuan serta khazanah tempatan. MADANI itu ialah satu akronim tentang agenda perubahan yang mahu dibawa oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri (PM) pada masa hadapan. Dari segi definisinya MADANI merupakan sintesis gaya Malaysia, yang menggabung jalin amalan sedia ada dengan kaedah baru yang direka untuk menangani isu-isu baru dan ketidakpastian. Enam nilai teras MADANI dicerakin sebagai kerangka dasar dan falsafah yang berkait rapat dan bersepadu, dengan setiap satu menguatkan yang lain. 


MADANI diilhamkan berdasarkan konsep kesediaan menerima perubahan, dengan mengambilkira saranan segenap lapisan masyarakat dengan hasrat pemulihan melalui Reformasi substantif demi Malaysia yang lebih maju dan makmur. Misi yang digariskan ialah dengan matlamat untuk mengubah Malaysia menjadi negara yang lebih makmur dan maju berteraskan 6 nilai MADANI melalui kepercayaan antara kerajaan dengan rakyat, dasar ketelusan dan kerjasama. Misi ini adalah bagi tujuan memenuhi visi mencorak masa hadapan Malaysia dengan segala potensi yang ada dengan mengambil kira segala bentuk perubahan yang mengubah dunia, dan bercita-cita mengemudi Malaysia dalam zaman pasca normal yang serba rumit melalui laras bahasa, konsep dan budaya kearifan tempatan.

Sebahagian daripada konsep MADANI itu ada dalam buku skrip Malaysia Madani tersebut tetapi perbincangan umum terperangkap dengan konsep MADANI dalam konteks ibnu Arabi. Apakah yang dikatakan MADANI dalam konteks bahasa iaitu berkaitan kemajuan fikiran, kerohanian dan kebendaan yang ditandai dengan masyarakat maniyyah itu memanglah bagus. Namun kita perlu faham faham inti daripada skrip Malaysia Madani supaya kita dapat tahu apa jestnya, faham dan aplikasikan dalam konteks pendidikan. Konsep madani merupakan satu akronim yang berasaskan kepada enam rukun yang ada di dalamnya.


Dalam kerangka Malaysia Madani sebenarnya membincangkan dua perkara pokok sahaja. Oleh itu kena faham dua benda saja kalau kita faham dua perkara ini, mudah untuk kita aplikasikan. Pertamanya; bagaimana mahu mengoperasikan agenda perubahan. Madani ialah berkaitan dengan agenda perubahan iaitu bagaimana mahu mengubah Malaysia dalam situasi hari ini untuk masa hadapan. Perkara ini adalah berkaitan dengan pasca normal. Maksudnya Malaysia Madani membincangkan tentang masa depan dan bukan membincang tentang sekarang untuk sekarang tetapi bagaimana masalah sekarang ini untuk masa hadapan.

Keduanya kita kena faham bahawa jika kita mahu bergerak ke arah Malaysia Madani, kita mesti berbalik kepada perkara yang paling asas iaitu peradaban manusia. Berdasarkan sejarah juga kalau kita nak membina tamadun ataupun peradaban itu, mesti balik kepada elemen manusiawi itu. Sebuah negara dan sebuah peradaban tidak boleh dibangunkan kalau tidak berdasarkan kepada manusia. Sebab itu Malaysia Madani melihat manusia itu dari sudut karamah insaniah. Karamah Insaniah itu berasal dari Bahasa Arab. Dalam bahasa kita mudahnya disebut sebagai kemuliaan insan, harga diri atau dalam bahasa Inggris nya human dignity.

Bagaimana kita nak mengangkat kemuliaan insan atau human dignity itulah persoalan yang paling mendasar sebelum kita bercakap mengenai Malaysia Madani. Maruah, harga diri atau human dignity itu adalah milik untuk semua orang, tanpa memilih bangsa apa, agama apa negeri mana, daerah mana dan kampung mana. Setiap warga negara itu mesti diangkat harga dirinya dan tidak boleh dikompromikan berkaitan perkara ini. Sebab itu kalau kita lihat, PM kerap mengungkapkan jika anak Cina anak saya, anak Melayu anak saya, anak India anak saya dan semuanya itu untuk memberikan konsep mengangkat kemuliaan insan tanpa mengira ras dan batas-batas lokaliti.


Seterusnya, jika kita mahu mengangkat maruah atau human dignity ini, ia tidak boleh terangkat begitu sahaja, kita mesti ada sistem. Sistem itu banyak, daripada sekecil-kecil sistem sistem keluarga sampai kepada sistem yang lebih besar, sistem kehakiman, sistem ekonomi, pendidikan, politik, bernegara dan kita boleh sebutkan apa juga sistem yang ada dalam konteks negara kita. Oleh itu sistem itu tidak boleh korup kerana kalau sistem itu korup maka kita tidak boleh mengangkat maruah dan harga diri manusia dalam negara.


Untuk angkat human dignity kita fokuskan kepada kemiskinan. Miskin itu tidak dikaitkan dengan bangsa, miskin itu dikaitkan dengan semua. Pendidikan adalah satu cara untuk mengangkat insan dari kepompong kemiskinan. Oleh itu fokus kita bagaimana mahu menjadikan sistem pendidikan kita ini dapat diurus dengan baik supaya benar-benar mampu untuk membentuk insan karamah tadi yang mampu keluar daripada kemiskinan. Tanggungjawab ini perlu dipikul oleh semua entiti pendidikan. Jika di sekolah ialah pengetua dan guru besar dan jika di PPD ialah KPPD dan pegawai- pegawainya. Jika di JPN ialah pengarahnya dan begitulah seterusnya kerana masing-masing mempunyai peranan untuk memastikan sistem pendidikan kita ini beroperasi dan diuruskan yang mampu mengubah masa hadapan anak-anak yang kita didik ini. 


Penyalahgunaan kuasa dan rasuah merupakan satu perkara yang membataskan kita daripada menjadikan pendidikan itu sebagai sistem yang mampu mengubah masa depan generasi kita. Penyalahgunaan kuasa dan rasuah menggambarkan kebobrokan dua perkara iaitu mengenai kemuliaan insan dan juga integriti. Oleh itu konsep MADANI itu ialah bagaimana kita memperkukuhkan sistem sistem pendidikan kita untuk kita mencorakkan masa hadapan kita negara kita generasi kita .




Perkara yang menjadi teras kepada kedua-dua perkara ini ialah adab akhlak dan nilai. Itulah yang pada pandangan saya merupakan intipati berkaitan dengan agenda negara berkaitan dengan Malaysia Madani. Enam perkara yang terkandung dalam rukun Malaysia MADANI itu ialah perkara yang bersifat operasional. Banyak orang membincangkan karamah insaniah tapi dia tak dapat menguraikan dengan baik dalam konteks operational. Ini adalah pemahaman saya bagaimana kita mahu mengoperasikan karamah insaniah dalam sistem pendidikan kita .


Karamah insaniah atau kemuliaan insan dalam perspektif pendidikan merujuk kepada gagasan bahawa setiap individu mempunyai potensi dan kebolehan yang luar biasa untuk berkembang dan mencapai kecemerlangan. Ini bermakna setiap insan tidak kira latar belakang sosial etnik atau kemampuan semula jadi memiliki hak untuk mendapat pendidikan yang berkualiti dan peluang yang saksama untuk berjaya.



Karamah Insaniah atau Kemuliaan Insan boleh dilihat dari perspektif perundangan dan juga dari perspektif pendidikan. Dari perspektif perundangan ; Bagaimana kita menjaga kemuliaan insan? Sebab itu kita ada mahkamah untuk menjaga dan memelihara kemuliaan insan itu . Seorang itu tidak bersalah sehinggalah ia dibuktikan bersalah itu merupakan doktrin dalam sistem kehakiman mana-mana negara. Sesiapa juga yang masuk mahkamah ia akan diadili tanpa mengira siapa dia dan apa statusnya, tetapi akan diadili berdasarkan kepada keadilan dan kesaksamaan. Semua rakyat Malaysia adalah sama di sisi perundangan, akta dan kehakiman. 


Dalam Aspek pendidikan ia sedikit berbeza, dimana kemuliaan insan dilihat dari sudut kita menggilap dan membangunkan potensi kemuliaan insan yang ada dalam diri kita. inilah tugas kita selaku peneraju di PPD mahupun di sekolah. Jika dalam kehakiman semua orang dilihat sama, tetapi dalam pendidikan kita melihat setiap anak murid adalah unik, sebab itu cara kita mengajar mereka mestilah berbeza-beza, perundangan tidak berbeza-beza. 


Perkara ini yang kita sepatutnya tahu, faham dan aplikasikan dalam konteks organisasi kita, sama adaddi sekolah di bilik darjah mahupun di PPD. Peranan Pengetua dan Guru Besar adalah bagaimana mahu membangunkan dan mahu menggelap kemuliaan insan dalam kalangan anak-anak didik kita yang berada dalam kawalan kita sepanjang waktu persekolahan. Peranan PPD pula ialah bagaimana mahu menggerakkan perkara ini menjelaskan perkara ini dengan cara yang mudah supaya dapat difahami oleh kepimpinan sekolah dan seterusnya kepada guru-guru.


Pada hakikatnya manusia itu adalah sebaik baiknya makhluk yang diciptakan, oleh itu kita perlu mengangkat potensi yang ada pada anak-anak kita umpama selembar kain putih yang mana kitalah sebagai institusi pendidikan yang mencorakkan warna dan coraknya. Itulah peranan kita selaku pemimpin pendidikan. Sebab itu apabila kita melihat karamah insaniah daripada perspektif pendidikan ia merujuk kepada gagasan bahawa setiap individu mempunyai potensi yang luar biasa yang perlu dibangunkan secara menyeluruh jasmani, emosi, rohani intelektualnya dan juga dari segi spiritualnya. Dengan cara inilah maka individu yang dinamakan murid itu dapat dikembangkan tanpa mengira latar belakangnya, kemampuannya, budaya, agama dan etnik. Mereka mempunyai hak untuk mendapatkan pendidikan yang berkualiti dan diberikan peluang yang saksama bagi mendapatkan akses kepada pendidikan dan untuk berjaya. Inilah konsep MADANI yang kita mahu terjemahkan dalam sistem pendidikan organisasi kita.


Bagaimana kita mahu melakukannya ? Sebenarnya kita tidak lari daripada konsep instructional leadership atau kepimpinan pengajaran . Kemuliaan insan itu ada beberapa aspek, antaranya;  


(1) Kita perlu memberikan peluang dan keadilan, Setiap individu itu berhak mendapat akses pendidikan yang berkualiti Mengira kepada faktor-faktor seperti jantina keturunan geografi etnik Status sosioekonomi . Pendidikan harus menyediakan ruang yang saksama iaitu adil kepada setiap warganegara, kepada semua individu untuk mengembangkan bakat dan potensi mereka. Apakah sekolah kita, bilik darjah kita ke arah itu? Adakah guru-guru kita mempunyai fikiran dan kefahaman itu, keadilan dalam melihat potensi murid yang pelbagai tanpa menafikan hak mereka untuk diasuh dan bangunkan mengikut kelainan keupayaan. Kita perlu cakna tentang konsep miskin tegar akademik dan miskin akademik sebagaimana yang pernah diutarakan oleh mantan datuk kppm kita dr Amin Senin sekitar tahun 2015 atau 206 satu ketika dahulu .


(2) Pembangunan potensi; Menekankan pentingnya mengenal pasti dan memperkembangkan potensi setiap individu .Pendidikan yang bermakna adalah pendidikan yang memahami keunikan dan kebolehan setiap murid, memberikan sokongan yang diperlukan, Dan memberi mereka peluang untuk berkembang secara menyeluruh dalam pelbagai bidang, Termasuk aspek akademik, kemahiran sosial dan kepimpinan. Inilah konsep karamah insaniah dalam konteks pendidikan khususnya di sekolah.


(3) Pendidikan holistik; Pendidikan holistik terhadap pembelajaran ini bermakna memahami bahawa pendidikan tidak hanya berkisar kepada pencapaian akademik semata-mata, Tetapi juga melibatkan aspek-aspek seperti pembangunan moral, etika, kreativity kemandirian dan kesedaran sosial. Perkara yang mencerminkan kemuliaan insan mengakui pentingnya kita memupuk perkembangan seimbang dalam semua aspek kehidupan ini dikatakan holistik. 


(4) Menghargai kebebasan berfikir dan kreativiti sebagai elemen penting dalam proses pembelajaran setiap individu harus beri kebebasan untuk mengemukakan terdapat bertanya soalan mencabar pemikiran nasional dan mengembangkan pemikiran mereka. Ini membantu mereka menjadi pembelajar yang kritis, berinovatif, perdaya tahan terhadap cabaran dalam dunia yang terus berubah. Apakah beli darjah kita ke arah itu ? Apakah guru kita ke arah tu? 


(5) Pembelajaran sepanjang hayat ; Mengiktiraf bahawa pembelajaran adalah satu proses yang berterusan sepanjang hayat.  Pendidikan yang melibatkan individu dalam sepanjang hayat mereka, untuk membantu mereka terus berkembang, menguasai kemahiran baru, mengekalkan daya kognitif dan menjumbang secara positif kepada masyarakat. Pendidikan seumur hidup juga mencerminkan hak setiap insan untuk mengekses pendidikan pada setiap peringkat kehidupan mereka. Inilah yang dikatakan big picture karamah insaniyah dalam konteks pendidikan .


Merujuk kepada FPN; Pendidikan di malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembangkan potensi individu secara menyeluruh bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek rohani emosi dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada tuhan. usaha ini adalah bagi melahirkan warganegara malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab  dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.


Adakah anda merasakan konsep keramah insaniah yang menjadi agenda masa depan negara itu bercanggah dengan falsafah pendidikan negara-negara?


Karamah Insaniah atau Human dignity ini diungkap dalam konteks pendidikan negara pada masa kini dan masa akan datang. Mananya kita mengungkapkan Falsafah Pendidikan negara dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia dan kita terjemahkan dalam tindakan kita di sekolah ataupun di PPD. Rumusannya apabila kita bercakap berkaitan dengan karama insaniah atau kemuliaan insan, sebenarnya ia kembali semula kepada akar umbi pendidikan kita yang berlatarkan kepada aspirasi dalam Falsafah Pendidikan Negara.



Visi Malaysia MADANI dan Idea Besar Pendidikan

Seterusnya pada kesempatan ini saya ingin membuat rumusan berdasarkan perbincangan di atas. Bahagian kiri rajah yang dipaparkan adalah berkaitan Visi Malaysia Madani dan pada bahagian kanan berkaitan Idea Besar Pendidikan.  Yang sebelah kanan itulah bagaimana kita nak melihat Malaysia Madani terutama enam rukun yang kita lihat dalam konteks pendidikan. 

Kemapanan (Sustainability) - Tanggungjawab kekhalifahan manausia. Kalau kita bincang sustainability  itu dalam konteks pendidikan, idea besarnya (the big picture) ialah kita mahu menjadikan anak murid kita itu berupaya untuk menjalankan tanggung jawabnya sebagai seorang manusia yang dijadikan oleh tuhan. Sebab itu kalau orang Islam dia mudah faham sebabnya  manusia itu dijadikan oleh Allah sebagai ibadurrahman yang mengabdikan diri kepada Allah dan yang kedua sebagai khalifah. Khalifah bermaksud pemimpin yang diberi amanah untuk mengurus alam dan mengurus dunia ini. Ini adalah fungsi yang wujud dalam sustainability. Untuk mengurus alam ini kita perlu ilmu, perlu kemahiran, perlu macam-macam cara dan bukan sekadar mengurus secara operasionalnya. Persoalannya adalah bagaimana kita boleh menjadikan anak didik kita sebagai khalifah yang terbaik di atas muka bumi ini. Apa ilmu yang kita perlu berikan, apa kemahiran yang diperlukan agar mereka boleh mengurus diri, keluarga, masyarakat dan alam ini. Inilah idea utamanya (big picture).

Sejahtera (Prosperity) - Kebahagiaan dan kejayaan sebenar; Kekayaan itu banyak, tapi dalam konteks Malaysia MADANI kesejahteraan itu atau disebut prosperity, kebahagiaan atau disebut well being iaitu kejayaan yang sebenarnya. Teacher well being dalam guru turut ada dalam aspek ini. Kesejahteraan yang kita mahu bawa ialah kesejahteraan yang menyeluruh bukan satu aspek sahaja. Bagaimana kita boleh mempelbagaikan pendekatan kita untuk memastikan well being bagi murid dan guru dapat diwujudkan di sekolah.

Daya cipta (Innovation) - Menggilap potensi manusiawi; Sebenarnya idea besarnya ialah kita mahu menggilap potensi manusia itu. Namun demikian kita perlu betulkan terlebih dahulu cara kita melihat tentang daya cipta.  Adakah kita beranggapan bahawa guru-guru dan ibu bapa kita pada masa yang lalu tidak kreatif? Kreatif pada asasnya adalah kretivaiti kita selaku manusia untuk menyelesaikan permasalahan hidup, itu yang menimbulkan kreativiti. Ibu bapa kita dengan segala sumber yang terhad boleh mendidik anak-anak mereka hingga menjadi seseorang dan berjaya. Begitu juga dengan guru-guru kita zaman dahulu, mengajar dalam keadaan keterbatasan sumber dan sokongan tapi mampu menghasilkan insan sebagaimana yang diinspirasikan oleh karya Usman Awang dalam karyanya "Guru Oh Guru";

Berburu ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa.

Dialah ibu, dialah bapa, juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat.

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;
Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca.

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin berarti tugasnya kepada negara.
Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat “cikgu” kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

Puisi ini memuliakan peranan insan bergelar guru sebagai pemberi ilmu dan nasihat yang setia, serta mengingatkan kita akan pentingnya peran mereka dalam membentuk generasi masa depan. Semoga puisi ini menginspirasi kita untuk menghargai dan menghormati para guru. 


Rumusannya, selagi kita tidak mati akal, bermakna kita ada kreativiti, khususnya dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Inilah perkara yang perlu kita tanam dan benam dalam minda anak-anak kita. Jangan sampai mereka mati akal. Inovasi adalah kreativiti yang hendak kita bangunkan bagi penyelesaian masalah yang bakal mereka tempuhi pada masa akan datang. Kita pun tak tahu apakah cabaran dan masalah dalam kehidupan pada masa hadapan. Cuma kita mahu bekalkan anak didik kita ini dengan ilmu dan kemahiran serta attitude yang mampu berhadapan dengan masa hadapan. Kreativiti adalah perkara yang boleh dicapai, dan jangan beranggapan kreativiti ini merujuk kepada Einstein, Bil Gates, dan orang jenius semata-mata. Bukan salah, tetapi kita membandingkan buah rambutan dan dan buah epal. Mereka berada pada tahap yang lain. 


Hormat (Respect) - Kepelbagaian adalah aset dalam bingkai kesatuan; Hormat merujuk kepada respek kepada kepelbagaian sebagai satu aset. Di sekolah adakah orang yang berbeza pendapat dengan kita itu musuh kita? Bagaimana kita convert perbezaan itu sebagai satu aset. Maknanya kita kena hormat. Dalam konteks kita sekarang ini ialah perpaduan. Dahulu perpaduan dikaitkan dengan toleransi, tapi pada dasarnya, asas kepada perpaduan ialah hormat-menghormati. Kita menghormati perbezaan sebagai aset. Tidak mungkin kita menjadi sama dalam semua perkara tetapi kita harmonikan perbezaan pendapat dengan toleransi secara beradab dan berakhlak agar pada akhirnya memberi manfaat kepada semua, terutama kepada anak didik kita di sekolah.

Yakin (trust) - Sistem yang berintegriti dan responsif ; Yakin dalam konteks madani dikaitkan dengan sistem. Masalah dalam sistem ialah integriti yang tidak dipercayai. Contoh sebuah sekolah itu tidak dipercayai kerana sistemnya tidak mantap. Pengurusannya dalam disiplin, bilik darjah, aset, kokurikulum dan sebagainya jika tidak mantap akan menyebabkan hilang kepercayaan masyarakat. Semuanya perlu bersistem yang berintegriti, responsif, berkesan yang sentiasa menimbulkan keyakinan orang. Kita aplikasikan keberkesanan sistem pendidikan dalam konteks sekolah masing-masing. 

Sistem pengurusan bilik darjah bagaimana boleh dipercayai jika guru-gurunya tidak memberikan tahap kualiti yang diharapkan. Sama juga dengan pengurusan muridnya, akademik dan lain-lain aspek yang tidak diurus secara sistematik akan menyebabkan kepercayaan ibu bapa terjejas. Kita lihat bagaimana sistem pada skala sekolah. Sistem keluarga yang tidak bersistem pun akan memberi kesan, dimana berlakunya perceraian, anak lari dari rumah, keganasan rumah tangga dan suasana tidak harmonis akan berlaku. Keyakinan itu ialah asas dalam usaha kita membangunkan sistem di sekolah supaya dapat meyakini ibu bapa meyakini guru-guru dan murid-murid tentang keupayaan kita untuk menjadi pencorak kepada masa hadapan hidup mereka .

Ihsan (Care & Compassion) - Asas mengangkat kemuliaan insan; Ihsan ini juga dikaitkan dengan kasih sayang.  Kasih sayang ialah perkara yang menjadi asas untuk kita mengangkat kemuliaan insan. Ciri yang paling penting ialah guru yang perlu mempunyai tahap kasih sayang yang tinggi kepada murid-muridnya untuk mengangkat kemudian insan. Kasih sayang guru kepada muridnya adalah merupakan perkara yang penting dan perlu kita jadikan sebagai perkara yang kita highlight kan

Pembinaan karakter ini dia berteraskan pula kepada nilai adab dan akhlak. Persoalannya nilai apakah yang hendak kita terapkan kepada jiwa mereka? Karakter yang bagaimana dari segi cara berpikirnya? dari segi cara tindakannya? Cara komunikasinya? cara bergaulnya? dan apakah kompetensi yang perlu mereka ada? Oleh itu Karakter Murid Johor itu kita perlu sambut di sekolah dan kita jadikan dia sebagai satu pendekatan dan panduan bagaimana kita boleh mencari model terbaik kepada kehidupan bangsa malaysia yang kita hasilkan daripada agenda Malaysia MADANI ini. 

Sebagai contoh apabila kita lihat karakter orang Jepun watak mereka itu terbina bukan setahun dua, tetapi telah pun dibangunkan sekian lama sehingga ia menjadi satu iconic kepada bangsa-bangsa lain yang sering mengaitkan Jepun ini sebagai orang yang sangat kreatif, sangat inovatif, pembersih, berdisiplin, kuat bekerja dan berdaya cipta tinggi. Perwatakan mereka diperkatakan di mana-mana. Kita mahu lihat satu hari nanti anak-anak kita dilihat dan dikenali berperwatakan Malaysia atau jika tidak pun menunjukkan karakter orang-orang Johor dari segi akal budinya, cara berpikirnya, adabnya dan yang penting ialah dari segi nilai terhadap kemajuan dan untuk memajukan diri.

Pendidikan watak ini tidak boleh dibangunkan dengan subjek, kerana subjek Itu berkaitan dengan kemahiran kognitif, tetapi sebaliknya pendidikan watak ini ataupun character building ini adalah berkaitan dengan nilai, adab dan akhlak. Nilai, adab dan akhlak ini pula perlu dipraktekkan, bukan secara teoritikal sahaja. Sebab itulah pendidikan sivik,  pendidikan moral, dan pendidikan islam adalah antara subjek-subjek yang kita kena perkhasakan bukan sahaja dijadikan sebagai teras kognitif tetapi perlu dijadikan sebagai satu amalan kepada pelajar-pelajar. Kita melakukannya di sekolah dan kita mantapkan di rumah dengan sokongan daripada ibu bapa dan komuniti.


Tujuan pendidikan itu ada empat ini sahaja, iaitu;


(1) Pemerkasaan peribadi; Membolehkan golongan muda mengambil kawalan yang lebih besar ke atas kehidupan mereka. (Personal empowerment ; Enabling young people to take greater control over their lives)


(2) Pemindahan budaya; Mewariskan "perkara-perkara besar yang telah diajar dan dikatakan" dari satu generasi ke generasi seterusnya (Cultural transmission; Passing on the “great things that have been taught and said” from one generation to the next).


(3) Persediaan untuk kewarganegaraan; Menyediakan golongan muda untuk mengambil peranan aktif dalam masyarakat dan membuat perubahan di dunia. (Preparation for citizenship ; Preparing young people to take an active role in society and to make a difference in the world)


(4) Persediaan untuk bekerja; Memastikan golongan muda dapat mencari perasaan penuh dan ganjaran dalam pekerjaan. (Preparation for work ; Ensuring that young people are able to find full feeling and rewarding in employment )


Ini adalah empat tujuan asas pendidikan dan penekanannya adalah berbeza-beza mengikut tahap di mana murid itu berada dan di mana negara murid itu berada. Sekiranya berada di sekolah rendah mungkin kita lebih menekankan tentang aspek berkaitan dengan penyediaan mereka untuk bagaimana nanti berperanan dalam komuniti dan juga berkaitan dengan pemindahan budaya dari segi cara berfikir dan sebagainya. Manakala di sekolah menengah pula pendekatannya lebih kepada bagaimana personal empowerment dan juga persediaan mereka untuk alam pekerjaan.

Pada pandangan orang awam ataupun komuniti mungkin dia melihat bahawa yang nombor empat itu indikator kejayaan. Maksudnya masyarakat melihat jika seseorang  lepasan universiti tapi menoreh motong getah atau menganggur tidak dapat pekerjaan maka ia dianggap gagal dalam persekolahan. Sama juga sekiranya orang itu belajar selama sebelas tahun tahun di sekolah menengah dan rendah tetapi gagal dalam SPM maka orang itu dianggap gagal kerana tanpa SPM, amatlah sukar untuk mencari pekerjaan bergaji besar. Kedua-dua senario ini adalah antara pandangan-pandangan yang melihat dari kaca mata material sahaja. Siapa yang boleh betulkan pemahaman dan situasi ini, hanya kita sahaja dalam pendidikan yang boleh betulkan kerana anak-anak ini berada dalam taruhan kita, dalam asuhan kita sekarang ini untuk pertaruhkan kepada cabaran masa hadapan.

Rumusannya apabila kita ingin melaksanakan perubahan pastikan kita ada teras. Terasnya ialah bagaimana kita dapat memberi penekanan tentang kemuliaan insan, dan kemuliaan insan itu sentiasa dijadikan sebagai keutamaan dalam keputusan dan tindakan kita. Oleh itu pembinaan karakter ataupun character building merupakan perkara yang kita perlu jadikan sebagai satu keutamaan dalam pada kita membangunkan anak-anak didik kita. Langkah ini adalah sebagai satu persiapan agar mereka mampu untuk bergerak ke hadapan dengan mewariskan enam teras Malaysia MADANI yang telah pun kita bincangkan dengan panjang lebar, agar apa jua cabaran yang ditempuhi selepas ini akan dapat ditangani dengan bijaksana oleh mereka.


No comments:

Artikel Popular