Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w  bersabda: Sesungguhnya di dalam Syurga itu terdapat pintu yang dinamakan  Ar-Rayyan. Orang yang berpuasa akan masuk melalui pintu tersebut pada Hari  Kiamat kelak. Tidak boleh masuk bersama mereka seorangpun selain mereka. Kelak  akan ada pengumuman: Di manakah orang yang berpuasa? Mereka lalu berduyun-duyun  masuk melalui pintu tersebut. Setelah orang yang terakhir dari mereka telah  masuk, pintu tadi ditutup kembali. Tiada lagi orang lain yang akan  memasukinya. 
Diriwayatkan daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya: Rasulullah s.a.w  bersabda: Setiap hamba yang berpuasa di jalan Allah, Allah akan menjauhkannya  dari api Neraka sejauh perjalanan tujuh puluh tahun.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w  bersabda: Apabila seseorang daripada kamu sedang berpuasa pada suatu hari,  janganlah bercakap tentang perkara yang keji dan kotor. Apabila dia dicaci maki  atau diajak berkelahi oleh seseorang, hendaklah dia berkata: Sesungguhnya hari  ini aku berpuasa, sesungguhnya hari ini aku berpuasa.
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan perbuatan tidak baik, Allah tidak inginkan tindakannya menahan diri dari makan dan minum (yakni Allah tidak menerima puasanya).
Diriwayatkan daripada Anas r.a katanya: Rasulullah s.a..w bersabda:  Hendaklah kamu bersahur kerana di dalam bersahur itu ada  keberkatannya. 
Diriwayatkan daripada Sahl bin Saad r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah  bersabda: Seseorang itu sentiasa berada di dalam kebaikan selagi mereka selalu  menyegerakan berbuka puasa. 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah  r.a katanya: Saya telah mendengar sabda Rasulullah s.a.w. mengenai Ramadan:  Sesiapa yang mendirikan sembahyang (Tarawih) dalam bulan itu dengan penuh  keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, akan diampunkan segala dosa yang  dilakukannya sebelum itu. 
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w  bersabda: Carilah Lailatulqadar pada sepuluh hari yang terakir di bulan  Ramadan. 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Rasulullah s.a.w.  bersabda:  Sesiapa yang mendirikan sembahyang pada malam Lailatulqadar dengan  penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah, maka akan diampunkan segala  dosa yang dilakukannya sebelum itu.
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w  biasanya beriktikaf pada sepuluh hari yang terakhir dalam bulan  Ramadan. 
Diriwayatkan daripada Saidatina Aisyah r.a katanya: Rasulullah s.a.w  bermujahadah pada sepuluh hari yang terakhir bulan Ramadan tidak seperti  bulan-bulan lain. 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w  bersabda: Sesiapa yang terlupa sedangkan dia berpuasa, lalu dia makan atau  minum, hendaklah dia terus menyempurnakan puasanya kerana dia telah diberi makan  dan minum oleh Allah. 
Diriwayatkan daripada Aisyah dan  Ummu Salamah r.a, kedua-duanya berkata:: Nabi s.a.w bangkit dari tidur dalam  keadaan berjunub bukan dari mimpi kemudian meneruskan puasa. 
Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a katanya: Rasulullah s.a.w telah  bersabda: Janganlah kamu berpuasa sehari atau dua hari sebelum tiba bulan  Ramadan melainkan
orang yang biasa berpuasa dengan puasa yang tertentu maka bolehlah dia  berpuasa. 
 
 
