Kulaijaya, 29 Julai 2011 - Majlis Tahlil dan Sambutan Ramadan Mubarak telah diadakan hari ini di Dewan Seminar, PPD Kulaijaya dengan kehadiran penceramah jemputan, Tuan Haji Mohd Fahmi, Kadi Daerah Kulaijaya. Majlis yang dimulakan dengan bacaan surah Yaasin, diikuti oleh tahlil tersebut dihadiri oleh semua warga PPD Kulaijaya berserta Pengetua dan Guru Besar sekolah-sekolah Kulaijaya.
Berikut adalah sebahagian daripada ceramah yang telah disampaikan oleh kadi daerah Kulaijaya pada majlis tersebut, mudah-mudahan dapat dimanfaatkan sebagai pengisian sepanjang Ramadan ini......
1. Maksud hadis Nabi Muhammad S.A.W;
"Ramadan telah datang kepada kamu yang merupakan bulan berkat. Allah S.W.T telah mewajibkan puasa pada bulan ini. Semua pintu syurga dibuka dan semua pintu neraka ditutup, serta dibelenggu syaitan. Ia mempunyai satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan dan sesiapa yang tidak bertemu dengannya ia sangat rugi"
2. Umat Nabi Muhammad S.A.W berumur pendek iaitu antara 60-63 tahun. Jika ada yang melepasi usia itu maka itu adalah bonus daripada Allah S.W.T. Walaupun usia umat Nabi Muhammad S.A.W pendek tetapi ia adalah umat yang terbaik.
3. Bagaimana Ramadan perlu disambut oleh umat Islam? Kehadiran Ramadan sepatutnya disambut dengan penuh kegembiraan oleh umat Islam. Sama seperti menyambut Hari Raya Aidil Fitri dan Hari Raya Qurban, sepatutnya sambuatan Ramadan dimulakan dengan memberikan ucapan Selamat seperti Selamat Menyambut Ramadan al Mubarak!
4. Kita juga sepatutnya membuat persediaan jiwa dengan mengamalkan doa-doa tertentu sempena bulan Ramadan ini. Kita juga disarankan membuat persediaan untuk mengingati kelebihan bulan ramadan. Antaranya memahami kelebihan berlapar dari sudut kesihatan, hikmah berbuka dan bersahur, kelebihan solat tarawih, berkimullail di samping membanykkan membaca kisah sirah para rasul.
5. Dari sudut amali, pada bulan ramadan kita perlu lebih banyak membaca al-Quran di samping berpuasa. Hakikat puasa itu adalah bukan setakat menahan diri dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa tetapi ia juga adalah; menahan diri dari syahwat, menjauhkan diri daripada perkara melalaikan, memecahkan sikap individualistik serta menyempitkan ruang laluan syaitan pada pembuluh darah kita. Puasa juga merehatkan anggota badan dari gejala keinginan nafsu.
6. Pastikan amalan dan perkara berikut berlaku di rumah kita sepanjang bulan Ramadan;
a) memperbanyak membaca al-Quran
b) mengulangkaji kitab Fiqh
c) hias rumah menyambut Ramadan
d) pertingkatkan kasih sayang antara ahli keluarga
e) eratkan silaturrahim dengan ibu bapa, ahli keluarga, saudara mara dan rakan tetangga
7. Apabila Ramadan menjelma ia merupakan satu hadiah kepada kita daripada Allah yang maha pengasih dan penyayang. Antaranya ialah al-Quran, turunnya Lailatul Qadar dan ibadah puasa itu sendiri. Pada awal ramadan adalah rahmah, pertengahan ramadan merupakan keampunan dan pada akhir Ramadan adalah pembebasan daripada api neraka.
8. Ganjaran mereka yang berpuasa ialah bertambah taqwa kepada Allah S.W.T. Taqwa adalah sifat takut, redha, mengamal dan sedia untuk kehidupan untuk hari akhirat. Puasa juga sebagai penebus dosa, pengampunan dosa lalu dan untuk mendapatkan syafaat pada hari kiamat.
9. Hakikat puasa itu juga adalah sebagai pengawal bagi orang yang bertaqwa, perisai bagi orang yang berperang, senaman bagi orang abrar dan muqarrabin, amalan khusus untuk Allah dan merupakan rahsia antara hamba dengan penciptanya.
No comments:
Post a Comment