Tuesday, October 09, 2012

Teks Ucapan : Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan 2012


TEKS UCAPAN YANG BERUSAHA PUAN TAN MOI YAN
PENGETUA SMK KULAI BESAR
SEMPENA MAJLIS PENUTUPAN BULAN PENGHAYATAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH 2011 
 
Oleh;
PN. TAN MOI YAN
Pengetua
 
Selamat Pagi dan “Salam 1 Malaysia” kepada warga SMK Kulai Besar.

Yang Dihormati Encik Azman bin Safii, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum.

Yang Dihormati Encik Masaud bin Baharom, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.

Yang Dihormati Encik Mohd Tahir bin Haji Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum.

Guru-guru Kanan  Mata Pelajaran, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi.

Terlebih dahulu saya berasa gembira kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011.

Guru-guru dan murid sekalian, sesungguhnya kehadiran warga SMK Kulai Besar pasti akan menyemarakkan lagi program kita pada pagi ini dan seterusnya memberi sokongan yang padu dalam aktiviti yang telah dianjurkan oleh Panitia Sejarah.

Untuk makluman semua, pada hari ini juga sambutan Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011 sedang berlangsung. Saya amat berharap majlis seumpama ini dapat mengeratkan lagi hubungan silaturahim, persefahaman, kemesraan dan kerjasama sesama  kita.

Jalinan kesemua faktor ini penting bagi menjamin perpaduan dan keharmonian warga SMK Kulai Besar khususnya serta rakyat di negara ini amnya. Terlebih dahulu di kesempatan ini saya ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada ahli jawatankuasa induk serta ahli jawatankuasa kecil sambutan Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011 kerana usaha gigih tuan-tuan dan puan-puan merencana, merancang, menyusun sekali gus menzahirkan pelbagai aktiviti yang telah direalisasikan pada majlis sambutan ini di peringkat sekolah.

Hasil permuafakatan dan canaian idea yang bernas ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa kecil Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011 ini maka lahirlah pelbagai program dan aktiviti yang dirasakan cukup mantap dalam melahirkan warga SMK Kulai Besar yang patriotik serta nasionalis.

Guru-guru dan murid sekalian, sesungguhnya aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan ini kesemuanya berpaksikan kepada satu matamat iaitu menyemai semangat patriotisme dan nasionalisme dalam kalangan kita semua sebagai warganegara. Ibarat kata bidalan, jika tidak lalu dandang di air, di gurun dirangkakan. Inilah saatnya bagi kita semua menumpahkan taat setia dan meluahkan kecintaan buat negara Malaysia yang tercinta.

Sebagai warganegara, kita seharusnya berasa bertuah menjadi sebahagian daripada rakyat negara yang berdaulat dan merdeka kerana kita dapat mengecapi kehidupan dalam suasana yang harmonis, aman serta sejahtera. Dengan nikmat kemerdekaan, rakyat di negara ini hidup lebih selesa, harmoni dan makmur serta bertolak ansur dalam menjalin hubungan sekali gus perpaduan kaum.

Perpaduan adalah suatu nikmat yang amat berharga dan tidak ternilai harganya. Oleh itu, ia perlu dibelai, dipupuk dan dipelihara dalam diri kita semua agar kemerdekaan Malaysia dapat dipertahankan sampai bila-bila walaupun jasad, nyawa serta maruah menjadi taruhan. Hatta SMK Kulai Besar sebagai institusi melahirkan modal insan yang berguna sudah menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua untuk menjadi nadi serta penggerak utama dalam arus pembangunan negara.

Kita juga seharusnya menggemblengkan tenaga secara bersepadu dalam mencorakkan murid-murid yang berjiwa patriotisme dan kental akar umbi nasionalismenya. Mereka inilah yang bakal menjadi barisan pelapis kepimpinan negara suatu hari nanti.
 
Pada saat kita berkonvoi mengibarkan Jalur Gemilang, saya menyeru kepada semua warga SMK Kulai Besar merenung sejenak kepada perjuangan yang telah dilalui oleh pejuang-pejuang kemerdekaan terdahulu. Atas usaha gigih dan pengorbanan mereka tanpa mengharapkan apa-apa ganjaran, kita sebagai anak cucu mereka boleh hidup dalam suasana penuh aman dan damai.

Guru-guru dan murid sekalian, apabila kita mengibar Jalur Gemilang, secara tidak langsung dapat memupuk perpaduan dalam kalangan kita semua tanpa mengira latar belakang agama yang kita anuti, warna kulit yang menyaluti tubuh badan kita, pangkat atau darjat. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Kata-kata azimat tersebut sudah cukup menggambarkan betapa kita perlu bersatu hati.
 
Sejarah telah membuktikan betapa keagungan sesuatu empayar itu bukan hanya terletak kepada kepimpinan yang bijak bestari semata-mata tetapi semangat jati diri dan permuafakatan rakyat. Elemen-elemen tersebutlah menjadi rahsia dan tonggak kekuatan mereka.
 
Saya amat bertuah dan berbangga kerana warga SMK Kulai Besar selama hari ini telah menunjukkan sikap yang positif, saling membantu serta bekerjasama dalam setiap bidang pekerjaan. Ia cukup sejajar dengan budaya kerja kita yang mementingkan semangat berpasukan.
 
Benarlah sudah kata bidalan, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan pasti apa jua pekerjaan yang dilakukan akan  berhasil. Dalam setiap aktiviti yang dianjurkan di peringkat sekolah, warga SMK Kulai Besar telah membuktikan permuafakatan dan perpaduan yang telah terjalin sekelian lamanya menjadi resipi kelancaran penganjuran program tersebut.
 
Saya amat berharap sikap sebegini dapat diteruskan dari semasa ke semasa kerana perjalanan kita sebagai institusi pendidikan ini masih jauh. Saya ingin menyeru warga SMK Kulai Besar teruskanlah usaha meggembleng tenaga dan upaya membangunkan SMK Kulai Besar agar menjadi sekolah yang terbaik.
 
Sebelum mengakhiri ucapan saya pada pagi ini, saya sekali lagi ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa induk dan ahli jawatankuasa kecil yang telah melaksanakan pelbagai aktiviti sepanjang  Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011.
Sehubungan dengan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Penutupan Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2011.
 
Sekian, terima kasih.

Monday, October 01, 2012

Teks Ucapan Minggu 36





Oleh;
AZMAN BIN SAFII


Assalamualaikum WKT, salam perpaduan, salam satu Malaysia. Marilah kita sama-sama melafazkan kesyukuran ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnianya kita diberi nikmat kesihatan dan kesejahteran.  Sama-samalah kita berdoa semoga kita kekal sihat bagi memboehkan kita mengabdikan diri ke hadrat Allah dalam memanifestasikan kerja dan belajar sebagai ibadah.

Pada masa yang sama, marilah kita berdoa semoga guru-guru dan rakan-rakan anda yang tidak sihat dan kini sedang menjalani rawatan sama ada di rumah mahupun di hospital dikurniakan ketabahan dan doakanlah agar mereka agar cepat sembuh.

Warga SMKKB yang dikasihi sekalian, pada minggu ini kita berada pada minggu ke 36. Ini bermakna tinggal 6 minggu sahaja lagi kita berada dalam sesi persekolahan 2012.  Sepanjang minggu lalu kita memang agak sebuk dengan pelbagai program sekolah. Pada masa yang sama sekolah kita telah menerima kunjungan dari Jemaah nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) untuk pemantauan Unit Bimbingan dan Kaunseling.

Kita juga telah menerima kunjungan pegawai-pegawai dari Sektor Pengurusan Akademik JPN Johor bagi tujuan Pemantauan Program Pecutan Akhir PMR. Insya Allah pada minggu ini antara 1 hingga 4 Oktober kita akan dikunjungi pula oleh pegawai-pegawai dari PPD bagi tujuan pemantauan Program Mastery Learning dan Program I Impian.

Dalam kesebukkan sekolah melalui proses pemantauan dari JPN, JNJK dan PPD ini, program kecemerlangan sekolah berjalan terus. Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada semua guru-guru dan murid-murid yang telah terlibat dalam menjayakan pelbagai program sepanjang minggu lalu iaitu Program Mengejar Impian (SPM), Program Jejak Gemilang (PMR), Gempur PMR, Sentuhan Gemilang, Program Gotong-royong, LDP – Penjanaan PS (guru) dan pelbagai lagi.

Sesungguhnya pada minggu lalu warga SMKKB benar-benar berada pada situasi “Proffisionally Bussy”, dan semuanya ini berlaku dan dilakukan semata-mata dengan satu tujuan dan satu harapan iaitu meralisasikan misi menjadikan sekolah ini sebagai tapak semaian yang subur untuk membangunkan potensi individu menerusi pendidikan yang berkualiti.

Warga SMKKB yang dikasihi sekalian, cabaran kita pada minggu-minggu terakhir penggal persekolahan 2012 ialah mempersiapkan murid dalam menduduki PMR, SPM dan Pentaksiran Akhir Tahun (PAT). Inilah sebenarnya kemuncak acara untuk kalendar sesi persekolahan tahun ini. Oleh itu saya mengambil kesempatan ini untuk menyeru agar semua murid kekal fokus kepada misi kita. Berusahalah dengan gigih, jangan berputus asa dan jangan pula merasa cukup selesa dengan prestasi semasa. Selagi ada masa walaupun suntuk tetapi kesimpatan tetap ada. Jika jatuh bangunlah dan janakanlah minda agar sentiasa berfikiran untuk menang.

Semua murid perlu berazam untuk menjadi penyumbang terhadap kecemerlangan sekolah. Misalnya kalulah sasaran sekolah untuk memastikan peratus kelulusan PMR 66% (GPS 3.88) maka tanamkan azam bahawa anda termasuk di dalam data tersebut. Begitu juga pada peringkat SPM, jika sekolah mensasarkan 91% murid lulus (GPS 5.82), maka bertekatlah bahawa anda salah seorang daripada mereka yang berjaya. Jika semua 409 calon PMR dan 320 calon SPM sekolah ini mempunyai tekad dan azam yang sama, bayangkanlah apakah hasilnya nanti.

Untuk itu kuatkan semangat dan perbaharui tekad bahawa kita masih belum gagal selagi kita sanggup berusaha dan membuat perubahan dalam hidup. Kita hanya dihukum gagal apabila berputus asa dan tidak mahu berusaha. Orang yang bijak ialah orang yang menjadikan masalah dan kegagalan sebagai kekuatan untuk menempuh kejayaan. Setiap individu yang dilahirkan dimuka bumi ini, termasuk murid-murid semua pernah berjaya dalam hidup.

Semasa dilahirkan anda dalam keadaan tidak bermaya, kemudian dari masa ke masa anda membina kemahiran dan kekuatan untuk boleh merangkak, berdiri dan berjalan. Dalam proses itu sudah pasti anda telah jatuh banyak kali. Walaupun jatuh tanpa sedar anda bangkit sendiri dan seterusnya boleh berlari dan dalam proses berlari sekali lagi anda berhadapan dengan cabaran jatuh, tergelincir dan terseluh, mungkin juga mendapat luka.

Daripada tidak tahu membaca, anda pandai membaca semasa berumur 6 tahun walaupun dalam proses itu anda pernah dimarahi. Perkara ini berterusan kepada kemahiran dalam bercakap walaupun dalam proses tersebut anda ditertawakan oleh ramai orang. Kemudiannya anda boleh menulis, walaupun dalam proses itu anda pernah melakukan kesilapan itu berulang kali.

Bukankah semua contoh yang diberi merupakan sebahagian koleksi kejayaan yang pernah diraih sejak dilahirkan hingga kini. Perlu ingat anda bukan dilahirkan untuk gagal tetapi anda dilahirkan dengan pelbagai potensi. Oleh itu berusahalah dan jangan berhenti, berusahalah kerana masih masih ada walaupun telah suntuk.

Pada kesempatan ini suka saya mengingatkan semua murid bahawa Pelan Strategik Sekolah 2008 - 2012(Pelan Jangka Panjang Sekolah) akan berakhir pada tahun ini. Pada ketika ini semua unit dan bidang sedang dalam merangka strategi baru untuk dijadikan landasan menjadikan sekolah ini sebagai tempat menjana keunggulan dalam melahirkan generasi yang terbilang (2013-2017). Indeks kejayaannya ialah kemenjadian murid sama ada dalam pencapaian akadmik, sahsiah dan kokurikulum.

Dalam proses menjadikan anda individu yang cemerlang pihak sekolah telah mengambil inisiatif untuk menambahbaik kemudahan yang terdapat disekolah ini. Tujuannya hanyalah satu iaitu untuk mewujudkan suasana yang lebih selesa atau kondusif kepada semua murid yang belajar dan guru yang mengajar. Misalnya semua bilik darjah kini telah dilengkapkan dengan papan putih bagi mengantikan papan hitam atau hijau – guru tidak menggunakan kapur lagi.

Tandas telah diperbaiki, bangunan akan dicat semula, sisitem talian internet telah mencapai tahap kelajuan yang lebih baik (menara yes akan dibina di kawasan sekolah untuk menjadikan talian lebih stabil). Oleh itu jagalah kemudahan yang ada ini dan gunakanlah dengan bijak sana. Gunakan kemudahan yang pada pertimbangan saya bertaraf dunia ini dengan minda kelas pertama. Jangan semua murid bertindak dan berkelakuan seperti minda kelas ketiga iaitu tidak paandai menghargai dengan gejala vendalisme.

Sebagai proses untuk mendidik, saya memberi peringatan aagar semua murid yang melakukan kerosakan terhadap harta benda sekolah akan diminta untuk membayar ganti rugi. Jika tiada maklumat mengenai siapakah murid yang telah melakukan sesuatu tindakan salah laku musnah, maka kos menggantikan alatan atau kemudahan yang rosak akan ditanggung oleh semua murid seperti kata pepatah Melayu, ke bukit sama-sama mendaki, ke lembah sama-sama menuruni. Berat sama di pikul, ringan sama dijinjing.

Beberapa maklumat lain yang ingin saya sampaikan di sini ialah;

a.   Pentaksiran Akhir Tahun Tingkatan 4 – Pencapaian anda diambil kira dalam SKPM untuk mengukur tahap kemenjadian murid dalam akademik. Markah murid juga di isi secara on line (SAPS). Oleh itu buatlah bersungguh-sungguh.
b.  Semua murid perlu sedar bahawa mata pelajaran Sejarah telah dijadikan syarat wajib kelulusan dalam SPM. Sejarah juga telah dirombak formatnya yang kini terdapat kertas 3 (Open Book Test). Sasaran sekolah murid tingkatan 4 ialah kelulusan pada tahap 50% (GPS 5.50)
c. Murid tingkatan 2 akan diukur pencapaian berdasarkan PBS. Walau bagaimanapun Ujian Rujukan Norma akan dilakukan untuk mengklasifikasi tahap pencapaian murid bagi tujuan penyusunan kelas.
d.    Murid tingkatan 5 – kini baharu sahaja menduduki Percubaan SPM – program pecutan akhir akan dilaksanakan mulai minggu hadapan. Minggu ini audit akademik dan post mortem akan dijalankan.
e. Warga sekolah perlu memberi sokongan, ketaatan dan kesetiaan kepada kerajaan kerana kita di bawah pemerintahan kerajaan yang memerintah. Perlu akur dan setia dan janganlah mempertikaikan dasar kerajaan. Dalam mode Pilihan Raya, saya mohon supaya semua warga sekolah mengelakkan daripada menyertai perhimpunan politik. Patuhilah peraturan dan undang-undang kita perlu memberi sokongan kepada “Government of The Day”
f.   Sayangi sekolah dan harta benda sekolah seperti anda menghargai rumah anda sendiri. Manfaatkan kemudahan dan janganlah mengkhianatinya.

Sekian untuk kali ini, sama-sama lah kita berazam dan bulatkan tekad bahawa kita mampu untuk melakukan perubahan  kepada satu tahap yang lebih baik.


Penulisan ini diolah semula dan disesuaikan daripada ucapan yang telah disampaikan pada Majlis Perhimpunan Rasmi Mingguan pada hari Isnin, 1 Oktober 2012.

Artikel Popular