Model Maslow yang
berbentuk peringkat itu merupakan perkembangan ‘ontological’ individu
kerana setiap peringkat perkembangan perlu dilalui oleh individu misalnya pada
masa bayi atau kanak-kanak, individu memerlukan perlindungan dan keselamatan,
diikuti dengan kasih sayang, dan penghormatan diri dan keperluan ini terus
bertambah sehingga kepada peringkat penyempurnaan kendiri.
Kajiannya mendapati
semakin tinggi keperluan individu itu maka semakin kurang pergantungan kepada
persekitaran sosial kerana dalam hal ini individu menggunakan pengalaman lampau
untuk menentukan tingkah-lakunya. Pada masa ini motivasi bergantung
kepada kemahuan dalaman, kemampuan, potensi, bakat, dan kreativiti impuls
individu.
Sementara itu
persekitaran sosial merupakan faktor desakan dalam mencapai kemahuan ini.
Maka dengan itulah juga Maslow menamakan keperluan peringkat terbawah sebagai
keperluan kekurangan dan peringkat paling tinggi sebagai keperluan
perkembangan.
Keperluan Fisiologi
Mengikut teori Maslow,
peringkat ini merupakan keperluan yang paling asas. Keperluan ini adalah
penting bagi kehidupan sesuatu organisme, apatah lagi
manusia. Keperluan asas ini merangkumi apa yang
diperlukan untuk diri atau fizikal seseorang seperti keperluan mendapatkan
makanan, minuman dan tempat tinggal.
Membicarakan teori
motivasi Maslow dalam konteks pendidikan, pelajar-pelajar yang mendapat kurang
makanan tidak dapat menumpukan perhatian yang sepenuhnya terhadap pelajaran
mereka. Ini kerana kesan daripada kekurangan keperluan ini akan mengakibatkan
kesihatan pelajar terganggu atau terjejas.
Bagi mengelakkan perkara
ini berlaku, para guru sepatutnya memberikan perhatian dan mengambil berat
kepada tanda-tanda yang menunjukkan apa-apa kekurangan dari segi fizikal
pelajar itu. Sekiranya keperluan ini tidak dipenuhi pelajar akan kurang
bermotivasi atau berminat terhadap pelajaran.
Selain itu, salah satu
lagi yang termasuk dalam keperluan asas manusia adalah keperluan seks.
Keperluan ini akan mencapai kemuncaknya apabila seseorang itu mencapai
peringkat baligh. Melalui keperluan ini, setiap individu dapat
mengetahui peranan jantina masing-masing.
Mereka perlu berkahwin
untuk memenuhi keperluan seks. Bagi remaja yang cuba memenuhi keperluan
seks melalui hubungan seks yang tidak selamat, boleh mendatangkan penyakit yang
berbahaya kepada mereka. Kekurangan keperluan seks boleh menyebabkan
seseorang individu tidak dapat melakukan tugasan lain kerana keperluan ini
adalah merupakan keperluan utama yang perlu dipenuhi terlebih dahulu.
Keperluan Keselamatan
Telah menjadi lumrah setiap yang bernyawa, aspek
keselamatan amat penting dalam hidup. Demikianlah tiap-tiap individu
memerlukan keperluan ini tetapi dengan kekuatan yang berbeza-beza. Ada
individu yang kurang mempunyai keperluan ini dan menjadikannya lebih gemar
bersendirian, tetapi ada individu yang mempunyai keperluan ini dengan kuatnya
sehingga menjadikannya bergantung di dalam banyak hal kepada orang lain.
Keperluan ini boleh jadi timbul daripada keadaan
anak-anak kecil yang tidak dapat hidup dengan sendirinya dan memaksa ia
bergantung kepada orang dewasa terutama ibu bapa untuk mendapatkan keperluan
ini agar ia sentiasa dilindungi. Sebagai contoh semasa dalam kesakitan
seorang kanak-kanak amat memerlukan jagaan ibu bapa.
Sikap kepekaan dan keprihatinan seorang ibu atau bapa
yang bertanggungjawab diharapkan demi menjaga keselamatannya dan hasil
penyelidikan yang dibuat oleh Harlow dan Zimmerman (1958) berdasarkan kajiannya
turut menunjukkan betapa pentingnya perdampingan dan sentuhan orang dewasa
kepada seseorang kanak-kanak.
Hal yang sedemikian turut berlaku di dalam kelas.
Pelajar-pelajar memerlukan keselamatan daripada seorang guru iaitu dalam bentuk
disiplin. Oleh itu dari peringkat awal lagi, kanak-kanak perlu diajar
akan disiplin ini. Mereka tidak boleh dibiarkan mendisiplinkan diri
mereka sendiri.
Sebagai seorang yang berpengalaman, wajarlah ibu bapa
memainkan peranannya dalam mendidik dan mengajari anak-anak akan hal ini.
Semasa di dalam kelas guru pula berperanan besar. Keselamatan di dalam
kelas dapat dijamin jikalau seseorang guru itu bertindak dengan
konsisten. Ini kerana pelajar-pelajar itu akan dapat belajar dengan lebih
berkesan jika mereka dapat mengetahui perasaan atau ‘mood’ guru
itu.
Contohnya, cara seseorang guru itu memberikan
arahan. Semestinya setiap arahan yang diberi tidak bercanggah. Di
samping itu apa yang penting juga guru seharusnya ada sikap toleransi terhadap
para pelajarnya. Ini kerana pelajar-pelajar akan berasa selamat dan
membolehkan mereka dapat menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap proses
pembelajaran.
Keperluan Kasih Sayang
Berdasarkan Teori Maslow, turut diperlukan keperluan ini untuk mendapatkan hubungan yang mesra, kasih-sayang, dan perasaan diri. Kebiasaan yang berlaku di dalam kelas, pelajar kadang-kadang akan berasa terganggu apabila terjadi perkelahian atau perbalahan antara satu sama lain. Mereka berasakan diri dan emosi mereka berada di dalam keadaan yang tidak stabil menyebabkan tidak dapat menumpukan perhatian terhadap proses pembelajaran mereka.
Keadaan ini akan menjadi lebih kritikal dan tegang
jikalau mereka dimarahi pula oleh guru dan dikenakan denda. Situasi ini
akan menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pelajar terbabit dan merasakan
diri mereka seolah-olah tidak disukai, dihargai, atau tidak dipedulikan oleh
guru mahupun kawan-kawan.
Ekoran daripada itu keinginan, minat, juga kehendak atau
motivasi mereka untuk belajar akan pudar dan lenyap. Dalam konteks ini,
guru perlulah memberi tunjuk-ajar kepada mereka dengan menasihati atau
mengadakan sesi kaunseling untuk mengeratkan hubungan yang baik sesama
mereka.
Apa yang penting juga ini akan dapat memelihara hubungan
yang baik dan mesra di antara pelajar dengan guru. Melalui cara
ini, pelajar akan merasakan mereka diterima, dihormati, serta dihargai oleh
anggota lain dalam komuniti yang kecil dan mereka ada hak milik keanggotaan
dalam komuniti tersebut. Secara tidak langsung, proses pengajaran
pembelajaran berjalan dengan baik, harmonis, lancar, dan berkesan kerana
masing-masing individu telah dapat memenuhi keperluan kehendaknya.
Keperluan Penghargaan Kendiri
Satu unsur besar dalam pembinaan konsep kendiri adalah
penerimaan. Penerimaan oleh keluarga, guru dan rakan sebaya amatlah penting.
Penerimaan bermaksud menghargai sifat-sifat istimewa individu sebagai
manusia unik yang bebeza dengan individu lain dari segi sikap, pengetahuan dan
kemahiran.Penerimaan bererti memberi peluang kepada individu belajar menerima
diri mereka sendiri. Penerimaan rakan sebaya penting supaya mereka tidak merasa
tersingkir.
Murid yang diterima kerap kali memperolehi prestasi
akademik yang tinggi berbanding individu yang tidak diterima rakan sebaya.
Murid yang diterima merasai diri mereka dihargai, dikasihi dan bernilai. Oleh
itu mereka dapat berinteraksi secara positif membincangkan masalah pembelajaran
dalam kumpulan. Guru perlu menyediakan aktiviti seperti projek-projek bagi
setiaap murid supaya mereka dapat berdamping dan mendampingi murid lain.
Setiap individu memerlukan penilaian yang tinggi dan
stabil tentang diri mereka. Bagi memenuhi kehendak atau membolehkan
perkara ini berlaku, terlebih dahulu seseorang itu perlu menghormati dirinya
sendiri dan berusaha pula menjadikan dirinya dihargai oleh orang lain.
Faktor yang penting ialah keperluan ini dapat dipenuhi
apabila seseorang itu mempunyai keyakinan diri dan kebebasan, juga
pengiktirafan, perhatian, dan penilaian diri orang lain. Konsep ego
seseorang itu berkait rapat dengan perasaan penghargaan diri. Berdasarkan
Saedah, Zainun, dan Tunku Mohani (1996 : 13) mengungkap kata-kata Kubiniec,
1970, ‘Orang yang mempunyai konsep diri yang kuat lebih berkemungkinan mencapai
kejayaan akademik Ini bertepatan sekali jika dihubungkaitkan dengan diri
seseorang pelajar itu.
Rasa ingin tahu mempunyai pertalian yang erat untuk
memenuhi kehendak ini. Rasa ingin tahu ini juga akan menggerakkan pelajar
tersebut mendapatkan pengetahuan dan pengalaman yang menarik perhatian
mereka. Keinginan ini juga mendorong pelajar untuk belajar dan mencari
pengetahuan dengan membaca buku, mentelaah, menjalani proses pembelajaran atau
mencuba berbagai-bagai perkara yang belum dialaminya.
Oleh itu menjadi tugas seseorang guru memberikan tugasan,
yang sesuai untuk diterokai serta yang mampu dan boleh dilaksanakan oleh
pelajar. Pelajar akan merasakan diri mereka penting apabila sesuatu
tugasan yang diberi dapat dilaksanakan dengan sebaiknya.
Ini dapat memupuk diri pelajar untuk lebih berkeyakinan
seterusnya keinginan dan minat mereka untuk terus belajar dan berjaya makin
meluap-luap. Seseorang guru juga perlu berusaha dan memastikan
jangan ada pelajarnya yang gagal atau tercicir kerana mereka ini akan merasakan
penghargaan dirinya amat rendah.
Keperluan Penyempurnaan Kendiri
Konsep kendiri adalah pengertian atau kefahaman seseorang terhadap dirinya sebagai individu yang asing yang memiliki satu ciri-ciri yang unik atau istimewa (Shaffer,1985 ).Ia membawa maksud bagaimana seseorang individu itu berpendapat dan menganggap dirinya. Penyempurnaan kendiri pula bermaksud apa yang seseorang itu boleh jadi, ia mesti jadi, iaitu potensinya dilahirkan. Anggapan dan pendapat itu adalah berasaskan kepekaan dan kesedaran tentang kekuatan dan kelemahannya.Kesedaran itu pula lahir daripada maklum balas, gerakbalas atau preaksi individu lain disepanjang pergaulan, sosialisasi atau interaksi dengan individu lain.
Cohen (1959) menjelaskan bahawa orang yang mempunyai
konsep kendiri yang tinggi dikonsepsikan sebagai orang yang menyukai atau menghargai
dirinya dengan melihat dirinya berkebolehan dalam hubungan dengan dunia
luar. Manakala mereka yang mempunyai konsep kendiri yang rendah pula melihat
dirinya sebagai orang yaang membenci dan tidak menghargai dirinya.Iaitu
seseorang yang tidak berkebolehan untuk berhubung secara berkesan dengaan
persekitarannya.
Peringkat penyempurnaan kendiri ini adalah peringkat yang
paling tinggi dan hanya diperolehi apabila semua keperluan peringkat bawah itu
telah dipenuhi. Demikian pula mengikut Atan Long (1976 : 148) daripada
Maslow (1970), keperluan untuk penyempurnaan kendiri itu adalah keperluan
yang menjadi kemuncak atau yang tertinggi di dalam peringkat sistem keperluan
manusia.
Keperluan ini hanya dapat dicapai setelah seseorang itu
memenuhkan keperluan lain yang terdapat pada peringkat yang lebih bawah di
dalam sistem keperluan tadi. Menurutnya lagi, keperluan penyempurnaan
diri ini merupakan pemenuhan keseluruhan keperluan manusia.
Ini bermakna seseorang yang telah mencapai peringkat ini telah dapat memenuhi keperluan untuk mendapatkan keindahan dan estetika; ia telah dapat dengan sepenuhnya akan makna hidup; ia dapat menerima keadaan dirinya dan orang lain; ia merasakan gembira tentang nikmat hidup dan telah menggunakan kebolehannya dengan semaksimanya.
Penerimaan diri berlaku melalui sosialisasi dengan
individu lain. Sekiranya individu itu diterima oleh orang lain, dia juga akan
menerima dirinya. Penerimaan diri boleh mempengaruhi tindak tanduk individu
dalam menghadapi cabaran hidup ini. Manakala perhargaan diri pula
bermaksud sikap penerimaan atau tidak penerimaan individu terhadap dirinya.
Individu yang tinggi penghargaan dirinya selalu
berkebolehan membenteras dan mengatasi kegawatan persenoliti serta kurang upaya
mengendalikan masalah yang timbul dalam hidupnya. Untuk membina konsep kendiri
yang positif ibu pada dan para pendidik perlu memberi dorongaan, bantuan dan
sokongan kepada murid.
Bantuan kemudahan dan sokongan moral perlu dalam
pembelajaran mereka. Ibu bapa dan pendidik juga perlu menyediakan segala
jenis pengalaman hidup untuk membantu murid mengembangkan bakat atau potensi
mereka. Dalam meniti arus kehidupan untuk membantu murid mengembangkan
bakat atau potensi mereka.
Di sekolah, terdapat banyak ruang atau peluang-peluang
yang diberi atau disediakan kepada pelajar-pelajar untuk mencapai peringkat
penyempurnaan kendiri ini seperti pemilihan aktiviti oleh pelajar sendiri,
rancangan belajar yang bebas juga sesi bimbingan kaunseling.
Melalui aktiviti-aktiviti tersebut pelajar dapat memilih
jenis pengetahuan atau kemahiran yang mereka kehendaki dan mereka juga bebas
menggunakan masa untuk mengembangkan pengetahuan atau kemahiran itu
Apabila pelajar berusaha untuk mencapai peringkat penyempurnaan kendiri, maka
mereka mesti belajar dengan tekun, bersungguh-sungguh, serta melipatgandakan
usaha melalui arah yang tegas dan berdisiplin. Di samping itu pelajar
juga perlu mengetahui had aktiviti mereka. Dalam membantu para pelajar
berjaya mencapai sehingga peringkat ini, guru perlu memainkan peranannya.
Guru harus membantu menyuburkan minat, bakat, juga
kebolehan pelajar dengan menjadi pembimbing atau fasilitator kepada
mereka. Dengan ini pelajar dan guru berjalan seiringan dalam memenuhi
satu matlamat. Kesan daripada itu proses pengajaran serta pembelajaran
dapat ditingkatkan seterusnya mendatangkan manfaat kepada semua pihak.
Keperluan Mengetahui
Keperluan mengetahui adalah berkaitan dengan perasaan
ingin tahu sesuatu perkara. Ia berhubung juga dengan keperluan mencari,
menyusun serta menganalisis sesuatu maklumat. Untuk mengetahui sesuatu perkara,
seseorang itu mestilah berusaha mencari jawapan mengenai makna kehidupannya dan
tentang kewujudan dirinya. Dalam konteks sekolah, guru mestilah
sentiasa mengajar dengan cara ikuiri penemuan dan kajian supaya semua pelajar
dapat melibatkan diri dalam proses mencari maklumat dan pemikiran reflektif.
Keperluan Estetik
Keperluan estetik adalah merujuk kepada keperluan manusia
untuk memiliki dan memahami keindahan dan kecantikan dalam dirinya. Salah
satu untuk memiliki perasaan tersebut adalah dengan cara memiliki baranganyang
cantik dan mempunyai unsur-unsur kesenian dalam dirinya.
Akibat keperluan ini manusia sanggup membelanjakan
beratus malahan beribu ringgit untuk memiliki barangan yang indah . Dalam
konteks sekolah pula, pelajar perlu digalakkan supaya lebih melibatkan diri
dalam aktiviti-aktiviti yang dapat mengembangkan otak kanan mereka seperti
dalam bidang drama, muzik dan sebagainya.
KEPERLUAN PELAJAR
|
CONTOH
|
FISIOLOGI
(Keperluan asas untuk diri atau fizikal seseorang) |
Makanan berzat
|
KESELAMATAN
(Keperluan untuk merasakan diri lebih selesa dan dilindungi) |
Keselamatan dalam kelas
|
KEPERLUAN
KASIH SAYANG
(Keperluan untuk memperoleh hubungan yang mesra, kasing saying dan perasaan diri) |
Hubungan baik dan mesra antara
pelajar dengan pelajar dan pelajar dengan guru di sekolah
|
KEPERLUAN
PENGHARGAAN KENDIRI
(Bagaimana diri mereka diterima dan dihargai oleh orang lain) |
Penerimaan oleh guru dan rakan
sebaya.
Aktiviti yang dijalankan yang melibatkan mereka sentiasa berdamping antara satu sama lain. |
KEPERLUAN
PENYEMPURNAAN KENDIRI
(Apa yang seseorang itu boleh jadi, ia mesti jadi iaitu potensinya dilahirkan) |
Peluang-peluang kepada pelajar untuk memenuhi keseluruhan
kesempurnaan kendiri seperti kebebasan untuk memilih aktiviti kokurikulum
yang diminati di sekolah, rancangan belajar yang bebas dan fleksibel dan adanya
sesi bimbingan kaunseling.
|
KEPERLUAN
MENGETAHUI
(Berkaitan perasaan ingin tahu sesuatu perkara) |
Aktiviti pembelajaaran yang berkaitan
inkuiri penemuan dan kajian yang bertujuan supaya pelajar dapat melibatkan
diri dalam proses mencari maklumat dan pemikiran reflektif.
|
KEPERLUAN
ESTETIK
(Keperluan manusia untuk memiliki dan memahami keindahan dan kecantikan dalam dirinya) |
Menggalakkan pelajar melibatkan diri
dalam aktiviti yang dapat mengembangkan otak kanan seperti dalam bidang
drama, muzik, tarian dan lain-lain.
|
Rumusan
Maslow menyifatkan
keperluan manusia dapat ditunjukkan dalam hierarki piramid, iaitu dari
keperluan paling asas yang mendesak yang perlu dipuaskan terlebih dahulu sebelum
seseorang itu memberikan perhatian mereka kepada keperluan seterusnya yang
lebih tinggi.Tiada satu pun daripada karya-karya yang diterbitkan menjelaskan
heirarkinya secara visual. Gambarajah Piramid yang menggambarkan hierarki
keperluan Maslow mungkin telah dilakukan oleh sebuah penerbit buku teks
psikologi sebagai alat ilustrasi.
Piramid ini kini menjadi
ikon yang sering dijadikan ilustrasi yang peling mudah dalam memahami
kepelbagaian keperluan manusia, fizikal dan psikologi, kerana berupaya
menjelaskan teori keperluan Maslow, dan mungkin memberikan satu gambaran bahawa
hierarki keperluan adalah satu turutan perkembangan psikologi manusia yang
tetap dan rigid.
Namun, bermula dengan
penerbitan pertama teori beliau pada tahun 1943, Maslow menyifatkan keperluan
manusia sebagai agak rencam di mana banyak keperluan yang wujud dalam seseorang
secara serentak, dan tidak secara urutan. Model hierarki keperluan manusia mencadangkan
bahawa keperluan manusia itu hanya akan dapat dipenuhi mengikut tahap pada satu-satu
masa. Perkara inilah yang perlu difahami oleh guru-guru di sekolah supaya
perkembangan pembelajaran murid dapat diselarikan dengan keperluannya sebagai
seorang individu sama ada dalam aspek fizikal mahupun psikologi kerana memberi
kesan kepada perkembangan pembelajaran mereka.
No comments:
Post a Comment