Tuesday, September 26, 2017

Konsep dan Kerangka Pembelajaran Kolaboratif


 
John Amos Comenius, seorang ahli akademik pada kurun ke-16 telah memperkenalkan satu pendekatan yang perlu diikuti dalam proses pengajaran, iaitu konsep di mana guru menggunakan kaedah kurang mengajar tetapi murid murid lebih banyak belajar  (teachers teach less but learners learn more). Ideanya adalah untuk melibatkan murid-murid lebih aktif dalam proses pembelajaran mereka sendiri. 

Comenius diikenali hari sebagai "Bapa Pendidikan Moden" yang telah merintis kaedah pendidikan yang moden. Comenius pernah ditawarkan untuk menjadi presiden pertama di Universiti Harvard, namun beliau telah menolak tawaran tersebut. Comenius juga ialah orang pertama yang menggunakan gambar dalam buku teks. Pada hari ini saranan dan idea Comenius semakin popular dan diamalkan sebagai Pembelajaran kolaboratif.
 
 
Apakah Pembelajaran Kolaboratif? 
 
Smith and McGregor (1992) menjelaskan bahawa pembelajaran kolaboratif adalah satu istilah yang memayungi pelbagai pendekatan pembelajaran yang melibatkan usaha Intelek sesama murid atau murid-murid dengan guru.   Biasanya murid-murid melaksanakan aktiviti secara berkumpulan seramai dua atau lebih, saling mencari persefahaman, penyelesaian atau mencipta suatu hasil pembelajaran. 
 
Aktiviti-aktiviti pembelajaran kolaboratif sangat pelbagai dan meluas, tetapi kebanyakannya berpusatkan kepada aktiviti murid untuk meneroka sesuatu sesi pembelajaran atau penggunaan bahan pembelajaran. Ini bermaksud dalam pembelajaran kolaboratif sesi pembelajaran bukan sekadar penyampaian atau penerangan daripada seorang guru semata-mata.

Objektif Pembelajaran Kolaboratif.

Penggunaan pendekatan pembelajaran kolaboratif bermatlamat untuk membantu murid supaya dapat belajar dengan lebih berkesan. Adalah penting untuk kita mempertimbangkan strategi pengajaran yang melampaui penguasaan isi dan idea-idea semata-mata, tetapi sebaliknya mengabungjalin kemahiran murid dalam tiga aspek berikut;  

Penglibatan – sifat pembelajaran kolaboratif adalah menekankan pelibatan sosial dan intelektual. Kajian juga telah menunjukkan bahawa terdapat perbezaan yang signifikan dalam prestasi dan tumpuan murid berdasarkan kepada perbezaan tahap pelibatan murid dalam sesi pembelajaran. Murid-murid yang terlibat dengan aktif dalam pembelajaran memperlihatkan pencapaian yang lebih tinggi berbanding murid-murid yang pasif.  

Kerjasama dan kerja berpasukan – dalam aktiviti kolaboratif, murid-murid pasti berhadapan dengan  perbezaan pendapat dan mereka perlu berusaha untuk mengenali dan menanganinya. Oleh itu pendekatan kolaboratif dilihat berupaya membantu membina komuniti pembelajaran dalam kalangan murid.

Tanggungjawab Komuniti – Pembelajaran kolaboratif menggalakkan murid untuk membina sifat bertanggungjawab terhadap diri, kumpulan dan komunitinya. Penglibatan dan peranan mereka dalam bilik darjah boleh membantu mereka berhadapan dengan cabaran apabila berada dalam persekitaran komuniti yang lebih luas. Pembelajaran kolaboratif menjadikan murid lebih berani untuk menyampaikan pandangan dengan lebih aktif dalam membentuk idea-idea dan nilai-nilai mereka. Pembelajaran kolaboratif juga menjadikan mereka lebih sensitif terhadap pandangan dan pendapat orang lain.  

Jika di tangan seorang yang pakar pembuat tali, helaian jerami yang disimpul bersama-sama, boleh membentuk tali dengan kekuatan dan ketahanan yang lebih utuh.  Maka, samalah seperti seorang guru yang komited dan kreatif, mengabung jalin kemahiran murid-muridnya yang pelbagai tahap kecerdasan hingga berupaya menghasilkan pembelajaran yang bermakna.

Andaian tentang pembelajaran  

Ahli akademik yang mendokong pendekatan kolaboratif mencadangkan bahawa, pembelajaran kolaboratif merupakan satu pendekatan yang perlu diutamakan oleh guru-guru dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Pandangan ini adalah berasaskan andaian bahawa; 

  • Pembelajaran merupakan satu proses konstruktif yang aktif (Learning is an active constructive process)
  • pembelajaran bergantung pada kaya dengan konteks (Learning depends on rich contexts)
  • Murid atau murid adalah pelbagai (Learners are diverse)
  • Pembelajaran adalah proses sosialisasi (Learning is inherently social)

Proses Konstruktif Aktif (Active constructive process) – Pembelajaran merupakan Proses Konstruktif Aktif kerana untuk mengetahui maklumat terbaru, idea atau kemahiran, murid perlu bekerjasama secara aktif dengan cara yang memberi makna.   Dalam situasi pembelajaran Kolaboratif murid akan mencipta sesuatu yang baru dengan menggabungkan bahan baru dengan sesuatu yang mereka sudah tahu atau menggunakannya untuk menyusun semula apa yang mereka fikir mereka tahu. 

Kaya dengan konteks  (Rich contexts) –Idea daripada aktiviti-aktiviti pembelajaran Kolaboratif adalah untuk melibatkan murid dalam tugasan atau soalan-soalan yang mencabar. Pembelajaran bukannya bermula dengan fakta-fakta dan idea-idea dan kemudiannya berpindah kepada aktiviti, sebaliknya pembelajaran kolaboratif sering bermula dengan masalah. Ini mengubah peranan murid dari pemerhati kepada pengamal. Kaya dengan konteks mencabar murid untuk mengamalkan dan membangunkan kemahiran penyelesaian masalah (problem-solving skills) dan penakulan aras tinggi (higher-order reasoning). 

Kepelbagaian  (Diversity) – Murid-murid kita membawa pelbagai perspektif ke dalam bilik darjah – pelbagai latar belakang, gaya pembelajaran, pengalaman dan cita-cita.  
 
Kewujudan Intemasi Pergaulan (Inherent sociability) - pembelajaran kolaboratif menghasilkan sinergi Intelek daripada pemikiran yang datang dari pelbagai latar belakang murid untuk menyelesaikan masalah dan memberi rangsangan kebersamaan dalam aspek sosial,  penglibatan dan usaha.


Pendekatan Pembelajaran Kolaboratif

 

Pembelajaran Kolaboratif boleh dilaksanakan dalam lima pendekatan iaitu, Pembelajaran Koperatif (Co-operative learning), Kumpulan Penulis (Writing groups), Komuniti Pembelajaran  (Learning communities), Pengajaran Rakan Sebaya (Peer teaching), Pembelajaran Berasaskan masalah (Problem-based learning) dan Kumpulan Perbincangan (Discussion groups) 

1)    Pembelajaran Koperatif 

Pembelajaran Koperatif adalah pendekatan yang digunakan secara meluas dalam kalangan guru-guru. pembelajaran koperatif digunakan secara meluas disebabkan oleh pelbagai faktor. Pertamanya, pembelajaran koperatif adalah pembelajaran yang bersandarkan kepada teori pembelajaran yang jelas. Pembelajaran Koperatif mempunyai sandaran yang kukuh berdasaran terori pembelajaran termasuk Antropologi (Meade, 1936), sosiologi (Coleman, 1961), ekonomi (von Mises, 1949), Sains Politik (Smith, 1759) psikologi (Piaget, 1950; Vygotsky 1978).  

Faktor kedua ialah penggunaan pembelajaran koperatif sebagai pendekatan pengajaran yang berkesan juga telah disahkan lebih dari 900 penyelidikan yang dilakukan oleh ahli akademik sama ada dari segi kekarapan dan keluasan skop khususnya berkaitan matlamat pembelajaran iaitu koperatif, persaingan dan individualistik.  

Faktor ketiga yang menyumbang kepada penggunaan secara meluas pembelajaran koperatif adalah kepelbagaian kaedah pembelajaran koperatif yang sedia ada yang boleh digunakan semasa mengajar.
 

Mengapa menggunakan Pendekatan Pembelajaran Kolaboratif ?  
  • Merangsang pembelajaran murid dan pencapaian akademik
  • Meningkatkan kepuasan murid dengan pengalaman pembelajaran mereka
  • Membantu murid membangunkan kemahiran dalam Komunikasi lisan
  • Mengembangkan kemahiran sosial murid
  • Meningkatkan harga diri murid
  • Meningkatkan tumpuan murid
  • Membangunkan komuniti murid

Elemen Pembelajaran Koperatif 

Terdapat lima elemen pembelajaran koperatif yang dapat dirumuskan seperti berikut; 
  • Kesalingbergantungan Positif (Positive interdependence)
  • Interaksi bersemuka (Face-to-face interaction)
  • Akauntabiliti individu dan kumpulan (Individual and group accountability)
  • Kemahiran interpersonal dan kumpulan kecil (Interpersonal and small group skills) 
  • Proses secara kumpulan (Group processing) 
 
BIL
ELEMEN
DISKRIPSI
1
Kesalingbergantungan Positif (Postive interdependence)
Usaha setiap ahli diperlukan ke arah kejayaan kumpulan.
 
Setiap ahli perlu menyumbang idea, usaha dan tenaga dalam melaksanakan sesuatu aktiviti.
 
Setiap ahli dalam kumpulan memberi sumbangan yang tersendiri mengikut peranan, tanggungjawab, kemahiran dan keupayaan masing-masing.
2
Interaksi Bersemuka (Face-to-face interaction)
Memberi penjelasan lisan bagaimana mahu mengatasi sesuatu masalah.
 
Memberi penjelasan sesuatu ilmu yang dikuasai kepada orang lain dalam kumpulan.
 
Membuat semakan antara satu sama lain agar saling saling memahami.
 
Membincangkan seuatu konsep yang telah dipelajari.
 
Mengaitkan pembelajaran semasa dengan sesuatu yang telah dipelajari.
3
Akauntabiliti individu dan kumpulan (Individual and group accountability)
 
Memastikan saiz kumpulan sentiasa kecil, supaya penglibatan yang lebih menyeluruh.
 
Memberikan ujian secara individu kepada setiap murid.
 
Menilai murid secara lisan dan dilakukan secara rawak.
 
Memerhati kekerapan ahli pada setiap kumpulan  dalam memberi sumbangan kepada aktiviti yang dijalankan.
 
Menugaskan seorang murid dalam setiap kumpulan berperanan sebagai penyemak.
 
Memastikan murid memberi tunjuk ajar apa yang mereka telah dipelajari kepada orang lain.
4
Kemahiran interpersonal dan kumpulan kecil (Interpersonal and small group skills)
 
Kemahiran sosial yang perlu dipelajari.
 
-       Kepimpinan
-       Membuat keputusan
-       Membina kepercayaan (Trust-building)
-       Komunikasi
-       Kemahiran mengurus konflik
5
Proses Kumpulan.
 
Ahli kumpulan berbincang bagaimana prestasi mereka untuk mencapai matlamat dan mengekalkan hubungan kerja yang berkesan.
 
Memberi penjelasan apakah tindakan ahli yang berkesan dan tidak berkesan.
 
Membuat keputusan apakah tingkah laku yang perlu diteruskan ataupun yang mahu  diubah.

 
Pendekatan Jigsaw (Jigsaw Approach)




Pendekatan Jigsaw adalah satu kaedah yang sangat berguna untuk menggalakkan pembelajaran koperatif pada mana-mana tahap pendidikan yang pada asalnya dibangunkan oleh Elliot Aronson (1978). Setiap murid dalam kumpulan mempunyai satu maklumat yang perlu dipelajari oleh murid lain dan setiap murid mempunyai tanggungjawab untuk memastikan setiap maklumat yang ada pada mereka perlu disampaikan kepada ahli kumpulan. 
 

2) Pembelajaran Berasaskan masalah (Problem Based Learning / PBL) 

Pembelajaran Berasaskan Masalah (PBM) adalah kaedah pembelajaran berpusat, berasaskan terori pembelajaran semasa termasuklah konstruktisme, sosial konstruktisme  dan pembelajaran situasi.  
 
Dalam bilik darjah PBM, murid akan diberi tugasan untuk menangani masalah yang kompleks dan realisitk, yang telah disediakan dengan berhati-hati untuk memenuhi matlamat dan objektif pembelajaran. Murid melakukan aktiviti secara kumpulan dibawah seliaan fasilitator untuk menyelesaikan masalah.  

Semasa murid berbincang menyelesaikan masalah, merka belajar kemahiran melaksanakan kerja berkumpulan, teknik penyelesain masalah, teknik menyiasat untuk mendapatkan maklumat, kandungan topik dan mereka menerima pendedahan supaya berfikir seperi seorang yang pakar dalam bidangnya.
 
Sejarah moden PBM bermula pada awal 1970-an di sekolah perubatan Universiti McMaster, Kanada, walaupuan sejarah intelektualnya jauh lebih lama. Dewy telah membicarakannya apabila beliau bercakap menegenai “keterlibatan”.

 
3) Komuniti Pembelajaran 
 
Pada umumnya Jenis-jenis Komuniti pembelajaran terbahagi kepada empat jenis iaitu seperti berikut;
 
  • Komuniti pembelajaran: fokus pada pembelajaran bersama-sama, berkongsi, membina hubungan
  • Komuniti amalan: fokus ke arah amalan professional
  • Komuniti pertanyaan: tumpuan menanyakan tentang sesuatu perkara dan isu/ bidang
  • Komuniti Pengetahuan: fokus ke arah pengetahuan

Komuniti Pembelajaran adalah bertepatan dengan konsep pendidikan mengikut pandangan dari sudut pembelajaran sosiobudaya dan konstruktivism (Lave & Wenger). Terdapat dua persoalan penting berkaitan perkara ini iaitu;

a) Apakah penglibatan sosial dan pelbagai proses yang berlaku menyediakan konteks yang 'betul' untuk pembelajaran?

b) Apakah bentuk penyertaan bersama yang mungkin diperlukan apabila melibatkan murid dalam pembelajaran jenis ini?
 
Proses mendidik mengikut pandangan sosiobudaya;
 
  Sosial
  Budaya
Apa yang kita buat
Struktur interaksi
Apa yang kita lakukan secara bersama
Tindakan
 



Apa yang kita tahu
Struktur makna
Apa yang kita bersama tahu
Kepercayaan
 




 
Proses mendidik mengikut pandangan konstruktivisme;
 
Konstruktivisme merupakan falsafah pendidikan yang melihat pengetahuan sebagai hasil daripada pengalaman yang terhasil dari gabungjalin pengetahuan sendiri dengan pengalaman orang lain. Selain daripada menggalakan terbinanaya komuniti pembelajaran secara besemuka, komuniti pembelajaran elektronik (e Learning Community) sejajar dengan transformasi dalam gelambang teknologi semasa. 

Walau bagaimanapun melaksanakan aktiviti dalam talian akan mencipta berbagai-bagai perasaan dalam kalangan guru dan murid. Seringkali aktiviti terebut menjerumuskan guru dan murid untuk melalui pengalaman  pembelajaran secara silo atau pengasingan. Pengasingan mempunyai dua dimensi iaitu sama ada dimensi jarak dan tempat dan keduanya dimensi psikologi (jarak dalam pemikiran dan perasaan atau kejiwaan).
Alat-alat e Pembelajaran.
 
Asas komuniti dalam talian ialah keupayaan mewujudkan hubungan sosial yang erat, kewujudan kepercayaan, perkongsian nilai-nilai dan berlakunya sosialisasi dalam organisasi. Kualiti hubungan antara ahli-ahli dalam kumpulan adalah ciri yang penting dalam komuniti dalam talian. 

 
4) Pengajaran Rakan Sebaya
 
Pengajaran rakan sebaya adalah satu kaedah yang mana seorang murid mengajar murid lain, di mana murid yang pertama ialah seorang yang mahir dan murid yang kedua adalah seorang baru (novis). Jangan terkeliru dengan tunjuk ajar rakan sebaya - satu konsep yang agak baru yang direka oleh Profesor Harvard Eric Mazur pada awal 1990-an.
 
Faedah-faedah utama pengajaran rakan sebaya adalah banyak, tetapi tidak terhad kepada yang berikut iaitu:
 
  • Murid menerima lebih banyak masa untuk pembelajaran individu.
  • Interaksi secara langsung antara murid menggalakkan pembelajaran aktif.
  • Guru-guru rakan sebaya memperkukuhkan pembelajaran mereka sendiri dengan mengajar orang lain.
  • Murid berasa lebih selesa dan terbuka apabila berinteraksi dengan rakan sebaya yang.
  • Rakan-rakan dan murid berkongsi wacana yang sama, membolehkan kefahaman yang lebih jelas.
  • Pengajaran rakan sebaya adalah alternatif yang cekap dari segi kewangan untuk mengambil lebih banyak kakitangan.
  • Guru-guru menerima lebih banyak masa untuk memberi tumpuan kepada pelajaran berikutnya.
Soalan-soalan untuk dipertimbangkan ketika merancang pengajaran yang berkesan, adalah penting bagi memastikan keperluan pembelajaran murid menjadi fokus dalam reka bentuk pengajaran.  
 
Semasa melaksanakan pengajaran rakan sebaya, matlamat pelajaran hendaklah jelas dan bermakna sejak dari mula. Soalan-soalan berikut akan dapat membantu pendidik memberi tumpuan kepada reka bentuk pengajaran pendidik agar pengajaran lebih seimbang untuk manfaat murid.   
  • Apa perlu murid belajar?  
  • Apakah yang murid pelajari?  
  • Pendekatan pengajaran manakah yang boleh meningkatkan pembelajaran murid? 

5) Kumpulan Penulis 

Menulis dikenal pasti sebagai aktiviti yang dianggap mencabar dan memberi tekanan kepada murid. Menurut Huang, Wong et.al (2008), kecacatan utama dalam penulisan murid sekolah rendah ialah kurangnya penglibatan, perbendaharaan kata yang terhad dan salah serta struktur perenggan yang tidak teratur. 

Shen & Nie (2013) pula dalam kajiannya mendapati pengajaran penulisan ala tradisional sentiasa dikritik dalam pelbagai aspek iaitu dilihat terlalu berpusatkan guru, hanya berorientasikan peperiksaan dan gagal melibatkan pengalaman sebenar murid.

Kumpulan Penulis adalah sekumpulan murid yang dimotivasikan untuk belajar bersama-sama dalam meningkatkan kemahiran mereka dalam penulisan dan membangunkan kemahiran murid dalam aspek berikut;   
  • Membina keyakinan diri  
  • Memperbaiki kemahiran murid,  
  • Memberi motivasi kepada murid  
  • Menghindarkan diri dari belajar secara bersendirian.

6) Kumpulan Perbincangan 
 
Menggunakan reka bentuk kualitatif, para penyelidik mengenai pembelajaran telah mengenalpasti empat cara yang berbeza murid menggunakan kaedah perbincangan dalam usaha menggalakkan pembelajaran.     
  • Mencabar idea – setiap murid sama ada idea diri sendiri dan orang lain dengan matlamat meningkatkan kefahaman.   
  • Untuk mengembangkan idea-idea – menggunakan idea orang lain untuk memperbaiki pemikiran mereka sendiri.  
  • Untuk memperoleh idea-idea – menggunakan perbincangan sebagai cara untuk mengumpul idea-idea.  
  • Untuk menyemak idea – memastikan idea mereka adalah idea yang tepat, supaya mereka sebenar-benarnya telah belajar perkara yang betul

Rumusan 

Pembelajaran kolaboratif merupakan suatu peralihan dari pengajaran tipikal berpusatkan guru atau berpusatkan kuliah di bilik-bilik kelas kepada pengajaran berpusatkan murid, sama ada murid dengan murid, murid dengan guru atau murid dengan bahan-bahan pembelajaran.
 
Dalam pembelajaran kolaboratif,  taklimat, syarahan, mendengar dan mengambil nota bukanlah tidak wujud tetapi ia hidup bersama-sama dengan proses-proses pembelajaran lain yang menyasarkan penglibatan aktif murid dalam perbincangan dan gerak kerja dengan bahan pembelajaran. 

Guru yang menggunakan pendekatan pembelajaran kolaboratif cenderung untuk menganggap diri mereka bukan sebagai seorang pakar yang menyampaikan ilmu, sebaliknya lebih kepada sebagai seorang pembimbing agar proses pembelajaran lebih bercambah. Proses pengajaran kolaboratif ini adalah satu usaha untuk mewujudkan komuniti pembelajaran.  
 

Tulisan dibuat berdasarkan bahan Power Point persembahan bagi modul PAK21 yang disedakan bagi tujuan bimbingan SIPartners+ kepada Pengetua dan Guru Besar. Sila email kepada saya sekiranya tuan/puan berminat untuk mendapatkan bahan Power Point yang dihasilkan menerusi alamat berikut... sazman68@gmail.com



No comments:

Artikel Popular