Friday, November 09, 2018

Rancangan Pemajuan Sekolah Dalam Penentuan Hala Tuju Dan Penambahbaikan Sekolah

eBook

Tulisan ini dibuat bertujuan menjelaskan kepada kepimpinan di sekolah sama ada pengetua, guru besar, guru penolong kanan malah kepimpinan pertengahan di sekolah mengenai peraturan, tatacara dan tertib dalam penyediaan Rancangan Pemajuan Sekolah (RPS). RPS  adalah salah satu strategi bersepadu dalam Gerakan Kecemerlangan Pendidikan (GKP) yang dijana dan digerakkan oleh JNS bagi mewujudkan sistem pengupayaan kendiri (self enabling system) di sekolah.


Dengan terbinanya sistem pengupayaan kendiri ini diharapkan sekolah berkenaan berupaya memikirkan, merancang, mencari strategi-strategi, dan bertindak secara bijaksana untuk memajukan dirinya dan sekolahnya sendiri. Pada suatu peringkat terdapat kemungkin di mana sesebuah sekolah yang mantap kepimpinannya berupaya membantu sekolah-sekolah lain yang memerlukan bimbingan kepakaran berkaitan RPS ini.

Pemajuan sekolah adalah satu proses berterusan yang dilakukan oleh sekolah bagi memastikan setiap murid mencapai kemajuan ke tahap maksimum potensinya. Pemajuan sekolah boleh berlaku sekiranya pihak pengurusan sekolah menyediakan rancangan yang komprehensif dan bersepadu, mengikut  prinsip, prosedur dan  peraturannya, serta dikawal kualiti pelaksanaannya secara follow-up dan follow through
Tulisan ini saya sediakan adalah berdasarkan pengalaman dalam memberi bimbingan kepada pengetua dan guru besar (PGB) serta pemimpin pertengahan di pelbagai peringkat mengenai penjanaan RPS. Sebahagian input yang digunakan adalah berasaskan kepada sumber IAB, JPn Johor dan JNJK. Bahan-bahan ini boleh disampaikan sama ada dalam bentuk andragogi atau heutagogi. Pada akhir tulisan ini pembaca boleh memuat tturun bahan-bahan perbengkelan yang pernah saya gunakan dalam program pembugaran RPS di peringkat sekolah.

Kandungan Rancangan Pemajuan Sekolah (RPS)




RPS ialah satu dokumen yang mengandungi kerangka, panduan, langkah, proses, dan strategi untuk diguna pakai oleh pihak sekolah  bagi menghasilkan rancangan pemajuan sekolah. RPS terdiri daripada tiga komponen iaitu pelan strategik, pelan taktikal dan pelan operasi.

a) Pelan strategik ialah dokumen parancangan yang dirangka hasil daripada proses menilai keadaan semasa bagi menentukan strategi untuk mencapai visi organisasi. Ia merupakan hasil perancangan peringkat pengurusan tertinggi, berjangka panjang dan menyeluruh. Pelan ini perlu mengambil kira status semasa, matlamat yang hendak dicapai, strategi untuk mencapai matlamat dan penilaian keberkesanan dalam tempoh antara 3 – 5 tahun.
b) Pelan taktikal merupakan program/aktiviti bagi memastikan pelan strategik dilaksanakan. Ia disediakan dengan menentukan keutamaan dan mengambil kira sumber dalaman dan luaran yang sedia ada. Ia merupakan perancangan pengurusan peringkat pertengahan dalam sesebuah organisasi, berjangka pendek dan dalam skop yang lebih khusus. Pelan ini perlu mengambil kira matlamat dan strategi yang telah dinyatakan  dalam pelan strategik.
c) Pelan Opersi merujuk kepada aktiviti bagi memastikan program yang dirancang dalam pelan taktikal dilaksanakan. Ia merupakan hasil perancangan peringkat pelaksana dalam sesebuah oranisasi. Pelan ini bercorak semasa bagi menyelesaikan masalah yang lebih spesifik. Pelan ini perlu mengambil kira apa, di mana, bagaimana, bila dan siapa. (rujuk Lampiran 4 – Contoh Pelan Operasi).

Prinsip- prinsip RPS 
1) Perancangan strategik bukannya satu proses evolusi atau revolusi tetapi ia lebih menjurus kepada proses menjana cara baru bagi melakukan sesuatu tugas dengan lebih berkesan.
2) Pengetua/Guru Besar perlu berperanan sebagai penggerak dan pemimpin bagi menyediakan rancangan pemajuan sekolah. Tanpa sokongan dan kepimpinan Pengetua/Guru Besar proses ini tidak akan bergerak lancar dan tidak berupaya membawa sebarang perubahan.
3) Semua warga sekolah dan perwakilan daripada pihak yang berkepentingan perlu melibatkan diri atau mengetahui proses perancangan ini. Lagi ramai yang terlibat dalam proses menyediakan RPS, atau tahu mengenainya maka lebih mudah dan berkesan pelaksanaannya.
4) Perbincangan mengenai matlamat dan strategi pemajuan sekolah perlu berasaskan pertimbangan yang teliti daripada pelbagai sumber data dan penyelidikan.
5) Perancangan pemajuan sekolah adalah satu proses pemajuan yang berterusan, menuntut pemantauan yang berterusan serta melakukan pengubahsuaian ke atas program-program dan proses-proses yang kurang berkesan.
6) Pemajuan ke atas kemenjadian murid adalah berkait secara langsung dengan apa yang sebenarnya berlaku di dalam kelas. Guru mesti bersedia melakukan refleksi ke atas amalan pengajarannya  demi memenuhi kehendak setiap individu murid yang berbeza-beza.
7) Pelan pemajuan yang didokumenkan perlu berupaya menterjemahkan kualiti pemikiran, usaha, dan hendaklah diterima pakai oleh semua guru dan staf.

Rumusan
RPS dapat dijadikan panduan kepada PGB dan pemimpin pertengahan di sekolah bagi merancang program penambahbaikan untuk pengurusan sekolah, pengajaran dan pembelajaran dan pembangunan modal insan. Adalah diharapkan dengan adanya program penambahbaikan berterusan yang berupaya meningkatkan kecemerlangan sekolah selaras dengan aspirasi Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia. PGB dan kepimpinan di sekolah mempunyai tanggungjawab dalam membentuk atau mencipta masa depan dan bukan sekadar membiarkan masa depan terjadi dengan sendirinya. Oleh itu RPS adalah proses proaktif dalam usaha penambahbaikan sekolah kerana RPS mampu menjalinkan matlamat dan aktiviti-aktiviti yang berjangka pendek bagi mencapai matlamat yang lebih besar, kompleks  dan bersepadu. RPS juga boleh memudahkan urusan pemajuan sekolah yang bersifat komplek dengan menyediakan langkah-langkah sistematik bagi membolehkan ianya mudah diurus.

No comments:

Artikel Popular