Dalam sebuah kisah dongeng diceritakan seorang tukang batu yang sedang asyik bekerja memecah batu. Sedang ia tekun dengan kerjanya perhatiannya tertumpu kepada satu rombongan raja dan bangsawan istana yang menaiki kereta kuda lalu berhampiran lereng gunung tempat tukang batu bekerja. Raja tersebut sebenarnya sedang membuat pemantauan kerja-kerja menarah kaki gunung untuk laluan kereta kuda.
Tukang batu yang keletihan itu berhenti seketika, asyik menyaksikan rombong raja dan bangsawan istana. Tumpuan kerjanya benar-benar terganggu. Tukang batu mula mengelamun..."alangkah bagusnya jika aku menjadi RAJA. Tentu seronok, naik kereta kuda ke sana ke sini"
Hendak dijadikan cerita lamunannya terhenti......tukang batu dengan tiba-tiba menjadi seorang RAJA sepertimana yang dalam impiannya. Maka dia pun meronda-ronda negara dengan berkereta kuda. Sekejap ke kuala sekejap ke hulu, sekejap ke tanjung, sekejap ke teluk. Naik bukit turun bukit....sebuk mengurus masalah rakyat dan keselamatan negara.
RAJA akhirnya merasa sangat letih, satu keletihan yang tidak pernah dirasakan sebelum ini. RAJA yang keletihan turun dari kudanya dan bersandar pada perdu sebatang pohon. RAJA lantas melamun...... "Alangkah bagusnya kalau aku menjadi MATAHARI. Betapa bangganya aku.....panas, ada kuasa, memancar cahya dengan sesuka hati, memancarkan panas ke sana ke sini"
Lamunannya menjadi realiti, dalam sekelip mata dia bertukar daripada RAJA menjadi MATAHARI. Maka bermaharajalelalah dia memancarkan cahaya. Sedang dia leka menyinari bumi, dan sedang dia leka menikmati kuasa yang ada padanya, tiba-tiba dia merasakan kegelapan yang membuatkan dia tidak dapat melihat. Rupa-rupanya ada awan meliputi wajahnya hingga sinarannya terhalang.
Dia juga terdengar jeritan orang di bumi yang bersorak gembira menyambut kemunculan awan yang membawa hujan dan dia juga terdengar beberapa kutukkan pada sinarannya yang mengakibatkan musim kemarau panjang. Ini membuatkan dia mahu menjadi awan kerana awan berjaya menjadi lebih penting darinya.
"Alangkah bagusnya kalu aku menjadi awan.........kehadirananya selalu dinanti-natikan. Teduhnya mengembirakan semua, melipurkan hati lara nestapa" Niatnya menjadi kenyataan, kini dia menjadi AWAN. Berbanggalah dia melindungi orang di sana dan di sini, menghembuskan bayu, mengermersikkan daun-daunan yang berguguran pada musim luruh.
Saat-saat manis itu tidak berkekalan lama, ketika dia sedang seronok bergurau senda dengan sang hujan, datang pula angin yang menerpanya dan menyuruhnya pergi dari situ. Tidak dapat menolak dan tidak dapat melawan kerana begitulah hukum dunia.......yang lemah harus beralah. Apabila merasa dipersendakan, dia merasakan pula betapa bagusnya menjadi ANGIN, kerana ANGIN berkuasa mengawal awan.
Maka sekali lagi dia melamun......"Alangkah bagusnya kalau aku menjadi angin..., bebas berterbangan ke sana dan ke sini, membelah paksi bumi ke utara, selatan, timur dan barat." Lamunan dan impiannya termakbul lagi, maka dia pun menjadi ANGIN.
Hiduplah dia sebagai ANGIN, tinggallah dia dengan seronoknya menghembuskan angin sepoi-sepoi dan juga menetapkan sendiri bila dan dimana ribut taufan perlu diturunkan di sesuatu tempat itu. Selepas lama dia bermain dengan kuasanya, barulah dia sedar ada satu benda yang tidak beranjak walaupun diterpa angin sekuat mana. Benda itu adalah gunung........ya gunung.
Tiba-tiba hatinya menjadi gundah gulana, "betapa hebatnya aku sebagai angin, tetapi tak mampu mengerakkan keangukuhan gunung? bukankah bagus kalau aku menjadi GUNUNG?" Keinginannya menjadi gunung akhirnya termakbul, kini dia pun menjadi GUNUNG.
Kini dia berasa amat bangga, kini kekuasaannya tidak ada yang dapat melawan. Malah, dia berasa tampuk kekuasaan yang disandangnya dapat bertahan seumur hidup kerana kekuatannya yang luar biasa itu.
Pada saat dia bertahta dimata dan beraja di hati itu, sayup-sayup dia terdengar bunyi seperti orang memukul-mukul sesuatu. Dia memang kenal benar dengan bunyi itu. "Kentang-kenting, kentang...kentung.....ini bunyi yang selalu aku dengar". Pada ketika itu juga, dia berasa sakit. Sebahagian daripada tubuhnya sedang dipukul oleh seorang tukang batu. Kaki GUNUNG sedang ditarah sedikit demi sedikit oleh tukang batu.
Pada saat itulah dia mula sedar dan merasa amat menyesal kerana menjadi GUNUNG. Dia insaf kesombongan dan keangkuhannya hilang dengan serta-merta. Kini dia mahu menjadi tukang batu semula, semakin sakit kakinya di pahat maka makin kuat raungan dan rayunnya untuk menjadi tukang batu. Kasihan gunung.......
Moral daripada certita Tukang batu ini ialah;
Kita harus menjadi diri kita dan bukan diri orang lain. Diri kita adalah aset kita, berguna atau tidaknya kita bergantung apakah peranan kita dalam lingkungan masyarakat. Kita perlu bersyukur dengan diri kita, walau bagaimana sekalipun keadaan kita, kita adalah kita, menentukan halatuju satu kehidupan dan satu perjalanan dengan visi dan misi kebahagian dunia dan akhirat.
Cita-cita adalah virus yang memiliki potensi untuk mengarahkan seseorang menjadi tinggi diri, bongkak, malah mematikan hati nurani. Cita-cita juga menjadi sesuatu yang tidak menguntungkan bagi keadaan mental seseorang yang akan bersara dan yang akan meniti hari tua.
Sebuah tulisan di dalam salah satu jurnal psikologi menunjukkan seseorang yang mempunyai cita-cita terlalu tinggi bagi memperoleh sesuatu (khususnya wang ringgit dan jawatan) ternyata memiliki umur yang lebih pendek apabila dibandingkan dengan mereka yang bersikap realistik dan hidup dalam cita-cita yang berpatutan.
Individu yang bercita-cita tinggi adalah seperti orang yang minum air laut, tidak pernah puas. Orang seperti ini memiliki tahap stres yang lebih tinggi. Mereka juga memiliki ritma tubuh yang berbeza dan detik jantung yang lebih cepat serta tekanan darah yang lebih tinggi daripada orang lain.
Cita-cita yang wajar dan berpatutan selalunya dilandasi dengan perancangan yang matang, etika profesional dan wawasan hidup yang jelas.
Makna bekerja dalam hidup akan kita peroleh dan kita sedar yang penting bukanlah dari mana kita mula, tetapi di mana kita berakhir.
No comments:
Post a Comment