Tuesday, May 17, 2011

Teks Ucapan : Hari Guru 2011

TEKS UCAPAN PENOLONG KANAN PENTADBIRAN MEWAKILI PENGETUA SMK KULAI BESAR SEMPENA SAMBUTAN HARI GURU PERINGKAT SEKOLAH 2011

ISNIN, 16 MEI 2011
8.00 PAGI


1. Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh, Selamat Pagi dan Salam 1 Malaysia;

2. Yang Berbahagia En Syamsul Kamal bin Mat Nasir, YDP PIBG

3. Yang Berusaha En Masa'ud bin Baharom, GPK HEM, En Mohd Tahir bin Hj Ismail, GPK Kokurikulum, Pn Norazzah binti Hj Misban, GPK Petang, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran.

4. Yang Dihormati, En Muhammad Nur Ashiq bin Mohd Julin Pengerusi MPGK, AJK PIBG, rakan-rakan guru yang diraikan, dan seterusnya yang dikasihi, semua murid SMK Kulai Besar.

5. Pertama, marilah kita melafazkan setinggi-tinggi kesyukuran ke hadrat Allah S.W.T kerana dengan limpah kurnia-Nya, dalam keheningan pagi yang berbahagia ini kita dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Guru Peringkat sekolah bagi tahun 2011. Semoga Hari Guru ini dapat disambut dan diraikan dengan penuh makna dalam suasana yang ceria, harmoni, tenang dan terkawal.

6. Sidang hadirin yang berbahagia; Sebelum saya meneruskan ucapan ini saya terlebih dahulu mengambil peluang ini untuk mengucapkan “Selamat Hari Guru, Cikgu” dan “Terima Kasih Cikgu”. Sesungguhnya kami yang bergelar guru pada hari ini sebenarnya adalah murid pada satu masa dahulu.

7. Setiap tahun para warga pendidik akan menyambut Sambutan Hari Guru pada 16 Mei dengan tema yang khusus. Pada tahun ini sambutan hari guru bertemakan Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara.

8. Jika dilihat pada tema ini secara halus, maka nampak dengan jelas bahawa tugas guru semakin mencabar. Kerana sebagai penjana transformasi (perubahan) pendidikan negara, para guru perlu memikul semua perancangan pendidikan yang telah dirancang oleh kerajaan.

9. Dalam erti kata lain, apa sahaja perancangan yang telah dirancang oleh kerajaan sebagai pembuat dasar perlu dilaksanakan dengan sebegitu sempurna agar apa yang tersirat mahupun yang tersurat dalam tema Hari Guru pada tahun ini dapat dicapai.

10. Sidang hadirin yang dihormati; Sambutan Hari Guru yang diadakan setiap tahun sesungguhnya adalah satu pengiktirafan dan penghargaan tentang peranan guru yang telah diberi kepercayaan untuk mendidik anak bangsa.

11. Justeru, amat wajar sekali jika Sambutan Hari Guru ini diraikan oleh murid, ibu bapa dan masyarakat, sebagai pengiktirafan guru. Inilah cara yang terbaik untuk menyatakan rasa terima kasih, penghargaan dan penghormatan terhadap jasa guru yang tidak ternilai.

12. Saya berharap semua guru tidak leka dengan sanjungan (jika ada) dan jangan cepat melenting dan beremosi dengan cercaan dan kritikan terhadap profesion kita. Bersabarlah dan tangani segala cabaran, isu dan pandangan liar terhadap profesion ini dengan profesional, bijaksana dan berintegriti.

13. Jangan lupa cikgu, tentang peranan kita dalam menjayakan misi nasional iaitu Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP). Pada bahu kitalah terpikul enam teras yang menjadi pemangkin kepada pembangunan pendidikan.

14. Dalam melaksanakan peranan selaku penjana tranformasi pendidikan, nilai-nilai seperti jujur, amanah, bertanggungjawab, akauntabiliti, sahsiah diri serta mengawal emosi tidak harus diabaikan. Semua ini penting kerana guru adalah role-model kepada keberkesanan pendidikan bukan sahaja kepada pelajar di sekolah, malah masyarakat.

15. Sebagai guru, kita bertanggungjawab dalam membentuk tamadun manusia. Justeru, setiap guru mesti menyedari tanggungjawab ini serta sentiasa menjaga nama baik sebagai pendidik serta pemimpin masyarakat agar dapat menjalankan tugas dengan penuh amanah, jujur dan ikhlas.

16. Jadilah kita insan yang berkualiti “Quality teaching produces quality learning. Quality learning produces quality education. Finally quality education produces quality citizens.” Ingat cikgu... kualiti adalah ibarat perjalanan, bukan distinasi; perjalanan yang tiada noktahnya. Quality has no ends: it is a journey, not a distination.

17. Kepada semua murid yang dikasihi sekalian. Hargailah jasa guru-guru anda! Kalau seorang doktor dikagumi kerana boleh menyelamatkan nyawa, jika polis dan tentera disanjung kerana boleh mempertahankan negara, jika para petani dan tokoh korporat dibanggakan kerana menjanakan ekonomi negara......jangan lupa bimbingan seorang guru biasa sahaja boleh menjadikan seseorang yang biasa kepada insan luar biasa, menjadi penyelamat dalam kehidupan dunia dan di akhirat.

18. Akhir kata, kepada semua warga pendidik sekolah ini, budi dan pengorbanan cikgu-cikgu yang dicurahkan kepada anak didik di sekolah ini amat dihargai dan sangat disanjung tinggi.

19. Pada kesempatan ini saya menyeru semua warga guru supaya berusaha menjadi lebih kreatif, inovatif, proaktif dan mampu mencipta kelainan yang boleh memberi manfaat kepada murid-murid. Selaras dengan Mota murid didahulukan pencapaian diutamakan.

20. Sesungguhnya, mendidik adalah tugas yang amat mulia dan tiada ternilai harganya. Jalankanlah tugas dengan lebih gigih, jujur dan terus bekerja sebagai satu pasukan.

21. Terjemahkanlah tanggungjawab dan peranan ini dalam bentuk pelaksanaan tugas yang berkualiti dan khidmat yang terbaik kepada rakyat. Sama-samalah kita memanjatkan doa kehadrat Illahi semoga kita diberikan kekuatan dan kesihatan untuk terus melaksanakan tugas mulia ini.

22. Sekian, Wabillahi Taufik Wal-hidayah, Wassalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.

23. SELAMAT MENYAMBUT HARI GURU. TERIMA KASIH CIKGU.


AZMAN BIN SAFII
Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum
SMK Kulai Besar

No comments:

Artikel Popular