Wednesday, July 13, 2011

Sayangi Buku : Buku Jambatan Ilmu

Disesuaikan daripada teks ucapan semasa melancarkan Program Sayangi Buku SMK Kulai Besar pada Rabu, 13 Julai 2011



Assalamualaikum WKT, Salam Perpaduan dan Salam 1 Malaysia. 

Yang Dihormati rakan-rakan guru dan yang saya kasihi semua murid SMK Kulai Besar sekelian. Bersyukurlah kita kehadarat Allah Yang Maha Esa yang dengan kudrat dan iradatnya membolehkan kita bertemu dalam perhimpunan rasmi bagi minggu yang ke-25, pada pagi yang berbahagia ini.

Saya berbesar hati kerana diberi peluang untuk melancarkan program ini pada pagi ini, dan sesungguhnya inilah program terakhir yang kita laksanakan tanpa kehadiran pengetua.

Pada kesempatan ini sukacita saya maklumkan bahawa Pengetua sekolah yang Ke-9 sebenarnya telah melapor diri pada hari Jumaat yang lalu. Beliau yang saya maksudkan ialah PN TAN MOI YAN, yang sebelum ini bertugas sebagai pengetua di SMK IJ Convent Johor Bahru. Insya Allah pada hari Rabu nanti beliau akan mula berkhidmat secara rasmi di sekolah.

Rakan-rakan guru dan semua murid yang saya kasihi sekelian, amalan membaca perlu kita jadikan sabagi satu tabiat, satu kebiasaan dan kelaziman yang kelak implikasinya menjadikan ia sebagai budaya kita.

Satu fakta yang tidak bolah disanggahi ialah membaca jambatan ilmu. Jika ditelek dalam mana-mana tradisi temaudun peradaban dunia tiada tamadun yang bangkit tanpa bertunjangkan ilmu.

Kepada murid Islam sepatutnya kita sedar betapa Islam menggalakkan mencari ilmu, dan mewujudkan budaya membaca. Wahyu pertama diturunkan kepada Rasulullah SAW ialah: “Bacalah…”.

Sejarah kehidupan sarjana awal Islam mendedahkan mereka adalah masyarakat yang banyak membaca. Al-Hafiz Ibn Hajar Al-Asqalani (wafat: 852H) ketika berada di Syam dalam ekspedisi ilmunya, mampu membaca kitab hadis ‘Mukjam Saghir’ karya Imam Tabarani dalam masa beberapa jam, antara waktu Zohor dan Asar. Kitab tersebut mengandungi lebih seribu hadis.

Fairuz Abadi (wafat: 817H) dalam pengembaraan ilmunya ke Damsyiq pernah menghabiskan bacaan kitab Sahih Muslim dalam masa tiga hari sahaja. Hadis-hadis dalam Sahih Muslim mencapai angka 7,000 hadis.

Imam Syafie (wafat: 204H) dikatakan apabila beliau membaca satu-satu kitab, ketika membaca muka surat sebelah kanan, beliau akan menutup muka surat sebelah kiri dengan tangannya. Apabila membaca muka surat sebelah kiri, beliau menutup muka surat sebelah kanan dengan tangannya. Tujuannya untuk menghadkan penglihatan matanya supaya tidak terlalu cepat membaca.

Begitu juga dalam tradisi tamadun lain didunia termasuk tamadun Cina dan India, semuanya maju, berkembang dan menempa nama antara tamadun terhebat kerana kemajuan dalam ilmu pengetahuan yang anak kuncinya ialah membaca.

Membaca adalah jambatan kepada ilmu. Pepatah Cina seperti yang diungkap oleh ahli falsafah Kung Fu Tze....Carilah buku, kerana dalam buku ada emas, dalam buku ada wanita cantik. Buku melambangkan ilmu, orang berilmu boleh mendapat kekayaan, orang kaya boleh memilih wanita cantik sebagai teman hidupnya.

Begitulah amalan membaca mengakat darjat seseorang individu berbanding individu lain. Lumrah dalam menelusuri kejayaan seorang pelajar dalam pepriksaan awam, asas yang menjadi tunjang kejayaan itu ialah kuatnya membaca dengan disertai teknik dan strategi yang betul.

Baru-baru ini, terdapat kenyataan bahawa berdasarkan kajian Dewan Industri Buku Melayu Malaysia pada tahun lalu, rakyat negara ini membelanjakan kira-kira RM1 bilion setahun untuk membeli buku. Ia satu jumlah yang agak besar. Tetapi kalau diambil kira jumlah keluarga di Malaysia, secara puratanya setiap keluarga di negara ini hanya membelanjakan RM50 setahun untuk membeli buku.

RM 50 setahun sahaja… Bagi saya ia satu jumlah yang masih kecil. Bagaimana pula dengan jumlah bacaan rakyat negara kita dalam satu hari? Hasil ‘Kajian Profil Membaca Rakyat Malaysia’ yang dibuat oleh Perpustakaan Negara pada 1996 merumuskan secara amnya rakyat Malaysia hanya membaca dua buah buku sepanjang tahun.

Kajian ini juga mendapati, bahan bacaan yang paling digemari ialah komik, diikuti majalah, buku dan surat khabar. Satu statistik yang amat memeranjatkan!! Hasil kajian ini mendedahkan bahawa budaya membaca rakyat negara kita jauh masih ketinggalan berbanding negara-negara maju lain.

Bagi memastikan generasi masa hadapan yang bakal diwariskan kepada murid di bangku sekolah pada hari ini disebatikan dengan nilai dan budaya membaca maka KPM mengambil langkah bestari dengan memperkenalkan Program NILAM (Nadi Ilmu Amalan Membaca) deperingkat sekolah pada tahun 1999.

Statistik akhir menunjukkan 84.68 peratus pelajar terbabit Program Nilam. KPM berhasrat menambah baik strategi untuk mencapai 100 peratus pembabitan murid dalam Program Nilam. Bagi pelaksanaan Program Nilam, kita meminta pelajar membaca sebanyak mungkin buku dan kemudian mencatatnya dalam Buku Rekod Nilam.

Buku dimaksudkan ialah buku berbentuk fizikal yang dipinjam dari pusat sumber sekolah, perpustakaan awam atau dibeli sendiri. Bagaimanapun seiring kepesatan teknologi, Program Nilam turut menggalakkan mereka membaca buku dalam bentuk digital yang boleh diperoleh dari pusat sumber digital, e-book dan juga cakera padat (CD) atau cakera video digital (DVD).

Malah, mereka juga boleh memuat turun bahan bacaan dari internet dibaca dan disimpan sebagai koleksi peribadi. Kini sudah ada teknologi yang boleh `membacakan’ buku digital untuk kita dan boleh disimpan dalam pemain muzik MP3 serta iPod.

Dengan kepesatan teknologi yang semakin memudahkan kita pada zaman ini, tiada alasan lagi sebenarnya untuk mengatakan tidak ada masa untuk membaca. Saya berharap dapat melahirkan Tokoh Nilam yang benar-benar berketrampilan untuk dijadikan `role model’ kepada pelajar lain.

Kita ingin menunjukkan kepada semua pelajar bahawa adanya saling kait yang amat rapat antara budaya membaca dengan kecemerlangan pendidikan. Mungkin boleh saya imbas kembali pada 2004 di mana Tokoh Nilam Kebangsaan tahun itu, Nur Amalina Che Bakri, adalah pelajar terbaik keseluruhan bagi keputusan peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2004 dengan mencapai 17 1A.

Pada tahun 2007 pula, sekali lagi murid yang berjaya bergelar Tokoh Nilam Kebangsaan juga muncul pelajar terbaik keseluruhan SPM 2007, iaitu Azali Azlan yang memperoleh 20 1A dan satu 2A. Semoga dengan contoh yang dipaparkan ini akan membuka mata semua pihak termasuk murid, guru dan ibu bapa, mengenai peri pentingnya tabiat membaca dalam diri kita serta menjadikannya satu budaya. 


Kita perlu mengikut amalan penduduk di negara maju yang menatap buku atau akhbar tanpa mengira masa dan keadaan mencerminkan budaya membaca yang mantap serta sudah lama berakar umbi. Saya tidak nampak cara lain untuk kita menjadi masyarakat berilmu selain mendampingi tabiat membaca.

No comments:

Artikel Popular