Monday, January 30, 2012

Teks Ucapan : Perhimpunan Minggu Ke-5 2012

1. Assalamualaikum WKT, selamat pagi dan Salam Satu Malaysia.

2. Yang Berusaha Tuan Pengetua,Pn Tan Moi Yan, Yang Dihormati rakan-rakan Penolong Kanan, En Masa'ud dan En Mohd Tahir, Guru-guru Kanan Mata pelajaran, Guru-guru dan yang saya kasihi semua murid SMK Kulai Besar.

3. Saya mengucapkan selamat kembali ke sekolah kepada semua warga SMKKB. Sama ada murid, guru, pekerja di kantin, pekerja-pembersihan dan tidak dilupakan En Selamat...jaga, kita adalah satu keluarga, satu pasukan dan berada dalam satu kapal. Dalam usaha merealisasikan visi kita ke arah Sekolah Unggul Penjana Genarasi Terbilang, semua pihak memainkan peranan penting atas kapasiti tugas dan tanggungjawab masing-masing.

4. Saya berharap Cuti Sempena Tahun Baru Cina telah dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya kerana selepas ini tugas kita menuntut komitmen yang berlipat kali ganda dalam memastikan KB sentiasa berada pada landasan yang betul untuk menjana genarasi yang terbilang.

5. Walaupun agak lewat tetapi saya tetap mengambil kesempatan pada pagi ini untuk menyatakan penghargaan saya yang tidak terhingga kepada semua rakan-rakan guru dan mengucapkan tahniah kepada semua murid tingkatan 3 yang telah menyelesaikan misi 2011 dengan jayanya.

4. Saya berharap semua murid dapat menggunakan masa sepanjang di sekolah dengan penuh kualiti, sebuk dan menyebukkan diri dengan belajar, semua murid sama ada calon PMR, SPM mahupun murid tingkatan 1 dan 4. Kerana ada pepatah Arab yang menyebut...Masa Itu Pedang, Jika kita Tidak memotong kita akan dipotong.

5. Bayangkan kita dalam satu medan peperangan dan pedang ditangan kita. Apa pilihan kita? lari lintang pukang ? pura-pura mati untuk selamatkan nyawa atau menyerah diri. Namun pilihan yang terbaik ialah menggunakan pedang tadi untuk memerangi musuh dan jika kita mati kerananya kita mati secara bermaruah......

6. Dalam konteks anda sebagai murid peprangan yang dimaksudkan ialah bagaimana pedang untuk memerangi musuh-musuh yang boleh menjejaskan masa kualiti dalam membentuk budaya belajar.

7. Hargailah masa, kerana masa remaja hanya datang sekali dan masa yang sekali itulah menentukan halatuju dan masa hadapan untuk kehidupan anda puluhan tahun akan datang.  Justeru itu isilah masa dengan budaya pembelajaran. Datanglah awal ke sekolah, fokus semasa pengajaran guru, membuat kerja rumah tanpa bertangguh, memastikan buku sentiasa ditangan, membaca apabila ada kesempatan terluang, amalan mencatat nota, dan elakkan bual-bual kosong.

8. Dalam sebuah buku yang dikarang oleh sarjana barat yang bernama Stephen R. Covy, berjudul 7 Habits Of Highly Effective People ( 7 Tabiat Orang Yang Amat Berkesan). Dalam buku tersebut,  beliau telah menyatakan 7 tabiat orang yang sangat berkesan;

8.1  Be Proactive (Proaktif) - iaitu dalam konteks murid, mengutamakan masa dengan belajar seperti membaca dahulu topik sebelum diajar oleh guru. Mengambil inisiatif memperbaiki kelemahan diri dan tidak mengharapkan guru. Melakukan sesuatu tanpa disuruh dan tidak menyalahkan orang lain.

8.2 Begin With The End In Mind (Mula dengan matlamat di Minda) - bermaksud kita perlu merancang dan menetapkan matlamat. Contohnya matlamat sekolah ialah penetapan ETR dalam pepriksaan awam. Melakukan sesuatu yang berguna dan bermakna kepad diri dan lingkungan masyarakat

8.3 Put First Thing First (Utamakan Perkara Penting Dahulu) - perkara ini ada kaitan dengan masa iaitu kita tidak melakukan aktiviti yang membazirkan masa, tidak berfikir secara produktif, membuat senarai keutamaan, dalam konteks ini sudah tentu keutamaan akademik didahulukan.

8.4 Think Win-win (fikir menang-menang) - Pandai mencari alternatif dalam pengurusan masa, buat sesuatu yang menguntungkan diri tanpa merugikan orang lain. Dorong rakan untuk cemerlang dalam pelajaran, bimbing rakan yang tergelincir dalam perlakuan negatif atau salah laku disiplin.

8.5 Seek First To Understand, Then To Be Understood (Berusaha Untuk Memahami Dahulu, Sebelum Difahami) - Memahami hasrat sekolah dan ibu bapa, menghargai usaha sekolah, mengelakkan salahlaku disiplin.

8.6 Synergize (Bersyenergi) - Sentiasa bersemangat, pandai berkerjasama, menghargai usaha orang lain dan berdaya saing serta berupaya bekerja dalam satu pasukan.

8.7 Sharpen The Saw (Tajamkan mata Gergaji) - Bermaksud sentiasa dalam keadaan bersedia. Membuat sesuat dengan tekun, membuat persiapan secukupnya untuk cemerlang dalam segenap bidang yang diceburi. Belajar bukan sahaja di sekolah tetapi di mana sahajas dengan prinsip pembelajaran sepanjang hayat.

9. Sebagai mengakhiri ucapan ini berikut disampaikan beberapa makluman untuk makluman dan tindakan semua warga sekolah;

9.1 Mulai 1 Februari 2012 (Rabu) kita akan menggunakan Jadual Waktu Bilangan 3/2012.

9.2 Terdapat perubahan dari segi guru tingkatan iaitu Pn Sharifah Arifin tidak lagi menjadi guru tingkatan 3F kerana Pn Sharifah dilantik menjadi guru tingkatan 4 Sains 3 (kelas baru). En Shaari akan mengamabilalih tugas sebagai guru kelas tingkatan 3F.

9.3 Terapat pertambahan kelas bagi tingkatan 4 iaitu penambahan satu lagi kelas 4 Sains (4 Sains 4)

9.4 Murid 1 RK Bestari akan digabungkan dengan murid 1RK Bijak di Makmal Komputer 2. Walau bagaimanapun setiap kelas mempunyai guru yang berbeza. Pembelajaran tingkatan 1 RK Bestari dan 1 RK Bijak dijalankan secara serentak tetapi berlainan guru.

9.5 Tingkatan 4 Sains 3 akan ditempatkan sementara waktu di Bilik APD sementara menanti bilik darjah pasang siap dapat di sediakan.

10. Muri tingkatan 3KRK terlibat dalam program ELIT. sila akaur dan hadir dalam kelas yang telah ditetapkan. Guru ELIT boleh melaporkan murid yang tidak hadir sebagai ponteng kelas dan akan dipanggil keesokan harinya. Perkara ini sama juga dengan murid tingkatan 4 Sains dan 5 Sains yang perlu hadir dalam kelas-kelas yang dijalankan pada masa ke 11.

Sekian terima kasih.

Sunday, January 15, 2012

Budaya Sekolah - Harapan Daripada Pengetua

Pada penulisan ini yang saya tujukan kepada seluruh warga sekolah, adalah petikan sebahagian daripada ucapan pengetua yang disampaikan dalam ucapan sulung bagi sesi persekolahan 2012. Ucapan pengetua dalam perhimpunan sulung ini antara lain mengandungi harapan beliau terhadap warga SMKKB.

1. Pengetua mengalu-alukan kehadiran Majer Ibrahim bin Jamit, selaku wakil Pegawai Perhubungan Sekolah dari IPD Kulaijaya yang turut hadir dalam perhimpunan sulung sesi persekolahan 2012. Beliau berharap IPD Kulaijaya dapat membantu pihak sekolah dalam usaha memantapkan disiplin dalam kalangan murid-murid.

2. Pengetua telah memberi ingatan kepada semua murid dan warga guru  tentang visi dan misi sekolah yang menjadi keutamaan kepada semua dalam melaksanakan peranan dan tanggungjawab masing-masing. Sekolah Unggul Penjana Generasi Terbilang dan Membangun Potensi Individu Menerusi Pendidikan Berkualiti adalah visi dan misi sekolah yang perlu dijadikan asas dalam pemupukan budaya sekolah.

3. Pengetua seterusnya menyentuh mengenai harapan beliau agar murid dan guru sama-sama membentuk budaya sekolah yang antara lain seperti berikut;

3.1 Budaya Beratur; Murid perlu menjadikan budaya beratur sebagai amalan di sekolah sama ada semasa mahu masuk ke bilik darjah, ke makmal, bengkel, ke kantin dan ketika balik. Apabila murid beratur ia bukan sahaja mencerminkan tahap disiplin yang tinggi tetapi dapat mengelakkan amalan berebut-rebut yang boleh mencetuskan pergaduhan.

3.2 Budaya Membaca; Amalan membaca perlu dibudayakan dalam kehidupan murid, sama ada di sekolah mahupun di rumah. Murid diseru agar membudayakan amalan membaca sama ada ketika berada di tapak perhimpunan pada waktu pagi dan juga ketika menunggu kehadiran guru semasa peralihan masa pembelajaran. Murid-murid boleh meminjam buku diperpustakaan kerana membaca perlu dijadikan amalan sama ada buku akademik atau apa sahaja buku yang boleh merangsang minda murid ke arah pemikiran yang lebih kreatif dan inovatif.

3.3 Budaya bersungguh-sungguh; Murid diminta menerapkan budaya belajar bersunguh-sungguh sama ada ketika mentelaah pelajarn mahupun ketika berada dalam sesi pembelajaran di dalam bilik darjah. Murid juga perlu menguasai bahasa dengan baik khususnya Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris selaras dengan dasar MBMMBI.

3.4 Budaya menghargai kemudahan sekolah; Murid perlu menjaga segala kemudahan sekolah dengan baik kerana kemudahan yang disediakan sangat diperlukan dalam menyediakan murid suasana pembelajaran dan persekitaran sekolah yang kondusif. Kerosakan kerusi dan meja perlu dielakkan kerana selama ini pihak sekolah dan PIBG telah berbelanja besar dalam menyediakan kemudahan kerusi dan meja ekoran tindakan vendalisme oleh murid-murid. Kemudahan Tandas juga perlulah digunakan dengan baik kerana sebarang tindakan vendalisme akan menyebabkan kerosakan yang mana murid-murid jugalah nanti yang mengalami kesukaran untuk menggunakannya.

3.5 Budaya menghargai kerajaan; banyak sebab kenapa kita harus menghargai kerajaan yang memerintah. Antaranya kerajaan telah berbelanja berbelion ringgit dalam memastikan kebajikan pelajar dipelihara. Antaranya menerusi bayaran RM100 kepada semua murid untuk membeli peralatan sekolah dan pelupusan bayaran yuran/ bayaran tambahan sekolah. Murid perlu menghargai usaha kerajaan ini dengan menumpukan belajar dan belajar dengan bersungguh-sungguh.

4. Beberapa pengumuman juga telah disampaikan oleh pengetua dalam perhimpunan sulung bagi sesi persekolahan 2012, antaranya;

4.1 Memaklumkan bahwa pencapaian PMR 2012 telah mencatatkan satu aras baru untuk sekolah. Peratus kelulusan 63.44 dengan GPS 2.96 adalah pencapaian terbaik yang direkodkan untuk SMK Kulai Besar. Beliau mengucapkan tahniah kepada semua murid dan guru-guru yang telah berusaha dengan gigih sehingga mencapai ETR yang disasarkan. Pengetua turut membacakan senarai nama murid yang menerima pencapaian perfect score.

4.2 Program kecemerlangan PMR dan SPM akan dilaksanakan seawal bulan Februari.

4.3 Mengumumkan mulai minggu ini murid RK akan berhimpun di gelangang permainan dihadapan kabin. Langkah ini adalah untuk mengelakkan kesesakan di tapak perhimpunan. Peraturan ini bagaimanapun hanya untuk perhimpunan harian (selasa-Khamis) sahaja. Perhimpunan Rasmi Mingguan dan Pengisian Rohani masih dijalankan di tapak perhimpunan sedia ada.


Sunday, January 08, 2012

Selamat Kembali Ke Sekolah 2012



Setelah hampir satu setengah bulan percutian sekolah, kini suasana sekolah berubah dengan kembalinya murid untuk meneruskan misi seterusnya bagi sesi 2012. Halangan pertama telah berjaya dirempuh. Pencapaian PMR yang mencatat 63.33% kelulusan dengan GPS 2.96, kelihatannya biasa-biasa sahaja, tapi bagi warga KB ini adalah sejarah.....pencapaian terbaik yang pernah dilakarkan. Bilangan Perfect Score juga bertambah kepada 9 orang daripada 8 orang berbanding tahun lalu.

Nampaknya peningkatan bilangan PS yang sedikit, tetapi yang lebih penting seperti yang kita hasratkan ialah peningkatan dari tahun ke setahun. Berapa banyak peningkatan, itu bukanlah soalnya kerana kita perlu realistik mengenai kemampuan murid kita. Yang penting meningkat, tak kiralah sama ada mengesot, merangkak atau bertataih-tatih yang penting kita menapak ke hadapan.

Untuk itu sekalung tahniah kepada semua guru dan kepimpinan pengetua yang bertungkus lumus dalam menentukan misi PMR berjaya. Kini kita menunggu keputusan SPM, yang diharapkan dapat melengkapkan tahun kecemeerlangan KB.

Tahniah juga saya ucapkan kepada Pengurusan Bilik Operasi Peperiksaan yang mendapat pengiktirafan 5 bintang dalam pertandingan bilik operasi peperiksaan peringkat negeri Johor bagi tahun 2011. Ini adalah pencapaian kali kedua secara berturut-turut. Untuk tahun 2012 pihak sekolah menyasarkan Pengurusan Perpustakaan, KRK dan Majalah Sekolah mendapat sekurang-kurangnya penghargaan dari JPN atau PPD dalam pertandingan yang akan dianjurkan nanti.

Hari pertama persekolahan hari ini, seperti yang diramalkan pasti akan ada pemantau dari JPN atau PPD yang akan hadir. Namun kita amat bertuah kerana yang hadir ialah
Tuan Haji Mohd Zakaria bin Mohd Yusof, Ketua Jemaah nazir dan Jaminan Kualiti Negeri Johor. Setelah seharian berada di sekolah setiap inci kawasan sekolah telah dipantau. Bilik darjah, bengkel, makmal, kabin kelas, stor sukan, padang, bilik guru dan pemantauan buku rekod mengajar guru.

Alhamdulillah komen dan ulasan hasil dari pemantauan menunjukkan beliau sangat berpuas hati dan sekolah dianggap telah bersedia untuk menerima murid dan bersedia untuk proses pembelajaran. Satu-satunya teguran yang diberi ialah meja bengkel KH yang berdebu. Semoga teguran ini menjadi ingatan kepada semua guru KH agar sama-sama menyumbang kepada kecemerlangan sekolah.

Saya juga berharap warga guru dapat bersabar dengan kekangan fizikal sekolah yang terhad berbanding pertambahan murid yang pesat. Walaupun kini terdapat 5 kelas yang terapung, tetapi dalam tempoh terdekat saya dimaklumkan KPM telah meluluskan pembinaan dua modul kelas kabin (bersamaan 4 bilik darjah). Kerja-kerja pemasangan dijangka akan dilakukan dalam tempoh terdekat.

Bilangan guru yang diperlukan juga tidak cukup, tetapi saya dimaklumkan akan ada penempatan guru baru pada pertengahan bulan ini. Untuk makluman, keperluan guru KB ialah seramai 125 orang, manakala guru yang ada sekarang berjumlah 120 orang.

Satu lagi pembaharuan yang dilakukan oleh pihak sekolah ialah Kelas KRK bagi tingkatan satu telah dibawa ke sidang pagi. Langkah ini sebenarnya adalah satu strategi jangka panjang untuk memastikan momentum kecemerlangan murid dapat dikekalkan di samping memenuhi permintaan ibu, bapa dan penjaga. Saya berharap JK Pengurusan KRK dapat memastikan semua murid KRK mencapai standard akadmik yang ditetapkan iaitu minimum 6A dalam pencapaian PMR. dalam pencapaian PMR yang lalu dari 29 orang murid KRK,9 daripadanya memperolehi perfect score manakala 12 lagi memperolehi 7A 1B selebihnya 6A dan 5A. Ini bermaksud penempatan murid KRK di KB adalah satu pemilihan yang tepat. Semoga pencapaian ini dapat ditingkatkan pada tahap yang lebih baik.

Sebagai mengakhiri catatan hari ini, sukacita dimaklumkan jadual waktu bilangan 1 tahun 2012 telahpun saya muat naik dalam blog ini bagi tujuan paparan secara online. Guru-guru juga boleh memuat turun jadual waktu untuk paparan dalam telefon bimbit menerusi muat turun dari pautan jadual online tersebut, ataupaun pemindahan menerusi bluetooth dari komputer saya.

Artikel Popular