Monday, June 25, 2012

Gurindam Tonggak Dua Belas


Jika kita berhajat untuk menjadi pemimpin yang hebat, amalkan ilmu kepimpinan yang telah dipelajari dari IAB atau dari mana-mana sahaja yang diperoleh, ikhlaskan hati dalam setiap amalan dan tindakan dan satu lagi hayatilah gurindam ini.....

Gurindam Tonggak 12


Hendak pandai menghargai masa,
Jangan dinanti esok lusa.
Setiap orang hendaklah menghargai masa, dan tidak wajar bertangguh dalam sesuatu kerja.

Ketekunan akan membawa kejayaan,
Kegigihan bekerja dengan keupayaan.
Tumpuan terhadap sesuatu kerja hingga selesai akan membolehkan matlamat seseorang atau sesuatu organisasi tercapai. Kerja dilakukan dengan gigih (cekal, rajin) walaupun banyak cabarannya.

 
Wajah ceria keseronokan bekerja,
Usah berduka bermuram durja.
Dorongan untuk bekerja akan menyebabkan beban yang berat menjadi ringan. Kerja dianggap sebagai ibadah dan sumbangan yang penting.

Hidup dalam kemuliaan kesederhanaan,
Bertindak penuh dengan kebijaksanaan.

Dalam menjalani kedidupan seharian, orang yang sederhana dalam segala hal akan lebih disenangi. Orang yang sederhana akan bertindak dengan bijaksana. Mereka tidak menyusahkan orang lain dengan tingkah laku yang keterlaluan atau berlebihan.

Ketinggian peribadi jadi amalan,
Ketelusan hati jadi bekalan.
Seseorang yang memiliki ketinggian peribadi akan menjaga penampilan luaran (jasmani) dan menggambarkan sikap positif lagi terbuka. Mereka akan menjadi contoh dan sebutan.

 
Kekuatan sifat baik hati,
Bertimbang rasa dan simpati.
Orang yang baik hati sentiasa mempamerkan sifat yang disukai. Orang lain akan berasa selamat dan selesa apabila berada di sampingnya.

 
Pengaruh kepimpinan melalui teladan,
Baik buruk jadikan sempadan. 
Pengaruh teladan sentiasa mendatangkan kebaikan. Seseorang itu sentiasa mempunyai peribadi rujukan bagi menentukan baik buruk sesuatu perkara.

Menjadi kewajipan menjalan tugas,
Walaupun sederhana tetapi tegas.
Segala tugas dilakukan dengan cekap, cepat, berkesan dan sempurna. Ketegasan dalam kerja menjadi kunci kejayaan walaupun bersifat sederhana.

 
Kebijaksanaan berhemat perlu diutama,
Tidak membazir teliti saksama.
Hemat bermakna cermat, teliti dan menjaga sesuatu supaya lebih tahan lama. Dengan itu, pembaziran dapat dielakkan. Seseorang yang berhemat sangat menghargai sesuatu sumber sama ada masa, tenaga, wang ringgit dan perkataan.

Keutamaan kesabaran fikiran tenang,
Perkara susah menjadi senang.
Orang yang sabar sentiasa tenang dalam menghadapi sesuatu. Sifat negatif seperti gopoh, kelam-kabut, kucar-kacir, putus asa dan tergesa-gesa akan dijauhi. Cabaran dihadapi dengan tabah dan jalan keluar dicari.
 

Peningkatan bakat diberi sokongan,
Tunjukkan kebolehan jadikan dorongan.
Bakat dan potensi yang dikembangkan akan mendorong pembaharuan, penambahbaikan dan inovasi. Kebolehan yang ditunjukkan bakal mendatangkan manfaat kepada kehidupan.

 
Nikmat mencipta budaya kreatif,
Kembangkan bakat semoga aktif.
Penghasilan idea, bahan atau reka bentuk tertentu akan meningkatkan kesejahteraan. Bakat terpendam hendaklah digilap supaya idea yang muncul tidak sia-sia sahaja. Bakat yang dikembangkan perlu diaktifkan sepanjang masa.

Artikel Popular