TEKS UCAPAN PERASMIAN
YANG BERHORMAT EN CHONG CHIN LIANG,
ADUN BUKIT BATU
SEMPENA MAJLIS PERASMIAN
KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN
KALI KE-22 TAHUN 2012
Yang
Dihormati, Datin Hasmah Binti Md Sem Pegawai PPD Daerah Kulaijaya;
Yang Dihormati, Encik Samsol Kamal Bin Mat Nasir, YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Kulai Besar;
Yang Dihormati, Puan Tan Moi Yan, Pengetua SMK Kulai Besar;
Yang Berusaha, Penolong-penolong
Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, AHli Jawatankuasa PIBG, guru-guru,
tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang dikasihi sekalian.
Salam sejahtera, Salam perpaduan dan Salam Satu Malaysia
Saya amat gembira
pada hari ini kerana dapat meluangkan masa bersama-sama warga sekolah ini pada
Majlis Perasmian Kejohanan Padang dan
Balapan SMK Kulai Besar kali Ke-22, 2012
Sidang hadirin yang berbahagia.
Bidang sukan
merupakan antara platform terbaik untuk melahirkan murid-murid yang cergas
fizikal dan mental. Menerusi latihan yang konsisten dan seimbang daripada
pelbagai aspek yang merangkumi minda, fizikal, otot, saraf dan emosi, sukan
juga mampu membentuk seorang murid yang cergas, patuh dengan aturan dan secara
tidak langsung membentuk seorang atlet
yang berhemah tinggi, bertanggungjawab,
berdisiplin dan mempunyai jati diri yang
kental serta mempunyai daya kepimpinan.
Hadirin yang dihormati,
Dasar 1 Murid 1 Sukan
merupakan satu langkah yang tepat untuk mencapai matlamat tersebut. Dasar yang mewajibkan setiap murid yang sihat
mengikuti sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah bukan sahaja mampu
mengembalikan kemeriahan sukan di sekolah dan merapatkan silaturrahim warga
sekolah dan masyarakat setempat, malahan,
pendekatan ini akan menjadi pemangkin ke arah kejayaan yang lebih cemerlang.
Tuan-tuan dan puan-puan,
Kejohanan ini tidak semata-mata menentukan juara dan
pemenang bagi sesuatu acara, perkara yang lebih penting ialah kejohanan ini
memberikan pendidikan secara tidak langsung kepada murid-murid dan atlet bahawa
kejayaan hanya dapat dicapai melalui usaha, ketekunan, perancangan yang rapi
dan pengorbanan. Tidak ada kejayaan yang mudah dicapai melainkan melalui
perjuangan yang berterusan. Kejohanan ini juga adalah landasan ke arah
perpaduan, menjalin sifat hormat-menghormati dan semangat kerjasama yang
tinggi. Matlamat akhirnya nanti adalah untuk membentuk sebuah masyarakat dan
warganegara yang berjiwa kental, patriotik dan saling berkasih sayang.
Kegiatan sukan yang
berterusan akan menjadi satu daripada benteng yang menjadi penghalang kepada
murid-murid daripada terlibat dalam pelbagai aktiviti yang tidak sihat. Melalui
latihan persiapan mental dan spiritual, seseorang atlet itu dilatih agar
mempunyai daya saing dan semangat yang tinggi. Kita harus sedar bahawa melalui kegiatan sukan, kita
mampu membangun modal insan yang berkualiti dan insan yang memiliki minda kelas
pertama yang menjadi peneraju negara pada masa hadapan .Melalui kegiatan sukan
bukan sahaja akan melahirkan pelajar yang sihat fizikalnya tetapi pelajar yang
memiliki cergas mindanya.
Hadirin yang dikasihi
Aktiviti sukan juga berupaya memupuk perpaduan antara kaum dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia. Perpaduan merupakan kunci kejayaan Malaysia hingga dikenali di peringkat antarabangsa. Rakyat tidak harus alpa dengan kepentingan perpaduan untuk membina sebuah negara Malaysia yang berjaya dan harmoni. Indikator terbaik ke arah itu ialah melalui sukan. Semangat kerjasama dan bertoleransi amatlah penting dalam menjayakan sesuatu aktiviti sukan. Semua ahli sukan mesti bersatu padu untuk menjadi juara tanpa mengira warna kulit, bangsa, dan agama.
Sebagai mengakhiri ucapan ini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada AJK Pengelola kerana telah dapat menganjurkan Kejohanan Olahraga SMK Kulai Besar kali yang ke-22 dengan jayanya. Kepada para atlet yang mengambil bahagian dan meraih pingat kejohanan selepas ini, saya ucapkan tahniah dan kepada yang tidak berjaya janganlah berputus asa, kerana penyertaan anda sudah pun menunjukkan bahawa anda telah mencipta kerjaya
SAYA DENGAN INI MERASMIKAN KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN SMK KULAI BESAR KALI KE -22 .
Sekian,
terima kasih.