Sunday, August 26, 2012

Cuti kakitangan Awam Sebagai Keistimewaan dan Kemudahan



PEMATUHAN KEPADA PERATURAN SEMASA YANG BERKUATKUASA BAGI PELAKSANAAN KEMUDAHAN CUTI

Sebagaimana yang telah dimaklumi, kerajaan telah menyediakan kemudahan cuti untuk dinikmati oleh anggota perkhidmatan awam dengan tujuan untuk meningkatkan kualiti dan produktiviti pegawai awam di samping dapat menyelesaikan urusan peribadi pegawai.

Sungguhpun demikian, pemberian kemudahan cuti yang diberikan oleh kerajaan kepada anggota perkhidmatan awam bukanlah merupakan hak seseorang pegawai berkenaan tetapi ia adalah satu keistimewaan atau kemudahan yang diberikan oleh kerajaan sebagai pengiktirafan ke atas perkhidmatan yang diberikan.

Oleh itu saya menyarankan agar semua guru dan kakitangan dapat menggunakan kemudahan cuti yang diberikan sebaik mungkin dengan mematuhi peraturan sedia ada yang berkuat kuasa. Guru dan kakitangan sokongan janganlah membuat salah tanggapan terhadap konsep budi bicara.

Budi bicara sering dikaitkan dengan "boleh", bermaksud jika ketua jabatan tidak meluluskan sesuatu permohonan cuti, maka ketua jabatan tersebut akan dicap sebagai tidak menggunakan budi bicara. Budi bicara tidak semestinya memihak kepada kebajikan guru dan kakitangan semata-mata, sebaliknya asas pertimbangan budi bicara itu dibuat adalah seperti berikut;


1. Menjaga kebajikan pegawai tetapi pada masa yang sama memastikan kepentingan perkhidmatan tidak terjejas.
2. Kekarapan guru memohon cuti pada kadar munasabah dan tidak menjejaskan tempoh perkhidmatan pegawai (cuti bagi sakit dan sakit berpanjangan mempunyai kriteria lain).
3. Cuti yang diambil tidak memberi implikasi negatif terhadap organisasi (termasuklah kebajikan murid).

Sehubungan itu, semua guru dan kakitangan yang dinasihati agar tidak meninggalkan tugas sebelum mendapat kelulusan cuti terlebih dahulu. Sekiranya ada keperluan mendesak untuk pegawai keluar meninggalkan pejabat atau sekolah, sila isi borang kebenaran di pejabat dan dapatkan pelepasan daripada pengetua atau penolong kanan mengikut kekananan sekiranya pengetua tiada.

Sila ambil maklum bahawa tempoh masa untuk pegawai diberi kebenaran keluar adalah tidak melebihi seperuh daripada waktu bekerja pegawai (tidak termasuk waktu rehat pegawai). Sekiranya pegawai keluar melebihi daripada masa yang ditetapkan, maka pegawai tersebut perlu mengambil cuti mengikut kelayakannya (sila rujuk artikel berkaitan)


Semua guru dan kakitangan juga perlu maklum dan memahami peraturan mengenai kebenaran untuk meninggalkan pejabat dalam waktu bekerja di bawah Perintah Am 5 Bab G dan perlu dibaca bersama dengan garis panduan yang dilampirkan dalam surat siaran BSM KP (PP)0069/6/3/Jld.5 jld. 5(71) bertarikh 2 Mei 2012 dan surat edaran JPA bil. JPA(Saraan)(S)1619 Klt. 16(7) bertarikh 9 Disember 2009.

Semua guru dan kakitangan yang ingin meninggalkan sekolah atau pejabat dalam waktu bekerja sama ada untuk mendapatkan rawatan ataupun atas urusan lain perlu mendapatkan kebenaran dan patuh pada garis panduan yang ditetapkan. Antara perkara yang perlu diberi perhatian adalah seperti berikut;

1. Medapat kebenaran keluar terlebih dahulu dari ketua jabatan.
2. Mengisi borang kebenaran keluar
3. Boleh keluar walaupun atas urusan perbibadi tetapi keutamaan adalah pada tanggungjawabnya di sekolah, dimana sekiranya urusan tersebut boleh diselesaikan secara dalam talian, telefon atau dilakukan di luar waktu bekerja.
4. Pengetua boleh pertimbangkan mengikut budi bicara setelah mengambil kira kepentingan perkhidmatan.
5. Tempoh maksimum keluar ialah 4 jam bagi kakitangan awam atau separuh hari daripada waktu bekerja (tidak termasuk waktu rehat), mana yang lebih rendah. Jika lebih dari masa yang ditetapkan pegawai diminta mengambil CRK dan cuti lain yang dia layak.
6. Pegawai yang mendapatkan rawatan di klinik atau hospital perlu mendapatkan time slip atau apa jua dokumen daripada doktor sebagai pengesahan.
7. Tempoh pegawai mengikuti rawatan dianggap cuti sakit, jika pegawai disahkan tidak sihat
8. Kemudahan yang diberi tidak disalahgunakan termasuk dari segi kekerapan penggunaannya.
9. Pegawai yang menerima rawatan berkala boleh mengaturkan sesi rawatan diatur pada sesi petang jika bertugas pada sesi pagi dan begitulah sebaliknya.
10. Ketua jabatan boleh tetapkan bahawa pegawai perlu menggantikan tempoh waktu bekerja yang telah digunakan jika keadaan meninggalkan pejabat satu tindakan yang tidak boleh dielakkan.

(Tulisan ini dibuat berdasarkan surat edaran KPM KP(PP)0069/6/3/Jld. 6 (10), bertarikh 20 Jun 2012)

Friday, August 24, 2012

Teks Ucapan : Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan 2012.


TEKS UCAPAN YANG BERUSAHA PUAN TAN MOI YAN
PENGETUA SMK KULAI BESAR
SEMPENA MAJLIS PELANCARAN BULAN PENGHAYATAN KEMERDEKAAN PERINGKAT SEKOLAH 2012
 
Selamat Pagi, “Salam 1 Malaysia”, Selamat Menyambut Bulan Kemerdekaan dan Selamat Berpuasa kepada warga SMK Kulai Besar yang beragama Islam.
 
Yang Dihormati Encik Azman bin Safii, Penolong Kanan Pentadbiran dan Kurikulum.
 
Yang Dihormati Encik Masaud bin Baharom, Penolong Kanan Hal Ehwal Murid.
 
Yang Dihormati Encik Mohd Tahir bin Haji Ismail, Penolong Kanan Kokurikulum.
 
Guru-guru Kanan  Bidang, guru-guru dan murid-murid yang dikasihi.
 
Terlebih dahulu saya berasa gembira kerana kita dapat bersama-sama berkumpul pada hari ini sempena Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012. Sememangnya, kita sebagai rakyat di negara ini sangat bertuah kerana terus dikurniakan suasana kehidupan yang aman, harmoni dan sejahtera.
 
Guru-guru dan murid sekalian,
 
Pada tanggal 31 Ogos 2012 nanti, genaplah negara kita menyambut kemerdekaan untuk kali ke-55. Namun, saya percaya, dalam usia kemerdekaan yang baru melebihi setengah dekad, masih terdapat sebilangan masyarakat khususnya golongan generasi muda yang kurang arif mengenai peranan dan erti sebenar kemerdekaan yang telah dikecapi ini.

Pada zaman kini, erti kemerdekaan bukan sekadar bebas daripada penjajahan secara fizikal semata-mata malah, kita seharusnya sentiasa peka dan menghindari penjajahan yang lebih merbahaya iaitu penjajahan mental melalui pengaruh-pengaruh budaya serta amalan negatif yang berasal dari Barat.

Jika dibiarkan, tentu negara kita akan dijajah sekali lagi meskipun bukan secara fizikal tetapi impaknya dilihat agak setaraf dan mungkin lebih parah. Saya sememangnya tidak mahu perkara itu berlaku khususnya dalam kalangan murid-murid SMK Kulai Besar.

Biarlah kita terus menanam semangat kemerdekaan melalui cara pemikiran minda kelas pertama sekali gus mempertahan kemerdekaan yang telah diperjuangkan oleh para pemimpin negara yang terdahulu.
 
Kita sebagai rakyat Malaysia, seharusnya berasa bangga dengan amalan budaya budi perkerti yang tinggi yang telah berjaya menyatupadukan seluruh rakyat yang berbilang kaum sekali gus mengekalkan kedaulatan negara Malaysia yang kita cintai.

Kedaulatan yang kita nikmati inilah yang telah membolehkan negara kita membangun dengan pesatnya. Pelbagai infrastruktur dan kemudahan awam yang baik disediakan untuk keselesaan rakyat jelata.

Lebih-lebih lagi kebijaksanaan para pemimpin dalam menyatupadukan rakyat sehingga akhirnya masyarakat di seluruh negara hidup dalam suasana aman dan harmoni.
 
Murid-murid sekalian,
 
Tahukah anda bahawa sebelum merdeka, tahap pendidikan penduduk Malaysia berada dalam keadaan daif dan sangat ketinggalan jauh? Tidak kelihatan bangunan sekolah-sekolah yang cantik dan bersih seperti sekarang. Kebanyakannya, dibuat daripada kayu papan dan kelihatan usang. Matapelajaran yang diajar pula sekadar untuk membolehkan rakyat tahu membaca. Tiada buku rujukan disediakan dan kebanyakan ilmu yang dituntut adalah bergantung kepada pengetahuan guru yang mengajar. Masyarakat kita kebanyakannya tidak mampu untuk menghantar anak-anak mereka ke sekolah. Ini kerana kedaifan hidup menjadikan mereka tidak berkemampuan untuk menampung perbelanjaan persekolahan anak-anak. 
 
Setelah 55 tahun merdeka, keadaan ini sudah jauh berbeza. Sekolah-sekolah dibina di seluruh pelusuk negara dalam keadaan tersergam cantik dan mempunyai pelbagai kemudahan seperti perpustakaan, asrama dan bilik komputer. Malah pendidikan telah menjadi sesuatu yang wajib kepada ibu bapa. Bantuan buku teks diberi kepada yang memerlukannya. Guru-guru yang mendidik mempunyai pengetahuan yang luas dan kurikulumnya diperkemaskan bukan sekadar untuk membolehkan rakyat membaca tetapi menjadi modal insan yang menyumbang kepada pembangunan negara. Sesungguhnya, kita mengadakan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012 ini supaya rakyat terutamanya warga SMK Kulai Besar akan lebih memahami, menghayati erti kemerdekaan dan mendalami maksud tema kemerdekaan pada kali ke-55 ini iaitu “55 Tahun: Janji ditepati”. 
 
Oleh itu, sekali lagi saya ingin menyeru kepada murid sekalian marilah kita bersama-sama berjuang untuk terus mengekalkan kemerdekaan yang kita nikmati sekarang ini. Manfaatkanlah segala pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh sepanjang program ini berlangsung. 
 
Para hadirin sekalian,
 
Oleh itu, kehadiran kita semua pada pagi, ini bukan hanya mewarnai program ini atau sekadar mahu bergembira bersama-sama rakan-rakan, tetapi adalah untuk menggambarkan betapa bangganya kita dan cintanya kita kepada tanah air. Ia bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang, bukan setakat meneriakkan laungan Merdeka, tetapi memahami, menghayati dan menterjemahkannya dalam kehidupan seharian. 
 
Para hadirin sekalian,
 
Sebelum mengakhiri ucapan, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa penganjur yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012 dan menyeru agar mengibarkan Jalur Gemilang di semua tempat yang sesuai sama ada di kenderaan, kediaman, pejabat, premis perniagaan dan bangunan.

Semoga langkah tersebut akan menyemarakkan lagi semangat patriotisme kita kepada tanah air tercinta ini. Saya difahamkan ahli jawatankuasa penganjur telah membuat persiapan dan persediaan yang begitu rapi sejak beberapa minggu yang lepas. Mari kita berikan tepukan yang gemuruh kepada ahli jawatankuasa penganjur.

Sesungguhnya, kerjasama baik yang telah ditunjukkan ini juga boleh diterjemahkan dalam program-program akan datang, lebih-lebih lagi dalam memberi kekuatan untuk meneruskan perjuangan mempertahan kemerdekaan negara Malaysia yang kita cintai ini. 
 
Sehubungan itu, saya dengan sukacitanya merasmikan Majlis Pelancaran Bulan Penghayatan Kemerdekaan Peringkat SMK Kulai Besar bagi tahun 2012.
 
Sekian, terima kasih.


 

Saturday, August 04, 2012

Kita berada pada landasan yang betul...usaha tangga kejayaan!

 
SEMASA SAYA menghadiri satu mesyuarat di peringkat KPM, terdapat larangan keras terhadap peserta yang merokok di hotel penginapan khususnya di bilik mesyuarat. Merokok tidak dibenarkan langsung....namun salah seorang urusetia yang prihatin terhadap keperluan dan memahami masalah perokok tegar (mungkin dia juga merokok), lantas menyampaikan pesanan... "merokok tidak dibenarkan sama sekali di dalam dan di luar bilik mesyuarat ini, namun kepada yang mahu merokok juga, perlulah berusaha....usaha TANGGA kejayaan".

Pesanan ini disambut gembira oleh sebahagian besar peserta kerana ia membawa maksud kepada peserta yang mahu merokok bolehlah merokok di tangga kecemasan hotel tersebut. Ini adalah contoh kreativiti dan kemahiran dalam berkomunikasi di mana mesejnya tidak menyingung hati dan perasaan mana-mana pihak, khususnya perokok tegar.

Cerita ini bagaimanapun hanyalah selingan. Perkara yang ingin saya sampaikan di sini ialah KITA BERADA PADA LANDASAN YANG BETUL...oleh itu teruskanlah usaha dalam melaksanakan program-program kecemerlangan yang telah dirancang bagi mempersiapkan anak-anak didik dan ayam tambatan yang akan kita pertaruhkan dalam peperiksaan PMR dan SPM 2012....USAHA TANGGA KEJAYAAN!

Berdasarkan Audit Akademik Peperiksaan pertengahan Tahun yang telah dijalankan oleh PPD Kulaijaya pada 2 Ogos 2012, pencapaian sekolah kita berada pada landasan yang betul dengan mengambilkira perbandingan pencapaian dengan sekolah-sekolah menengah di daerah Kulaijaya. Pada peringkat Tingkatan 3 kita telah mencatatkan peratus kelulusan 32.44% (133/410 daripada jumlah calon). GPS pula mencatat 3.53 mata.

Pencapaian ini meletakkan SMK Kulai Besar berada pada kedudukan ke-6 dari segi peratus dan ke-7 dari segi GPS dalam peringkat daerah Kulaijaya. Pada peringkat Tingkatan 5, daripada 319 calon yang menduduki peperiksaan pertengahan tahun, 59.25 % calon telah mencapai tahap menguasai dengan GPS mencatatkan 6.49 mata. Catatan ini meletakkan SMK Kulai Besar berada pada kedudukan ke-10 dari segi peratus dan kedudukan ke-3 dari segi GPS pada peringkat daerah Kulaijaya.

Bukanlah kedudukan itu yang menjadi keutamaan kita, tetapi pencapaian ini menjadi indikator terhadap di mana kita berada sekarang dan seterusnya membuat perancangan pada sisa-sisa masa yang berbaki yang walaupun singkat tetapi masih sempat. Berdasarkan analisis trend lima tahun, jika pencapaian ini dapat dipertahankan atau ditingkatkan dalam peperiksaan percubaan nanti, maka saya optimis untuk mengatakan bahawa sasaran ETR PMR dan SPM 2012 nanti boleh dicapai.

Oleh itu kepada semua guru di SMK Kulai Besar bersama-samalah kita tingkatkan tekad dan kuatkan semangat untuk memimpin anak didik kita dalam mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan PMR dan SPM dengan kejayaan. Segala program yang telah dirancang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Keletihan dalam melaksanakan ibadah puasa dan kesibukan dalam membuat persiapan Hari Raya bukanlah satu halangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita dalam mendidik anak bangsa.

Dalam melaksanakan program kecemerlangan dan penambahbaikan sekolah, kita perlu melaksanakannya berdasarkan analisis persekitaran sekolah. Perkara ini sangat penting kerana setiap sekolah mempunyai budaya yang tidak sama dan tidak semestinya program yang berkesan di sekolah lain sesuai untuk SMK Kulai Besar. Murid, guru dan persekitaran sekolah adalah berbeza, namun segala program yang baik dan sesuai boleh dilaksanakan bagi tujuan penambahbaikkan sekolah.

Saya berharap guru-guru berada dalam keadaan yang bersedia dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan program-program pecutan akhir iaitu; Program Halus, Kem Endurance, Sentuhan Gemilang, Jejak Gemilang, Modul Tiga Aras, Mastery Learning, I Impian, Menjejak Bintang dan program-program peringkat panitia yang lain. Sama-samalah kita berusaha dan teruskan berusaha kerana USAHA TANGGA KEJAYAAN.

Artikel Popular