Saturday, August 04, 2012

Kita berada pada landasan yang betul...usaha tangga kejayaan!

 
SEMASA SAYA menghadiri satu mesyuarat di peringkat KPM, terdapat larangan keras terhadap peserta yang merokok di hotel penginapan khususnya di bilik mesyuarat. Merokok tidak dibenarkan langsung....namun salah seorang urusetia yang prihatin terhadap keperluan dan memahami masalah perokok tegar (mungkin dia juga merokok), lantas menyampaikan pesanan... "merokok tidak dibenarkan sama sekali di dalam dan di luar bilik mesyuarat ini, namun kepada yang mahu merokok juga, perlulah berusaha....usaha TANGGA kejayaan".

Pesanan ini disambut gembira oleh sebahagian besar peserta kerana ia membawa maksud kepada peserta yang mahu merokok bolehlah merokok di tangga kecemasan hotel tersebut. Ini adalah contoh kreativiti dan kemahiran dalam berkomunikasi di mana mesejnya tidak menyingung hati dan perasaan mana-mana pihak, khususnya perokok tegar.

Cerita ini bagaimanapun hanyalah selingan. Perkara yang ingin saya sampaikan di sini ialah KITA BERADA PADA LANDASAN YANG BETUL...oleh itu teruskanlah usaha dalam melaksanakan program-program kecemerlangan yang telah dirancang bagi mempersiapkan anak-anak didik dan ayam tambatan yang akan kita pertaruhkan dalam peperiksaan PMR dan SPM 2012....USAHA TANGGA KEJAYAAN!

Berdasarkan Audit Akademik Peperiksaan pertengahan Tahun yang telah dijalankan oleh PPD Kulaijaya pada 2 Ogos 2012, pencapaian sekolah kita berada pada landasan yang betul dengan mengambilkira perbandingan pencapaian dengan sekolah-sekolah menengah di daerah Kulaijaya. Pada peringkat Tingkatan 3 kita telah mencatatkan peratus kelulusan 32.44% (133/410 daripada jumlah calon). GPS pula mencatat 3.53 mata.

Pencapaian ini meletakkan SMK Kulai Besar berada pada kedudukan ke-6 dari segi peratus dan ke-7 dari segi GPS dalam peringkat daerah Kulaijaya. Pada peringkat Tingkatan 5, daripada 319 calon yang menduduki peperiksaan pertengahan tahun, 59.25 % calon telah mencapai tahap menguasai dengan GPS mencatatkan 6.49 mata. Catatan ini meletakkan SMK Kulai Besar berada pada kedudukan ke-10 dari segi peratus dan kedudukan ke-3 dari segi GPS pada peringkat daerah Kulaijaya.

Bukanlah kedudukan itu yang menjadi keutamaan kita, tetapi pencapaian ini menjadi indikator terhadap di mana kita berada sekarang dan seterusnya membuat perancangan pada sisa-sisa masa yang berbaki yang walaupun singkat tetapi masih sempat. Berdasarkan analisis trend lima tahun, jika pencapaian ini dapat dipertahankan atau ditingkatkan dalam peperiksaan percubaan nanti, maka saya optimis untuk mengatakan bahawa sasaran ETR PMR dan SPM 2012 nanti boleh dicapai.

Oleh itu kepada semua guru di SMK Kulai Besar bersama-samalah kita tingkatkan tekad dan kuatkan semangat untuk memimpin anak didik kita dalam mempersiapkan diri bagi menduduki peperiksaan PMR dan SPM dengan kejayaan. Segala program yang telah dirancang perlu dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh. Keletihan dalam melaksanakan ibadah puasa dan kesibukan dalam membuat persiapan Hari Raya bukanlah satu halangan dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab kita dalam mendidik anak bangsa.

Dalam melaksanakan program kecemerlangan dan penambahbaikan sekolah, kita perlu melaksanakannya berdasarkan analisis persekitaran sekolah. Perkara ini sangat penting kerana setiap sekolah mempunyai budaya yang tidak sama dan tidak semestinya program yang berkesan di sekolah lain sesuai untuk SMK Kulai Besar. Murid, guru dan persekitaran sekolah adalah berbeza, namun segala program yang baik dan sesuai boleh dilaksanakan bagi tujuan penambahbaikkan sekolah.

Saya berharap guru-guru berada dalam keadaan yang bersedia dan berusaha dengan bersungguh-sungguh dalam melaksanakan program-program pecutan akhir iaitu; Program Halus, Kem Endurance, Sentuhan Gemilang, Jejak Gemilang, Modul Tiga Aras, Mastery Learning, I Impian, Menjejak Bintang dan program-program peringkat panitia yang lain. Sama-samalah kita berusaha dan teruskan berusaha kerana USAHA TANGGA KEJAYAAN.

Artikel Popular