Thursday, July 26, 2012

Kepercayaan dan Disiplin Pemacu Kecemerlangan Diri


Salam Sejahtera Salam Perpaduan dan Salam Satu Malaysia kepada seluruh warga SMK Kulai Besar. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga sekolah yang beragama Islam.Saya berharap agar Ramadan kali ini dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran serta  dapat disempurnakan pada tahap yang lebih baik sama ada dari segi kualiti dan kuantiti. 

Kualiti merujuk kepada kesempurnaan dalam melaksanakan ibadah puasa ini dengan mengikut adab sama ada pada zahir mahupun dari segi batinnya. Kuantiti yang saya maksudkan pula adalah merujuk kepada jumlah hari ibadah puasa yang dapat disempurnakan. Walaupun saranan ini  agak pelik dan kelakar tetapi inilah hakikat yang berlaku dalam kalangan murid di sekolah ini  iaitu ada murid yang tidak berpuasa. Bukan sehari dua bahkan lebih banyak bilangan hari tidak berpuasa berbanding hari berpuasa. 

Oleh itu tanamkanlah azam agar Ramadan kali ini dapat ditingkatkan bilangan hari berpuasa berbanding tahun-tahun yang lalu. Saya percaya saranan ini agak unik, tetapi biarlah perubahan itu berlaku berdikit-dikit berbanding tidak berubah langsung. Saya juga berharap agar semua warga sekolah ini menghormati bulan Ramadan. Menghormati Bulan Ramadan bermaksud murid-murid yang beragama Islam tidak makan atau minum secara terbuka sepanjang bulan Ramadan, tidak membawa makanan ke sekolah di samping menjaga akhlak zahir dan batin. 

Kepada murid-murid bukan Islam, tiada halangan untuk makan dan minum seperti biasa, tetapi perlulah menghormati murid Islam dengan tidak makan di khalayak ramai melainkan di kawasan kantin sekolah sahaja.Pada minggu ini kita berada dalam minggu ke-27. Secara logik dan matematik kita telah melepasi sempadan separuh perjalanan bagi sesi persekolahan 2012. Oleh itu saya menyeru kepada semua murid-murid agar sentiasa kekal fokus kepada persiapan dalam menghadapi ujian dan peperiksaan yang akan dilaksanakan pada awal Ogos nanti. 

Murid tingkatan 1 dan tingkatan 4 perlu bersedia untuk Ujian 2 yang akan dilangsungkan pada 10 hingga 17 Ogos nanti. Murid Tingkatan 3 pula akan menduduki Peperiksaan Percubaan PMR mulai 9 hingga 17 Ogos 2012, manakala murid tingkatan 5 bakal menduduki Percubaan SPM yang akan berlangsung dari 30 Ogos hingga 21 September 2012. Semua murid perlu menganggap ujian dan peperiksaan tersebut sebagai penting dan perlu membuat persiapan yang rapi untuk menghadapinya. 

Peperiksaan Percubaan PMR dan SPM akan dimasukkan markah secara dalam talian dan akan memberikan gambaran keupayaan dan persiapan murid dalam menghadapi PMR dan SPM yang sebenar. Ujian 2 yang bakal diduduki oleh murid tingkatan 1, 2 dan 4 pula akan dapat dijadikan kayu ukur sejauh manakah penguasaan anda dalam mengikuti pelajaran dan hasil pembelajaran. Walaupun Ujian 2 dan peperiksaan percubaan PMR dan SPM dilaksanakan pada peringkat sekolah namun pencapaiannya akan memberi kesan kepada  pemarkahan dalam aspek kemenjadian murid dalam penarafan SKPM. Jika murid menunjukkan pencapaian yang cemerlang ia akan memberi kesan peningkatan terhadap indeks kemenjadian murid dalam bidang akademik. 

Adalah menjadi harapan semua individu untuk menjadi seseorang yang cemerlang. Sama ada pada peringkat negara, komuniti, ibu bapa, guru mahupun peringkat murid-murid, kecemerlangan bukan sekadar diimpikan tetapi menjadi destinasi yang dituju. Untuk menjadi seorang yang cemerlang ia bermula dengan keazaman dan diterjemahkan dalam bentuk usaha, ikhtiar, amalan dan tindakan. Justeru itu kepercayaan adalah prasyarat utama yang menjadi kunci untuk membuka pintu kecemerlangan. 

Kepercayaan adalah elemen penting dalam menuju kecemerlangan kerana kepercayaan akan menjadikan kita lebih yakin terhadap kemampuan diri. Tanpa adanya sifat percaya maka tiadalah keyakinan kepada diri dan pihak sekolah. Jika ini berlaku maka anda telah menempah kegagalan. Kepercayaan dalam konteks ini ialah percaya bahawa anda boleh dan mempunyai potensi untuk menjadi murid yang cemerlang. 

Kepercayaan juga merujuk kepercayaan bahawa sistem pendidikan di negara ini dan guru-guru di sekolah ini mampu untuk membimbing anda semua menjadi murid yang cemerlang. Sebagai bukti kepercayaan anda terhadap pihak sekolah khususnya guru-guru maka semua murid harus menunjukkan sikap yang berikut;  

a) Penyerahan diri; bermaksud komited terhadap program-program kecemerlangan sekolah, akur dan tidak membantah di samping yakin dan percaya bahawa guru-guru di sekolah ini mempunyai kompeten. 

b) Hadir ke sekolah; bermaksud hadir dari segi fizikal dan mental, tidak ponteng sekolah dan ponteng kelas. Hadirkan hati, hadirkan minda dan hadirkan jiwa ketika sesi pengajaran dan pembelajaran guru.  

c) Keterlibatan; bermaksud semua murid perlu melibatkan diri salam semua program kecemerlangan sekolah. Kos, masa, kesukaran dan ketidakselesaan tidak dijadikan halangan dan kekangan untuk melibatkan diri dalam program yang dianjurkan oleh pihak sekolah. 

d) Mematuhi arahan; akur dan patuh kepada arahan guru sepanjang masa di sekolah. Anggaplah guru sebagai jurulatih yang boleh membantu membentuk pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk menjadi insan yang cemerlang. 

Di samping menanamkan kepercayaan terhadap kebolehan diri dan guru-guru, murid juga perlu mempunyai disiplin diri untuk menjadi murid yang cemerlang. Disiplin adalah istilah yang kerap kita dengar di sekolah ataupun di rumah. Disiplin mempunyai kaitan yang rapat dengan kejayaan dalam apa jua bidang. Secaranya umumnya disiplin bermaksud mengikut peraturan. Mudah bunyinya, kerana sekiranya anda sentiasa mengikut peraturan maka anda akan dikatakan seorang yang berdisiplin. 

Disiplin dalam konteks ini ialah disiplin dalam belajar, iaitu satu amalan yang membuatkan anda melakukan kerja-kerja bagi mencapai matlamat anda walaupun anda tidak terasa untuk melakukannya. Sebagai contoh mungkin dalam kalangan anda yang malas dan tidak mahu bangun pagi semata-mata untuk mengulang kaji pelajaran, tetapi anda kuatkan semangat dan bangun juga untuk belajar. Jadi apakah kuasa yang mendorong anda untuk bangun ? Jawapannya adalah disiplin. 

Sekiranya anda bertekad untuk membuat latihan menjawab satu set soalan kertas 1 (Sejarah 40 soalan)pada setiap hari, apakah yang boleh memastikan anda benar-benar berjaya melakukannya ? Jawapannya ialah disiplin ! disiplin ! disiplin !. Disiplin adalah pendorong kepada anda untuk; 

a) Terus melakukan sesuatu walaupun rasa hendak berhenti; 

b) Terus melakukan sesuatu yang dirancang walaupun anda tidak suka melakukannya pada peringkat awal; dan 

c) Meneruskan usaha walaupun anda rasa seolah-olah telah berputus asa. Kesimpulannya kepercayaan dan disiplin perlu ada pada anda jika mempunyai impian untuk menjadi murid yang cemerlang.


(Penulisan ini disesuaikan daripada ucapan yang disampaikan semasa Perhimpunan Rasmi Minggu ke-27 pada Isnin, 23 Julai 2012)

Artikel Popular