Tuesday, July 23, 2013

Merealisasikan Sekolah Unggul, Pendidikan Berkualiti dan Generasi Terbilang




(Olahan dan disesuaikan semula dari ucapan pada Majlis Perhimpunan Rasmi Minggu Ke-27/2013)

Assalamualikum w.k.t, Selamat Pagi, Salam 1Malaysia, Salam KB Gemilang. Marilah kita melafazkan kesyukuran ke hadrat Ilahi, kerana pada hari ini kita berpeluang berhimpun untuk memulakan Minggu Ke-27 sesi persekolahan 2013 dalam keadaan cuaca yang sangat baik.
 
Saya mengambil kesempatan ini untuk saya mewakili rakan-rakan guru Islam untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua murid yang beragama Islam. Ambilah kesimpatan dan peluang sempena Ramadan al-Mubarak ini untuk kita merapatkan diri kepada yang Maha Esa dengan matlamat untuk mendapat keredaannya dalam menuju kehidupan yang kekal abadi.
 
Kita bersyukur kerana dapat beribadah dalam keadaan aman, dalam keadaan ekonomi yang melimpah ruah. Gunakanlah kesempatan yang ada ini sebaik-baiknya. Saya memetik maksud Hadis Rasulullah SAW, “Gunakanlah lima sebelum tibanya lima iaitu gunakan mudamu sebelum tuamu, dan masa sihatmu sebelum sakitmu, dan masa kayamu sebelum miskinmu dan masa lapangmu sebelum sibukmu dan hidupmu sebelum matimu”.

Beberapa minggu yang lalu Puan pengetua dan En Masa’ud ada mengingatkan kepada semua murid dan warga sekolah mengenai kunjungan Tan Sri KPPM Abd Gafar Mahmud ke daerah Kulaijaya. Lawatan yang sepatutnya dilakukan pada 11 Julai telah ditangguhkan pada hari ini 22 Julai 2013.

Sekiranya berkesempatan rombongan KPPM akan berziarah ke sekolah-sekolah berhampiran PPD. Harapan saya ialah semua murid dan semua warga sekolah dapat menunjukkan tingkah laku yang baik, memberi sapaan yang hormat dan menunjukkan nilai-nilai murni yang lain sekiranya rombongan KPPM singgah di KB untuk lawatan tersebut.
 
Rakan-rakan guru dan Murid-murid yang saya kasihi sekalian pada pagi ini saya ingin mengambil kesempatan untuk bertanya kepada anda semua apakah visi sekolah? Adakah anda masih ingat lagi tip yang saya beri dalam usaha mengingati visi sekolah?
 
Tip yang saya berikan dahulu ialah SUP Gear Tengkorak, tetapi setelah saya mengkaji semula Gear Tengkorak membawa maksud yang mengerikan, maklumlah TENGKORAK. Maka saya mengubah suai kepada SUP Gua Tempurung (lokasi pelancongan gua batu kapur di Gopeng, Perak). Visi sekolah ialah SEKOLAH UNGGUL PENJANA GENERASI TERBILANG. Misi sekolah pula ialah Membangun Potensi Individu Menerusi Pendidikan Berkualiti (Mak Pergi Indahpura Membeli Pasu Bunga).
 
Apakah visi sebenarnya? Visi ialah satu pernyataan yang mengandungi matlamat penting dan bersifat jangka panjang (3,5,10 tahun) yang ingin dicapai oleh sekolah atau organisasi . Paling mudah untuk memahami visi ialah ialah bertanya diri kita bahawa apakah kita nak jadi apa pada 5 tahun akan datang. MISI pula adalah tugas khusus yang perlu dilakukan oleh seseorang atau kumpulan untuk memastikan Visi menjadi realiti.
 
Inti sari penting dalam pernyataan visi dan misi sekolah ialah SEKOLAH UNGGUL, PENDIDIKAN BERKUALITI dan GENERASI TERBILANG. Oleh itu apakah yang dirujuk sebagai keunggulan itu? Unggul merujuk kepada sesuatu yang ulung, terbaik, terutama, melebihi dari yang lain (superior, excellent). Kualiti – merujuk kepada mutu, pengiktirafan, memenuhi piawai, kepuasan hati. Terbilang – sentiasa dikenang-kenang dan sumbangan yang memberi kesan kepada masyarakat.  
 
Oleh itu semua warga sekolah perlu sedar bahawa kita mahu menjadikan sekolah ini sebagai sebuah tempat semaian yang subur bagi melahirkan benih-benih generasi yang terbilang sama ada dari segi kualiti keperibadian, sahsiah, akhlak dan juga akademik.
 
Bagi mencapai hasrat ini ia memerlukan  penglibatan semua pihak. Guru-guru, murid, kaki tangan sokongan,pengusaha kantin hinggalah pekerja pembersihan dan pengawal keselamatan turut terlibat. Kita semua perlu mempunyai semangat untuk sentiasa menjadi yang terbaik mengikut kapasiti masing-masing.
 
Guru perlu berfikiran untuk menjadi guru yang terbaik, murid-murid sekalian perlu mempunyai iltizam menjadi murid yang terbaik (minda kelas juara), pengusaha kantin perlu bertekad untuk member perkhidmatan terbaik- makanan bersih, berkhasiat, harga berpatutan, layanan mesra. Begitu juga pengawal keselamatan dan syarikat pembersihan perlu mempunyai naluri untuk member perkhidmatan yang terbaik.  
 
Apabila semua komponen sekolah berada pada tahap terbaik dan perkhidmatan terbaik baharulah persekitaran sekolah yang terbaik dapat dijelmakan. Dalam konteks ini jangan tanya apa sumbangan orang lain kepada sekolah, tetapi tanyalah pada diri anda apakah yang boleh anda sumbangkan untuk memastikan sekolah berada di pentas KEUNGGULAN tadi.
 
Saya selalu mengingatkan murid-murid bahawa komuniti di sekitar Kulai Besar seharusnya bersyukur dengan pencapaian SMK KB setakat ini. Satu ketika dahulu sekolah ini tidak pernah diberi harapan untuk mengungguli mana-mana acara atau program KPM.  
 
Kita pernah berada dalam ranking 10 sekolah tercorot dalam PMR dan SPM di negeri Johor, Kita pernah mendapat gelaran Sinking School oleh JPN dan amat jarang sekali bahkan hanya kadang-kadang baru kedengaran KB mengukir nama sebagai Johan atau Naib Johan dalam pertandingan –pertandingan di peringkat daerah. Menerima Anugerah jauh sekali.
 
Kini, Alhamdulillah ditangani guru-guru yang berada di hadapan ini, dengan ketekunan murid-murid yang berada di hadapan saya ini, dan kegigihan semua kakitangannya telah berjaya melakar kejayaan bersejarah KB. Kejayaan sekolah;
- Anugerah Kewangan Cemerlang,
 
- Anugarah BOS Terbaik,
 
- Pengiktirafan 5 bintang SSQS Smart School Qualification Standard
 
- Anugerah Citra Majalah
 
- Penarafan Prestasi Tinggi untuk SPSK (92.3%)
 
- Pengurusan Dokumen Sekolah Cemerlang (PTP) – 100%
 
- Pengiktrafan Iskandar Malaysia Laman Web (kini rank kedua paling banyak dikunjungi di Malaysia),
 
- Sekolah Contoh Negeri PPBS
 
- Rintis ITHINK dan Frog VLE
 
- Tiga kali lonjakkan saujana SPM (2006, 2008, 2012) dan;

- Menerima Tawaran Baru Pengetua

Kenapa saya cerita semua ini ?, saya sampaikan semua ini untuk menyatakan kepada anda bahawa anda sebenarnya berada di sekolah yang betul dan guru-guru yang berkualiti untuk anda menjadi generasi yang terbilang.

Pada ketika ini pihak sekolah sedang dalam persediaan untuk menerima kunjungan JPN/ PPD bagi tujuan verifikasi SPSK. Objektif SPSK adalah;

i)              Melaksanakan 100% Pengajaran & Pembelajaran berdasarkan Rancangan Pelajaran Tahunan kecuali berlaku perkara-parkara yang di luar kawalan SMNJ ;
 
ii)             Memastikan pencapaian murid mencapai 65% lulus keseluruhan atau peningkatan 3 % dari tahun sebelumnya dalam peperiksaan Pertengahan Tahun, Akhir Tahun, PMR dan SPM.
 
iii)            Memastikan 100 % murid sekolah Rendah Negeri Johor mendapat Perkhidmatan Bimbingan dalam Kemahiran Belajar, Pembangunan Diri Murid, Motivasi dan Kerjaya, melainkan berlaku perkara-perkara yang di luar kawalan sekolah.
 
iv)           100 % aduan dan maklum balas pelanggan akan dilayan sebagaimana yang dinyatakan dalam Prosedur Kualiti Aduan  Pelanggan.
 
v)            Melaksanakan Pengurusan Kewangan Tanpa Teguran Audit.

Kita perlu sedar SEKOLAH UNGGUL, PENDIDIKAN BERKUALITI dan GENERASI TERBILANG tidak mempunyai noktah, ia bukanlah satu destinasi tetapi adalah satu pengembaraan atau perjalanan yang berterusan. Oleh itu kita jangan leka dan cepat berpuas hati dengan pencapaian kita ini.
 
Kita perlu menjadikan amalan terbaik dan iltizam untuk menjadi yang terbaik sebagai tabiat kita, tabiat membentuk karakter kita, dan seterusnya menjadi budaya sekolah. Kepada yang Muslim kita niatkan sepanjang proses yang berlaku itu sebagai ibadah, kerja sebagai ibadah, belajar sebagai ibadah dan berkhidmat sebagai ibadah oleh itu kita dapat kedua-dua manfaat, dunia dan akhirat.
 
Mengimbas kembali kejayaan yang dicapai oleh pihak sekolah, penglibatan murid hanya bersifat tidak langsung sahaja. Kebanyakan kejayaan tersebut adalah kerana kepimpinan guru.  Satu-satunya sumbangan murid secara langsung ialah kejayaan lonjakan saujana dalam SPM (2006, 2008, 2010 dan 2012) PMR (2007, 2011).
 
Misi kita tahun ini ialah bertekad untuk mempertahankan kejayaan yang telah kita miliki dan memastikan semua kejayaan yang sedia dalam genggaman tidak terlepas.
 
Untuk mencapai hasrat ini penuhilah harapan ini, harapan sekolah kepada anda hanya empat iaitu HADIR, LIBAT, PATUH, JUARA di samping slogan 5H (HADIR, HINDAR, HATI, HORMAT, HARGAI) disarankan oleh En Masa’ud, PK HEM;
 
i)      HADIR ke sekolah, hadir dalam Program Sekolah (Akademik, HEM, Kokurikulum)
 
ii)     LIBAT; libatkan diri dengan aktif dalam program sekolah dan jangan libatkan diri dalam gejala negatif
 
iii)    PATUH; patuhi ajaran agama, undang-undang, ibu bapa, guru dan patuhilah peraturan sekolah
 
iv)   JUARA; berazamlah untuk menjadi seorang juara, berfikirlah seperti berfikirnya seorang yang juara.
 
Oleh itu saya menyeru kepada seluruh warga sekolah untuk menjadikan kualiti dan keunggulan itu sebagai mimpi kita pada malam hari dan menjadi realiti pada siang hari. Sekian sahaja yang ingin saya sampaikan, timbang-timbanglah saranan-saranan yang telah saya lontarkan dan laksanakan mengikut kemampuan. Biarlah perubahan itu berlaku sedikit demi sedikit tetapi berterusan dan janganlah perubahan itu seperti tsunami, datang sekali lantas membawa kemusnahan yang berpanjangan.

Artikel Popular