Thursday, November 20, 2014

MEMAHAMI TAGLINE DATO’ KPPM: SIRE-EURO

MEMAHAMI TAGLINE DATO’ KPPM: SIRE-EURO
(Strong Impelementataions, Rapid Executions – Excellence: Ultimate Reach of an Organization)

OVERVIEW PPPM DAN DTP

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia merupakan hasil pelibatan masyarakat dan penyelidikan meluas yang dijalankan oleh Kementerian Pendidikan (“Kementerian”). Pelan ini dibangunkan dengan tiga objektif khusus, iaitu:

a)     Memahami prestasi dan cabaran semasa sistem pendidikan Malaysia dengan memberi tumpuan terhadap akses kepada pendidikan, meningkatkan standard (kualiti),merapatkan jurang pencapaian (ekuiti), mengukuhkan perpaduan dalam kalangan murid, serta mengoptimumkan kecekapan sistem;

b)            Mewujudkan visi dan aspirasi yang jelas untuk setiap murid dan sistem pendidikan secara keseluruhan bagi tempoh 13 tahun akan datang; dan

c)            Menggariskan transformasi sistem pendidikan yang komprehensif merangkumi perubahan penting dalam Kementerian bagi memenuhi permintaan baharu dan harapan tinggi masyarakat, serta mencetus dan menyokong transformasi perkhidmatan awam

Sebagaimana yang dimaklumi bersama, kita kini masih berada dalam Gelombang 1 dari tiga Gelombang dalam PPPM. Gelombang 1 (2013-2015), menekankan pengubahan sistem dengan menyokong guru dan memberikan tumpuan kepada kemahiran utama. Kementerian memberi penekanan kepada menambah baik sistem dengan mempercepatkan perubahan kaedah pelaksanaan program.

Dalam tempoh pelaksanaan ini, tumpuan akan diberikan kepada kaedah peningkatan kualiti pengajaran dengan meningkatkan kemahiran guru sedia ada di dalam sistem, meningkatkan kualiti kepimpinan sekolah dengan memperbaiki pendekatan pelantikan dan melatih pengetua/guru besar, dan meningkatkan kadar literasi (bahasa Malaysia dan bahasa Inggeris dan numerasi menerusi program pemulihan yang intensif).

Kementerian juga akan mengukuhkan dan memberi pengupayaan kepada pegawai di peringkat negeri dan daerah untuk meningkatkan kualiti sokongan yang diberikan kepada kumpulan barisan hadapan ini bagi membantu semua sekolah. Menjelang akhir Gelombang 1, Kementerian akan memastikan semua guru, pengetua/guru besar dan sekolah mencapai tahap minimum standard kualiti yang dihasratkan.
Isunya kini pada tahap manakah prestasi daerah-daerah yang berad di bawah kendalian tuan-tuan dan puan-puan sekelian? Apakah KPI yang disasarkan telah dicapai?

Bagi memastikankeberkesanan dan kelestarian transformasi sistem pendidikan Malaysia, setiap pihak yang terlibat mesti memahami peranan penting yang mereka mainkan dan manfaat yang akan mereka nikmati. Program yang direncanakan dalam pelan ini dihasratkan membawa ke arah satu set manfaat, hak dan tanggungjawab secara kolektif bagi setiap kumpulan.

Pegawai di JPN, PPD dan Pengetua/GuruBesar bertindak sebagai pemimpin perubahan, dengan kemahiran dan atribut yang diperlukan untuk menyokong sekolah. Mereka akan menjadi pengurus, pembimbing dan penyokong kecemerlangan sekolah yang lebih baik. Mereka akan mendapat manfaat daripada meritokrasi yang lebih besar, lebih kuasa dengan kebertanggungjawaban yang lebih tinggi, dan tidak akan terbatas dengan hierarki dan kawalan.

Pegawai PPD mempunyai peranan baharu yang memfokuskan pada menyokong sekolah, dan akan mempunyai akses kepada lebih banyak peluang perkembangan profesional. Mereka akan terlibat dalam perbincangan maklum balas konstruktif yang memfokuskan pembelajaran dan pembangunan, bukannya menyalahkan dan memberi hukuman.

Program Transformasi Daerah adalah merupakan salah satu 25 inisiatif utama untuk Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) yang keberkesanan pelaksanannya menjadi kayu ukur kepada keberhasilan bagi setiap PPD. Justeru itu PPD seharusnya sentiasa melakukan refleksi uantuk melihat sejauhmanakan kualiti kepimpinan PGB dapat ditingkatkan, sejauhmanakah kehadiran murid dapat ditingkatkan, bagaimana pula keberadaaan guru, kualiti PdP guru, disiplin murid, penglibatan ibu bapa/penjaga dan sebagainya yang merupakan keutamaan dalam DTP.

Adalah menjadi harapan KPM  untuk melihat DTP mengubah cara kita berfikir, cara kita bertindak, keputusan berasaskan data dan fakta serta memastikan setiap inisaitif mempunyai KPI yang selaras dengan hasrat DTP itu sendiri. Hakikiat yang tidak dapat ditolak ialah kejayaan transformasi sistem memerlukan SEMUA negeri dan daerah segera membuat peningkatan. Peningkatan segera adalah munasabah dengan mempraktikkan amalan terbaik (best practices).

Program DTP bertujuan untuk ‘raise the bar and close the gap’ berpandukan 4 KPI Kementerian menjelang 2015:
a)            Lebih 95% kehadiran murid
b)            10% peningkatan dalam GPS sekolah
c)            Sifar sekolah Band 6 dan 7
d)            12% pengurangan jurang antara                bandar dengan luar bandar


MEMAHAMI TAGLINE DATO’ KPPM: SIRE
(Strong Impelementataions, Rapid Executions)



Pelaksanaan Yang Mantap, Tindakan Yang Pantas

Ketua Pengarah Pendidkan Malaysia telah mengingatkan kita tentang perlunya ada pelaksanaan sewajarnya daripada PPPM  2013-2025. PPPM adalah sesuatu perancangan yang hebat, dilaksanakan dengan penuh teliti, telah diterima dan ditulis dengan baik.  Walaupun kita sememangnya sudah dikenali diperingkat global sebagai penggubal pelan yang cemerlang,namun kita tidak begitu berjaya dalam aspek pelaksanaan. Dua perkara yang perlu ditegaskan ialah pelaksanaan PPPM memerlukan pelaksanaan yang kukuh dan tindakan yang pantas.

Kajian telah menunjukkan bahawa ramai guru bersetuju bahawa antara perancangan dan pelaksanaan, mereka lebih cenderung memilih membuat perancangan.  Apabila ditanya apakah perkara yang mereka lebih suka untuk tidak mahu melakukan, ramai yang memilih pelaksanaan sesuatu perancangan.  Dapatan kajian ini mempunyai korelasi apabila lebih 90% daripada Pelan Transformasi gagal disebabkan pelaksanaan dan tindakan yang lemah. 

Terdapat enam jurang yang wujud antara perancangan dan pelaksanaan yang perlu diberi fokus atau penekanan oleh semua pihak dalam memastikan PPPM dapat dilaksanakan dengan mantap. Semua pihak perlu berwaspada dan berusaha ke arah merapatkan jurang yang ada bagi implementasi yang mantap.

Kejelasan (Clearity); Pelaksana dan Perancang tidak berada pada “halaman” yang sama. Kesannya apa-apa yang dirancang tidak dihantar dengan jelas kepada pasukan pelaksana yang mengakibatkan hasil yang kurang wajar atau lebih teruk lagi tidak dilaksanakan langsung. Berlaku kecairan atau pembekuan maklumat. Sepatutnya semua pihak mesti jelas mengenai apakah peranan mereka dan apa yang diharapkan daripada mereka dan hasil daripada rancangan.

Komitmen (Commitment): There must be buy in of the project by the users and everybody else along the line. Semua perancangan memerlukan komitmen daripada pihak perancang hingga kepada pihak pelaksana. Tanpa komitmen pelaksana, program yang hebat sekalipun tetap akan menemui kegagalan sejak dari mula lagi.

Terjemahan (Translation): Dari fasa rancangan hingga ke fasa pelaksanaan, mesti ada penerangan yang jelas mengenai pelan pelaksanaan melibatkan orang, platform, alatan, sistem sokongan dan pembiayaan. Semua ini akan diterjemahkan daripada pelan tindakan atau rancangan. Terjemahan yang silap akan membawa kepada pelaksanaan yang tersasar.

Menjadi Pemangkin (Enablers): Mesti ada sistem sokongan yang mencukupi untuk membolehkan program dapat dilaksanakan.  Pemudah biasanya adalah teknologi dan alat-alat yang diperlukan untuk melaksanakan program tersebut. Pemudah yang salah dan tidak sempurna akan menyebabkan projek yang sia-sia. 

Synergi (Synergy): Mesti ada sinergi antara pelbagai pihak yang melaksanakan projek. Melainkan semua pihak bekerja saling bergandingan antara satu sama lain. Sebaliknya kita akan melihat kegagalan pelaksanaan sesuatu program jika kita berkerja dalam silo masing-masing.

Akauntabiliti (Accountability): Akauntabiliti bukan sahaja menjurus kepada pelanggan kita, tetapi juga terhadap satu sama lain dalam pasukan. Seringkali kita akan keberatan untuk memberitahu kepada orang lain sekadar untuk menyelamatkan air muka atau "jaga hati". Kurangnya akauntabiliti oleh semua pihak sudah tentu akan menghalang kepada kelicinan sesuatu pelaksanaan.

Adalah menjadi misi KPPM yang untuk memfokuskan usaha ke arah pembudayaan amalan dengan menekankan kepada pelaksanaan  yang  mantap  dan tindakan pantas (strong  implementation and rapid  execution). Pelaksanaan    yang    mantap    merujuk   kepada;   pertama    adalah pemantauan yang rapi   (close monitoring) terhadap apa yang telah kita putuskan bersama.

Dalam hal ini, pemantauan juga adalah bagi menilai kecekapan,  pencapaian  termasuk  halangan  serta  menyegerakan tindakan pembetulan dan penambahbaikan.  Think ahead, think across, and think again.  Apa yang penting sekarang ialah memastikan kesemua tenaga pengurusan pada peringkat Kementerian, Jabatan Pendidikan Negeri dan Pejabat Pendidikan Daerah digerakkan untuk melaksanakan inisiatif yang telah sama-sama dipersetujui.

Kedua adalah setiap ketua jabatan di semua peringkat mengambil langkah kawalan (a controller) terhadap pegawai dan kakitangan  di bawahnya  termasuk pelaksanaan tindakan agar tidak terpesong daripada visi, misi dan objektif yang ditetapkan.

Ketiga adalah keupayaan kita membezakan pencapaian sebenar dan pencapaian yang disasarkan iaitu yang dapat menentu dan menilai   tahap   keupayaan   dan   pencapaian   sebenar   organisasi   di samping   dapat   menilai   keupayaan   mencipta  dan   mencapai   tahap sasaran.

Sementara Pelaksanaan Mantap juga perlu dilaksanakan melalui kawalan struktur organisasi di semua peringkat melibatkan Timbalan­ Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah-Pengarah Sahagian di Kementerian  Pendidikan,  Pengarah-Pengarah  Pendidikan  Negeri, Pegawai-Pegawai Pendidikan Daerah serta Pengetua dan Guru Sesar.

Pada peringkat sistem atau System Level, tumpuan diberikan kepada  3 perkara   untuk  pemantauan   yang  rapi  - pertama,   pelaksanaan  di pelbagai   peringkat sehingga ke bilik darjah.  Saya telah mengambil tindakan awal pemantauan menggunakan teknologi dan menggunakan sepenuhnya kepakaran yang ada.  Kedua adalah fungsi pengawalan dengan memastikan semua pengurus pelaksana iaitu Timbalan-timbalan saya  (TKPPM),  Pengarah - Pengarah Sahagian, Pengarah – Pengarah Pendidikan  Negeri,  Pegawai-Pegawai  Pendidikan  Daerah  digerakkan untuk melaksanakan  inisiatif.  Yang ketiga,  pihak-pihak  yang berkaitan perlu sentiasa menilai progres sasaran yang dicapai berbanding dengan yang disasarkan.

Pada peringkat  individu, misi KPPM adalah untuk  tindakan pantas atau rapid execution.    Pertama, Y. Bhg. Dato KPPM telah membentuk kumpulan pelaksana   melalui      Whatsapp     untuk  berhubung  secara   langsung dengan segera dan mudah dengan semua Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Pengarah-Pengarah Sahagian dan Pengarah-Pengarah Pendidikan Negeri untuk membentuk satu komuniti pembelajaran profesional (professional learning community).   Keduanya ialah dengan menggerakkan Program Turun Padang KPPM kerana kepercayaan bahawa kita perlu melihat apa yang berlaku di dalam kelas atau pembelajaran di bilik darjah.   The classroom is the source of  energy  - the  nucleus  of  change  - positive  vibrations,  slight ripple of improvement in the classroom will create a strong wave of transformation.

Dalam hal ini, terdapat lima perkara penting apabila kita bercakap tentang tindakan pantas ini.   Pertama, penghayatan semua warga pendidikan adalah penting supaya mereka dapat memahami hasrat dan pelan  yang  dilaksanakan.    Jiwa  warga  pendidikan  perlu  dimenangi. Kedua,  kita perlu menilai kemampuan kita untuk melaksanakan sesuatu inisiatif (assess).   Ketiga, adalah penting untuk kita cuba membina apa yang perlu dilaksana (arkitek). Keempat, bertindak berdasarkan setiap perancangan  dengan  memberi  keutamaan kepada tugas  yang penting dan  segera  dan  mempunyai  keberhasilan yang  tinggi serta  kelima, berupaya untuk membuat anjakan dan lonjakan untuk merealisasikan matlamat yang telah ditetapkan.

Sesungguhnya THE HEART OF TRANSFORMATION IS THE  TRANSFORMATION  OF  THE  HEART. Untuk kita menjayakan inisiatif PPPM, bukan sahaja anjakan minda dan cara kerja perlu berubah, tetapi hati dan jiwa juga perlu kita halakan ke arah kiblat yang sama.




Untuk menjadikan kecemerlangan sebagai matlamat utama organisasi, kita harus mengorak langkah untuk melihat daripada  beberapa anjakan paradigma pegawai perkhidmatan pendidikan yang antara lain melibatkan PERUBAHAN BUDAYA KERJA CEMERLANG, BERPERWATAKAN MENTALITI JUARA PROFESIONAL, AMALAN KEPIMPINAN INSPIRASI dan MENJADI PEMIMPIN YANG DITELADANI

KECEMERLANGAN : MATLAMAT TERULUNG ORGANISASI (EXCELLENCE : ULTIMATE REACH OF ORGANIZATION) – MENTALITI PEMIMPIN SELAKU JUARA PROFESIONAL

Lebih seabad yang lalu, pemikir dan penganalisis polisi kerajaan dan hal ehwal ekonomi England,  Walter Bagehot, mengungkapkan kata-kata berikut berkenaan perubahan: ‘One of the greatest pains to human nature is the pain of new idea.’

Lantas manusia,  apatah lagi para profesional yang terpelajar dan terlatih, berusaha sedaya upaya mencari pelbagai hujahan untuk tidak berubah. Manusia mencipta pelbagai alasan dan membina sekuat- kuat  benteng  antiperubahan, bersikap sinis,  menyebarkan keraguan, mendakwa seruan perubahan sebagai ‘dahulu pun begini  juga’,  dan mewarnakan seruan transformasi sebagai ‘slogan politik’.

Apakah perwatakan guru sebagai kumpulan profesional, pendidik dan pegawai pendidikan yang sepatutnya menjuarai perubahan pun berfikiran demikian juga? Untuk menjawab persoalan ini kita perlu kembali kepada mentaliti sebagai seorang juara perubahan. Selaku pemimpin sama ada di peringkat KPM, JPN, PPD mahupun di sekolah yang mengetuai pelbagai lapisan peringkat guru di daerah-daerah sewajarnya mempunyai empat perwatakan sebagai juara perubahan;

Pertamanya ialah kepekaan terhadap persekitaran pekerjaannya yang telah berubah.  Pendidik dan pegawai pendidikan harus berupaya mengenal pasti kewujudan angkubah perubahan yang baharu. Antaranya ialah jangkaan baharu ibu bapa terhadap keterampilan lepasan sekolah, keterlibatan kumpulan-kumpulan masyarakat awam dan firma  industri  dalam transformasi pendidikan, transformasi kepimpinan sekolah sebagai pemimpin altruistik dan pemimpin transformatif,  transformasi pengajaran dan pembelajaran, transformasi kurikulum, transformasi pentaksiran dan peperiksaan,  dan era digital  yang melahirkan digital native students dan digital immigrant teachers.

Perwatakan  Kedua - Juara perubahan profesional ialah tidak pernah berasa puas dengan tahap pencapaian dan keberhasilan kerjanya.  Justeru memiliki dorongan yang tinggi  untuk berusaha dengan  lebih  gigih  bagi  mengatasi pencapaian semalam,  mencipta standard baharu yang lebih tinggi  dan memburu matlamat yang lebih besar.

Pendidik  dan pegawai pendidikan ini tidak gah mencanang rekod lamanya, sebaliknya terus-terusan berusaha,  memerah ikhtiar,  menyertai latihan, meninjau rahsia kejayaan orang lain dan mencuba cara-gaya baharu dalam melaksanakan kerjanya. Inilah yang sewajarnya menjadi budaya pengetua cemerlang, budaya guru cemerlang dan budaya pegawai pendidikan cemerlang. Inilah yang sewajarnya dipamerkan oleh warga sekolah cemerlang, sekolah berprestasi tinggi,  sekolah berasrama penuh  dan sekolah- sekolah ternama.

Perwatakan Ketiga – PPD perlu menjadi Pemecah Paradigma Baru (Paradigm Breaker), peneroka  penyelesaian baharu terhadap isu-isu yang mendatangkan kekusutan dalam pekerjaan dan profesyen. Inilah pendidik yang inventif lagi inovatif.   Sentiasa   menguji  keabsahan dan  kebolehgunaan pendapat,  andaian, teori  dan formula terdahulu dalam merungkai permasalahan  masa kini.

Secara jujur dan santun, dan berasaskan  pengetahuan dan pemikiran yang rasional, berani mempersoal tindakan-tindakan yang tidak tepat serta aktiviti-aktiviti yang tidak perlu dalam konteks mencapai wawasan dan misi organisasi. Sekali gus terbuka dan bersedia mendengar, meneliti, mempelajari, memahami dan menerima idea-idea serta konsep baharu  demi  keberkesanan kerja, kesempurnaan strategi dan pencapaian objektif profesyen

Pendidik dan pegawai pendidikan yang memiliki ‘can do’ mentality inilah yang sangat diperlukan oleh jentera pendidikan negara, yang wajar diberikan tugas sebagai peneraju institusi, yang sepatutnya dipertanggungjawabkan  sebagai penggerak visi dan misi. Bak kata Presiden Amerika Syarikat ke-33, Harry S. Truman: ‘I studied the lives of great men and famous women, and I found that the men and women who got to the top were those who did the job they had in hand, with everything they had of energy, enthusiasm and hard work’

Perwatakan Keempat juara perubahan profesional ialah sentiasa belajar, sentiasa berusaha menguasai pengetahuan dan kemahiran baharu,  sentiasa mengintai peluang untuk menyertai latihan, sentiasa menyediakan diri untuk memahami dan mencerna idea dan metodologi baharu dalam melaksanakan tugas dan tanggungjawab.

Inilah pendidik dan pegawai pendidikan yang komited kepada usaha pembelajaran sepanjang hayat. Tampak daripada profesional sedemikian ialah pengaplikasian pengetahuan baharu dan kemahiran baharu dalam pekerjaannya,  penataran pengetahuan baharu dalam penghujahannya, kepelbagaian sudut pandangannya terhadap sesuatu masalah atau isu, dan daya artikulasinya  meningkat dengan ketara.

Inilah pengamatan Richard Crawford, perunding pengurusan dan perancangan strategik, tatkala membincangkan tajuk The Half-Life  of Knowledge and Lifelong Learning  dalam buku beliau In The Era of Human Capital 21  : ‘Physical  capital depreciates,  and so does  human capital…However,  the major problem of human capital depreciation   is  not the process  of physical aging: it is the rapid obsolescence  of knowledge and technology.  As  the development  of new knowledge  and new technology accelerates, it is harder for the experience knowledge worker to keep up in his or her field.’

Lantas beliau menegaskan:  ‘The only way for knowledge workers to maintain their skills and knowledge and be effective human capital is to engage in lifelong learning, which will affect workers as individuals and as employers and employees.’

Peri pentingnya latihan untuk pembaharuan atau training for  renewal dalam  pemantapan  profesionalisme sehingga sarjana Stephen R. Covey  yang terkenal dengan karyanya The Seven Habits  of Highly Effective People menjadikan Renewal sebagai salah satu bahagian daripada empat bahagian bukunya itu. Beginilah ungkapan Covey berkenaan pembaharuan  atau renewal:  ‘Renewal  is the principle — and the process  — that empowers us to move on an upward spiral of growth and change, of continuous improvement.’

KECEMERLANGAN : MATLAMAT TERULUNG ORGANISASI (EXCELLENCE : ULTIMATE REACH OF ORGANIZATION) –  PERANAN KEPIMPINAN PENDIDIKAN SEBAGAI PEMIMPIN INSPIRASI

Semua pemimpin pendidikan, baik yang berada di sekolah, PPD, JPN mahupun pegawai di KPM sedapat mungkin berperanan sebagai pemimpin yang memberi inspirasi kepada warga pendidikan. Pada hari sangat sedikit  orang yang tidak sabar-sabar untuk pergi ke tempat kerja. Walaupun di tempat kerja tidak menyediakan kopi percuma dan buah-buahan di dapur tempat di mana mereka bekerja, itu tidak mengubah  fikiran mereka untuk sentiasa bersemangat ke tempat kerja.
 
Mengikut Mercer seorang perunding yang melaksanakan kaji selidik mengenai sikap pekerja di Amerika, mendapati bahawa satu pertiga daripada pekerja-pekerja di Amerika Syarikat tidak begitu berpuas hati dengan pekerjaan mereka dan mereka akan berfikir untuk satu hari nanti meninggalkan pekerjaan mereka.

Bagaimanakah keadaan ini boleh berlaku ? Adakah mungkin dengan pekerja-pekerja yang tidak berpuas hati, tidak bermotivasi dan rasa dipinggirkan ini boleh mungkin menawarkan perkhidmatan pelanggan yang cemerlang atau membangunkan produk-produk menarik, inovatif yang memajukan jenama organisasi? Sudah tentu mereka tidak boleh melakukan yang terbaik jika layanan yang mereka terima juga tidak sebaik yang mereka harapkan.

Itulah sebabnya mengapa tuan-tuan dan puan-puan selaku KPPD seharusnya mempunyai ciri kepimpinan yang memenuhi apa yang disebukan oleh Emerson sebagai  “Ketua Yang Dikehendaki” (person’s  “chief want”), iaitu seseorang yang berkupayaan memberi inspirasi kepada kakitangannya untuk menjadi apa yang mereka tahu mereka boleh melakukannya.

Carmine Gallo jurulatih komunikasi jenama-jenama yang paling dikagumi oleh dunia dan pengarang beberapa buku termasuk bestsellers, The Presentation Secrets of Steve Jobs, The Innovation Secrets of Steve Jobs, dan Fire Them Up! 7 Simple Secrets of Inspiring Leaders telah menyatakan bahawa “I outlined what I believe are the 7 qualities that all inspiring leaders share.  The list was compiled with the help of dozens of the world’s most inspiring business leaders for a book I wrote in 2009.  Since then I have never seen a leader considered to be “inspiring” by his or her team who did not possess each and every one of these qualities..... Ignite Your Enthusiasm, Navigate a course of action, Sell the benefit, Paint a picture, Invite participation, Reinforce optimism, Encourage potential.

Pertamanya Semarakkan Semangat Anda  (Ignite Your Enthusiasm); Anda tidak boleh memberi inspirasi, melainkan anda menginspirasi diri sendiri terlebih dahulu. Setiap pemimpin inspirasi memunyai tahap kegairahan yang tinggi terhadap tugasnya — ia bukan sekadar mengenai perkhidmatan yang diberi, tetapi apa yang penting apakah makna perkhidmatanterhadap pelanggan kita. Steve Jobs misalnya  tidak begitu ghairah tentang komputer, tetapi beliau sangat ghairah dalam mereka alat-alat yang dapat membantu orang ramai untuk melepaskan kreativiti peribadi yang membawa impak besar terhadap dunia komunikasi.

Pemberi Panduan Kepada Tindakan (Navigate a Course of Action). Tiada perkara luar biasa yang pernah berlaku tanpa seorang pemimpin yang mencetuskan visi, dan menggerakkan tindakan. Fikirkan bagaimana  John F. Kennedy mencabar negaranya untuk mendaratkan seorang lelaki di bulan, memberikan inspirasi dan memberi bimbingan, pandangan dan memandu kepada warganya untuk mencapai misi tersebut dengan jayanya.

Menjual Manfaat (Sell the benefit); Pemimpin yang berinspirasi ialah pemimpin yang berjaya mencapai matlamat yang disasarkan dengan bantuan pekerja-pekerja yang bersemangat yang berjaya dilibatkan dalam setiap perancangan.  Mereka berbuat demikian kerana pemimpin sentiasa bercakap sesuatu yang bermakna kepada pengikut mereka – keselamatan pekerjaan, kestabilan, kebajikan  sehingga melahirkan rasa kesepunyaan dalam kalangan anggota organisasi.

Lakarkan Imaginasi (Paint a Picture); Otak kita telah diprogramkan lebih untuk lebih mudah memahami kisah atau cerita berbanding idea-idea yang ABSTRAK.  Melalu kaedah penceritaan ia membantu membina gambaran yang lebih jelas tentang idea yang mahu dikongsikan.

Rangsang Penglibatan (Invite participation); Pemimpin yang berinspirasi sentiasa melibatkan kakitangan di bawahnya untuk sama-sama terlibat dalam memajukan organisasi. Dengan memberi ruang kepada anggota bawahannya menyuarakan  pendapat atau idea-idea baru akan menjadikan pemimpin lebih dihormati kerana memahami keperluan pengikutnya iatu hak untuk didengari, memberi makna dan dan rasa dihargai.

Mengukuhkan Keyakinan (Reinforce optimism). Pemimpin-pemimpin hebat akan lebih berkeyakinan daripada pemimpin berprestasi biasa. Bekas Setiausaha Negara Amerika Colin Powell pernah berkata, "Keyakinan adalah pengganda tentera."  Beliau juga berkata bahawa keyakinan adalah "rahsia" di belakang karisma Presiden Ronald Reagan. 

Menyuburkan Potensi (Encourage potential). Pemimpin yang berinspirasi tidak melihat kakitangannya sebagai salah satu alat dalam roda.  Sebaliknya  pemimpin berinspirasi benar-benar mengambil berat tentang kesejahteraan pengikutnya dan menjadikan pengikutnya merasakan tempat kerja mereka adalah salah satu tempat yang "paling bahagia" untuk bekerja.

KECEMERLANGAN : MATLAMAT TERULUNG ORGANISASI (EXCELLENCE : ULTIMATE REACH OF ORGANIZATION) –  MENGAMALKAN LIMA AMALAN KEPIMPINAN YANG DITELADANI

Kepimpinan bukanlah mengenai personaliti; Ia adalah mengenai kelakuan — satu set kemahiran dan kebolehan yang boleh diperhatikan. Walaupun terdapat perbezaan dalam budaya, jantina, umur, dan pembolehubah lainyang mencirikan kepimpinan yang diteladani, kepimpinan dengan  "Peribadi Mithali" memperlihatkan pola-pola tingkah laku yang serupa iaitu mengamalkan lima teras amalan yang cemerlang.

Lima amalan tersebut ialah Modelkan Cara (Model  the Way),  memberi inspirasi kepada visi yang dikongsi (Inspire a Shared Vision), mencabar proses (Challenge the Process), binaupaya orang lain bertindak (Enables Others to Act), dan terakhir tetapi pastinya tidak kurang pentingnya, mereka pendorong kepada sentuhan hati  (Encourage the Heart).

Model Lima Amalan Kepimpinan Yang Diteladani (The 5 Practices of Exemplary Leadership ®) yang ditulis oleh Michael Fullan terus membuktikan keberkesanannya sebagai satu laluan yang jelas, berasaskan bukti untuk mencapai tahap luar biasa — untuk individu, Kumpulan, organisasi dan masyarakat. Ia menukar konsep kepimpinan yang abstrak kepada amalan-amalan mudah dan tingkah-laku yang boleh diajar dan dipelajari oleh sesiapa sahaja yang bersedia untuk meningkatkan dan menerima cabaran untuk memimpin.

Modelkan Cara; Pemimpin menetapkan prinsip-prinsip yang berkaitan dengan cara orang (konstituensi, rakan-rakan, rakan sekerja dan juga pelanggan) perlu dilayan dan cara bagaimana matlamat perlu diusahakan. Mereka mencipta piawaian kecemerlangan dan kemudian menetapkan contoh bagi orang lain untuk mengikutinya. 

Oleh kerana prospek perubahan yang kompleks boleh menyukarkan orang dan menyekat tindakan, mereka menetapkan matlamat interim supaya orang boleh mencapai kemenangan kecil  dalam pada masa yang sama mereka bekerja ke arah matlamat yang lebih besar. Mereka merungkai birokrasi apabila ia menghalang  tindakan; mereka meletakkan petunjuk arah apabila orang tidak memahami ke mana hendak dituju dan bagaimana mahu menuju ke sana; dan mereka yang mencipta peluang kemenangan.

Memberi Inspirasi Terhadap Perkongsian Visi; Pemimpin bersemangat percaya bahawa mereka boleh membuat perbezaan. Mereka membayangkan masa depan, mencipta imej sesuai dan unik daripada apa yang boleh dicapai oleh  organisasi.

Melalui daya tarikan dan pujukan yang tenang, pemimpin menyenaraikan anggota lain dalam organisasi dalam mimpi mereka. Mereka memberi nafas ke dalam visi mereka dan melibatkan orang lain untuk melihat kemungkinan-kemungkinan yang menarik untuk masa depan.

Mencabar Proses; Pemimpin mencari peluang-peluang untuk menukar status quo. Mereka mencari kaedah inovatif untuk memperbaiki organisasi. Dalam berbuat demikian, mereka mencuba dan mengambil risiko.

Oleh kerana pemimpin tahu bahawa mengambil risiko melibatkan kesilapan dan kegagalan, mereka menerima dan mengakui bahawa kekecewaan daripada satu kegagalan sebagai peluang pembelajaran.

Binaupaya Orang Lain Untuk Bertindak; Pemimpin menggalakkan kerjasama dan membina semangat  sepasukan. Mereka dengan aktif melibatkan orang lain. Pemimpin memahami bahawa saling menghormati  adalah sesuatu yang dapat mengekalkan  usaha-usaha yang luar biasa; mereka berusaha untuk mewujudkan suasana kepercayaan dan kemuliaan insan.

Mereka saling mengukuhkan antara satu sama lain, menjadikan setiap orang rasa mampu dan bertenaga.

Memenagi Hati  ; Mencapai perkara-perkara yang luar biasa dalam organisasi adalah tugasan yang berat. Untuk memastikan harapan dan keazaman terus hidup, pemimpin harus mengiktiraf sumbangan yang dilakukan oleh individu-individu.

Dalam setiap pasukan yang menang, ahli-ahli perlu berkongsi ganjaran setiap usaha mereka, oleh itu pemimpin perlu meraikan pencapaian mereka. Pemimpin perlu menjadikan orang lain merasa seperti seorang  tokoh.

Sebagai rumusannya menjadi seorang pendidik dewasa ini tidaklah semudah yang disangka. Tugas dan tanggungjawab besar yang terletak di bahu kita menuntut komitmen yang tinggi khususnya dalam menghadapi persaingan global yang menuntut perubahan dinamik dalam sistem pendidikan. Untuk itu, kita sebagai golongan profesional perlu bersedia untuk menerima perubahan dan memiliki ciri inovatif sebagaimana sabda Rasulullah SAW dalam sebuah Hadis Riwayat Muslim yang bermaksud, ‘Barang siapa melakukan hal baharu yang baik, maka ia mendapat pahalanya dan mendapat pula pahala orang lain yang mengerjakan hal baharu yang baik itu’.

Sebagai pemimpin pendidikan, kita perlu menambah nilai keintelektualan kerana kepimpinan hari ini merupakan agen perubahan dalam menghasilkan modal insan yang diperlukan oleh negara kita pada masa hadapan. Great teachers groom their students to become leaders. Ordinary teachers direct us along the right path, but great teachers inspire us to seek our own path. They encourage us to discover our talents.

Adalah diharapkan agar tuan-tuan dan puan-puan sekelian dapat memahami sebab-sebab kemunculan paradigma baru organisasi abad ke-21, dapat menggambarkan dengan lebih jekas kepada anggota dalam organisasi tentang ciri-ciri utama pendekatan budaya-kecemerlangan serta dapat menyenarai nilai-nilai teras kebaikan dan keburukan pendekatan budaya kecemerlangan dalam amalan kepimpinan.
Sesungguhnya,  apa yang dilaksanakan  dan dirancang untuk menambah baik sistem pendidikan negara bertujuan untuk menyediakan modal  insan  yang  mempunyai  pengetahuan,  kemahiran  berfikir, profisiensi dwibahasa,  kemahiran  kepimpinan,  memiliki identiti nasional dan etika kerohanian serta mampu menyumbang kepada kesejahteraan diri, keluarga, masyarakat dan negara. Oleh itu, saya menyeru warga pendidik   agar   bersama-sama    meletakkan   keutamaan   pada   tahap tertinggi  bagi  memastikan  semua  perancangan  dalam  pelan pembangunan pendidikan berjalan lancar.


Artikel Popular