"AGENDA
MEMPERKASA UMMAH"
Khutbah
Jumaat 28 NOVEMBER 2014 / 5 SAFAR 1436H
Suntingan Semula;
MD HASRAM BIN OMAR
Pengetua SMK Taman Kota Kulai
Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,
Pada hari Jumaat yang diberkati ini, saya berpesan
kepada diri saya dan sidang jemaah sekalian, marilah kita sama-sama bertaqwa
kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala suruhan-Nya dan
meninggalkan segala larangan-Nya. Mudah-mudahan kita menikmati kesejahteraan
dan keberkatan hidup serta berbahagia di dunia dan di akhirat. Mimbar yang
mulia ini akan membincangkan tajuk: "AGENDA MEMPERKASA UMMAH".
Muslimin Yang Dirahmati Allah,
Berdasarkan kepada al-Quran al-karim bahawa kewujudan
sesuatu bangsa dimuka bumi ini telah diperjelaskan oleh Allah SWT sebagaimana
firmannya di dalam surah al-Hujurat ayat 13:
Maksudnya:
"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah
menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu
berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu saling berkenalan. Sesungguhnya
semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang paling takwa di antaramu.
Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya."
Sebagai suatu bangsa, secara hakikatnya ianya boleh
diwarnakan dan dipengaruhi oleh apa sahaja. Pada zaman yang disifatkan telah
berubah dengan era globalisasi menyebabkan sesuatu bangsa itu boleh memilih
jalan dan cara hidup yang sendiri samada ingin menjadi bangsa yang beriman,
maju atau sebaliknya.
Persoalan besar timbul disini bagaimanakah kita untuk
memperkasakan sesuatu bangsa itu?. Secara ringkasnya mimbar yang mulia ini
ingin menyatakan bahawa berdasarkan perspektif Islam memperkasa sesuatu bangsa
itu berkait rapat dengan pembentukan jiwa, jati diri dan maruah.
Jiwa bangsa haruslah meletakkan persoalan keimanan
sebagai tunjang kekuatan dan menerima hakikat serta yakin bahawa tiada tuhan melainkan
Allah SWT dan Nabi Muhamad SAW adalah pesuruh-Nya. Hakikat ini memberi landasan
kepercayaan yang membolehkan sesuatu bangsa itu menjadi umat pilihan, menjadi
contoh yang boleh ditauladani, pemimpin yang bersifat menaungi dan memiliki
ketangkasan berfikir dan bertindak berdasarkan landasan adil wal ihsan.
Justeru, sebagai bangsa yang berdaulat dan bermaruah,
maka menjadi kewajipan kita memelihara kedaulatan bangsa dan agama daripada
segala ancaman samada dalam bentuk dalaman mahupun luaran. Janganlah ada di
kalangan kita yang bersikap mementingkan diri sendiri sehingga bangsa dan agama
terancam, dihina, dikeji, dicaci, diporak perandakan dan sebagainya. Allah SWT
telah memberi peringatan kepada kita melalui firman-Nya di dalam surah al-Anaam
ayat 123:
Maksudnya:
"Dan demikianlah Kami adakan dalam tiap-tiap
negeri orang besar yang jahat supaya mereka melakukan tipu daya di negeri itu,
padahal tiadalah mereka memperdayakan selain dari dirinya sendiri, sedang
mereka tidak menyedarinya."
Muslimin yang dirahmati Allah,
Mimbar ingin menegaskan dalam menjaga kedaulatan bangsa
ianya sangat berkait dengan nilai jati diri, rasa kasih dan sejauh mana
tanggungjawab kita dalam mempertahan, memelihara dan menjaga maruah bangsa agar
kekal dan selamat. Agama Islam sebenarnya telah menggariskan dengan jelas
tentang jati diri khususnya berhubung kait dengan kepentingan untuk
mempertahankan keselamatan dan maruah ini, berdasarkan firman
Allah SWT di dalam surah al-Anfal ayat 60:
Maksudnya:
"Dan sediakanlah untuk menentang mereka (musuh
yang menceroboh) segala jenis kekuatan yang dapat kamu sediakan dan dari
pasukan-pasukan berkuda yang lengkap sedia, untuk menggerunkan dengan
persediaan itu musuh Allah dan musuh kamu serta musuh-musuh yang lain dari
mereka yang kamu tidak mengetahuinya, sedang Allah mengetahuinya. Dan apa
sahaja yang kamu belanjakan pada jalan Allah akan disempurnakan balasannya
kepada kamu, dan kamu tidak akan dianiaya ".
Mimbar yang mulia ini amat yakin bahawa umat Islam yang
cintakan bangsa inilah yang menjadi benteng kekuatan negara untuk membentuk
tamadun Islam yang dihormati dan disegani oleh masyarakat dunia. Rebutlah
peluang yang ada ini selagimana kita mempunyai kekuatan dan kuasa.
Ingatlah bahawa Imam al-Ghazali Rahimahullah pernah
berpesan di dalam kitab Ihya Ulumuddin bahawa:
"Dunia ini tempat bercucuk tanam bagi bekalan
akhirat. Dan tidak sempurna agama melainkan seiring dengan dunia. Kekuasaan
politik dan agama adalah pasangan berkembar. Agama itu tiang utama, sementara
kekuasaan itu adalah penjagaannya. Sesuatu yang tiada tiang, maka ia akan
runtuh dan sesuatu yang tiada penjaga akan musnah dan hilang".
Sabda Rasulullah SAW:
Mafhumnya:
"Rebutlah lima perkara sebelum kamu didatangi oleh
lima perkara lain. Masa mudamu sebelum tua, masa sihatmu sebelum sakit, masa
kayamu sebelum miskin, masa lapangmu sebelum sempit, dan masa hidupmu sebelum
mati". (Riwayat Hakim dan Ibnu Majah).
Muslimin yang dirahmati Allah,
Hayatilah pesanan Rasulullah SAW yang pernah melahirkan
kebimbangan bahawa umat Islam ramai tetapi berkeadaan seperti buih di lautan,
kerana lemah dan tidak berdaya saing. Justeru, sebagai bangsa yang bermaruah
seharusnya memiliki kebijaksanaan yang tinggi dalam menjana kehidupan. Harus
diingat bahawa dalam usaha untuk memperkasa ummah ianya memerlukan satu
perubahan atau tajdid. Perubahan dalam kehidupan mestilah mampu membebaskan
diri dari belenggu kebekuan yang bersifat tradisi.
Oleh itu, mimbar ingin mengariskan beberapa agenda yang
perlu dilaksanakan demi memperkasa ummah antaranya:
Pertama: perlu ada kemahuan yang tinggi yang tidak
mampu digugat oleh sebarang kelemahan,
Kedua: Pengorbanan yang agung yang tidak mengenal erti
tamak haloba dan kedekut,
Ketiga: Memahami prinsip, meyakininya, menghormati,
tidak melakukan kesilapan, tidak terseleweng, tidak berkompromi dan tidak
terpengaruh dengan prinsip yang lain.
Dengan prinsip dan aspek inilah akan mampu membentuk
individu dan masyarakat yang dapat melahirkan sebuah negara bangsa yang mampu
bangkit, bersemangat waja serta mempunyai jatidiri yang murni lagi kukuh.
Ingatlah bahawa Allah SWT tidak akan merubah sesuatu bangsa tersebut selagi
kita tidak melakukan perubahan pada diri sendiri. Ini adalah undang-undang dan
sunnah yang telah ditetapkan oleh Allah SWT sebagaimana firman-Nya dalam surah
al-Ra'd ayat 11:
Maksudnya:
"Sesungguhnya Allah tidak mengubah apa yang ada
pada sesuatu kaum sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka
sendiri. Dan apabila dikehendaki oleh Allah keburukan kepada sesuatu kaum, maka
tidak ada yang dapat menolak, dan tidak ada pelindung bagi mereka selain
daripada-Nya.".
Sidang Jumaat Yang Dihormati,
Pada hari yang mulia dan penuh barakah ini, mimbar
menyeru marilah kita sama-sama berdoa mudah-mudahan umat Islam negara kita
sentiasa diberikan taufik hidayah oleh Allah SWT dan seterusnya berjaya
memainkan peranannya yang sebenar dalam memacu pembangunan negara bangsa yang
maju dan dihormati lagi dikasihi Allah SWT.
Ingatlah bahawa sebagai umat Islam dan bangsa teras di
negara ini, kita hendaklah berperanan bukan setakat pada ibadah khusus
semata-mata. Malah lebih luas daripada itu sebagai khalifah Allah di muka bumi.
Menurut al-Mawardi di dalam kitabnya al-Ahkam as-Sultaniah di antara tugas
khalifah itu adalah menjaga hal ehwal agama dan mentadbir hal ehwal dunia.
Ingatlah bahawa bangsa kita adalah bangsa yang sukakan
kebaikan dan bencikan kemungkaran. Tidak setakat itu sahaja, bangsa kita
menjadi sebahagian daripada tamadun Islam yang jauh lebih hebat dalam sejarah
penghidupan umat manusia. Ingatlah dalam agenda memperkasakan ummah bahawa
berjuang sudah pasti, menyerah tidak sekali.
Semoga negara kita yang tercinta ini terus maju, aman
dan damai, dan menjadi payung serta perlindungan kepada Islam dan umatnya.
Mengakhiri khutbah minggu ini, marilah sama-sama kita merenung sepotong ayat
suci al-Quran al-Karim dari surah al-A'raf ayat 96:
Maksudnya:
"Dan Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta
bertakwa, tentulah Kami bukakan kepada mereka keberkatan dari langit dan bumi.
Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami) lalu Kami timpakan mereka dengan azab
seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan."