Monday, September 17, 2018

Kota Tinggi Showcase: Satu Aspirasi Pendiidkan Abad Ke-21


Azman bin Abu Bakar
SIPartner+ Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi

Dan 
Salmiah binti Kassim
SISC+, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi

1.0          PENDAHULUAN

Pendidikan adalah nadi pembangunan sesuatu bangsa dan negara. Tanpa sistem pendidikan yang terancang dan berkembang sejajar dengan keperluan dan perkembangan zaman, maka bolehlah dianggap bangsa atau negara tersebut telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya memartabatkan sesuatu bangsa atau negara. Kerajaan memerlukan tenaga kerja yang proaktif dalam menentukan pencapaian ekonomi yang tinggi. Oleh hal yang demikian, kerajaan perlulah melahirkan generasi yang membawa pembaharuan dan berdaya saing dalam pelbagai aspek terutama dalam bidang pendidikan, ekonomi, teknologi dan sebagainya. Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 merupakan satu pelan transformasi pendidikan ke arah menyediakan pendidikan abad ke-21.  


Kementerian Pendidikan Malaysia telah berusaha mewujudkan kemahiran abad ke-21 ke dalam semua mata pelajaran di sekolah. Chong (2014) menyetujui kenyataan tersebut dengan menyatakan pelbagai perubahan dalam pendidikan di Malaysia disebabkan keperluan kepada pengajaran dan pembelajaran abad ke-21. Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan inisiatif pembelajaran abad ke-21 secara rintis pada tahun 2014 dan meluaskan pelaksanaan ke seluruh negara mulai tahun 2015.  

Dalam Panduan Pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21 (2017), terdapat kemahiran-kemahiran kritikal yang seharusnya dikuasai dalam Pendidikan Abad ke-21 yang dikemukakan oleh Persatuan Pendidik Amerika menyatakan terdapat empat kemahiran spesifik yang paling penting iaitu kemahiran pemikiran kritikal, komunikasi, kolaboratif, dan kreativiti (4C). Dinyatakan juga, menurut James (2017) kebelakangan ini terdapat pula usaha untuk menambah 2C dalam Pendidikan Abad ke-21 iaitu kewarganegaraan (citizenship) dan karektor (character). Pelaksanaan pengajaran berdasarkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) menjadi penanda aras keberkesanan pendidikan abad ke-21. 

Bagi merealisasikan inisiatif-inisiatif yang terkandung di dalam PPPM 2013-2025, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kota Tinggi telah membangunkan Kota Tinggi Showcase sebagai langkah menyahut seruan Pengarah Pendidikan Negeri Johor, Tuan Haji Aminudin bin Adam yang merupakan pelopor Program Transformasi Daerah (DTP) semasa beliau bertugas sebagai Timbalan Pengarah (Sekolah) Bahagian Pendidikan Sekolah Harian (BPSH), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Kota Tinggi Showcase dibangunkan bagi menjadikan sekolah-sekolah di daerah Kota Tinggi sebagai rintis pelaksanaan pembelajaran abad ke-21(PAK21).

2.0          PENYATAAN MASALAH

Perubahan dalam sistem pendidikan yang menjurus ke arah pembelajaran abad ke-21 ini berkait rapat dengan kesediaan sekolah sebagai wahana dan platform penggerak kejayaannya. Pembelajaran dikatakan berlaku selagi murid dapat menghasilkan semula pengetahuan yang diperolehi daripada proses pembelajaran (Collins, 2006; Jonassen & Rohrer-Murphy, 1999; Karagiorgi & Symeou, 2005; Sadler, 1989; Vrasidas, 2000) dalam Shu Shing-Lee & David Hung (2012). Oleh yang demikian, Kota Tinggi Showcase memberi perhatian berdasarkan lima faktor berikut bagi membangunkan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21: 


  • Visi KPM dan Misi KPM
  • Visi KPM : Pendidikan Berkualiti Insan Terdidik Negara Sejahtera.
  • Misi KPM : Melestarikan Sistem Pendidikan Yang Berkualiti Untuk Membangunkan Potensi Individu bagi Memenuhi Aspirasi Negara.
  • Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013 – 2025
Bagi melahirkan global player, PPPM 2013-2025 yang mengandungi lima aspirasi sistem iaitu akses, kualiti, ekuiti, perpaduan dan kecekapan dan enam aspirasi murid iaitu setiap murid akan mempunyai pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran kepimpinan, kemahiran dwibahasa, etika dan kerohanian dan identiti nasional digunakan sebagai panduan melaksanakan Kota Tinggi Showcase. 

Hasil dapatan Jemaah Nazir dan Jaminan Kualiti (JNJK) 

Hasil dapatan JNJK dalam aspek kualiti pembelajaran dan pengajaran (PdP) hanya 3% guru mencapai tahap cemerlang, 14% guru mencapai tahap baik dan 83% guru mencapai tahap harapan, memuaskan dan lemah. Justeru itu, dapatan ini menjadi panduan bagi meningkatkan kualiti guru dalam menjayakan Kota Tinggi Showcase. 

Persekitaran pembelajaran

Amalan pengajaran konvensional melalui cara 'chalk and talk' atau berpusatkan guru menyebabkan murid-murid mudah berasa bosan kerana pengajaran sehala oleh guru yang tidak memberikan peluang kepada murid untuk menyuarakan pendapat mereka. Bertitik tolak dari kesedaran ini, Kota Tinggi Showcase mengorak langkah melaksanakan perubahan pengajaran ke arah berpusatkan murid. Pengajaran guru yang bertunjangkan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) merupakan penanda aras keberkesanan pembelajaran abad ke-21 selaras dengan transformasi pendidikan negara dalam PPPM 2013-2025.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan 

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) dijadikan panduan bagi pelaksanaan pembelajaran abad ke-21. Bagi meningkatkan kualiti ekosistem sekolah, FPK dijadikan rujukan terutama pada klausa ……. memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani…...


3.0          SPESIFIKASI AMALAN TERBAIK

Justifikasi amalan terbaik yang akan dikongsikan adalah berdasarkan tiga teras yang telah digunakan dalam pelaksanaan Kota Tinggi Showcase iaitu :
  1. Membangunkan Pengurusan Kepimpinan yang Berkualiti Tinggi
  2. Kecemerlangan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran
  3. Mengukuhkan Penglibatan Pihak yang Kerkepentingan
4.0          PELAKSANAAN AMALAN 

Membangunkan Pengurusan Kepimpinan yang Berkualiti Tinggi

Peranan kepimpinan sekolah sebagai peneraju sekolah amat penting bagi menentukan kejayaan pelaksanaan PAK21. Kepimpinan sekolah dibugarkan dengan sembilan bidang dalam Standard Kompetensi Kepengetuaan Sekolah Malaysia (SKKSM) dan Standard Kualiti Pendidikan Malaysia (SKPM) 2010 di samping kemahiran Pendidikan Abad ke-21. Antara perancangan yang telah dilaksanakan bagi memantapkan kepimpinan sekolah ialah : 

a) Program rintis sekolah PAK21 bersama IAB dan KPM . KPPD Kota Tinggi, KPPD Hulu Selangor, KPPD Port Dickson, KPPD Petaling Utama dan KPPD Kuala Selangor dengan memilih daerah Kota Tinggi sebagai sampel dan telah mengenal pasti sekolah sasaran bagi pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21. Pemilihan sekolah terdiri daripada pelbagai kategori iaitu sekolah berprestasi tinggi (SBT), sekolah kawalan, sekolah harian kategori bandar, sekolah harian kategori luar bandar, Sekolah Jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan  Sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT). 

b) Merancang dan membina modul Kepimpinan Pendidikan Abad ke-21 untuk memberikan kemahiran kepada semua pemimpin sekolah dan semua pegawai di PPD Kota Tinggi. Modul Kepimpinan mengandungi tajuk berikut iaitu Peranan Pemimpin Sekolah Abad ke-21, Pembangunan Profesional, Persekitaran Fizikal dan Emosi, Pemimpin sebagai Pentaksir, Pelibatan Ibu bapa dan Komuniti, Kemahiran menggunakan Data, Keberkesanan Peribadi, Mengurus Perubahan, Refleksi dan Tindakan Masa Depan, Kepimpinan Teragih , Mengurus Bilik Darjah Abad ke-21 dan Perancangan Strategik Sekolah. Setiap pemimpin sekolah diberikan kemahiran dan dibekalkan dengan modul.

c) Pembinaan kerangka (framework) Kota Tinggi Showcase sebagai panduan ke arah pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21 secara berfasa bagi 3 tahun (2015-2017)

Kecemerlangan Kualiti Pengajaran dan Pembelajaran

Peranan guru dalam bilik darjah amat penting dalam menentukan kejayaan pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21. Guru perlu diberikan kemahiran dengan pedagogi Pembelajaran Abad ke-21. Antara kemahiran yang telah diberikan ialah; 

a) Merancang modul pembelajaran abad ke-21 bagi meningkatkan kemahiran guru. Modul Pembelajaran mengandungi kemahiran perancangan pengajaran, kandungan dan penyampaian, Memcipta pembelajaran yang positif, pentaksiran untuk pembelajaran, Kolaboratif dan koperatif, kemahiran menyoal dan berfikir, pembezaan, pengetahuan profesional dan refleksi.

b) Merancang takwim pencerapan (baseline) guru-guru sekolah sasaran Pendidikan Abad ke-21.

c) Pembinaan instrumen penilaian dan kajian keberkesanan pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21

Mengukuhkan penglibatan Pihak yang Berkepentingan

Penglibatan pihak berkepentingan terutama PIBG dan komuniti setempat seperti ketua kampung, pengurus FELDA, IPTA, IPTS, agensi kerajaan, ahli politik dan lain-lain pihak yang berkepentingan amat penting dalam menyokong pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21. Antara perancangan ialah:

a) Menyediakan kertas kerja mohon dengan ahli parlimen Kota Tinggi bagi menyokong prasarana bagi 1 bilik darjah di sekolah sasaran Kota Tinggi Showcase di sekolah kawasan Parlimen Kota Tinggi

b) Menyediakan kertas kerja bagi permohonan sumbangan dengan pengerusi FELDA bagi menyokong prasarana sebuah bilik darjah di sekolah sasaran Kota Tinggi Showcase di sekolah kawasan FELDA.

c) Menyediakan kertas kerja bagi permohonan peruntukan dari Menteri Besar Johor sebagai pemegang amanah bagi menyokong prasarana pembelajaran abad ke-21 di Parlimen Kota Tinggi dan Pengerang.

d) Menyediakan kertas kerja bagi permohonan peruntukan dengan pengurusan KEJORA bagi menyokong sebuah bilik darjah di sekolah sasaran Kota Tinggi Showcase di sekolah kawasan KEJORA.


5.0          METODOLOGI

Seorang pakar psikologi George Kelly dalam Fransella (1995) menyatakan jika kita tidak dapat memahami sesuatu masalah, maka kaedah mendapatkan maklumat yang terbaik adalah dengan bertanyakan kepada mereka yang terlibat dalam masalah tersebut. Pelaksanaan Kota Tinggi Showcase memfokuskan tiga teras strategi utama iaitu;

a) Membangunkan Pengurusan Kepimpinan yang Berkualiti Tinggi (Develop High Quality Leadership Management)

b) Kecemerlangan Kualiti Pembelajaran dan Pengajaran (Excellence the Quality of Learning and Teaching)

c) Mengukuhkan Penglibatan Pihak yang Berkepentingan (Strengthen the Engagement of Stakeholders)

Bagi merealisasikan Kota Tinggi Showcase empat program utama telah dirancang dan dilaksanakan di seluruh sekolah rendah dan sekolah menengah iaitu :
  • Model Sekolah Abad ke-21
  • Sekolah Fokus
  • Sekolah Fokus Bahasa Inggeris
  • Sekolah Pembelajaran Abad Ke-21
Satu kajian bagi memperolehi persampelan pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 telah dijalankan di mana PPD Kota Tinggi telah dipilih sebagai sampel bagi Projek Accelerated Leadership Development (ALD) di bawah KPM, Institut Aminuddin Baki dan Hay Group. Projek yang bertajuk “Pelaksanaan Pengurusan Bilik Darjah Abad Ke-21 : Kualiti Guru” telah mengambil guru-guru Matematik Tingkatan 1 sebagai  rintis bagi program ini. Instrumen yang digunakan di Sekolah Amanah Malaysia telah dijadikan panduan dan diolah semula agar selari dengan Standard 4 Sistem Pendidikan Kualiti Malaysia (SKPM) digunakan bagi persampelan ini.

6.0          IMPAK

a)    Perubahan Ekosistem

Perubahan persekitaran pembelajaran ke arah pembelajaran abad ke-21 jelas dilaksanakan di sekolah-sekolah. Susun atur meja yang disusun secara berkumpulan memudahkan murid mejalankan aktiviti pembelajaran. Persekitaran  bilik darjah yang bermaklumat menjadikan pembelajaran personal dapat dijalankan. Perubahan pembelajaran berpusatkan guru kepada pembelajaran berpusatkan murid dapat dilaksanakan secara berperingkat hasil dari Continuous Professional Development (CPD) yang diberikan kepada guru rintis. Pemantauan ke atas guru-guru rintis ini mendapati lebih 80% guru dapat mencapai peningkatan kompetensi amalan pengajaran abad ke-21 berdasarkan pemantauan baseline dan purata pemantauan kali pertama dan pemantauan kali kedua. Di samping itu, pihak sekolah juga memberi komitmen yang tinggi menghasilkan Subject Based Classroom (SBC) agar murid mudah mengakses pembelajaran mereka.

b)    Perkaitan dengan 4C’s ( Collaboration, Creativity, Critical Thinking and Problem Solving, Communication)

Aktiviti kolaboratif yang berstruktur yang melibatkan setiap murid menggalakkan pembelajaran koperatif.

Kreativiti murid menghasilkan tugasan membantu penghasilan sumber pembelajaran bagi mewujudkan persekitaran pembelajaran yang menarik, kondusif dan interaktif.

Penggunaan teknik penyoalan dan pengurusan grafik menggalakkan pemikiran kritis dalam pembelajaran.

Strategi maklum balas antara murid dengan murid dan pentaksiran untuk pembelajaran yang berterusan serta penglibatan aktif murid menggalakkan murid berkomunikasi.

c)    Pembudayaan Komuniti Pembelajaran Professional (PLC)

Komuniti Pembelajaran Profesional (PLC) merujuk kepada para pendidik yang komited dan bekerja secara kolaboratif serta berterusan dalam membuat inkuiri atau kajian tindakan untuk mencapai prestasi yang lebih baik untuk murid-murid mereka. (Rosenholtz, 1989; Little & McLaughlin, 1993; DuFour, Eaker, & many, 2006). Pendekatan PLC menyediakan perkakasan kepada guru untuk membentuk wawasan kaedah pengajaran mereka melalui maklum balas pelajar dan rakan guru. Apabila guru memberikan fokus kepada waktu instruksional yang berkualiti, kaedah bertanya yang berkesan, pengurusan bilik darjah yang baik dan berbincang kesukaran pelajar menerima apa yang diajar bersama rakan, satu bentuk kaedah pengajaran yang berkesan akan dapat dihasilkan.

d)    Penglibatan Pihak yang Berkepentingan

Anjakan ke-9 PPPM 2013-2025 iaitu bekerjasama dengan ibu bapa, komuniti dan sektor swasta secara meluas, merupakan satu daripada aspek penting dalam menjayakan transformasi pendidikan. Dapatan persampelan menunjukkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mempertingkatkan hubungan dengan pihak sekolah dengan memberi maklum balas tentang pelaksanaan pembelajaran abad ke-21 dan juga kualiti guru di sekolah anak-anak mereka. Jaringan yang utuh antara PIBG, ibu bapa dan sekolah ini akan menjulang prestasi pelajaran anak-anak ke peringkat yang lebih tinggi. Pelibatan sektor swasta dalam aspek  kepakaran, pengetahuan, pengalaman dan sumbangan amat menggalakkan dalam menyokong pelaksanaan pembelajaran abad ke-21.

e)    Peningkatan pencapaian peperiksaan awam

Perbandingan GPS sekolah yang terlibat dalam sekolah rintis Kota Tinggi Showcase bagi tahun 2015 dan 2016 adalah seperti berikut :

Bil
Nama Sekolah
2015
2016
1
SMK Tun Habab
3.09
3.76
2
SMK Laksamana
5.29
5.09
3
SMK Air Tawar
5.18
5.32
4
SMK Taman Seri Saujana
5.60
5.34
5
SMK Bandar Mas
5.20
5.06

7.0          IMPLIKASI/CADANGAN

Kemahiran abad ke-21 bukanlah satu konstruk yang susah untuk diterapkan dalam pembelajaran di sekolah. sekolah perlu diurus dengan cekap dan berkesan bermula daripada faktor sekolah, guru sehingga murid (Odden, Archibald, Fermanich & Gallagher, 2014). Secara khusus, pembaharuan dalam pendidikan amat berkait rapat dengan penambahbaikan dalam pengurusan bilik darjah khususnya guru (Siffington, Washburn & Elliott, 2011).
Bagi memastikan hasrat tersebut tercapai, guru seharusnya mempelajari kaedah pengajaran baru itu. Hal tersebut bermaksud bahawa mereka seharusnya disediakan dengan program perkembangan profesionalisme yang berkualiti. Kenyataan tersebut selari dengan penemuan kajian kuantitatif Correnti (2011) di empat belas buah negeri di Amerika Syarikat mengenai keberkesanan program perkembangan profesionalisme guru.
Kajian tersebut mendapati 90 peratus guru menyatakan penglibatan mereka dalam program tersebut adalah sia-sia. Jelas mereka lagi punca utama permasalahan tersebut adalah kandungan penawaran program yang kurang menepati keperluan semasa guru bagi mengubah pengajaran guru dan pembelajaran murid.

Justeru, program perkembangan profesionalisme guru seharusnya dilaksanakan secara cekap dan berkesan kerana masih banyak yang perlu dilakukan bagi meningkatkan kefahaman guru tentang kemahiran abad ke-21. Kefahaman guru tentang kemahiran abad ke-21 dan bagaimana kemahiran tersebut harus dibina dalam diri murid. Maka, adalah penting kajian tentang kemahiran abad ke-21 diperbanyakkan dan diperkembangkan.


8.0          PENUTUP

Pendidikan merupakan nadi pembangunan untuk masyarakat dan juga negara. Tanpa sistem pendidikan yang terancang, maka bolehlah dianggap negara itu telah gagal dalam melaksanakan tanggungjawabnya untuk memartabatkan sistem pendidikan yang berkualiti. Oleh itu, perubahan dalam pengajaran dan pembelajaran perlu menitikberatkan penguasaan kemahiran abad ke-21 dengan mengadakan lebih banyak aktiviti yang berpusatkan murid dan mendedahkan mereka dengan kehendak global pada masa kini, di samping meningkatkan kemahiran insaniah pelajar untuk menghadapi cabaran dalam dunia sebenar tidak kira dunia pekerjaan mahu pun hal-hal yang berkaitan dengan kemasyarakatan dan komuniti.


SENARAI RUJUKAN

Craig D. Jerald. (2009). Defining a 21st century education. Centre for Public Education

Chong, E. K. M. (2012). Using blogging to enhance the initiation of students into academic research. Computer & Education, 55, 798-807.

Collins, J. C. & Porras, J. I. (2014). Building your company’s vision, Harvard Business Review, 2(1), 23-45. Dicapai pada 19 Mac 2015 di http://www.tecker.com/wpcontent/uploads/2011/07/CollinsBuildingVisionSept96.pdf.

Correnti, R. (2011). An empirical investigation of professional development effects on literacy instruction using daily logs. American Educational Research Association, 29 (4), 262-295.

James Ang Jet Ing. 2017. “Kehendak Pendidikan abad ke-21” dalam Panduan Pelaksanaan Pendidikan Abad ke-21. 2017. Institut Aminuddin Baki, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Metiri Group. (2003). enGauge 21st Century Skills. [Atas Talian] http://pict.sdsu.edu/engauge21st.pdf (September 20, 2011).

Odden, A., Archibald, S., Fermanich, M., & Gallagher, H. A. (2014). A cost framework for professional development. Journal of Education Finance, 28 (1), 51-74.

Shu Shing-Lee & David Hung. (2012). Is There an Instructional Framework for 21st Century Learning?. National Institute of Education, Nanyang Technological University, Singapore.

Siffington, S., Washburn, S., & Elliott, K. (2011). Instructional coaching: Helping preschool teachers reach their full potential. YC Young Children, 6 (3), 12.


Tajul Ariffin Mohd Noordin & Nor Aini Dan (1992).Pendidikan Dan Wawasan 2020. Kuala Lumpur: Arena Ilmu Sdn Bhd.

http://www.pelitabrunei.gov.bn/haluan/item/8048-pendidikan-baru-di-abad-ke-21-hadapi-cabaran-globalisasi


No comments:

Artikel Popular