Saturday, January 23, 2021

Garis Panduan Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR)


Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (2013-2025) menetapkan setiap murid mendapat akses kepada pendidikan untuk mencapai potensi diri bagi menghadapi kehidupan masa hadapan. Oleh itu, murid berhak mendapat peluang mengikuti pendidikan, meskipun mereka tidak dapat hadir ke sekolah.

Manual  Pengajaran  dan  Pembelajaran  di  Rumah  telah dibangunkan oleh KPM bertujuan untuk membantu guru melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sebagai alternatif pembelajaran norma baharu. Manual ini juga sebagai rujukan untuk pentadbir sekolah, pegawai pejabat pendidikan daerah (PPD) dan jabatan pendidikan negeri (JPN) serta Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) ialah pengajaran dan pembelajaran (PdP) yang dilaksanakan di rumah atau pusat komuniti atau di mana-mana lokasi yang bersesuaian. PdPR boleh dilaksanakan dalam talian dan/ atau luar talian dan/ atau off-site dengan berstruktur dan terancang. PdPR dilaksanakan apabila murid tidak dapat hadir ke sekolah dalam satu tempoh yang tertentu atas sebab bencana atau wabak atau sebab-sebab lain dengan kelulusan pendaftar negeri.

SURAT MAKLUMAN PdPR | MANUAL PdPR | BAHAN TAKLIMAT PdPR |

OBJEKTIF

Objektif Manual PdPR ialah:

1. sebagai panduan kepada guru untuk melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang; dan

2. membolehkan murid mengikuti PdPR secara optimum.


PENDEKATAN DAN KAEDAH PdPR

Pendekatan PdPR

PdPR boleh dilaksanakan secara dalam talian atau luar talian atau secara off-site. Guru boleh melaksanakan PdPR dengan menggunakan satu daripada kaedah ini atau gabungan kaedah mengikut kesesuaian.

PdPR secara dalam talian berlaku apabila terdapat capaian Internet dan penggunaan peranti yang membolehkan murid belajar secara real time. Guru boleh melaksanakan PdPR melalui;

  1. pelantar  pembelajaran  seperti  Digital  Educational Learning Initiative Malaysia (DELIMa), Cikgootube, EduWebTV dan aplikasi media sosial; atau
  2. aplikasi seperti Google Meet atau Microsoft Teams secara lintas langsung (live streaming); atau
  3. ePermainan (gamification), video, klip audio, eBuku, rakaman atau tugasan dalam talian.

Pelaksanaan PdPR memerlukan murid menggunakan peranti berskrin seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar dalam tempoh tertentu. Masa penggunaan peranti ini dikenali sebagai tempoh layar (screen time) murid.

Panduan  tempoh  layar  maksimum  mengikut  umur berdasarkan sumber daripada  www.eyepromise.com dengan merujuk kepada The American Academy of Pediatrics (AAP) dan World Health Organization (WHO) adalah seperti berikut:

Tahap Persekolahan Tempoh Waktu Layar Sehari

Prasekolah                                 1 jam 

Rendah                                       1-2 jam 

Menengah rendah                      2-3 jam 

Menengah atas                      3-4 jam


Guru perlu menetapkan tempoh masa layar yang bersesuaian dengan mengambil kira pandangan ibu bapa/ penjaga.

PdPR secara luar talian berlaku apabila murid belajar menggunakan peranti seperti komputer, komputer riba, tablet atau telefon pintar tanpa capaian Internet. Pembelajaran juga boleh berlaku apabila murid belajar menggunakan buku teks atau bahan pembelajaran lain.

Guru boleh memuat turun bahan-bahan PdP dalam bentuk video, audio, slaid, nota dan latihan daripada sumber seperti di para 7.1.1 dan 7.1.3. Proses memuat turun bahan dilakukansemasa terdapat capaian Internet dan diberikan kepada murid melalui medium komunikasi yang bersesuian.

Guru Guru  juga  perlu  menetapkan  tempoh  masa  penggunaan  peranti secara diluar talian dengan mengambil kira pandangan ibu bapa / penjaga.

Pembelajaran secara off-site ialah kaedah pembelajaran yang berlaku di lokasi seperti di pusat komuniti, atau di mana- mana premis yang diisytiharkan sebagai pusat pemindahan sementara akibat bencana atau wabak. Pembelajaran secara off-site dilaksanakan mengikut Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bilangan 8 2016 Garis Panduan Pengurusan Pengajaran dan Pembelajaran Akibat Bencana.

Pembelajaran boleh berlaku secara kendiri atau dengan bimbingan Academic Support Team (AST) yang terdiri dalam kalangan pegawai PPD atau guru sekolah yang dilantik.

Kaedah PdPR

Antara  kaedah  PdPR  yang  boleh  digunakan ialah  pembelajaran menggunakan modul dan pembelajaran berasaskan projek. PdPR  menggunakan  modul  perlu  dirancang  secara berstruktur untuk memenuhi keperluan mata pelajaran. Modul yang dibangunkan perlu mengandungi perkara-perkara berikut:

  1. Sasaran murid (prasekolah, rendah, menengah);
  2. Tajuk atau tema modul;
  3. Objektif pembelajaran berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP);
  4. Tempoh pelaksanaan aktiviti;
  5. Nota berkaitan tajuk modul;
  6. Aktiviti yang relevan dengan topik PdP atau aktivitiyang mengalakkan murid belajar  berdasarkan pengalaman sendiri; dan
  7. Pentaksiran untuk mengukur penguasaan murid
  8. Modul  pembelajaran  ini  diedarkan  kepada  murid berdasarkan Rancangan Pengajaran Harian (RPH) yang ditetapkan
  9. Murid perlu menyerahkan hasil tugasan untuk disemak/ ditaksir sebelum menerima modul pembelajaran seterusnya.

PdPR berasaskan projek dilaksanakan mengikut mata pelajaran atau    gabungan    beberapa    mata    pelajaran. Pelaksanaannya adalah seperti berikut:
  1. memberi tajuk kepada murid;
  2. membimbing murid untuk mengenal pasti kaedah menyiapkan projek yang diberikan;
  3. membimbing murid untuk mengenal pasti bahan, peralatan dan kos yang diperlukan;
  4. menentukan jangka masa menyiapkan projek;
  5. membimbing murid menyelesaikan projek;
  6. membentangkan hasil projek;dan
  7. membuat refleksi tentang proses penghasilan projek
Guru boleh juga melaksanakan kaedah PdP yang lain seperti flipped classroom, pembelajaran berasaskan inkuiri, pembelajaran masteri, pembelajaran kontekstual dan pembelajaran penyelesaian masalah.


PELAKSANAAN PdP

PdPR perlu dirancang mengikut keupayaan murid dan kesediaan sumber yang ada. Guru berperanan melaksanakan perkara berikut:
  1. Menyusun semula Rancangan Pengajaran Tahunan (RPT) berdasarkan Dokumen Standard Kurikulum dan Pentaksiran (DSKP) dan takwim persekolahan yang berkuat kuasa;
  2. Merancang RPH berdasarkan RPT yang telah disusun dan jadual waktu  PdPR  supaya  kandungan  kurikulum  dapat disampaikan secara optimum;
  3. Menentukan kaedah penyampaian yang fleksibel mengikut situasi semasa dengan mengambil kira sumber yang ada pada murid;
  4. Menyediakan bahan yang mudah didapati, diakses dan bersesuaian dengan kaedah PdPR yang digunakan;
  5. Memastikan murid mendapat tugasan/latihan yang dirancang oleh guru;
  6. Menggunakan pelbagai kaedah pentaksiran seperti kuiz, tugasan/ latihan dan projek untuk menentukan pencapaian murid;
  7. Mengadakan perbincangan dengan ibu bapa/ penjaga untuk menyokong pembelajaran murid di rumah; dan
  8. Merekodkan pelibatan murid dalam PdPR menggunakan kaedah yang bersesuaian.
Pentadbir berperanan untuk:
  1. Memastikan   perancangan   dan   pengurusan   PdPR dilaksanakan dengan teliti, cekap dan berkesan untuk mengelakkan pertindanan masa antara mata pelajaran dan lambakan tugasan/latihan kepada murid;
  2. Mengatur  jadual  pembelajaran  yang  fleksibel  bagi menguruskan aktiviti PdPR yang berkesan; dan
  3. Memantau PdPR yang dijalankan dan memberikan sokongan yang bersesuaian kepada guru.
Ibu bapa/penjaga berperanan untuk:
  1. Membantu anak/anak jagaan mendapat maklumat berkaitan sesi PdPR ataupun arahan/tugasan/kerja rumah yang diberikan guru; dan
  2. Membantu anak/ anak jagaan mengakses DELIMa, TV Pendidikan, EduwebTV (koleksi video) dan Cikgootube.

PENUTUP

Manual  PdPR  yang disediakan oleh KPM ini  merupakan  panduan  kepada  guru  untuk melaksanakan PdPR secara berstruktur dan terancang supaya murid dapat mengikuti PdPR secara optimum. Kejayaan PdPR murid memerlukan sokongan semua pihak iaitu KPM, JPN, PPD, sekolah, guru, ibu bapa/ penjaga dan komuniti.

Sila klik link berikut untuk muat turun info dan bahan berkaitan PdPR;



No comments:

Artikel Popular