Wednesday, March 13, 2024

Blended Coaching Sebagai Satu Model dan Strategi Membangunkan Kompetensi Kepimpinan Sekolah

Model Blended Coaching adalah antara model coaching yang paling awal yang dibangunkan khas untuk membangunkan kepemimpinan pengetua dan guru besar di sekolah. Ia dibangunkan oleh Gary Bloom, Claire Castagna, Ellen Moir dan Betsy Warren (Bloom et al, 2005) yang menggariskan kemahiran-kemahiran dan tingkah laku yang mesti ada dan diamalkan oleh seorang coach ketika membuat bimbingan. Ia merupakan strategi yang dinamis, lebih selesa dan rasional untuk coach mengamalkannya. Namun, ia hanya boleh dipraktikkan dengan disiplin dan usaha yang bersungguh-sungguh (Bloom et al. 2005). Kemahiran-kemahiran yang dikenalpasti oleh Bloom yang mesti ada pada setiap coach ialah ; Membina hubungan, mendengar, memerhati, memberi soalan, dan memberi maklum balas. Dalam Model Blended Coaching ini, coach boleh menggunakan mana-mana strategi bimbingan yang dikenalpasti dan coach boleh mencampuradukkan strategi-strategi itu bersesuaian dan bergantung kepada keperluan dan tahap kepakaran coachee. Terdapat empat kaedah bimbingan yang terkandung dalam model ini iaitu; (1) Bimbingan Instruksional, (2) Bimbingan Konsultatif (3)Bimbingan Kolaboratif, (4) Bimbingan Transformasional dan  (5) Bimbingan Fasilitatif,  ; digambarkan dalam gambarajh 4 di bawah.


a) Bimbingan Instruksional

Coach menggunakan pendekatan Instructional coaching apabila mereka sedang berhadapan dengan suasana di mana coachee sukar untuk memilih cara bagi menyelesaikan masalah dalam tugasan mereka. Kaedah ini lebih fokus kepada kaedah melaksanakan tugasan. Soalan-soalan yang dikemukakan seperti … “Bagaimana saya hendak mengadakan mesyuarat staff?”, “ Bagaimana saya hendak mempersembahkan data ini?”. Sebagai contoh, seorang pengetua tidak yakin untuk melaksanakan pengajaran dan pembelajaran Abad ke 21. Soalannya ialah, “Bagaimana saya hendak melaksanakannya?”. Pada ketika ini coach akan menyakinkan pengetua dengan membekalkan artikel tentang kepentingan pdp Abad 21 itu atau memberikan beberapa contoh sekolah yang telah berjaya melaksanakannya. Coach juga boleh memberikan beberapa cadangan berdasarkan pengalaman, kepakaran dan pengetahuan yang mereka miliki kepada coachee sebagai sokongan dan motivasi kepada pengetua. Kebanyakan mode instruksional ini lebih kepada bimbingan deduktif iaitu tunjuk dan beritahu (showing and telling) Bimbingan langkah demi langkah ini akan memberi ruang  untuk pengetua berfikir dan seterusnya membuat keputusan. 


b) Bimbingan Fasilitatif

Bimbingan Fasilitatif merupakan strategi penting untuk membangunkan potensi kepimpinan seseorang pemimpin yang menggunakan kaedah kontruktivisme. Matlamat kaedah ini ialah untuk mengubah cara coachee berfikir dan bertindak. Coach membimbing coachee untuk memimpin, mencipta iklim yang positif, menggalakkan kebertanggungjawaban dan menggalakkan motivasi dan komitmen (Bloom et al 2005).  Coach bertindak menggalakkan coachee mengambil tanggungjawab dalam satu-satu tugas di samping memberikan motivasi dan galakan agar coachee komited sepanjang proses menjalankan tanggungjawab tadi. Pendekatan ini lebih kepada ‘pulling  atau ‘menarik’ coachee menyempurnakan tanggungjawab tersebut. Menerusi bimbingan fasilitatif, coach tidak boleh membuat andaian-andaian malah ia harus membiarkan coachee bebas mengemukakan idea, membuat pemerhatian dan menjangka kemungkinan-kemungkinan akibat tindakan yang akan diambil. Matlamat bimbingan ini ialah untuk mengalih tumpuan dari hubungan coach-coachee kepada coachee sahaja iaitu ia tidak berfokus kepada kepakaran yang ada pada coach tetapi melihat impak yang dihasilkan oleh bimbingan tersebut menyebabkan coachee mampu membangunkan diri sendiri hasil daripada kesedaran kendiri. Kalau bimbingan Instruksional tadi ialah bimbingan mengenalpasti bagaimana cara untuk  melaksanakan sesuatu tugasan, bimbingan fasilitatif pula ialah bimbingan membangunkan kesedaran kendiri coachee melalui kesedaran dalaman coachee sendiri dan bimbingan luaran coach (Bloom et al. 2005)

Bimbingan Fasilitatif berkesan apabila perkara-perkara berikut berlaku ;

1) Hubungan berasaskan kepercayaan terbina antara coach dan coachee
2) Coach sedar bahawa coachee mempunyai latar belakang pengetahuan dan pengalaman untuk belajar melalui pendekatan fasilitatif.
3) Coach sentiasa mengambil peluang membina kepimpinan coachee
4) Isu-isu pembelajaran dapat diseimbangkan 
5) Membantu coachee menilai diri sendiri 
6) Beranjak daripada tumpuan kepada coach kepada berfokuskan coachee
7) Membangunkan kemahiran menyelesaikan masalah kepada coachee
8) Membimbing coachee memperhalusi permikirannya
9) Membina latihan refleksi kendiri

Dari bimbingan instruksional untuk bergerak ke arah bimbingan fasilitatif, coach boleh menggunakan kaedah-kaedah sisipan lain iaitu seperti gambarajah di atas.


c) Bimbingan Kolaboratif

Pendekatan ini digunakan apabila terdapat keperluan atau terdapat masalah yang perlu diselesaikan dengan mengadunkan kaedah instruksional dan fasilitatif dan kaedah ini dipersetujui oleh coach dan coachee. Keadaan ini berlaku apabila coachee dapati coach mempunyai ilmu yang sangat tinggi dalam melaksanakan sesuatu tugasan dan coachee mengambil kaedah tersebut sebagai panduan dan melaksanakan mengikut cara coachee itu sendiri. Sebagai contoh, dalam kaedah memberi skor dalam pencerapan. Coach mempunyai kepakaran mencerap guru manakala coachee pula adalah pengetua yang telahpun membuat beberapa kali pencerapan. Coach akan membimbing coachee cara memberi markah dalam pencerapan guru. Coachee akan menggunakan cara yang ditunjuk oleh coach tetapi membuat penambahbaikan mengikut pengetahuan dan pengalaman yang dia ada. Di sini berlaku di mana coach menunjuk cara dan atas kesedaran coachee menggunakan cara itu mengikut kesesuaian gurunya di sekolah. 


d) Bimbingan Konsultatif

Pendekatan ini merupakan bentuk daripada bimbingan instruksional tetapi ia 
melibatkan kepada bimbingan kepakaran yang lebih spesifik. Sebagai contoh, coach mempunyai kepakaran berkaitan modular teaching. Coachee sangat teruja untuk melaksanakan dan kurang pengetahuan mengenainya. Oleh itu, beliau mendapatkan semua maklumat dan tunjuk ajar melalui coach. Coachee berasa selamat kerana apa yang diperlukan dapat diperolehi daripada maklumat dan tunjuk ajar daripada coachnya. Mengikut Bloom, pendekatan ini agak berisiko kerana kebergantungan kepada coach sangat tinggi. Secara tidak sedar, coach akan menyerlahkan kaedah dan pendekatan kepimpinannya kepada coachee di mana mungkin ia berbeza dengan cara coachee memimpin.  Akibatnya, keberhasilan dari projek Modular teaching tadi  mungkin tidak akan memuaskan hati coachee kerana proses yang berlaku tidak mengikut kaedah dan caranya sendiri. Coachee hanya mengikut dan meniru cara coach. Di sini coach akan kelihatan seperti empunya kepada projek Modular Teaching tersebut tanpa coachee merasakan itu adalah hasil kreativitinya. Oleh itu, apabila coach berhadapan dengan hubungan bimbingan konsultatif ini, coach harus berhati-hati dengan suasana yang ada dan menghormati kaedah kepimpinan coacheenya.

e) Bimbingan Transformasi

Pendekatan ini merupakan tahap bimbingan tertinggi dalam Model Blended Coaching. Bloom  menggunapakai dan mengadaptasi Model The Method oleh Hargrove yang telah dijelaskan dalam penerangan Executive Coaching. Terdapat tiga gelung dalam proses mentransformasi pemimpin iaitu disebut sebagai single-loop learning (pembelajaran satu gelung), double-loop learning (pembelajaran gelung berganda) dan Triple-loop learning (Pembelajaran gelung berganda tiga).  

1) Single-loop learning -  coach membimbing coachee bergerak dari pemikiran biasa kepada membuat sesuatu yang berbeza dari biasa di mana pada tahap ini mereka mendapat pengetahuan, kemahiran dan tingkah laku baru dalam langkah penambahbaikan
2) Double-loop learning – Selepas berjaya mencuba cara baru dalam melaksanakan tugas, coachee sudah mula mengorak ke arah berfikir cara baru; menggambarkan kaedah yang baru; dan coachee sudah mula memikirkan kemungkinan-kemungkinan yang bakal berlaku
3) Triple-loop learning pula – Apabila pengetahuan, kemahiran dan tingkahlaku coachee  telah berubah maka pemikiran akan menjadi lebih positif dan inovatif. Akhirnya, transformasi berlaku. 

Pendekatan ini memerlukan coach yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dan perlukan kesabaran yang tinggi.


4.0 Pelaksanaan Amalan dan Metodologi

SIPartner membimbing guru besar dengan mengikut kaedah GROW  iaitu Goal setting, Reality Checking, Option Exploration dan Way Forward ( Whitmore, 2002). Guru Besar menetapkan sasaran untuk melaksanakan Program Pengantarabangsaan untuk mencapai matlamat Sekolah Berprestasi Tinggi. Dari situ, SIPartner akan menetapkan kaedah manakah yang sesuai untuk diamalkan ketika mengadakan sesi coaching bersama coachee iaitu seperti yang tertera dalam Model Blended Coaching iaitu : (1) Bimbingan Instruktif, (2) Bimbingan Fasilitatif, (3)Bimbingan Kolaboratif, (4) Bimbingan Transformasional, (5) Bimbingan Konsultatif

Kronologi Amalan boleh dilihat melalui grafik di bawah :



Sebagai kesimpulan, pemantapan kaedah Coaching sangat bergantung kepada sejauh mana pengamalnya atau coach faham dan konsisten dalam mengamalkan setiap kaedah yang difikirkan sesuai. Ramai pengkaji berpendapat bahawa coaching adalah kaedah untuk membantu pemimpin  mendepani perubahan yang berlaku sekiranya ia diamalkan dengan berkesan (Kee, Anderson, Dearing, Harris, & Shuster, 2010; Reiss, 2017; Wise & Jacobo, 2010). SIPartner berharap semua coach dapat menggunakan mana-mana kaedah yang dapat membantu meningkatkan potensi coacheenya mengikut kesesuaian latar belakang sekolah, ibu bapa, murid dan para gurunya.




No comments:

Artikel Popular