Guru mempunyai peranan yang besar dalam mencorakkan masa hadapan generasi hari ini pada masa hadapan. Peranan guru amatlah penting kerana proses pertumbuhan murid di sekolah berlaku dalam bilik darjah. Kemahiran guru dan pengajaran dan dalam mengurus kurikulum akan menentukan sejauh mana murid dapat dikembangkan potensinya sama ada dari segi jasmani, emosi, rohani, intelek dan sahsiahnya. Saya amat bersetuju dengan pernyataan yang mengatakan bahawa kualiti pendidikan tidak dapat mengatasi kualiti gru dalam bilik darjah. Tanpa guru bagaimana mungkin kita mampu memasang impian untuk melajirkan insan terbilang yang bakal mewarisi negara pada masa hadapan. Memperkatakan tentang peranan guru dalam merealisasikan pendidikan holistik, pada penulisan ini saya akan melihat dari dua sudut, pertamanya dari dua sudut peranan guru dalam pengajaran dan pembelajaran serta dari sudut peranan guru dalam penilaian dan pentaksiran.
Peranan guru dalam pengajaran dan pembelajaran.
Pendidikan holistik didekati berdasarkan idea bahawa murid diajar dengan cara yang lebih menarik dan menyeronokkan. Pendekatan ini cenderung kepada pembelajaran berasaskan permainan (Fun Learning) di mana kurikulum akan merangkumi aktiviti yang menyeronokkan kepada murid seperti penerapan elemen nyanyian, permainan, lakonan, persembahan pentas, lukisan, fotografi, kajian lapangan, menghasilkan projek dal seumpamanya sebagai tambahan kepada mata pelajaran 'tradisional'.
Pendekatan holistik mendorong murid mempelajari sesuatu mata pelajaran dengan menyemai rasa ingin tahu dan kreativiti dalam pembelajaran mereka. Dengan kebebasan untuk 'berfikir di luar kotak' berbanding pendekatan didaktik tradisional dan penilaian berasaskan peperiksaan yang ketat, murid akan bersemangat untuk belajar dan proses pembelajaran akan lebih menyeronokkan.
Berbeza dengan sistem pendidikan massa yang hanya menumpukan kepada kebolehan akademik dan intelek murid, pendidikan holistik menangani perkembangan peribadi pertumbuhan emosi, sosial, psikologi, kreatif dan rohani murid. Dalam erti kata lain, ia bertujuan untuk memupuk individu yang serba lengkap.
Memandangkan pendidikan holistik cenderung kepada pembelajaran berasaskan permainan, murid akan berasa seronok untuk belajar dan mencabar diri mereka, seterusnya ini akan mendorong mereka untuk berkembang menjadi orang dewasa yang ingin tahu, inkusitik dan akhirnya menjadi seorang yang inovatif dalam jangka masa panjang. Lebih penting lagi, pendekatan holistik menggalakkan kanak-kanak menghubungkan titik antara subjek (connecting the dots).
Strategi pengajaran dan pembelajaran pendidikan holistik yang diamalkan oleh guru akan membantu kanak-kanak dengan bekerja mengikut rentak mereka, kerana kanak-kanak yang berbeza mempunyai tahap, kelajuan dan gaya pembelajaran yang berbeza. Di samping itu, aktiviti berkumpulan, permainan, pengucapan awam dan aktiviti kokurikulum akan membantu menggalakkan kemahiran komunikasi dan keyakinan yang lebih baik dalam diri murid. Oleh kerana pendidikan holistik bukan sahaja membangunkan murid-murid dari segi akademik, mereka akan diajar untuk menghadapi cabaran, membangunkan daya tahan, menghargai perhubungan dan membina kekuatan mereka untuk menyediakan mereka untuk terus hidup dalam dunia moden ini.
Walaupun pendidikan holistik dipandu oleh satu falsafah yang menyeluruh, guru boleh menggunakan beberapa kaedah dan strategi untuk mewujudkan budaya pembelajaran holistik. Hasil pembacaan dan pemahaman saya serta hasil daripada pengamatan saya sepanjang 33 tahun dalam pendidikan, saya merumuskan terdapat tiga strategi utama yang boleh diterapkan oleh guru dalam merealisasikan pendidikan holistik.
1) Strategi pertama ialah, strategi Hubungan Murid-Guru yang Kuat: Apabila guru dapat membentuk ikatan yang kukuh dengan murid, ia akan memberikan impak positif terhadap prestasi dan penglibatan murid dalam pembelajaran. Murid berisiko untuk gagal, mempunyai peluang yang lebih tinggi untuk berjaya apabila mereka berasa selamat dan dipelihara dalam proses pembelajaran guru menerusi hubungan murid-guru yang erat ini. Guru boleh memupuk hubungan yang kukuh dengan bertindak balas terhadap kekuatan dan keperluan murid dan dengan bertindak dalam cara yang sangat sensitif terhadap keupayaan murid secara individu dan budaya pembelajaran mereka. Menerusi strategi ini, guru membenarkan murid sama-sama melibatkan diri dalam membantu membangunkan peraturan bilik darjah dan mengambil peranan kepimpinan membantu menggalakkan kepercayaan dan komunikasi dalam kalangan murid dan meningkatkan motivasi mereka untuk berjaya.
2) Strategi kedua ialah, strategi Menggalakkan Keyakinan Diri: Murid perlu percaya bahawa mereka adalah aset kepada sekolah dan mempunyai keupayaan untuk berjaya jika potensi mereka dibangunkan. Dalam konteks ini, guru boleh membantu membina keyakinan diri dengan menyediakan pelbagai peluang kepada murid untuk mencerna maklumat berstruktur dan menyampaikan pemahaman mereka dalam pelbagai cara. Guru mesti mengiktiraf kekuatan unik murid dan melayan semua murid secara sama rata. Motivasi murid boleh dipertingkatkan dengan memastikan bahawa pelajaran adalah relevan dengan kehidupan murid dan memberi tumpuan kepada isu yang realistik.
3) Seterusnya bagi strategi ketiga, iaitu strategi Menggabungkan Refleksi Emosi: Sebagai seorang guru, bukanlah satu perkara yang mudah untuk melihat prestasi murid di luar prestasi akademik untuk memupuk kesejahteraan mental dan emosi mereka. Untuk menggalakkan refleksi emosi dalam rutin harian pengajaran, guru mungkin menyediakan ruang dan peluang untuk murid merenung dan membuat refleksi atau juga disebut sebagai memberi peluang kepada murid menyuarakan suara mereka. Guru seharusnya menyampaikan Pelajaran dengan menggarap rasa empati terhadap murid dalam konteks emosi dan keupayaan mereka. Guru boleh memfokuskan kepada teknik mendengar dan pemerhatian yang berkesan atau membentangkan pelbagai perspektif tentang isu sosial dalam persekitaran pembelajaran murid.
Peranan guru dalam pentaksiran murid.
Seiring dengan strategi pembelajaran guru yang menyokong kepada penglibatan aktif murid dalam bilik darjah maka sudah tentulah kita perlu lebih adil dalam melaksanakan pentaksiran ke atas murid. Bermaksud keberhasilan murid perlu diukur berdasarkan pencapaian mereka secara holistik. Murid tidak diklasifikasi berasaskan kepada kecemerlangan akademik tetapi berdasarkan pertumbuhan secara menyeluruh. Asas prinsip inilah, saya sentiasa menekankan bahawa di samping akademik, pencapaian murid juga perlu dilihat dari aspek kemenjadian mereka dalam bidang yang lain seperti kokurikulum dan sahsiah. Dalam aspek akademik, memang tidak dinafikan pencapaian dalam pentaksiran pusat seperti Sijil Pelajaran Malaysia, Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia adalah penting, namun pencapaian murid dalam bilik darjah tidaklah harus dikesampingkan sahaja.
Saya melihat pelaksanaan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) sebagai komponen penting dalam Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) perlu dimantapkan agar guru, murid dan ibu bapa sedar bahawa proses pentaksiran itu berlaku dalam konteks Assessment as Learning (AaL), Assessment for Learning (AfL), dan Assessment of Learning (AoL). Pentaksiran Bilik Darjah (PBD) merupakan pentaksiran yang berterusan dalam sesi pengajaran dan pembelajaran bagi mendapatkan maklumat tentang perkembangan, kemajuan, kebolehan dan pencapaian murid. PBD berlaku secara formatif dan sumatif; sebagai pembelajaran, untuk pembelajaran dan tentang pembelajaran (KPM, 2019). PBD dahulunya dikenali sebagai Pentaksiran Sekolah (PS) bermula pada tahun 2011. Pada tahun 2016, PS mula dikenali sebagai PBD.
PBS pula ialah Pentaksiran Berasaskan Sekolah, suatu pentaksiran yang bersifat holistik iaitu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani). Ini selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Oleh itu terdapat empat buah komponen dalam PBS iaitu Pentaksiran Pusat (PP), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan & Kokurikulum (PAJSK), Pentaksiran Psikometrik (PPsi) dan Pentaksiran Bilik Darjah (PBD). PBD pula ialah pentaksiran yang berlaku secara berterusan sepanjang PdP, bagi semua mata pelajaran. PBD bukanlah untuk membandingkan tahap penguasaan antara seorang murid dengan murid yang lain, tetapi ia bertujuan untuk melihat perkembangan kemajuan murid dalam pembelajaran di samping membantu guru menambah baik pengajaran mereka. PBD menjadi komponen penting kerana dapat membantu guru dalam:
a) Mengesan perkembangan murid secara menyeluruh
b) Mengenal pasti kekuatan dan kelemahan murid dalam pembelajaran
c) Mengetahui keberkesanan pengajaran
d) Merancang dan mengubah suai kaedah pengajaran
Kebanyakan guru, amat terbiasa dengan pentaksiran formatif atau sumatif dan tidak begitu mesra apabila bercakap mengenai model AaL, AfL dan AoL. Saya, satu ketika dahulu adalah dalam kumpulan guru ini, kerana pada waktu itu keberhasilan murid dilihat berdasarkan peratus lulus dan berapa jumlah A yang mereka perolehi. Namun seiring dengan perubahan masa, dan pendidikan yang bersifat dinamik maka kita kena berubah cara berfikir, suka atau tidak kita perlu menerima hakikat bahawa pada masa ini model pentaksiran AaL, AfL dan AoL sebagai model pentaksiran yang utama sering dengan perubahan zaman. (masukkan alvin tofler). Model pentaksiran AaL, AfL dan AoL bukan sahaja merangkumi konsep penilaian formatif dan sumatif, tetapi ia juga membawa masuk idea meta kognisi. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa murid yang mempunyai kemahiran meta kognisi yang kuat iaitu, mereka sangat mengetahui kaedah peribadi dan keutamaan pembelajaran mereka adalah murid yang lebih berjaya di sekolah.
Pada bahagian ini saya ada menyebukan mengenai model pentaksiran AaL, AfL dan AoL, maka sebelum saya akhiri penulisan pada topik ini, saya akan menghuraikan sedikut mengenai model AaL, AfL dan AoL agar para pembaca dapat memahami bagaimana model AaL, AfL dan AoL sebagai satu pendekatan pentaksiran yang berkesan dalam proses mengukur perkembangan murid.
1) Penilaian Kepada Pembelajaran (AoL); AoL ialah penilaian formal tentang perkara yang dipelajari oleh murid melalui kesimpulan bab, modul, atau kursus, dan sebagainya. Ini selalunya dalam bentuk ujian atau peperiksaan. Kursus berasaskan tingkah laku juga boleh menggunakan senario percabangan yang ditandakan untuk AoL. Pada peringkat sekolah rendah atau menengah, ia juga boleh berupa projek atau pembentangan. Dalam dunia pengajaran, AoL juga dikenali sebagai penilaian atau juga dikenali sebagai penilaian sumatif dalam model penilaian formatif dan sumatif yang popular satu ketika dahulu.
2) Penilaian untuk Pembelajaran (AfL); AfL ialah penilaian yang kurang formal (atau tidak formal sepenuhnya) tentang perkara yang dipelajari oleh murid daripada topik atau tugasan individu. Jenis penilaian ini sama ada tidak bertanda (hanya mengandungi maklum balas), atau markah diberikan semata-mata untuk pengetahuan murid sendiri - tetapi ia tidak dikira dalam skor gred akhir. Ini selalunya dalam bentuk kuiz atau permainan. Seperti yang mungkin anda perhatikan dari namanya, tumpuan AfL adalah pada proses pembelajaran. Penilaian AfL sangat dekat kaitannya dengan proses pembelajaran. Langkah AfL membantu murid mengenal pasti kekuatan dan kelemahan mereka, dan akhirnya membantu murid menumpukan pada perkara yang perlu mereka ketahui untuk berjaya. AfL juga dikenali sebagai penilaian formatif dalam model penilaian formatif/sumatif. Dalam dunia reka bentuk pengajaran, AfL kadangkala dikenali sebagai semakan pengetahuan.
3) Penilaian sebagai Pembelajaran (AaL); AaL ialah tempat di mana elemen meta kognisi dapat dilihat dan ditaksir dalam proses pembelajaran murid. Sama seperti AfL, AaL mempunyai tumpuan yang kuat pada proses pembelajaran. Jenis penilaian ini tidak diperiksa, sebaliknya memberikan murid maklumat tentang kemajuan mereka. Ini membolehkan murid membuat penilaian peribadi mereka sendiri tentang pengetahuan mereka dan sama ada mereka bersedia untuk beralih kepada kandungan baharu, atau jika mereka perlu menyemak semula perkara yang baru mereka pelajari. Dalam kes ini, maklum balas adalah penting – khususnya, maklum balas segera dan secara personal kepada murid.
Hal ini demikian kerana murid mengasaskan penilaian peribadi mereka terhadap pengetahuan mereka pada maklum balas yang diberikan kepada mereka. Perlu menunggu untuk menyelesaikan keseluruhan kuiz sebelum mengetahui sama ada ia betul pada satu-satu soalan adalah tidak berkesan. Begitu juga, menerima maklum balas umum yang tidak menangani isu mereka sendiri adalah tidak berkesan. Selain maklum balas segera mengikut murid secara individu, aspek penting AaL ialah kekerapan penggunaan. AaL paling berkesan apabila ia digunakan dengan kerap. Sebagai contoh, mengikuti setiap topik. Ini membantu murid membina kecekapan dan keyakinan apabila mereka dapat memperlihatkan kemajuan dalam pembelajaran dengan baik. Selain itu, ia membantu murid menyasarkan dengan cepat kelemahan mereka apabila mereka tersekat. Aspek penting terakhir AaL ialah 'bagaimana'.
Tanpa bertanya kepada murid bagaimana mereka mengetahui perkara yang mereka tahu, anda kehilangan bahagian meta kognisi yang berharga. Sebaik-baiknya, AaL akan melibatkan murid dalam proses pembelajaran dengan membantu mereka memahami dari mana datangnya pemikiran dan andaian mereka. Apabila dilakukan dengan baik, ini juga boleh membantu murid memahami cara mereka belajar dengan terbaik. Rumusannya pada pendapat saya, berbanding model penilaian lain, seperti model formatif/summatif, model pentaksiran AaL/AfL/AoL merupakan pakej pentaksiran murid lengkap. Apabila digunakan dengan betul, kedua-dua pihak iaitu murid dan guru, fasilitator atau pembangun kurikulum amat menyedari tentang kemajuan murid. Mereka juga sedar tentang langkah-langkah yang perlu diambil bagi setiap murid tertentu untuk berjaya kerana mereka telah memusatkan perhatian pada batu penghalang yang tepat bagi murid tersebut.
Sebagai rumusannya kepimpinan di sekolah merupakan nadi utama dalam mengerakkan usaha dalam mengupayakan guru dalam mentransformasikan sekolah ke arah pendidikan holistik. Sebab itulah dalam kebanyakan situasi dan kesempatan saya sentiasa menekankan kepada aspek ini. Keyakinan saya ialah hanya melalui strategi pendidikan holistik, termasuk format pembelajaran bersepadu dan interaksi komuniti, guru boleh membantu murid membina jati diri yang kuat, serta menggalakkan kebahagiaan dan kejayaan sepanjang hayat. Dengan mendapat dorongan dan bimbingan daripada kepimpinan sekolah dan kepimpinan pendidikan di Pejabat Pendidikan Daerah, guru boleh memajukan pengetahuan mereka tentang pendidikan holistik dan konsep pembelajaran inovatif yang lain.
Selain itu daripada segi pengupayaan kapasiti kepimpinan, terdapat lima prinsip kerja yang telah saya ketengahkan sebagai satu amalan agar berlakunya anjakan cara kita berfikir, bekerja dan bertindak yang lebih mengarah kepada tercapainya Hasrat melihat Pendidikan holistik diterjemahkan dalam Pendidikan. Lima prinsip kerja yang saya fikirkan mempunyai vitalisasi yang tinggi bagi mencapai aspirasi Pendidikan holistik ini ialah;
Dengan perspektif dan naratif baharu amalan pendidikan kita, usaha secara kolektif perlu ditumpukan untuk mengembangkan seluruh dimensi manusia mencakupi aspek pengetahuan, intelektual, emosi, spiritual, nilai dan keterampilan yang menyasarkan pemimpin masa hadapan yang dinamik, intelektual, daya kepimpinan yang jitu dan serba boleh selaras dengan keperluan masa hadapan. Pendidikan holistik memerlukan warga pendidik yang berupaya mencetuskan satu dimensi baharu dengan mengoptimumkan potensi entiti pendidikan secara holistik berteraskan naratif dan sokongan semua pihak. Kita juga perlu merealisasikan peningkatan inisiatif dan mencipta aspirasi untuk memperkasakan tamadun insaniah yang dinamik. Kita juga menyasarkan murid-murid yang kita lahirkan ini ialah mereka yang mempunyai nilai insaniah, teguh agama, maruah diri, dan mengamalkan semangat perpaduan nasional.
No comments:
Post a Comment