Saturday, May 04, 2024

Peranan Kepimpinan Dalam Merealisasikan Pendidikan Holistik

 

Kerangka Pendidikan Holistik Jabatan Pendidikan Negeri Johor

Pendidikan Holistik:

Sebagai peneraju pemimpin pendidikan kita seharusnya menyedari bahawa murid memerlukan lebih daripada sekadar asas yang kuat dalam kurikulum teras berasaskan akademik, mereka juga perlu disokong oleh sekolah dan komuniti untuk mengembangkan pemahaman yang seimbang terhadap diri mereka dan hubungannya dengan persekitaran mereka dan dunia luar. 

Tidak dinafikan semakin hari semakin jelas nada yang mengarah kepada penumpuan pada konsep pembelajaran berpusatkan akademik kepada holistik sebagaimana yang ditetapkan oleh KPM, JPN dan PPD. Walau bagaimanapun, guru memainkan peranan penting dalam memastikan konsep pembelajaran holistik ini benar-benar berlaku. Sejauh mana kejayaan dalam perubahan ini sangat di pengaruhi oleh peranan guru kerana guru di sekolah mempunyai peluang terbesar untuk membantu murid mengetahui identiti mereka dan mencari makna dalam hubungan masyarakat dan dunia melalui kaedah pengajaran holistik. 

Pada artikel ini saya akan memfokuskan kepada kaedah dan manfaat pendidikan holistik agar pendidik dapat mengetahui bagaimana pembelajaran holistik dan strategi pengajaran lain dapat membentuk masa depan murid-murid. Saya berpendapat Dimensi dalam membangunkan potensi murid atau kemenjadian murid harus meluas dan bersifat holistik untuk mencapai sasaran pemimpin masa hadapan yang dinamik, mempunyai teras nilai yang kukuh dan kekal relevan pada sebarang situasi dan masa. Miller (1991)menyarankan agar garis horizon makna pendidikan ini diperluaskan. Ini adalah benar kerana ada kalanya kerja buat kita bersifat mencapai penarafan atau mengejar cemerlang sahaja. 

Bagaimana pula dengan pembangunan murid itu secara menyeluruh seperti membangunkan intelektual mereka, memperagakan bakat, membina nilai emosi, kemahiran bersosial, kreativiti atau nilai kerohanian mereka? Dimensi-dimensi ini perlu kita bangunkan secara tuntas, selari dengan kehendak Falsafah Pendidikan Kebangsaan. Dari sisi yang lain saya melihat konsep holistik dalam pendidikan yang perlu diterapkan menerusi perspektif budaya kerja kita selaku penjawat awam, iaitu cara bagaimana kita berfikir, bertindak dan membuat keputusan. 

Maknanya Pendidikan holistik  juga melihat kepada jaringan usaha dengan melibatkan semua entiti, sama ada dalam kalangan ahli dalam organisasi mahupun di luar organisasi. Kerja secara “silo” tidak lagi boleh menjadi amalan. Dalam organisasi Pendidikan, impak keberhasilan murid dan kualiti Pendidikan bukan terhasil daripada kepimpinan “adiwira” tetapi terhasil daripada kolaboratif usaha semua pihak.  

Dalam konteks luar sekolah pula, kita tentu mengakui bahawa kelompok ibu-bapa, komuniti dan pihak swasta mempunyai kekuatan yang sangat besar  untuk  turut memberi  sumbangan kepada pendidikan. Amatlah jelas bahawa kita sebenarnya berkongsi hasrat yang sama untuk melihat anak- anak didik kita membesar dengan potensi dan bakat mereka digilap dan diwarnai dengan nilai-nilai akhlak yang luhur. Sewajarnyalah kerjasama silang dengan semua pihak ini menjadi usaha menyeluruh, akhirnya membentuk sebuah masyarakat madani. Pendekatan holistik inilah yang kita harapkan untuk membina pemimpin masa hadapan yang bertunjangkan nilai yang berupaya menghadapi cabaran zamannya. 

Oleh itu dalam usaha memperkasakan kepimpinan dan warga Pendidikan diupayakan dalam mewarnai Pendidikan holistik ini, saya amat menyarankan agar emat model berikut dapat diterapkan dalam amalan pendidikan di sekolah dalam merealisasikan Pendidikan holistik, iaitu; 

1) Sekolah Sebagai Pembelajaran Pengalaman (Experiential Learning Schools): Kepimpinan di sekolah berusaha untuk menjadikan sekolah sebagai model pembelajaran pengalaman. Mengikut pendekatan ini sekolah akan memberi tumpuan kepada pembelajaran berasaskan pengalaman dan menyediakan pengalaman pendidikan secara langsung. Sebagai contoh, murid mungkin bekerja dalam kumpulan meneroka gaya pembelajaran yang berbeza untuk menentukan gaya yang paling berkesan untuk mereka. Teknik pengalaman holistik selalunya termasuk latihan penyelesaian masalah untuk menangani masalah komuniti atau mencipta produk inovatif. 

2) Pembelajaran Berpandu Kendiri (Self-Guided Learning): Dalam persekitaran pendidikan berpandu kendiri, peranan kepimpinan sekolah ialah mendorong warga guru membenarkan murid belajar mengikut rentak mereka sendiri dalam gaya yang paling sesuai dengan mereka. Budaya berpandukan kendiri membolehkan pemperibadian untuk mengurangkan kebergantungan kepada model pembelajaran konvensional iaitu pembelajaran satu saiz untuk semua (one-size-fits-all learning models). Pendekatan Pembelajaran Modular dan pendekatan secara bertema boleh digunakan untuk menyesuaikan kandungan dan kadar kurikulum di samping mengadaptasi minimum adequite syllibus atau pembelajaran masteri bagi mengimbangi keupayaan murid yang berbeza. Bilik darjah mungkin lebih kecil dan mengandungi murid yang berbeza umur dan tahap keupayaan. 

3) Sekolah Komuniti: Sekolah komuniti adalah berdasarkan idea bahawa orang mencari makna melalui hubungan dengan komuniti mereka. Kepimpinan sekolah menerajui, membimbing dan memberi dorongan kepada guru untuk mewujudkan kolaboratif dengan ahli komuniti, termasuk keluarga, penduduk, organisasi kerajaan dan bukan kerajaan, untuk menyediakan sokongan bersepadu dan peluang pembelajaran yang diperluaskan, termasuk program selepas sekolah dan semasa cuti. Dalam konteks ini sekolah ialah hab komuniti yang menghimpunkan aktiviti akademik, sosial, pembangunan dan penglibatan. Justeru itu saya melihat kepimpinan di Pejabat pendidikan Daerah perlu memberikan tumpuan terhadap perkara ini menerusi pemerkasaan pelaksanaan Program Transformasi Sekolah 2025 (TS25), kerana salah satu bidang keberhasilan utama ialah dalam mewujudkan pelibatan aktif dalam kalangan Pelibatan Ibu Bapa dan Komuniti (PIBK). 

4) Kerja Kursus Antara Disiplin: Sebahagian daripada apa yang membentuk pendidikan holistik ialah idea bahawa pertumbuhan kognitif murid dipertingkatkan apabila pelbagai mata pelajaran ditangani bersama. Sesetengah sekolah mencipta program bersepadu di mana guru-guru daripada disiplin yang berbeza berkumpul untuk mengajar kursus bertema yang menangani isu-isu dari pelbagai perspektif. Kerja kursus mungkin juga termasuk penyelidikan bebas, perjalanan, kerja lapangan dan latihan amali. Justeru, saya melihat Model pembelajaran ini dapat diterapkan berpandukan pelaksanaan yang mantap dalam Modul 6, Program TS25 iaitu Modul Kefahaman Melalui Reka bentuk. 

Oleh itu selaku pemimpin Pendidikan kita perlu membina keyakinan diri bahawa potensi yang ada dalam diri anak-anak didik kita meliputi potensi akademik, potensi fiskal, potensi sosial, potensi kreatif, potensi emosi dan potensi spiritual. Dengan cara inilah kita mampu membangunkan generasi murid yang mampu mengembangkan seluruh potensinya sebagai manusia yang holistik, iaitu manusia pembelajar sejati yang selalu menyedari bahawa dirinya ialah sebahagian dari sebuah sistem kehidupan yang luas, sehingga selalu ingin memberikan kontribusi positif kepada lingkungan hidupnya. Hal ini demikian kerana pendidikan holistik adalah pendidikan yang mengembangkan seluruh potensi murid secara harmonis (terpadu dan seimbang), meliputi potensi intelektual (intellectual), emosional (emotional), fizikal (physical), sosial (sosial), estetika (aesthetic), dan spiritual yang mana setiap potensi tersebut perlulah dikembangkan secara harmonis. 


No comments:

Artikel Popular