Alhamdulillah, setinggi-tinggi kesyukuran kita rafakkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, kita dapat bersama-sama berhimpun pada pagi yang mulia ini di Dewan Seri cendana PPD Kota Tinggi ini bagi meraikan Majlis Sambutan Maulidurrasul dan Peluncuran Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi peringkat Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi.
Selawat dan salam ke atas junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW, yang menjadi teladan unggul dalam kehidupan kita sebagai umat Islam. Sesungguhnya, memperingati Maulidurrasul bukan sekadar acara ritual, tetapi merupakan peluang untuk kita menghayati keperibadian Rasulullah SAW serta mengambil iktibar daripada sunnah baginda dalam membentuk peribadi unggul, keluarga harmoni, dan masyarakat yang dirahmati.
Pada kesempatan ini, saya ingin mengajak semua yang hadir untuk mengambil manfaat sepenuhnya daripada program Maulidurrasul yang dianjurkan pada hari ini. Semoga segala ilmu yang akan disampaikan, khususnya melalui tausiyah daripada Yang Berbahagia Assyeikh Haji Nujaimi bin Muhammad, dapat menambah kecintaan kita kepada Rasulullah SAW serta memperkukuhkan kefahaman kita terhadap ajaran Islam. Seiring dengan usaha memperkukuh kefahaman dan penghayatan agama Islam dalam kalangan warga pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Bahagian Pendidikan Islam telah mengambil inisiatif memperkenalkan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi.
Arahan pelaksanaan program ini telah disampaikan oleh Yang Berhormat Menteri Pendidikan melalui Surat Siaran Kementerian Pendidikan Malaysia Bil. 5 Tahun 2024 bertarikh 18 Mac 2024. Program ini secara umumnya bertujuan memperkukuh pembinaan sahsiah murid dan warga pendidikan agar berlandaskan prinsip-prinsip Islam yang sebenar berpandukan al-quran dan assunnah yang diterjemahkan menerusi 42 hadis yang terdapat dalam kitab hadis 40 Imam Nawawi ini.
Sebagai tanda sokongan dan komitmen penuh, Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi mengambil inisiatif untuk menjayakan program ini di peringkat Pejabat Pendidikan Daerah, dengan harapan ia akan memberi impak positif kepada semua institusi pendidikan di bawah naungan kita. Untuk makluman semua, pada tahun 2024 Kota Tinggi telah mencatatkan 100% pelaksanaan program ini di peringkat SMK, SMK Agama, SK, SJK (C) dan SJK (T) serta telah selasai 100% membuat pelaporan kepada pihak Bahagian Pendidikan Islam.
Saya juga mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berbahagia As Sheikh Haji Nujaimi bin Muhammad, Kadi Daerah Kota Tinggi, atas kesudian beliau menghadiri majlis kita pada hari ini, menyampaikan tausiyah Maulidurrasul, dan seterusnya melancarkan Program Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. Kehadiran beliau pastinya menjadi inspirasi kepada kita semua untuk terus menghayati nilai-nilai murni dalam hadis-hadis Rasulullah SAW.
Hadirin yang dirahmati Allah,
Akhir kata, marilah kita bersama-sama menjayakan agenda ini dengan penuh iltizam. Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan menjadi pencetus kepada pembentukan masyarakat yang berilmu, berakhlak mulia, dan bertaqwa.
Sekian, terima kasih.
Wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.
No comments:
Post a Comment