Wednesday, April 02, 2025

Teks Ucapan Hari Inovasi & Kualiti PPD Kota Tinggi 2024



Assalamualaikum dan Salam Sejahtera, 

Yang Berusaha En. Abdul Hadi bin Sydee Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Pengerang , En. Mohamad Nazreen Nasha bin Abu Samah Setiausaha Sulit Menteri Pertahanan, En. Mohd Zaki bin Atip Pengarah Wilayah Selatan Bank Islam Malaysia Berhad, Tn. Hj. Mesran bin Tukiman, Pengerusi KPIBKS Daerah Kota Tinggi, dif-dif jemputan dari agensi awam dan swasta, serta  badan bukan kerajaan (NGO) serta tuan-tuan dan puan-puan sekalian.

Tuan-Tuan dan Puan-Puan Yang Dihormati Sekalian.

Pertamanya, marilah kita memanjatkan setinggi-tinggi puji dan syukur ke hadrat Allah s.w.t  kerana dengan limpah kurnia serta izinNya, kita dapat bersama-sama hadir di Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi 2024 pada petang ini.

Terlebih dahulu, saya merakamkan ucapan jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada Yang Berusaha, Encik Abdul Hadi Bin Sydee Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Pengerang atas kesudian melapangkan masa untuk merasmikan Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi Tahun 2024 seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada para penerima anugerah. Kehadiran Yang  Berusaha En Abdul Hadi ke majlis ini amat besar maknanya sebagai lambang kesungguhan, sokongan dan komitmen  yang padu dan tidak berbelah bahagi terhadap usaha untuk meningkatkan kualiti pendidikan di daerah Kota Tinggi khususnya.

Ucapan terima kasih yang tidak terhingga juga saya khaskan kepada  En. Mohamad Nazreen Nasha bin Abu Samah Setiausaha Sulit Menteri Pertahanan, En. Mohd Zaki bin Atip Pengarah Wilayah Selatan Bank Islam Malaysia Berhad, Tuan Haji Mesran Bin Tukiman Pengerusi KPIBKS Daerah Kota Tinggi , dif-dif jemputan dari agensi awam dan swasta, serta  badan bukan kerajaan (NGO) yang merupakan rakan strategik kepada sektor pendidikan daerah Kota Tinggi. Kebersamaan tuan-tuan dalam majlis ini amat bermakna bagi kami dan menunjukkan komitmen tinggi terhadap pendidikan berkualiti dan berinovasi di daerah Kota Tinggi. 

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Tema bagi majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi pada kali ini ialah “KUALITI PENDIDIKAN PEMACU KECEMERLANGAN”. Tema ini sesuai dengan fokus Gelombang 3 Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 untuk merapatkan jurang pencapaian (Achievement Gap) dengan memberi fokus dalam menangani jurang peluang dalam pendidikan dengan melihat peratus layak sijil (LMS) dari segi sosio ekonomi, jantina,  bandar dan luar bandar. Majlis Anugerah Kualiti PPD Kota Tinggi 2024 juga memberi tanda penghargaan kepada seluruh warga pendidik, dalam menangani jurang pencapaian bagi ketiga-tiga kategori tersebut yang masih jauh. Semoga Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi PPD Kota Tinggi 2024 ini menjadi inisiatif ke arah  memacu pendidikan holistik ke arah merealisasikan peningkatan sekolah berkualiti dan 6 Aspirasi kemenjadian murid. 

Kualiti pendidikan bukan sekadar diukur melalui keputusan akademik semata-mata, tetapi merangkumi pembangunan holistik yang merangkumi akademik, sahsiah, sukan, kokurikulum, dan kepimpinan. Justeru, setiap pendidik dan institusi pendidikan perlu mengamalkan budaya kerja yang berkualiti, inovatif, serta berdaya saing agar dapat melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak, dan berdaya maju.

Di samping itu, penekanan yang bersungguh-sungguh turut diberi terhadap elemen kualiti dan inovasi dalam perancangan dan pelaksanaan PdP di dalam kelas bagi menjamin keberhasilan penyampaian pengajaran guru dan kefahaman pembelajaran murid. Justeru, pemilihan tema ““KUALITI PENDIDIKAN PEMACU KECEMERLANGAN” diharapkan dapat memberi  inspirasi kepada para pendidik untuk membudayakan amalan pengajaran yang berkualiti dan berinovasi dan seterusnya mampu menjayakan matlamat akhir  pendidikan di Malaysia. 

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian,

Penganjuran Majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi Tahun 2024 bertujuan untuk membudayakan amalan inovasi di sekolah-sekolah dan institusi pendidikan di daerah Kota Tinggi. Di samping itu, majlis ini diadakan bertujuan memberikan penghargaan dan pengiktirafan serta menyuburkan budaya inovasi kepada warga pendidikan. Warga Pendidikan Daerah Kota Tinggi  seharusnya bersikap proaktif dan menyambut baik perkara  ini dalam usaha ke arah meningkatkan kualiti, produktiviti dan perkhidmatan yang lebih cekap, berkualiti serta sentiasa peka dan responsif kepada keperluan pelanggan, stake holder, komuniti dan negara sesuai dengan 7 teras utama pendidikan KPM di bawah kepimpinan baharu YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan Malaysia.

Jawatankuasa Panel Penilai yang dilantik telah mengambil kira anugerah berprestij yang perlu diberi pengiktirafan dan penghargaan kepada sekolah termasuklah Pentadbir, Guru, Anggota Khidmat Sokongan serta warga Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi. Oleh yang demikian, barisan Panel Penilai bersetuju bahawa selain penganugerahan  kepada sekolah, individu yang menjadi pemangkin dengan komitmen yang cemerlang juga harus diiktiraf. Pada kali ini, lebih 320 Anugerah diberikan kepada warga pendidikan daerah Kota Tinggi yang telah mencapai atau melepasi tahap Kualiti dan Inovasi yang digariskan. Kemenjadian holisitik merangkumi aspek Akademik, Sukan, Sahsiah, Kokurikulum serta Pengurusan cemerlang menjadi kayu ukur dalam pengiktirafan kali ini selari dengan tema iaitu 'KUALITI PENDIDIKAN PEMACU KECEMERLANGAN'.

Sejajar dengan hasrat menjadikan majlis Anugerah Kualiti dan Inovasi Pendidikan Daerah Kota Tinggi 2024 ini sebagai majlis yang berprestij, maka Jawatankuasa Pengelola dan Panel Penilai telah mengehadkan bilangan anugerah yang akan diberi dengan memberi keutamaan kepada pencapaian yang benar-benar ‘outstanding’ dan berada pada kelas tersendiri. 

Hadiran dan hadirat yang dihormati sekalian,

Pada kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan ribuan terima kasih kepada semua rakan strategik pendidikan daerah Kota Tinggi dari jabatan-jabatan kerajaan, badan berkanun, sektor swasta, sektor perbankan dan badan bukan kerajaan yang sejak sekian lama telah memberi sokongan dan kerjasama yang amat padu kepada PPD Kota Tinggi demi kecemerlangan pendidikan daerah ini. 

Saya turut mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua penerima anugerah pada kali ini. Harapan saya semoga anugerah yang diterima akan dapat meningkatkan lagi prestasi dan kesungguhan untuk kecemerlangan pendidikan daerah Kota Tinggi pada masa hadapan. Sebelum berundur, sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada Yang Berusaha, Encik Abdul Hadi Bin Sydee Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Makmur Pengerang, Yang Berusaha  En. Mohamad Nazreen Nasha bin Abu Samah Setiausaha Sulit Menteri Pertahanan,

En. Mohd Zaki bin Atip Pengarah Wilayah Selatan Bank Islam Malaysia Berhad, Tuan Haji Mesran Bin Tukiman Pengerusi KPIBKS Daerah Kota Tinggi, dif-dif jemputan dari agensi awam dan swasta, serta  badan bukan kerajaan (NGO)  atas kesudian memenuhi  undangan ke majlis ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah menjayakan majlis ini.

Sekian, wabillahi taufik wal hidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarokatuh.


No comments:

Artikel Popular