الحمد لله الذي أرسل رسوله بالهدى ودين الحق، ليظهره على الدين كله وكفى بالله شهيداً. أشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله. اللهم صل وسلم على سيدنا محمد، وعلى آله وأصحابه والتابعين لهم بإحسان إلى يوم الدين. أما بعد، فيا عباد الله! اتقوا الله أوصيكم وإياي بتقوى الله فقد فاز المتقون.
Terima kasih kepada Pengerusi Majlis.
Yang Berbahagia Tuan Aznan bin Tamin, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Surat, wakil rasmi Yang Berhormat Dato’ Sri Azalina Dato’ Othman Said, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) merangkap Ahli Parlimen Pengerang.
Yang Berhormat Puan Fauziah binti Misri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penawar.
Yang Berbahagia Datuk Zamri bin Misman, Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri.
Yang Berusaha, En Mahhadi bin Majid, Guru Besar SK Sungai Rengit.
Dif-dif Kehormat, Ketua-ketua Jabatan, Penghulu-penghulu dan Ketua-ketua Kampung, Guru-guru serta hadirin yang dihormati sekalian.
Bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia-Nya, kita dapat berhimpun pada pagi yang penuh bersejarah ini bagi menjayakan Majlis Pelancaran Program Sekolah Angkat Madani di Sekolah Kebangsaan Sungai Rengit. Dengan penuh rasa hormat dan penghargaan, kami di Pejabat Pendidikan Daerah Kota Tinggi ingin merakamkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada Jabatan Perdana Menteri atas pemilihan Sekolah Kebangsaan Sungai Rengit sebagai salah sebuah sekolah yang terpilih di bawah Program Sekolah Angkat Madani (SAM) tahun 2025. Ini adalah sebuah anugerah yang sungguh bermakna dan mencerminkan kepercayaan yang tinggi terhadap potensi SK Sungai Rengit.
Hadirin dan hadirat yang dihormati,
Pemilihan ini bukanlah sekadar satu penghormatan, tetapi satu pengiktirafan yang amat besar kepada seluruh warga SK Sungai Rengit khususnya, dan kepada pihak PPD Kota Tinggi amnya. Ia adalah bukti bahawa semangat juang dan dedikasi kita dalam mendidik anak bangsa telah mendapat perhatian. Kami juga ingin menyatakan penghargaan yang tidak terhingga atas sumbangan bernilai RM100,000.00 yang disalurkan menerusi program ini. Dana ini adalah sebuah pelaburan berharga dalam masa depan anak-anak kita. Ia akan dimanfaatkan sepenuhnya bagi menaik taraf kemudahan pendidikan digital di sekolah serta membaik pulih prasarana yang memerlukan perhatian segera.
Inisiatif ini bukan sahaja akan mempertingkat kualiti pembelajaran murid-murid, malah mampu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih kondusif, selamat dan selesa. Kita percaya bahawa dengan persekitaran yang lebih baik, anak-anak kita akan lebih termotivasi untuk belajar, berinovasi, dan mencapai kecemerlangan. Sesungguhnya, Program SAM ini mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Madani dalam memperkasa sistem pendidikan negara melalui pendekatan menyeluruh yang melibatkan pelbagai pihak. Ia adalah langkah progresif ke arah membentuk generasi yang lebih berdaya saing dan berilmu.
Hadirin sekalian,
Pihak PPD Kota Tinggi beriltizam untuk terus memberi sokongan penuh dan padu terhadap pelaksanaan program ini. Kita akan memastikan setiap sen yang disalurkan memberi impak yang maksimum, dan setiap usaha yang dicurahkan dapat dirasai secara langsung oleh warga sekolah dan komuniti setempat. Ini adalah tanggungjawab bersama, dan kita perlu bekerjasama erat untuk memastikan kejayaan program ini. Jadikanlah anugerah ini sebagai pemangkin semangat untuk kita terus berinovasi, berdedikasi, dan melangkah jauh ke hadapan.
Sekali lagi, jutaan terima kasih diucapkan kepada Jabatan Perdana Menteri atas sokongan dan kepercayaan yang diberikan. Semoga usaha murni ini menjadi pencetus kepada lebih banyak kerjasama strategik demi kemajuan pendidikan negara yang kita cintai. Ingatlah, setiap kejayaan bermula dari langkah pertama yang berani. Mari kita bersama-sama jadikan Sekolah Kebangsaan Sungai Rengit sebagai contoh cemerlang dalam Program Sekolah Angkat Madani!
“Sekolah Cemerlang, Komuniti Gemilang, Negara Madani.”
Sekian, terima kasih.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan