Isnin, September 13, 2010


SAYA mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, dan Maaf Zahir dan Batin. Saya memohon maaf di atas segala kesilapan dan kekurangan yang ada sama ada dari segi tingkah laku atau lisan.

For those of you going to balik kampung,have a safe journey, take care and enjoy this wonderful celebration with your loved ones.

Selamat Hari Raya

Kekalkan pengetua Aishah – Perkasa














Ibrahim Ali berbual dengan Siti Aishah Mansor (kiri) ketika berkunjung ke rumah pengetua tersebut di Kampung Melayu, Kulaijaya, semalam.
28/08/2010

KULAIJAYA 27 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar Kementerian Pelajaran bertindak profesional berhubung isu perkauman yang dikatakan cuba ditimbulkan Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, 53, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihak kementerian diminta tidak bertindak berdasarkan kepentingan politik dan pada masa yang sama perlu terus mengekalkan kedudukan pengetua berkenaan di sekolah itu.

“Pengetua berkenaan pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Gred 52, malah beliau juga mempunyai darah Cina kerana ibunya berketurunan Cina. Jadi bagi saya tidak timbul isu perkauman di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya secara profesional dan tidak mengutamakan kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dan menyatakan sokongannya terhadap pengetua berkenaan di rumahnya yang terletak di Kampung Melayu, di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Siti Aishah dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan pagi menyentuh sensitiviti kaum.

Dipercayai kenyataan yang dibuat sempena pelancaran Hari Kemerdekaan di sekolah itu telah diputarbelitkan oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan politik sehingga wujudnya isu perkauman berkenaan.

Ibrahim turut mempersoalkan sama ada kenyataan pelajar yang membuat laporan polis terhadap pengetua berkenaan boleh diambil kira tanpa mengetahui sejauh mana kebenaran laporan itu.

Beliau berkata, mungkin pelajar berkenaan tidak memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan pengetua mereka dan sekadar membuat laporan berdasarkan pemahaman mereka semata-mata.

“Sebagai pelajar adakah mereka cukup matang untuk menilai dan menterjemah ucapan pengetua sebagai mengandungi unsur-unsur perkauman.

“Daripada apa yang diberitahu, pelajar yang terawal membuat laporan polis berhubung isu tersebut merupakan antara pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Adakah kenyataan orang seperti ini boleh digunakan?” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan pengetua berkenaan adalah bertujuan memulihkan masalah disiplin di sekolah tanpa sebarang niat perkauman dan lebih menjurus kepada tindakan seorang ibu dalam mendidik anak-anak ketika di rumah.

“Apabila berlaku masalah disiplin dan gejala sosial pelajar, semua menyalahkan pihak sekolah, namun apabila pelajar-pelajar ditegur dan tindakan diambil, masyarakat turut menyalahkan pihak sekolah,” katanya.


Published in:
UTUSAN MALAYSIAon September 1, 2010 at 10:59 am Comments Off Tags: , , ,

Sabtu, September 11, 2010

BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN

BELAJAR UNTUK PEPERIKSAAN

Ramai pelajar yang rajin belajar tetapi tidak memperolehi keputusan yang setimpal dengan usaha mereka. Keadaan ini berlaku disebabkan mereka tidak belajar dengan pendekatan untuk cemerlang dalam peperiksaan. Mereka tidak merancang jadual belajar dan masa mereka dengan betul.

Penulisan ini akan membincangkan apa yang perlu anda lakukan mulai sekarang hinggalah ke dewan peperiksaan bagi memastikan anda lakukan yang terbaik.

Bersedia Untuk Belajar.

Peperiksaan semakin hampir. Anda perlu melakukan persediaan bagi memastikan anda mampu melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lenih tinggi sama ada di kolej ataupun universiti. Sekiranya anda memang telah belajar dari awal, pastinya tidak banyak yang perlu dirisaukan. Tetapi bagaimana pula sekiranya anda baru mahu bersungguh-sungguh mengulangkaji. Lebih-lebih lagi sekiranya anda bakal menduduki SPM.

Kepada pelajar SPM saya nasihatkan agar memberikan tumpuan kepada matapelajaran penting. Iaitu matapelajaran yang membawa anda ke menara gading. Matapelajaran ini ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik dan dua matapelajaran elektif (Fizik, Kimia, Biologi, Prinsip Akaun, Ekonomi, Sains Tambahan, Matematik Tambahan, Kejuruteraan). Sekiranya anda mendapat markah yang baik dalam kelompok mata pelajaran ini maka peluang anda untuk ke universiti adalah cerah.

Namun begitu, sekiranya anda mampu, hendaklah anda dapatkan markah yang terbaik bagi semua mata pelajaran. Sebab persaingan ke universiti kini semakin sengit. Mereka yang berjaya biasanya memiliki pencapaian yang baik dalam semua mata pelajaran.


Buatkan Jadual Belajar Untuk Peperiksaan.

Jangan panik. Itu adalah pesan saya yang paling utama. Walaupun anda rasakan banyak yang perlu difahami dan diingati, jangan sekali-kali anda panik. Sekiranya anda panik, anda akan mengundang lebih banyak masalah berbanding penyelesaian. Tidak ada masalah tanya penyelesaian.

Mula menyemak semua buku-buku yang ada termasuk nota sekolah, buku teks, buku rujukan, soalan-soalan ramalan dan soalan-soalan tahun lepas. Pastikan semuanya lengkap dan dalam keadaan baik.

Langkah pertama kenal pasti bab-bab yang susah dan belum anda kuasai untuk semua mata pelajaran. Senaraikan bab-bab ini. Senaraikan juga bab-bab yang telah anda kuasai dengan baik. Langkah kedua buatkan analisa soalan-soalan sejak 5 tahun yang lepas. Lihat bab-bab yang sering keluar soalan darinya. Bab-bab ini merupakan bab-bab penting yang tidak boleh tidak mesti anda kuasai dengan baik.

Buatkan jadual perancangan belajar anda. Agihkan tajuk-tajuk dari sekarang hinggalah seminggu sebelum peperiksaan. Jangan diganggu minggu terakhir sebelum peperiksaan sebab minggu terakhir ini adalah untuk anda lakukan semakan terakhir nanti. Mana-mana bab yang penting, mulakan ulangkajinya dahulu. Lagi awal anda mengulangkaji bab-bab ini lagi cepat anda mengenalpasti dan seterusnya mengatasi setiap masalah.

Sekiranya anda terpaksa menghabiskan 4 bab seminggu maka habiskanlah. Anda mungkin terpaksa belajar 5 - 8 jam sehari untuk mengulangkaji semua matapelajaran. Oleh itu anda perlu berkorban demi masa depan. Anda mungki belajar 1 jam diwaktu pagi, 2 jam pada tengahari, 1 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 7 jam sehari.


Mengingati Tajuk

Ramai pelajar tidak menyedari hakikat penting ini. Kalau anda mampu mengingati apa tajuk-tajuk yang terkandung dalam sesuatu matapelajaran maka anda mempunyai gambaran yang jelas tentang apa yang anda pelajari.


Buatkan Nota

Anda hanya perlu mempelajari sekali sahaja setiap tajuk. Pastikan dengan usaha yang sekali ini anda mampu memahaminya. Ramai pelajar yang mengulang baca sesuatu tajuk beberapa kali dan kemudiannya lupa. Cara belajar begini bukan sahaja menjemukan malah merugikan masa anda, sedangkan peperiksaan semakin hampir.

Setelah anda memahami apa yang dibaca, buatkanlah nota-nota ringkas. Yang terbaik ialah anda ringkaskannya mengikut apa yang anda fahami. Bandingkan nota anda dengan teks asal bagi memastikan fahaman anda betul dan tidak ada fakta penting yang tertinggal.

Ringkaskan setiap fakta menjadi lebih pendek bagi memudahkan anda mengingatinya. Kenalpasti kata kunci dalam setiap fakta. Buatkan senarai kata kunci dan hafal. Lakarkan peta minda atau peta konsep berdasarkan tajuk-tajuk dan kata kunci yang ada. Pastikan apabila anda mengingati kata kunci, maka anda mampu mengingati keseluruhan fakta yang berkaitan dengannya.


Latih Diri Anda Untuk Peperiksaan

Anda perlu melatih diri anda untuk peperiksaan. Tanpa latihan anda tidak mungkin dapat memberikan hasil yang terbaik. Minda anda juga seperti otot-otot fizikal anda yang lain. Ia perlu dilatih secara intensif bagi mencapai sesuatu hajat. Mereka yang mahu cemerlang dalam 'bowling' perlu melakukan latihan berterusan bagi meningkatkan kemahiran ber'bowling'. Begitu juga dengan peperiksaan. Anda perlu melatih diri anda bagi tujuan cemerlang dalam peperiksaan.

Syarat-syarat latihan peperiksaan ialah:
Latih mengeluarkan maklumat dengan banyak, cepat dan tepat.
Latih dalam tempoh masa yang tertentu.
Anggapkan setiap latihan seperti peperiksaan sebenar.
Latih menjawab mengikut strategi menjawab soalan yang berkesan.

1. Latih mengeluarkan maklumatMaklumat yang dibaca mestilah mampu dikeluarkan semula. Oleh itu anda perlu sentiasa melatih diri anda untuk mengeluarkan maklumat yang telah dipelajari. Perbanyakkan latihan-latihan seperti:

· Menjawab soalan-soalan;
· Menceritakan semula apa yang telah dipelajari;
· Melakarkan kembali dalam bentuk peta konsep / minda;
· Mengadakan perbincangan dengan rakan;
· Menyediakan kad imbasan kecil.
· Mengambarcarakan apa yang telah dipelajari.
· Sekiranya anda pelajar SPM atau STPM, cuba hasilkan model jawapan soalan esei berdasarkan soalan-soalan yang ada. Cuba pecahkan fakta-fakta penting dalam bentuk peta minda/konsep. Ini memudahkan anda mengingati isi-isinya dalam peperiksaan sebenar kelak.

2. Hadkan masa menjawabPastikan anda menjawab dalam had masa yang ditetapkan. Peperiksaan bukan sahaja memerlukan anda mengetahui banyak fakta, tetapi anda perlu mengeluarkan fakta-fakta yang berkaitan dalam masa yang telah ditetapkan. Oleh itu anda perlu pantas dan kepantasan hanya boleh dibina melalui latihan yang berterusan. Oleh itu anda perlu kerap menjalankan latihan ujian. Iaitu menjawab soalan-soalan dalam had masa seperti dalam peperiksaan.

3. Anggap seperti peperiksaan sebenarPastikan anda bebas dari gangguan, tidak melengahkan masa, tumpuan yang tinggi dan rasakan seolah-olah tekanan peperiksaan yang sebenar. Elakkan dari meniru sepanjang menjalani latihan ujian. Gunakan strategi menjawab soalan (lihat di bawah). Ingat masa berjalan, oleh itu jangan sekali-kali biarkan fikiran anda melayang. Sekiranya soalan itu susah, maka berikanlah jawapan yang terbaik. Anda perlu belajar mengenali gerak hati anda sebab anda memerlukannya dalam peperiksaan yang sebenar nanti.

4. Strategi menjawab soalanUntuk mendapatkan markah yang tinggi dan mengelak dari berlakunya kecuaian, anda memerlukan strategi menjawab soalan yang berkesan.
Langkah-langkah berikut dapat membantu:

4.1. Baca arahan terlebih dahulu.
4.2. Baca arahan terlebih dahulu.
4.3. Kenal pasti dan garis kata kunci kepada soalan.
4.4 Jawab soalan mengikut turutan berikut:
4·5 Jawab soalan BONUS - Iaitu soalan yang anda pasti jawapannya betul. Ia mungkin soalan yang telah anda ramal, atau yang pernah anda latih sebelumnya.
4·6 Jawab soalan yang senang - Iaitu soalan yang mampu anda jawab hanya dengan satu kali cubaan.
4·7 Jawab soalan-soalan yang susah - iaitu soalan yang memerlukan masa yang panjang atau soalan yang anda memang tidak tahu jawapannya.
4·8 Semak - Pastikan semua soalan dijawab; Untuk soalan objektif, pastikan tandanya betul.
4·9 Ulang jawab - Kalau masih ada masa, ulang jawab soalan bonus dan senang. Ingat! soalan inilah yang anda pasti lakukan kecuaian oleh itu semak dengan tujuan mencari kesilapan tersebut. Bukannya menyemak dengan tujuan berpuashati dengan jawapan. Langkah terakhir barulah ulang jawab soalan-soalan susah. Itu pun sekiranya masa masih mengizinkan.

5. Mencari sebab (post-mortem)Anda perlu menkaji kelemahan diri anda setiap kali selesai menjawab soalan-soalan. Setelah anda selesai membuat latihan ujian. Semak setiap jawapan yang dibuat. Sekiranya jawapan anda salah maka lakukan 'post-mortem', iaitu proses mencari sebab. Setiap kesilapan ada sebab-sebabnya dan ini merupakan masalah utama yang perlu anda atasi. Antara sebab-sebab kesalahan berlaku ialah:

5.1 Tidak tahu (tidak baca) - Ini bermakna persediaan diri anda kurang. Maka berikan masa
membaca tajuk-tajuk tersebut.
5.2 Tidak faham - Anda baca tetapi tidak faham. Tanyakan pada guru atau rakan.
5.3 Lupa - Ini disebabkan anda kurang mengulangi apa yang telah dipelajari.
5.4 Cuai - Pastikan anda mengikuti langkah-langkah dalam Strategi Menjawab Soalan di atas.
5.5 Keliru - Tanyakan pada guru tentang bentuk soalan yang mengelirukan anda. Minta penjelasan dari guru sebelum hari peperiksaan agar kesilapan yang sama tidak diulangi.

6. Jangan buang masa Dalam suasana peperiksaan semakin hampir anda perlu gunakan setiap masa yang terluang untuk mengulangkaji. Sekirannya masa yang terluang tidak sesuai untuk anda membaca dan menghafal, maka gunakan masa tersebut untuk anda melatih mengeluarkan maklumat. Ceritakan apa yang telah anda pelajari kepada diri anda sendiri. Lakarkan apa yang anda ketahui pada sehelai kertas. Aktiviti sebegini mengukuhkan lagi ingatan anda dan memudahkan pengaliran keluar maklumat ketika dalam peperiksaan kelak.
Bagi mengelakkan rasa jemu belajar, pelbagaikan aktiviti dalam satu-satu sessi mengulangkaji.


Sekian, Selamat Berjaya


AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN,
SMK KULAI BESAR

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 16 November 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN,16/11/2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

1 Assalamualaikum wkt dan salam Sejahtera, Salam Perpaduan Salam Satu Malaysia dan Salam Raya

2 Kata alu-aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

3 Terima kasih kepada pengacara majlis, guru bertugas.

4 Bersama-samalah kita melafazkan kesyukuran ke hadrat Ilahi dengan nikmat dan kurniaannya kepada kita pada hari ini. Kerana dengan nikmat dan kurniaannya itulah membolehkan kita terus berada di sini...guru mengajar dan murid terus belajar. Hari-berganti hari, minggu-beralih minggu dan kini kita berada pada minggu terakhir sesi persekolahan 2009.

5 Cuba anda fikir dan kenangkan sejenak apakah yang telah anda peroleh sepanjang 192 hari/ setahun anda ke sekolah. Kalau orang berniaga sudah tentu pada masa ini mereka akan mengira berapa keuntungan atau rugi, ahli silat akan menguji adakah ilmu persilatan tok gurunya menjadi atau tidak. Namun bagi anda sebagai seorang murid perkara yang perlu dilihat ialah bagaimana pencapaian kamu dalam peperiksaan, sahsiah dan kokurikulum. Semak apakah pencapaian anda dalam ketiga-tiga bidang tersebut telah mencapai sasaran anda? Apakah sumbangan anda kepada sekolah.

6 Pelajar yang bijak dan mempunyai matlamat sudah tentu dapat menjawab persoalan tersebut dengan mudah. Amat malang sekali kalu anda sendiri tak tahu apa-apa hasil yang anda dapat bertambah malang pula kalau anda tahu anda hanya menjadi beban kepada pihak sekolah.

7 Namun pastinya hari-hari yang lalu itu telah menjadi sejarah dan kenangan dan telah pun berlalu, pada hari ini adalah satu kurnia untuk kita mengkaji balik pencapaian kita untuk dijadikan iktibar dan pedoman buat bekal pada masa hadapan yang penuh dengan harapan.

8 Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada murid-murid yang telah berjasa dan memberi sumbangan bermakna kepada pihak sekolah dalam pelbagai bidang. Pencapaian anda dalam peperiksaan dan pencapaian dalam kokurikulum pada tahun ini memperlihatkan peningkatan. Tahniah juga kepada murid-murid yang telah memberi sumbangan kepada pihak sekolah dari segi pematuhan terhadap disiplin dan peraturan sekolah. Petunjuknya mudah, sekiranya anda tidak pernah menerima tindakan de merit, dan melakukan perkara-perkara yang bercanggah dengan peraturan sekolah maka anda sebenarnya telah memberi sumbangan kepada sekolah.

9 Kepada murid-murid yang pernah diambil tindakan disiplin, pernah digantung atau dibuang sekolah anda masih berpeluang untuk menebus kesilapan itu dengan cara menjadikan hari ini sebagai titik perubahan kepada diri anda. Kesilapan adalah perkara biasa dalam hidup dan bukan bermakna kegagalan dalam hidup anda tetapi kegagalan yang sebenarnya ialah apabila anda tidak mahu mengubah sikap dari kesilapan yang pernah dilakukan.

10 Bagi calon SPM kami tunjukkanlah imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, tidak berdisiplin dan tidak mementingkan pelajaran mereka sepanjang tempoh peperiksaan berlangsung.

11 En Hilman akan menyerahkan kepada saya senarai murid tingkatan 5 yang paling bermasalah, dan saya akan berjumpa kumpulan murid ini dalam tempoh terdekat sebagai satu alternatif terakhir menjelang peperiksaan. Sekiranya alternatif ini tidak anda patuhi jangan salahkan sekolah sekiranya anda gagal untuk menjadi orang yang berguna kepada masyarakat setelah anda tamat persekolahan nanti.

12 Sesuatu peristiwa kadangkalanya memberi keinsafan kepada kita. Oleh itu jadikanlah kesilapan anda sebagai sesuatu yang memberi pengajaran kepada anda, kerana anda boleh melakukannya... Sylvester Stallone yang terkenal dengan filem Rocky dan Rambo tidak mempunyai nasib yang baik semasa zaman kanak-kanaknya. Ibunya daif dan dia dilahirkan di tangga sekolahnya. Semasa lahir urat saraf pada mukanya tercedera menyebabkan bahagian kanan mukanya menjadi lumpuh. Tetapi keazamannya untuk menjadi pelakon terkenal telah mengubah kehidupannya walaupun pernah gagal dalam ujian.

13 Sekian terima kasih .

AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN
SMK KULAI BESAR

Teks Ucapan : Perhimpunan Mingguan 05 September 2009

UCAPAN PERHIMPUNAN RASMI MINGGUAN
SMK KULAI BESAR

ISNIN, 05/09/2009

OLEH
AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

1 Assalamualaikum wkt dan salam Sejahtera, Salam Perpaduan Salam Satu Malaysia dan Salam Raya

2 Kata alu-aluan : PK HEM –En Wong Kim Fah, PKKK –En Mohd Tahir Ismail, GKMP, Guru dan Murid

3 Terima kasih kepada pengacara majlis, guru bertugas.

4 Saya amat bersyukur kerana kita dapat bertemu dalam perhimpunan rasmi pada pagi ini. Mungkin masih belum lewat untuk saya mewakili rakan-rakan guru untuk mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir dan batin kepada semua murid yang beragama Islam.

5 Semoga hari raya tahun ini memberikan makna yang lebih istimewa kerana kita semakin matang dan semakin kaya pengalaman. Ramadan yang berlalu itu sepatutnya telah mengenalkan kita erti kasih sayang, kesabaran, kejujuran, sikap merendah diri, saling bertoleransi dan telah pula meningkatkan keimanan masing-masing mengikut kadar amalan yang telah dilakukan.

6 Pengajaran Ramadan itu perlu kita hidupkan dalam diri agar menjadikan diri kita lebih mengerti makna kehidupan dan persekitaran. Begitu juga dengan hari raya yang disambut dengan pelbagai kaedah dan pendekatan tetapi memberi makna kejayaan yang gemilang kerana kita telah melalui ujian diri yang hanya Tuhan sahaja yang mengetahui darjah pencapaiannya.

7 Pada hari Sabtu yang lepas saya berkesempatan menghadiri Seminar Kajian Tindakan Daerah Kulai. Pada seminar tersebut saya telah bertemu dengan bekas rakan sejawat yang satu ketika dahulu bertugas sebagi guru biasa di salah sebuah sekolah menengah di Johor, tetapi kini beliau telah menjadi seorang Guru Cemerlang. Ketika kami sedang leka berbual telefonnya berdering....dan rakan saya menjawab panggilan tersebut, maka berlakulah sesi perbualan dalam bahasa yang saya tidak fahami.....bahasa Tamil. Selesai mereka berbual saya tanya apa topik yang dibualkannya, maka beliau telah bercerita bahawa yang menelefonnya tadi ialah rakan sepermainan semasa zaman kanak-kanak dan zaman persekolahan yang kini telah bertugas sebagai Kapten Juruterbang SIA. Mereka bersahabat semasa kecil, membesar di sebuah ladang terpencil di daerah Kulai, bersekolah di sekolah biasa di Kulai, dan masing-masing mendapat kelulusan SPM dan STPM. Seorang memilih kerjaya guru dan seorang belajar di politeknik di Singapura. Beliau memberitahu bahawa semasa di bangku sekolah dahulu beliau mempunyai minat yang mendalam terhadap enjin motor dan kereta dan mampu membuka dan memasang enjin sejak di bangku sekolah lagi. Kini bekerja di Singapura dengan pendapatan 10,000.00 dollar Singapura sebulan. Sementara abang rakannya itu pula telah melanjutkan pelajaran ke Amerika dan bekerja di Amerika sebagai penganalisis komputer dengan pendapatan yang jauh lebih Tinggi.

8 Cerita ini saya kongsi dengan anda semua dengan satu tujuan supaya aura kejayaan tiga individu ini meresap pada diri anda...Kejayaan seorang guru cemerlang, Kapten Juruterbang SIA, dan penganalisis Komputer adalah selingkar kisah daripada pelbagai kisah lain yang memaparkan betapa dengan sikap dan usaha yang betul kita boleh mengubah nasib kita, keluarga dan bangsa kita. Kejayaan tidak mengenal status anda...anak penoreh getah, anak peneroka, tukang sapu, pemandu bas atau sesiapa sahaja. Kejayaan hanya kenal satu sahaja iaitu kemahuan, usaha dan tawakal.

9 Kejayaan individu yang telah berjaya perlu anda jadikan sebagai ikon kehidupan, penanda aras, dan jejaki liku-liku kehidupan mereka biar tersingkap segala rahsia di sebalik kegemilangan yang mereka peroleh. Sebenarnya dalam kalangan 1600 murid di SMKKB ini, pada firasat saya sebahagiannya telah mempunyai kekuatan dan kualiti peribadi tertentu yang menunggu masa untuk digilap agar menjadi individu yang cemerlang.

10 Percayalah bahawa anda boleh melakukan perubahan pada diri, selagi anda katakan bahawa anda boleh melakukannya. Kecemerlangan akademik seperti pencapaian perfect score bukanlah prasyarat kecemerlangan tetap ia berkaitan dengan sikap anda. Sikap terhadap diri dan keluarga, sikap terhadap guru-guru dan rakan-rakan, dan sikap anda terhadap pelajaran. Selagi anda mempunyai sikap yang positif ia umpama benih yang baik dan subur, dicampak di laut menjadi pulau, di campak di daratan menjadi belantara, dicampak ke busut menjadi gunung.

11 Sebagai perbandingan pada minggu lepas saya menemui 1 murid biadab terhadap guru, 3 murid yang cuba ponteng sekolah, 7 murid yang ponteng kelas dan bersusun-susun murid sedang menunggu untuk di soal siasat dengan pelbagai kesalahan disiplin di bilik disiplin. Pelanggaran disiplin sekolah adalah satu petanda sikap anda sedang dalam bermasalah.

12 Jika anda boleh mengekalkan imej positif dan imej kejayaan dalam minda anda dengan berkawan dengan pelajar-pelajar yang bersemangat untuk berjaya, anda juga boleh kekalkan imej positif dengan menjauhkan diri daripada pelajar-pelajar yang bersifat negatif, malas, biadab, bising dalam kelas dan tidak mementingkan pelajaran mereka.

13 Sebab itulah saya kerap menegur sekumpulan murid yang suka duduk di tembok pintu masuk sekolah semasa saya datang pada waktu pagi, kerana kelakuan itu adalah ikon kaki lepak, mat tembok kalau perempuan; minah tembok, seolah-olah menjual muka dan memperagakan diri seperti menjual sayur layu yang tak laku. Amat sedih lagi apabila ada dalam kalangan murid perempuan yang suka bergurau, bertepuk bertampar dengan murid lelaki tanpa perasaan segan silu. Sifat ini yang memaparkan ikon bagi perempuan seperti dalam novel Iakah Salamah? dan Salina....iaitu ikon perempuan yang tidak bermaruah. Rambut berwarna, rambut berfesyen, pakaian selekeh, pakai seluar londeh, dan pelbagai lagi imej negatif dalam penampilan diri sesetengah murid adalah ikon individu yang berserabut, penagih dadah, along, samseng, bohsia dan bohjan. Nak berjaya kita kena ikut orang yang berjaya.

14 Saya berharap agar semua murid membuat penjajaran diri semula, membuat pertimbangan dan muhasabah diri untuk mengetahui di mana titik anda berada sekarang. Persimpangan jalan manakah yang hendak anda pilih. Saya sekadar boleh menasihati, memberi pandangan, memberikan teguran dan barangkali tindakan disiplin. Namun perubahan sebenarnya tetap berada pada pilihan diri anda sendiri. Berdoalah supaya anda diberi kekuatan untuk meninggalkan segala kelemahan dan kekurangan serta mohonlah agar dikurniakan petunjuk untuk menjalani kehidupan pada jalan yang lurus.

15 Sekian terima kasih .

AZMAN BIN SAFII

Artikel Popular