Monday, September 13, 2010

Kekalkan pengetua Aishah – Perkasa














Ibrahim Ali berbual dengan Siti Aishah Mansor (kiri) ketika berkunjung ke rumah pengetua tersebut di Kampung Melayu, Kulaijaya, semalam.
28/08/2010

KULAIJAYA 27 Ogos – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) menggesa agar Kementerian Pelajaran bertindak profesional berhubung isu perkauman yang dikatakan cuba ditimbulkan Pengetua Sekolah Menengah Tunku Abdul Rahman Putra, Siti Aishah Mansor, 53, baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Ibrahim Ali berkata, pihak kementerian diminta tidak bertindak berdasarkan kepentingan politik dan pada masa yang sama perlu terus mengekalkan kedudukan pengetua berkenaan di sekolah itu.

“Pengetua berkenaan pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang Gred 52, malah beliau juga mempunyai darah Cina kerana ibunya berketurunan Cina. Jadi bagi saya tidak timbul isu perkauman di sini.

“Sehubungan itu, saya berharap pihak kementerian dapat mengambil tindakan sewajarnya secara profesional dan tidak mengutamakan kepentingan politik,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas bertemu dan menyatakan sokongannya terhadap pengetua berkenaan di rumahnya yang terletak di Kampung Melayu, di sini hari ini.
Pada 12 Ogos lalu, Siti Aishah dikatakan telah mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman pada perhimpunan pagi menyentuh sensitiviti kaum.

Dipercayai kenyataan yang dibuat sempena pelancaran Hari Kemerdekaan di sekolah itu telah diputarbelitkan oleh pihak luar yang mempunyai kepentingan politik sehingga wujudnya isu perkauman berkenaan.

Ibrahim turut mempersoalkan sama ada kenyataan pelajar yang membuat laporan polis terhadap pengetua berkenaan boleh diambil kira tanpa mengetahui sejauh mana kebenaran laporan itu.

Beliau berkata, mungkin pelajar berkenaan tidak memahami maksud sebenar yang cuba disampaikan pengetua mereka dan sekadar membuat laporan berdasarkan pemahaman mereka semata-mata.

“Sebagai pelajar adakah mereka cukup matang untuk menilai dan menterjemah ucapan pengetua sebagai mengandungi unsur-unsur perkauman.

“Daripada apa yang diberitahu, pelajar yang terawal membuat laporan polis berhubung isu tersebut merupakan antara pelajar yang mempunyai masalah disiplin. Adakah kenyataan orang seperti ini boleh digunakan?” katanya.

Beliau juga menyifatkan tindakan pengetua berkenaan adalah bertujuan memulihkan masalah disiplin di sekolah tanpa sebarang niat perkauman dan lebih menjurus kepada tindakan seorang ibu dalam mendidik anak-anak ketika di rumah.

“Apabila berlaku masalah disiplin dan gejala sosial pelajar, semua menyalahkan pihak sekolah, namun apabila pelajar-pelajar ditegur dan tindakan diambil, masyarakat turut menyalahkan pihak sekolah,” katanya.


Published in:
UTUSAN MALAYSIAon September 1, 2010 at 10:59 am Comments Off Tags: , , ,

No comments:

Artikel Popular