Friday, February 22, 2013

Teks Ucapan : Sambutan Maulidur Rasul 2013


MAJLIS SAMBUTAN MAULIDUR-RASUL PERINGKAT SMK KULAI BESAR, KULAIJAYA, JOHOR
 
22 FEBRUARI 2013

Disampaikan oleh;

EN AZMAN BIN SAFII
PENOLONG KANAN PENTADBIRAN

(Bismillahirrahmannirrahim, Alhamdulillahi Rabbil ‘Alamin,
Was-solatu was-salamu ‘ala Rasulihil-amin, Wa’ala aalihi wasohbihi ajma’in: amma badu)


Assalamualaikum wkt, salam satu Malaysia salam KB Gemilang.

Yang Berusaha EN SAMSOL KAMAL BIN MAT NASIR, YDP PIBG

Yang dihormati USTAZ TUAN HAJI MOHD ARIFF BIN HJ JASIMAN @ NIN, Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam  Johor.

Rakan-rakan pentadbiran, guru-guru, kakitangan dan yang dikasihi murid-murid sekalian.

Al-Hamdulillahi  Rabbil  Alamin,  saya  bersyukur  ke  hadrat Allah SWT di atas limpah perkenan-Nya, dapat kita bersama dalam  Majlis  Sambutan Maulidur Rasul  Peringkat  SMK Kulai Besar, Kulaijaya bagi tahun 1434 Hijriah, bersamaan tahun 2013 Masihi.

Walaupun, penganjuran majlis ini lewat dari tarikh yang sepatutnya, namun majlis ini dianjurkan sebagai medium untuk meningkatkan kefahaman agama seluruh warga SMK Kulai Besar, selain menjana kecintaan terhadap junjungan besar Baginda Rasulullah SAW.

Hadirin yang berbahagia sekalian,

Membesarkan Maulidurrasul samalah seperti kita membesarkan   Islam   kerana   Rasulullah   (s.a.w)   umpama simbol bagi agama Islam. Saya memetik ungkapan Imam Mutawalli Sha'rawi yang telah menulis di dalam kitab beliau, Ma'idat al-Fikr al-Islamiyya (ms.   295);

"Jika   setiap   kejadian   yang   tidak   bernyawa sekalipun, bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w) dan semua tumbuh-tumbuhan pun bergembira malahan semua binatang  pun  bergembira  dan  semua  malaikat  pun bergembira dan semua jinn Islam bergembira di atas kelahiran baginda (s.a.w), kenapa kamu menghalang kami daripada bergembira dengan kelahiran baginda (s.a.w)?"


Hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah sekalian,

Kelahiran dan perutusan Baginda Nabi Muhammad SAW merupakan satu nikmat dan rahmat kepada seluruh alam. Hal ini telah dinyatakan oleh Allah SWT, di dalam surah al- anbiyak ayat 107 :
( wa ma arsalnaka illa rohmatan lil ‘alamin) Maksudnya :
Dan tidaklah kami utuskan Engkau (Muhammad) melainkan sebagai rahmat ke seluruh alam

Justeru itu, kita selaku ummat Nabi Muhammad SAW, wajar untuk sentiasa mengenang perjuangan Baginda Rasulullah SAW dalam menyebarkan dakwah Islam. Hasil perjuangan dakwah Baginda Rasulullah SAW dan pengorbanan sahabat-sahabat Baginda, maka kita dapat mengecapi nikmat iman dan Islam pada hari ini.

Saya menarik perhatian kepada seluruh pewaris generasi masa hadapan yang berada di hadapan saya ketika ini, dengan beberapa fenomena keruntuhan jiwa dan akhlak, masyarakat Melayu Muslim mutakhir ini. Kes-kes bayi yang ditinggalkan di tong-tong sampah, di masjid dan sebagainya.

Kita juga sering mendengar kes si tanggang moden, anak menderhakai ibubapanya, sehingga sanggup meninggalkan ibubapa di pusat-pusat jagaan warga tua tanpa kerelaan mereka. Ini tidak termasuk dengan ribuan bayi yang dilaporkan lahir tanpa ikatan perkahwinan yang sah.

Mengikut statistik pula, lebih 95% penghuni di  28 pusat serenti di negara ini adalah mereka yang beragama Islam. Angka ini tidak termasuk mereka yang masih bebas di luar. Renungkanlah sejenak, pada ketika remaja dan belia kaum-kaum lain menghabiskan masa membanting tulang mencari kemakmuran hidup dengan menjana pendapatan, memperkukuh ekonomi, remaja dan belia muslim pula leka, sebuk dengan merempit, melepak serta berpeleseran tanpa haluan. Ini membuktikan keruntuhan jatidiri Muslim di dalam negara kita.

Justeru,  apa  yang  saya  harapkan ialah,  agar  penganjuran Sambutan Maulidur Rasul Peringkat sekolah pada kali ini, akan mengetuk rasa kesedaran kita agar sentiasa berusaha memperbaiki akhlak dan meneguhkan jatidiri sebagai seorang muslim, bagi menempuh arus kehidupan di dunia yang sementara ini.


Hadirin yang di rahamti Allah sekalian,

Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada USTAZ TUAN HAJI MOHD ARIFF BIN HJ JASIMAN @ NIN yang sudi menerima undangan kami, terima kasih kepada YDP, terima kasih juga kepada guru-guru dan murid-murid yang sudi hadir. Jutaan penghargaan dan tahniah pula saya tujukan kepada jawatankuasa pelaksana majlis sambutan Maulidur Rasul peringkat sekolah bagi tahun ini, khususnya kepada penyumbang-penyumbang sama ada dalam bentuk wang ringgit, idea dan tenaga dalam menjayakan program ini.

Sama-samalah kita berdoa kepada Allah SWT, agar kita semua, digolongkan di dalam golongan umat Baginda Rasulullah SAW, yang layak untuk memasuki syurga Allah SWT,  sesuai dengan sabda Baginda Rasulullah SAW :

Setiap  daripada  ummatku akan  masuk  ke  dalam  syurga kecuali mereka yang enggan Sahabat bertanya : Siapakah yang enggan wahai Rasulullah. Rasulullah menjawab : Barangsiapa yang mentaatiku, masuklah dia ke dalam syurga, barangsiapa yang  mengingkariku, maka  sesungguhnya dia enggan masuk ke dalam syurga.


Sidang hadirin yang berbahagia;

Jauh Perjalanan Luas pemandangan,
Mencari Ilmu Merungkai Rahsia,
Muhammad Rasul Nabi Junjungan,
Menjadi Teladan Umat Manusia.

Rasulullah Utusan Mulia,
Kisah hidupnya penuh cabaran,
Menyebar Islam Seantero Dunia,
Membawa kita Cahaya Kebenaran.

 
Sekian,

Wabillahi taufiq wal-hidayah, wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh.

Peranan Coaching dalam Revitalisasi Pendidikan Abad Ke-21

Shamsuddin bin Haron (Pegawai SIPartner+ PPD Kluang) shamsuddin.haron@moe.gov.my   Kertas kerja ini telah dibentangkan semasa K e...