Salam Sejahtera Salam Perpaduan dan Salam Satu Malaysia kepada seluruh warga SMK Kulai Besar. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada seluruh warga sekolah yang beragama Islam.Saya berharap agar Ramadan kali ini dapat ditempuhi dengan penuh kesabaran
serta dapat disempurnakan pada tahap
yang lebih baik sama ada dari segi kualiti dan kuantiti.
Kualiti merujuk kepada kesempurnaan dalam melaksanakan
ibadah puasa ini dengan mengikut adab sama ada pada zahir mahupun dari segi
batinnya. Kuantiti yang saya maksudkan pula adalah merujuk kepada jumlah hari
ibadah puasa yang dapat disempurnakan. Walaupun saranan ini agak pelik dan kelakar tetapi inilah hakikat
yang berlaku dalam kalangan murid di sekolah ini iaitu ada murid yang tidak berpuasa. Bukan
sehari dua bahkan lebih banyak bilangan hari tidak berpuasa berbanding hari
berpuasa.
Oleh itu tanamkanlah azam agar Ramadan kali ini dapat
ditingkatkan bilangan hari berpuasa berbanding tahun-tahun yang lalu. Saya
percaya saranan ini agak unik, tetapi biarlah perubahan itu berlaku
berdikit-dikit berbanding tidak berubah langsung. Saya juga berharap agar semua
warga sekolah ini menghormati bulan Ramadan. Menghormati Bulan Ramadan
bermaksud murid-murid yang beragama Islam tidak makan atau minum secara terbuka
sepanjang bulan Ramadan, tidak membawa makanan ke sekolah di samping menjaga
akhlak zahir dan batin.
Kepada murid-murid bukan Islam, tiada halangan untuk
makan dan minum seperti biasa, tetapi perlulah menghormati murid Islam dengan
tidak makan di khalayak ramai melainkan di kawasan kantin sekolah sahaja.Pada minggu ini kita berada dalam minggu ke-27. Secara
logik dan matematik kita telah melepasi sempadan separuh perjalanan bagi sesi
persekolahan 2012. Oleh itu saya menyeru kepada semua murid-murid agar sentiasa
kekal fokus kepada persiapan dalam menghadapi ujian dan peperiksaan yang akan dilaksanakan
pada awal Ogos nanti.
Murid tingkatan 1 dan tingkatan 4 perlu bersedia untuk
Ujian 2 yang akan dilangsungkan pada 10 hingga 17 Ogos nanti. Murid Tingkatan 3
pula akan menduduki Peperiksaan Percubaan PMR mulai 9 hingga 17 Ogos 2012,
manakala murid tingkatan 5 bakal menduduki Percubaan SPM yang akan berlangsung
dari 30 Ogos hingga 21 September 2012. Semua murid perlu menganggap ujian dan peperiksaan
tersebut sebagai penting dan perlu membuat persiapan yang rapi untuk
menghadapinya.
Peperiksaan Percubaan PMR dan SPM akan dimasukkan markah secara
dalam talian dan akan memberikan gambaran keupayaan dan persiapan murid dalam
menghadapi PMR dan SPM yang sebenar. Ujian 2 yang bakal diduduki oleh murid
tingkatan 1, 2 dan 4 pula akan dapat dijadikan kayu ukur sejauh manakah
penguasaan anda dalam mengikuti pelajaran dan hasil pembelajaran. Walaupun
Ujian 2 dan peperiksaan percubaan PMR dan SPM dilaksanakan pada peringkat
sekolah namun pencapaiannya akan memberi kesan kepada pemarkahan dalam aspek
kemenjadian murid dalam penarafan SKPM. Jika murid menunjukkan pencapaian yang
cemerlang ia akan memberi kesan peningkatan terhadap indeks kemenjadian murid dalam bidang
akademik.
Adalah menjadi harapan semua individu untuk menjadi
seseorang yang cemerlang. Sama ada pada peringkat negara, komuniti, ibu bapa,
guru mahupun peringkat murid-murid, kecemerlangan bukan sekadar diimpikan
tetapi menjadi destinasi yang dituju. Untuk menjadi seorang yang cemerlang ia
bermula dengan keazaman dan diterjemahkan dalam bentuk usaha, ikhtiar, amalan
dan tindakan. Justeru itu kepercayaan adalah prasyarat utama yang menjadi kunci
untuk membuka pintu kecemerlangan.
Kepercayaan adalah elemen penting dalam
menuju kecemerlangan kerana kepercayaan akan menjadikan kita lebih yakin
terhadap kemampuan diri. Tanpa adanya sifat percaya maka tiadalah keyakinan
kepada diri dan pihak sekolah. Jika ini berlaku maka anda telah menempah
kegagalan. Kepercayaan dalam konteks ini ialah percaya bahawa anda
boleh dan mempunyai potensi untuk menjadi murid yang cemerlang.
Kepercayaan
juga merujuk kepercayaan bahawa sistem pendidikan di negara ini dan guru-guru
di sekolah ini mampu untuk membimbing anda semua menjadi murid yang cemerlang.
Sebagai bukti kepercayaan anda terhadap pihak sekolah khususnya guru-guru maka
semua murid harus menunjukkan sikap yang berikut;
a) Penyerahan diri;
bermaksud komited terhadap program-program kecemerlangan sekolah, akur dan tidak
membantah di samping yakin dan percaya bahawa guru-guru di sekolah ini
mempunyai kompeten.
b) Hadir ke sekolah;
bermaksud hadir dari segi fizikal dan mental, tidak ponteng sekolah dan ponteng
kelas. Hadirkan hati, hadirkan minda dan hadirkan jiwa ketika sesi pengajaran
dan pembelajaran guru.
c) Keterlibatan;
bermaksud semua murid perlu melibatkan diri salam semua program kecemerlangan
sekolah. Kos, masa, kesukaran dan ketidakselesaan tidak dijadikan halangan dan
kekangan untuk melibatkan diri dalam program yang dianjurkan oleh pihak
sekolah.
d) Mematuhi arahan;
akur dan patuh kepada arahan guru sepanjang masa di sekolah. Anggaplah guru
sebagai jurulatih yang boleh membantu membentuk pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan
untuk menjadi insan yang cemerlang.
Di samping menanamkan kepercayaan terhadap kebolehan diri
dan guru-guru, murid juga perlu mempunyai disiplin diri untuk menjadi murid
yang cemerlang. Disiplin adalah istilah yang kerap kita dengar di sekolah
ataupun di rumah. Disiplin mempunyai kaitan yang rapat dengan kejayaan dalam
apa jua bidang. Secaranya umumnya disiplin bermaksud mengikut peraturan. Mudah
bunyinya, kerana sekiranya anda sentiasa mengikut peraturan maka anda akan
dikatakan seorang yang berdisiplin.
Sekiranya anda bertekad untuk membuat latihan menjawab satu
set soalan kertas 1 (Sejarah 40 soalan)pada setiap hari, apakah yang boleh
memastikan anda benar-benar berjaya melakukannya ? Jawapannya ialah disiplin !
disiplin ! disiplin !. Disiplin adalah pendorong kepada anda untuk;
a) Terus melakukan
sesuatu walaupun rasa hendak berhenti;
b) Terus melakukan
sesuatu yang dirancang walaupun anda tidak suka melakukannya pada peringkat
awal; dan
(Penulisan ini disesuaikan daripada ucapan yang disampaikan semasa
Perhimpunan Rasmi Minggu ke-27 pada Isnin, 23 Julai 2012)