TEKS UCAPAN ALU-ALUAN TUAN PENGETUA SEMPENA MAJLIS
PERASMIAN KEJOHANAN PADANG DAN BALAPAN
KALI KE-22 TAHUN 2012
Yang
berbahagia, Yang Berhormat Chong Chin Liang, ADUN BUKIT BATU
Yang
Dihormati, Datin Hasnah Binti Md Sem Pegawai PPD Daerah Kulaijaya
Yang
Dihormati, Encik Samsol Kamal Bin Mat Nasir YDP Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK
Kulai Besar.
Yang
Berusaha, Penolong-penolong Kanan, Guru-guru Kanan Mata Pelajaran, Ahli
Jawatankuasa PIBG, guru-guru, tuan-tuan, puan-puan dan semua murid yang
dikasihi sekalian.
Salam
sejahtera, Salam perpaduan dan Salam
Satu Malaysia
Saya
mengambil kesempatan ini mengucapkan selamat datang dan terima kasih atas kesudian YB Chong Chin
Liang untuk hadir dan seterusnya
merasmikan Kejohanan Padang dan Balapan
SMK Kulai Besar kali Ke-22, 2012.
Sidang
hadirin yang berbahagia.
Aktiviti
sukan telah pun dijadikan sebagai fokus dalam sistem pendidikan pada hari ini
yang akan menjadi aktiviti yang wajib dijalankan sepanjang tahun. Jadi,
kejohanan Padang dan Balapan sekolah merupakan suatu wahana untuk mencapai
wawasan negara dalam pembudayaan sukan dalam kalangan murid sekolah. Budaya
sukan dalam kalangan semua murid adalah untuk memperlengkap kecemerlangan
sistem pendidikan bagi melahirkan modal insan yang seimbang dan holistik dari
segi jasmani, emosi, rohani dan intelek ke arah pembinaan negara bangsa
Malaysia.
Saudara
dan saudari sekalian,
Pihak
sekolah sentiasa mendukung hasrat KPM dengan sentiasa responsif terhadap
keperluan pelajar ke arah pemupukan dan membina bakat bagi murid yang
berkecenderungan memilih kerjaya mereka
dalam apa jua bidang sukan. Dasar 1 Murid 1Sukan yang diperkenalkan mewajibkan
setiap murid menyertai sekurang-kurangnya satu aktiviti sukan di sekolah. Dasar
ini menyokong pelaksanaan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang berhasrat untuk
melahirkan insan yang seimbang. Justeru dengan dasar ini, setiap murid akan
melibatkan diri secara aktif dengan menyertai aktiviti sukan sekolah sepanjang
tahun.
Dasar
ini sebenarnya selaras dengan Dasar Sukan Negara yang bermatlamat untuk
membudayakan sukan dalam kalangan masyarakat. Dasar sukan Negara dimulakan di peringkat sekolah melalui dua
strategi iaitu Sukan Untuk Semua dan Sukan Untuk Kecemerlangan. Aktiviti sukan
di bawah Sukan Untuk Semua adalah sangat penting dalam membina kesihatan,
sahsiah dan kesejahteraan kepada semua murid. Bagi strategi Sukan untuk
Kecemerlangan pula, prestasi murid yang berbakat dan berpotensi akan terus
dibangunkan di bawah Program Kecemerlangan Bakat Muda, Sukan Prestasi Tinggi
Sekolah serta sukan lain yang mampu ditawarkan oleh pihak sekolah. Oleh yang
demikian, penyertaan setiap murid dalam sukan adalah amat penting sebagai satu
landasan mendukung aspirasi 1 Malaysia yang sihat, cergas, dinamik dan bersatu
padu.
Hadirin
yang dihormati,
Selain
memupuk perpaduan dalam kalangan murid berlainan bangsa, aktiviti sukan juga dapat
memberikan keseimbangan antara keperluan akademik dengan keperluan fizikal. Aktiviti
seperti ini memberikan akses kepada
semua murid mendapatkan faedah daripada penglibatan dalam sukan khususnya
kepada murid yang kurang atau tidak aktif. Murid-murid zaman ini cenderung
mementingkan kecemerlangan dalam bidang akademik sahaja dan beranggapan
aktiviti sukan hanyalah membuang masa mereka. Jadi, mereka perlu disedarkan
tentang kepentingan aktiviti sukan yang turut dinilai bagi melayakkan mereka
memasuki pusat pengajian tinggi kelak.
Hadirin
sekalian,
Aspek-aspek
yang saya sebutkan ini amat penting sekali dalam usaha kerajaan kita untuk
membina negara bangsa, membangunkan modal insan dan melonjakkan kecemerlangan
institusi pendidikan selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Pelan
Induk Pembangunan Pendidikan.
Sebagai
mengakhiri ucapan alu-aluan ini, sekali saya ingin mengambil kesempatan pada
pagi yang meriah ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima
kasih kepada YB Chong Chin Liang, Datin Hasnah Binti Md Sem, YDP PIBG
serta para tetamu yang telah sudi menerima undangan kami pada Majlis Perasmian
Temasya Sukan Olahraga Tahunan kali yang ke-22, SMK Kulai Besar.
Sekian, terima kasih.