Friday, June 15, 2018

Perkongsian Amalan Terbaik PGB Sekolah-sekolah Daerah Kulai Menerusi Principal Peer Learning (PPL)



Assalamualaikum wbh dan salam sejahtera, Saya merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada Pegawai Pendidikan  Pejabat Pendidikan Daerah Kulai atas sokongan terhadap inisiatif yang diambil oleh SIPartners+ untuk mendokumentasikan amalan-amalan terbaik beberapa buah sekolah di daerah Kulai. Penulisan ini juga dibuat sebagai penghargaan kepada Pengetua dan Guru Besar yang telah terlibat dalam menjayakan Program PPL ini sebagai satu wadah perkongsian amalan terbaik. Bahan-bahan yang dikumpulkan ini adalah koleksi amalan terbaik 2014 yang telahpun dikongsikan kepada sebagaian pengetua dan guru besar menerusi Program Principal Peer Learning yang telah diadakan pada 9 dan 16 Ogos 2014. 

Usaha ini diharapkan dijadikan medan perkongsian dalam kalangan kepimpinan sekolah dan seterusnya meransang penjanaan idea, cetusan kreativiti dan  menggerakkan warga sekolah untuk melaksanakan sesuatu di sekolah yang boleh diiktiraf sebagai amalan terbaik dan seterusnya boleh dicontohi oleh sekolah-sekolah lain.  

Melalui amalan terbaik yang dilaksanakan, sesebuah sekolah itu bukan sahaja beroleh manfaat melaluinya, tetapi juga dapat menyemai budaya menghargai dan menyayangi sekolah dalam kalangan warganya;  khususnya dalam kalangan anak muridnya. Amalan terbaik yang dilaksanakan di sesebuah sekolah itu akan menjadi lebih bermakna dan bermanfaat jika cetusan ideanya, objektif, matlamat dan halatuju amalan tersebut dikongsi bersama; baik dalam kalangan pentadbir, guru-guru, murid-murid dan juga ibu bapa.  

Besarlah harapan kami SIPartners+ Pejabat Pendidikan Daerah Kulai agar kepimpinan  sekolah  dapat melaksanakan sekurang-kurangnya satu amalan terbaik di sekolah masing-masing dan seterusnya bersedia untuk berkongsi pengalaman menyedia, melaksana dan meraikan kejayaan sesuatu amalan itu bersama rakan-rakan yang lain. Terima kasih kepada semua pengetua dan Guru Besar yang terlibat dalam menjayakan perkongsian amalan terbaik yang pertama ini. Program PPL walaupun dilaksanakan pada skala kecil, namun diharapkan usaha ini akan merintis jalan kepada pelaksanaan perkongsian amalan secara konsisten. Program PPL ini jugalah yang akhirnya merintis jalan kepada pelaksanaan Kolokium Kepimpinan Pendidikan 2106 dan 2018.
 

1) PROGRAM JALINAN, JARINGAN & PENGANTARABANGSAAN
    SMK Bandar Putra 

Program Jalinan, Jaringan dan Pengantarabangsaan yang dilaksanakan oleh SMK Bandar Putra adalah satu inisaitif sekolah ini untuk melonjakkan kecemerlangan pendidikan menerusi Jaringan & Jalinan Pendidikan. Program ini adalah merujuk kepada hubungan dan kerjasama yang diwujudkan antara sekolah ini dengan sekolah lain di luar Negara, NGO atau IPTA atau IPTS atau badan korporat yang memberikan bantuan atau kerjasama berterusan dari segi akademik, kewangan, kemahiran, kepakaran, aset, bangunan kepada sekolah tidak kira dalam atau luar Negara yang dapat memberi manfaat kepada semua aspek pendidikan untuk kemajuan sekolah. Dalam pembentangan ini fokus diberikan kepada kosnep jalinan dan jaringan, tujuan pelaksanaan, syarat dan bentuk-bentuk kerjasama yang telah dijalinkan dengan sekolah dan agensi luar negara meliputi enam buah negara.


2) AKTIVITI PEMANTAPAN PENDIDIKAN BAHASA MELAYU
    SMK Bandar Tenggara 2

Dalam usaha memantapkan penguasaan Bahasa Melayu dalam kalangan muridnya, pihak pengurusan SMK Bandar Tenggara 2 telah mengambil inisiatif memperkasa Bahasa tersebut melalui beberapa pendekatan yang dilihat mampu memberi impak yang maksima terhadap keberkesanana program. Antara pendekatan yang dilaksanakan adalah menggalakkan penyertaan maksima muridnya dalam setiap pertandingan penulisan anjuran KPM, badan-badan berkanun, pihak swasta dan sebagainya. Melalui strategi ini, pihak sekolah telah berjaya  memantapkan kemahiran menulis artikel ilmiah dan rencana bertema dalam kalangan muridnya. Usaha ini turut disokong dengan pembudayaan penggunaan Bahasa Melayu sepenuhnya semasa perhimpunan, aktiviti-aktiviti sekolah serta pemaparan mutiara kata dan artikel bersesuaian di persekitaran sekolah.

 
3) PENGURUSAN HUBUNGAN LUAR - PIBG
    SK Bandar Putra

Demi menyahut dan merealisasikan Anjakan 9 dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025, (Bekerjasama dengan Ibu Bapa, Komuniti dan Sektor Swasta Secara Meluas) pihak SK Bandar Putra telah mengorak langkah menjalin kolaborasi dengan pihak PIBG untuk memperkasa dan memperkukuh pengurusan dan organisasinya. Jalinan kerjasama yang dibentuk mencakupi aspek akademik, kokurikulum, sumber kewangan, sahsiah serta 3K, telah berjaya menampakkan impak yang positif kepada kedua-dua belah pihak. Pengurusan dan organisasi PIBG sekolah ini semakin mantap  sehingga mampu meraih anugerah, manakala bagi pihak sekolah pula, berlaku peningkatan pencapaian dalam bidang akademik (peningkatan pencapaian UPSR dan murid cemerlang) di samping pencapaian lain dalam bidang sukan, persatuan dan badan beruniform. 

4) BILIK DARJAH KONDUSIF
    SK Felda Sungai Sayong 

Umum mengetahui bahawa kelas merupakan tempat untuk guru mengajar dan murid belajar. Justeru, bagi memastikan murid dapat belajar dengan selesa serta memastikan proses pengajaran dan pembelajaran yang dilaksanakan dapat berjalan dengan baik dan lancar,  suasana kelas yang berinformasi  perlu diwujudkan. Pemaparan maklumat, bahan bantu mengajar, hasil kerja murid dan sebagainya akan menjadikan sesebuah kelas benar-benar berinformasi di samping menjadikan sesebuah  kelas itu sentiasa berada di dalam keadaan yang bersih dan  ceria. Situasi inilah yang cuba diterjemahkan oleh pihak SK Felda Sungai Sayong melalui program Kelas Abad 21nya. Selain setiap ruang dan sudut di sesebuah kelas berinformasi, pihak sekolah juga mengambil inisiatif menyusun kerusi dan meja mengikut kumpulan belajar.

5) TAMAN LINUS
     SK Felda Pengeli Timur

Taman Linus yang dibangunkan di SK Felda Pengeli Timur telah berjaya mengubah persepsi masyarakat mengenai konsep sebenar sebuah taman bunga. Selain dipenuhi dengan bunga-bungaan pelbagai jenis, taman ini juga turut dipenuhi dengan pelbagai pokok herba yang terkenal dengan pelbagai khasiat semulajadinya. Uniknya taman ini adalah label nama setiap pokok ditulis mengikut sukukata yang diwarnakan disamping setiap ruang yang ada dipenuhi dengan informasi yang berguna kepada murid. Justeru, tidak hairanlah apabila taman ini berrfungsi sebagai pusat pembelajaran pelbagai mata pelajaran kerana turut digunakan sebagai salah sebuah tempat untuk proses pengajaran dan pembelajaran di samping menjadi tempat wajib dikunjungi oleh murid pabila berkelapangan. Selain daripada membantu dalam pemantapan progam Linus, taman ini juga turut bermanfaat kepada murid arus perdana, pra sekolah, pemulihan dan juga murid pendidikan khas.

 
6) LOCENG PINTAR
    SJKC Sawit

Menyedari hakikat bahawa penyampaian dan penyaluran maklumat kepada murid belum mencapai tahap yang maksimum, pihak SJKC Sawit telah mengilhamkan program Loceng Pintar di sekolahnya. Melalui program ini, selain daripada berfungsi sebagai pemisah waktu pengajaran dan pembelajaran, loceng juga berfungsi sebagai penyalur maklumat kepada murid. Deringan loceng tradisional telah digantikan dengan bunyian muzik menarik disusuli dengan kata-kata hikmah, pesanan dan maklumat. Melalui kaedah ini, murid di sekolah ini berpeluang mendengar informasi bermaklumat yang berbeza-beza sekurang-kurangnya 9 kali atau lebih dalam sehari. Selain daripada berjaya menyalurkan maklumat secara cepat dan efektif, impak daripada program ini ialah pihak sekolah dapat meningkatkan sahsiah murid di samping murid-murid dapat menggunakan ungkapan menarik yang didengar  dalam penulisan, sekaligus meningkatkan pencapaian penguasaan Bahasa Cina sekolah berkenaan.

7) AMALAN PENDIDIKAN ABAD 21
    SJKT Kangkar Pulai

SJKT Kangkar Pulai merupakan sebuah  Sekolah Amanah; satu program yang dibangunkan oleh Yayasan Amir dengan sokongan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Kerjasama Awam Swasta.Program ini memberi tumpuan dalam membina kapasiti pemimpin sekolah dan guru-guru ke arah mewujudkan budaya amalan pembelajaran berterusan di sekolah-sekolah awam. Murid dan masyarakat sekeliling termasuk ibu bapa terlibat melalui pelan penambahbaikan sekolah bersepadu dengan memberi suasana pembelajaran yang holistik. Sasaran program ini adalah untuk meningkatkan kepimpinan dan pengurusan sekolah, menambahbaik proses pembelajaran dan pengajaran, memaksima potensi dan pencapaian murid serta memaksima penglibatan ibu bapa dan komuniti. Dalam usaha merealisasikannya, SJKT Kangkar Pulai telah melaksanakan sepenuhnya pendidikan abad 21.

8) TANDAS BERSIH
    SK Sri Pulai Perdana

Tandas di sesebuah sekolah lazimnya dikaitkan dengan keadaannya yang kotor, tidak terurus, tersumbat, berbau dan pelbagai konotasi yang negatif. Bagi memastikan situasi tersebut tidak berlanjutan, pihak SK Sri Pulai Perdana telah tampil dengan satu  inovasi demi mengubah persepsi murid dan masyarakat terhadap tandas yang sering dilabelkan sebagai tempat yang kotor dan memualkan.Melalui program Tandas Bersih, pihak sekolah telah berjaya memberi warna yang segar  dan nafas baharu kepada tandas sekolah. Melalui program ini tandas diangkat martabatnya sehingga menjadi sebuah tandas yang kondusif dan selesa untuk digunakan. Program ini juga telah berjaya menjadikan warga sekolah secara amnya dan murid secara khususnya mempunyai sikap menyayangi tandas dan menjadikan kebersihan tandas sebagai tanggungjawab bersama. Selain daripada dapat menggunakan tandas bersih yang dilengkapi dengan segala alatan pengurusan yang sewajarnya ada dalam sesebuah tandas, program ini juga telah berjaya menetapkan etika dan adab pengggunaan tandas yang betul dalam kalangan warga dan tetamu yang bertandang.

 
Sekiranya pembaca berminat mendapatkan bahan pembentangan Versi Power Point boleh email admin menerusi e-Mail : azmansafii@gmail.com
 

No comments:

Artikel Popular